16 January 2018

Shafie Hina RELA

MUNGKIN sebagai impak kepada siasatan dan tahanan reman oleh SPRM berkaitan penyelewengan RM1.5bilion daripada dana RM7.5bilion KKLW daripada tahun 2009-2015, minda Presiden parti Warisan Sabah- Datuk Shafie Apdal telah bercelaru, sehinggakan tergamak menghina anggota RELA, dengan mengatakan anggota sukarelawan itu, hanya tahu jaga trafik, di majlis-majlis kenduri.

Anggoata RELA, dihina hanya kerana dipilih sebagai anggota barisan ke-2 di ESSZONE (kawasan keselamatan Pantai Timur Sabah).

Mengapa sampai hati menghina? apa kah kerana anggota RELA sangat efektif sebagai MATA DAN TELINGA pasukanan keselamatan? bagi membendung kemasukan PATI ke Sabah?

Atau kah memang Shafie, yang bernafsu sangat mahu mendapat sokongan rakyat, maka perlu membuat kenyataan sensasi, termasuk menghina RELA, kononnya TIADA KELAYAKAN sebagai anggota menjaga keselamatan, kerana RELA hanya layak sebagai PENJAGA TRAFIK dalam majlis-majlis kenduri.

Apa kah kenyataan Presiden parti Warisan Sabah di Tuaran itu, sebagai cara memesongkan kes yang sedang melanda beliau?

Rakaman Video yang memaparkan kenyataan Shafie itu dapat dibaca DISINI

15 January 2018

Shafie Dengan Tangki Kuningnya

MENARIK artikel the Dayak daily DISINI yang memuat naik artikel itu secara ekslusif, dengan memberi info kesamaan antara penyelewengan dana RM1.5bilion daripada dana RM7.5bilion untuk Sabah daripada tahun 2009-2015.

Setakat ini lebih 11 orang termasuk Datuk Shafie Apdal telah disiasat termasuk tahanan reman berhubung penyelewengan dana KKLW semasa Presiden parti Warisan Sabah itu menerajui kementerian tersebut. Kesemua ke-11 yang disiasat dan ditahan reman itu, telah dibebaskan atas jaminan SPRM.

Pada oktober lalu, Negara digemparkan dengan penemuan wang tunai terbesar oleh SPRM yang membabitkan Pengarah, Timbalan Pengarah dan mantan Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah yang terlibat mengendalikan projek-projek Bekalan Air Bersih Luar Bandar (BALB) yang mendapat peruntukan daripada KKLW.

Seperti mana laporan berbagai pihak, peruntukan KKLW untuk luar bandar, samada daripada Sabah dan Sarawak, memang mendapat KPI yang cukup tinggi, kerana kementerian itu Berjaya membelanjakan peruntukan yang diberikan kerajaan.

Persoalan yang timbul, sama seperti kata peribahasa, rumah siap pahat berbunyi. Wang habis, tetapi kemudahan yang sepatutnya dinikmati rakyat tidak kesampaian, kalaupun pada awalnya dinikmati, tetapi hanya sementara, kemudiannya, masalah yang sama berulang kembali, jika tiada bekalan air, maka kembali kepada tiada bekalan air, tiada bekalan elektrik, kembali kepada tiada bekalan elektrik.

Di Sabah, tenaga solar untuk menjana elektrik yang mendapat peruntukan daripada KKLW, kini hanya tinggal kenangan, atau telah menjadi besi buruk.

Di Sarawak, menurut artikel yang disertakan, Shafie dikenal di negeri itu, sebagai Menteri tangki air kuning, yang berharga RM41,000 setiap satu, kononnya boleh menyelesaikan BALB, namun ianya hanya sementara, dan kini tidak berfungsi lagi.

14 January 2018

SUMBANGAN PADA UMMAH

JELAS sekali nawaitu seseorang pemimpin, apabila menjadikan agama sebagai penggalas utama pembangunan ummah.

Penulis terbaca paparan di muka buku (facebook) seorang rakan fb yang menceritakan berkaitan Program Jelajah Komuniti Celik Al-Quran Anjuran Akademi Pengajian Al-Quran Semporna ( APAQS ) dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia ( YaPIEM ) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah ( JHEAINS ) yang berlangsung di Semporna dan tepatnya bertempat di Akademi Pengajian Al-Quran Semporna ( APAQS ) pada Sabtu 13 januari 2017.

Program tersebut dirasmikan oleh YB. Datuk Ramlee Marahaban, Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah, Merangkap ADUN N.54 Bugaya dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah APAQS. 

Program Jelajah Komuniti Celik Al-Quran ini adalah sebuah program khas untuk membantu anak murid dan pelajar di Sekolah Kurang Murid ( SKM ) di kawasan luar bandar atau pedalaman bagi membantu akses pembelajaran celik Al-Quran, program seumpama ini adalah yang pertama di Sabah dimana peranan dan tanggungjawab Akademi Pengajian Al-Quran Semporna ( APAQS ) sebagai sebuah institusi akademik Al-Quran dalam melahirkan celik Al-Quran dikalangan masyarakat luar bandar mahupun pedalaman. 

Program jelajah celik Al-Quran ini bertepatan dengan pelan pembangunan pendidikan Malaysia ( PPPM 2013-2025) dimana ia memerlukan kerjasama dan pengelibatan masyarakat dalam menjayakan pelan pendidikan ini, dan salah satu anjakan pelan pendidikan yang terkandung adalah menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa kepada semua peringkat. 

Konsep pembelajaran Abata yang di guna pakai oleh APAQS adalah satu kaedah pembelajaran yang cepat dan mudah difahami murid-murid dalam pembelajaran AL-Quran dan ia terbukti keberkesanannya sehingga APAQS berjaya mengkhatamkan seramai 150 orang pelajar dalam masa yang agak singkat. 

Program jelajah ini akan tertumpu dikawasan sekitar pulau antaranya SMK Bum-Bum, Sk Larapan, Sk Bait, Sk Omadal dan Sk Selakan sebagai pusat jelajah pembelajaran celik Al-Quran ini. Objektif utama program ini adalah merapatkan jurang pendidikan terutamanya dalam bidang agama bagi kawasan yang kurang mendapat akses pendidikan celik Al-Quran secara formal. 

Akademi Pengajian Al-Quran Semporna ( APAQS ) terus melipat gandakan usaha dalam memartabatkan syiar islam di bumi bertuah Semporna melalui program seumpama ini demi untuk melahirkan permata islam dikalangan anak-anak Semporna kelak.

Melihat keberkesanan cara pendidikan ini, adalah diharapkan ianya juga diterapkan di kawasan-kawasan lain, agar, celik Al-Qur'an dapat dikongsi bersama, rakyat beragama islam, khususnya anak-anak atau para pelajar di peringkat sekolah rendah hingga menengah. 

Sumbangan terhadap agama, merupakan sumbangan mulia, daripada seseorang yang bergelar pemimpin

HARI AHAD: PEKAN TUARAN MEMANGPUN SESAK

Datuk Shafie Sedang Berlakon Didepan Gerai Pisang-Pekan Tuaran
JANGANLAH syiok sendiri, kerana Pekan Tuaran yang penuh sesak setiap Hari Ahad, dikatakan pula sesak, kerana kehadiran Datuk Shafie Apdal.

Kalau demikian, mengapa setiap Hari Ahad, OKB (blogger one-kota belud) melawat pekan itu, tidak dikatakan sesak, kerana OKB datang.

Mungkin, ADUN Sulaman- Datuk Hajiji Haji Noor tersenyum-senyum simpul, apabila penyokong parti Warisan Sabah mendakwa, Pekan Tuaran sesak, pada ahad, kerana kehadiran mantan Naib Presiden Umno itu.

Untuk makluman para pembaca, setiap hari Ahad, Pekan Tuaran akan sesak di semua penjuru, kerana adanya tamu mingguan. Kesesakan pecan itu, bukan baharu, ianya berlanjutan puluhan tahun lampau.

Demi mengaburi mata rakyat, maka parti Warisan Sabah mengambil peluang, tentang keadaan ramainya orang ramai, agar boleh diambil gambar, kononnya sambutan penduduk Tuaran, luar biasa.

Tidak malu ke mereka??

PRU-14 SABAH: PENDUDUK KOTA BELUD TOLAK SHAFIE


TIADA pilihan raya yang tidak panas. Parti yang memerintah merasa bahang panas kerana hendak ditumbangkan oleh parti lawan.

Menghadapai pilihan raya, rakyat diketengahkan dengan dua pilihan, FAKTA DAN PERSEPSI.

Parti yang merampas kuasa, menaburkan berbagai cerita fiksi, cerita gossip, berita palsu, fitnah dan janji-janji retorik. Mereka yang bermodalkan air liur itu, hanya mengunakan lidah untuk berkata-kata.

Manakala parti yang meminta semula mandate, membawa bersamanya pencapaian, rekod dan fakta pembangunan, kemajuan.

Fakta dan rekod ini disanggah dengan putar belit, dakwaan palsu, malah dijadikan sandaran janji bulan bintang.

Di awal jelajah Datuk Shafie, memang ramai rakyat datang untuk mendengar ucapan, mahu melihat sosok tubuh mantan Naib Presiden Umno itu, kerana nama memang kerap terpampang di dada-dada surat khabar, atau media social, namun mereka tidak pernah melihat secara “live”, kalau “live”pun hanya di kaca TV RTM.

Apabila lebih setahun kewujudan parti yang dipimpin MP Semporna itu, terbukti, jika sebelumnya majlis beliau mendapat “sambutan” sehingga diwar-warkan sebagai “fenomina” terbukti, dalam perjumpaan di kawasan Kedamaian, Kota Belud, majlis itu bukan sahaja kerusi lebih banyak daripada tetamu, malah semasa Shafie berucap, berbondong-bondong “tetamu” yang sedikit itu meninggalkan majlis.

Mungkin, “mereka” yang pada mulanya meramaikan sesuatu majlis, tidak dapat digerakkan lagi, kerana kekurangan dana, ekoran tindakan SPRM membekukan berbagai akaun para individu yang ada kaitan dengan mantan Menteri KKLW itu. Kerana kekangan itu, perjumpaan Shafie di Kota Belud, semacam rumput di tepi jalan, hidup segan mati tak mahu.

Sokongan politik terhadap sesebuah parti, yang dikatakan boleh menjadi pesaing atau boleh mengancam parti yang dilawan, apabila sokongan terhadap parti itu, menyeluruh dan dapat mengekalkan momentum.

Melihat perkembangan terkini, terhadap parti yang dipimpin mantan Menteri KKLW itu, ternyata sudah tiada UMMHH lagi. Apabila parti yang dikatakan mempunyai “kekuatan” tiada ummhh lagi, ertinya, rakyat Sabah masih mengekalkan Bn sebagai pilihan.

Kepada rakyat Sabah secara umumnya, perlu mengambil iktibar terhadap “layanan” rakyat Kota Belud kepada parti Warisan Sabah, kerana Kota Belud, merupakan “anak sulung” Umno Sabah. Sebagai kawasan yang merupakan anak sulung parti tunjang kerajaan negeri, maka, adalah tidak silap, untuk menolak parti pimpinan mantan Ketua Bahagian Umno Semporna itu. Semangat itu, perlulah dikongsi bersama di seluruh negeri, termasuklah kawasan Semporna, daerah asal Shafie.

13 January 2018

PRU-14 SABAH: PARTI ATAU CALON?

ADA dua kategori pengundi, khususnya di luar bandar. Ada kelompok pengundi fanatik pada calon, ada juga pengundi fanatik pada parti, atau kedua-kedua-duanya.

Fanatik pada parti tiada masalah, sebabnya, parti mesti bertanding. Yang menjadi masalah adalah fanatik pada calon. Fanatik pada calon, adalah faktor utama, kawasan tradisi sesebuah parti kalah pada pilihan raya, hanya kerana protes pengundi, kerana calon pilihan tidak dicalonkan.

Jika peratusan fanatik pada parti lebih tinggi berbanding calon (pemimpin), maka parti yang bertanding memilih calon pilihan parti, maka calon itu boleh menang, di kawasan tradisi parti itu. 

Pada PRU-14, dikhabarkan, bahawa pucuk pimpinan, akan memilih, calon yang termasuk dalam kategori pilihan pengundi dan pilihan parti, iaitu calon yang mempunyai kumpulan penyokong sendiri selain sokongan ahli parti.

Menerusi keputusan itu, maka tidak akan timbul undi protes, yang boleh menyebabkan calon kalah.

Di Sabah, ada bebebarapa kawasan yang termasuk dalam ketegori, di mana calon yang mempunyai pengundi fanatik, kemungkin tidak dicalonkan, kerana pertimbangan strategi. Untuk meneutralisasikan keadaan pada kawasan itu, maka jentera pilihan raya kena berkerja dua kali ganda, bagi memastikan kemenangan.

Parti Bn Sabah, tiada masalah memilih calon, kerana ramai calon-calon berpotensi. Apa yang penting bagi Bn, adalah mengatur dan mengurus jentera parti selain menguasai setiap Pusat daerah Mengundi (PDM). Sifar masalah pada peringkat PDM, adalah tanda-tanda kemenangan!!!.

Pada peringkat sekarang, keutamaan calon-calon yang diberi signal untuk mewakili Bn, perlu memantapkan setiap PDM di kawasan masing-masing. Pastikan bermula daripada sekarang sehingga pembuangan undi, setiap PDM diatur dengan baik dan teratur. Jangan lagi toleh ke belakang, apa tah lagi terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan akaun palsu dalam laman sosial, bermula daripada sekarang, “head count” adalah keutamaan.

PARLIMEN SEMPORNA: JADI TUMPUAN PADA PRU-14 SABAH?


Pulau Sipadan-Terletak Di Semporna, Sabah
1. JIKA berpandukan pada PRU-PRU lalu termasuk PRU-13, kawasan itu memangpun wilayah Umno/Bn. Namun, kerana adanya scenario politik baharu, apabila MP kawasan itu yang mewakili Umno/Bn bertukar kepada parti lawan, telah menjadikan kawasan itu kawasan panas dan tumpuan pada PRU-14.

2. Jika pengundi kawasan itu, masih beteraskan kepada parti, maka di atas kertas, Umno/Bn tidak akan berdepan sebarang masalah mempertahankan kawasan itu.

3. Pada PRU-14, selain Semporna menjadi tumpuan, parlimen Pagoh, di Johor juga menarik untuk diamati. Selain itu, kawasan yang juga tidak kurang menarik untuk diikuti, adalah kawasan mana, mantan PM- Tun Dr Mahathir akan bertanding.

4. Bagi kawasan Semporna, belum ada penanda aras, bagai mana pengundi kawasan itu memilih. Walaupun demikian, indikasi sokongan peribadi, dapat dilihat menerusi undi yang diperolehi calon bebas di DUN Bugaya pada PRU-13. Kencenderungan mengundi berasaskan pengaruh peribadi, terlihat jelas menerusi calon bebas di kawasan itu.

5. Jika kecenderungan pengundian peribadi diterjemahkan pada PRU-14 akan datang, maka nisbah pengundi yang bakal mengundi calon parti yang melawan calon Umno/Bn, tidak akan lari jauh. Jika demikian, walaupun pertembungan antara calon Umno/Bn dengan parti lawan, khususnya calon parti Warisan Sabah, dan calon itu sudah pasti adalah Presiden parti itu, maka kemenangan masih berpihak kepada calon Umno/Bn.

6. Senario politik kini, khususnya kekuatan parti Warisan Sabah, adalah, kekuatan parti dan peribadi masih merupakan 1 dalam 1. Manakala, kekuatan Umno/Bn, selain kekuatan parti juga kekuatan calon, merupakan 2 dalam 1. Malah, jika dilihat secara keseluruhan, kekuatan bagi pihak Bn, adalah 4 dalam 1, iaitu, kekuatan parti, kekuatan calon, kekuatan Pengerusi Bn Negeri dan kekuatan Pengerusi Bn Pusat, tidak lain tidak bukan adalah Perdana Menteri.

7. Daripada pandangan mata kasar, sebenarnya apa yang berlaku di Semporna pada PRU-14, adalah pertembungan antara “David & Goliath”, walaupun Datuk Shafie menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak tahun 1995, namun belum teruji secara langsung sejauh mana pengaruh beliau, kecuali menerusi pengaruh tidak langsung pada PRU-13, menerusi calon bebas di Dun Bugaya.

8. Tiada seorangpun dapat menulis dengan tepat, sejauh mana kekuatan Shafie di luar Umno/Bn. Apa yang ditulis, baik oleh penganalisa politik atau coretan-coretan di media social, atau cerita-cerita kedai kopi, hanya berbentuk andaian atau persepsi.

9. Keadaan Semporna, tidak boleh disamakan dengan keadaan Tambunan pada tahun 1984, kerana daerah Tambunan bukan sahaja dianak tirikan selepas dimenangi calon bebas pada PRK tahun itu, akan tetapi diturunkan status, daripada daerah kepada daerah kecil. Berlainan dengan Semporna, selepas MP kawasan itu menjadi pemimpin yang melawan Umno/Bn, Semporna menjadi perhatian bukan sahaja oleh pemimpin negeri malah pusat.

10. Pembangunan di bawa ke Semporna, umpamannya, pembinaan Pasar Besar Semporna telah dilancarkan pembinaannya oleh Ketua Menteri Sabah pada Februari tahun 2017. Rancangan membina Masjid Daerah telah dipersetuji oleh TPM- Datuk Dr Zahid Hamidi, pembinaan hotel 5 bintang dipersetujui oleh Ketua Menteri Sabah, demikian juga pembinaan Kompleks Sukan Semporna dilancarkan pada tahun lalu.

11. Pembinaan loji bekalan air bersih yang berkos RM150juta yang berkapasiti 30MLD sedang dalam penyiapan. Makna kata, kemajuan Semporna semacam bergerak laju, selepas Shafie menjadi pemimpin parti lawan.

12. Rakyat Semporna, perlu menganalisa sendiri, tentu ada pemimpin kawasan itu, yang menggerakan kemajuan itu, kata peribahsa bulan tidak akan jatuh ke riba, bulat tidak akan datang bergolek, pipi tidak akan datang melayang.

13. Mengapa penulis tertarik menulis berkaitan politik Semporna, kerana kawasan itu, telah menjadi buah bibir, selepas sahaja Datuk shafie Apdal keluar daripada Umno. Selain itu, pengakuan Perdana Menteri sendiri tahun lalu di Sandakan, bahawa mantan Naib Presiden Umno, meminta dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah.

14. Menerusi pengakuan Perdana Menteri itu, maka pada PRU-14, Shafie selain bertanding di Parlimen juga akan bertanding di peringkat Dun.

15. Parti Warisan Sabah setakat ini, masih pada pendirian akan bergerak solo, dan jikapun melakukan kolaborasi dengan parti-parti tempatan yang melawan Umno/Bn, besar kemungkinan di kawasan-kawasan majoriti kaum cina.

16. Melihat pada harapan parti itu, mereka berpandukan kepada keadaan tahun 1976 dan tahun 1985, kononnya, scenario politik semasa Sabah berada pada keadaan tahun-tahun itu. Benar kah demikian? Sama-sama kita tunggu!!!.

11 January 2018

ANTARA MALU DAN SEGAN

ANTARA malu dan segan, adalah dua perkataan yang hampir sama maknanya. Namun, malu bersifat negatif, kerana apabila seseorang malu, kerana telah bertindak sesuatu yang tidak elok, tidak sopan, malah termasuk bertindak di luar norma-norma kehidupan, manakala segan pula, bersifat positif, kerana seseorang yang segan itu, berhadapan dengan pihak lain yang lebih arif, lebih bijaksana, tokoh dan pemimpin berkarisma dan sebagainya.

Malu mewakili seseorang yang merasa bersalah, manakala segan terletak pada seseorang yang didepani.

Dalam pesta pilihan raya, mereka yang membawa tag malu, sudah tentunya, tidak mampu berdepan dengan rakyat, sebab itu, ada wakil-wakil rakyat yang berpenggalpun boleh tewas dalam pilihan raya.

Namun, pemimpin yang membawa tag segan atau dengan kata sifat disegani, maka akan berlaku sebaliknya, pengundi atau rakyat akan merasa malu jika tidak memilihnya semula. Pengundi merasa pada keadaan yang bersalah, kalau tidak memilih pemimpin atau calon yang disegani.

Di Negara ini, kita menyaksikan ramai wakil-wakil rakyat yang berpenggal-penggal menjadi wakil rakyat. Setiap pilihan raya, mereka tetap menang, walaupun pihak luar kawasan di mana pemimpin itu bertanding berpendapat, bahawa pemimpin itu perlu memberi peluang kepada pemimpin lain.

Pilihan raya, adalah bersifat massa. Persepsi, keyakinan, harapan, merupakan faktor-faktor yang mempengaruhi rakyat/pengundi, di samping isu pembangunan, kemajuan dan perancangan pihak parti-parti yang bertanding.

Kini, setiap daripada kita dapat ikuti, bagai mana para pemimpin, penyokong Bn, memandang sinis terhadap kembalinya Tun Mahathir sebagai PM, jika PH menawan Putrajaya. Sebabnya, kembalinya Tun M membawa persepsi, keyakinan dan harapan kepada rakyat, dan sudah tentunya rakyat mempunyai pilihan, samada Bn atau PH.

Demi memadam persepsi, keyakinan dan harapan itu, maka pemimpin dan penyokong Bn, bertindak menggali semula segala kelemahan yang ada pada mantan PM itu. Dengan menggali semula semua kelemahan itu, diharapkan boleh menjadi pertimbangkan rakyat/pengundi semasa PRU.

Kita Nampak, tindakan para pemimpin dan penyokong Bn, berusaha meletakan dua perkataan MALU DAN SEGAN secara tidak langsung. Malu diletakkan pada Tun M, manakala segan diletakan kepada rakyat.

Memandangkan rekod dan membawa kepimpinan yang telah teruji, Bn diletakkan oleh para pemimpin Bn dan penyokong sebagai parti yang disegani, atas sebab itu, rakyat akan merasa malu, jika tidak memilih semula gabungan 13 parti itu.

PRU-14 SABAH: BN PADA KEADAAN SIAP SEDIA

PADA prinsipnya Bn Sabah sudah dalam keadaan bersedia. berdepan dengan PRU-14. Gendang PRU itu hanya menghitung hari.

Senarai calon yang berpotensi sudah berada ditangan Perdana Menteri, atau setidak-tidaknya berada di tangan Pengerusi Bn Negeri.

Proses tapisan akhir sudah dilaksana. Bakal-bakal calon, selain bebas skandal atau sebarang isu, mereka itu, adalah daripada kalangan yang terbaik daripada kawasan masing-masing, dan sudah tentunya dipersetujui oleh seluruh peringkat di peringkat akar umbi, sebagai ayam tambatan berdepan parti lawan.

Pada PRU kali, Bn akan mengemukakan ramai calon baru, apa kah pertama kali menyertai pilihan raya atau pemimpin lama akan tetapi diberi amanah untuk memberi kemenangan di kawasan-kawasan yang ditandingi.

Apa yang jelas, Bn akan mempunyai 14 calon baru diperingkat DUN, dan 4 calon di peringkat parlimen. Daripada 14 calon, dua kawasan yang dimenangi Bn pada PRU-13 lalu, akan tetapi penyandang kawasan itu, samada meninggal dunia atau keluar daripada parti. Bagi peringkat parlimen pula, satu daripada 4 kawasan itu adalah Parlimen Semporna, kerana penyandangnya telah keluar daripada parti.

Sabah mempunyai 60 kawasan Dun, walaupun telah diluluskan persempadanan baru yang menjadikan jumlah Dun kepada 73. Tambahan Dun itu hanya menunggu kelulusan daripada Dewan Rakyat, yang dijangka mengadakan Sidang Khas pada Februari depan.

PRU-14 Sabah diakui oleh Pengerusi Bn Negeri- Tan Sri Musa Aman, adalah PRU yang paling sengit, atas sebab Bn terpaksa melawan bekas-bekas teman yang menubuhkan parti masing-masing untuk menunmbangkan parti yang pernah berjasa kepada mereka.


PRU-14 Sabah: Semporna Under Control- Ramlee

Pada Rabu, penulis sempat berjumpa dengan ADUN Bugaya, merangkap Timbalan Biro Penerangan Umno Sabah, yang juga Pembantu Menteri Kewangan Negeri- Datuk Ramlee Marhaban di Pejabat Beliau di Bangunan Pusat Pentadbiraan Negeri Sabah (PPNS). Perjumpaan itu, memang tidak dijadualkan, kerana penulis tidak membuat temu janji, melainkan hanya mencuba nasib, kalau-kalau dapat berjumpa, jika beliau berada di pejabat.

Memang langkah kanan penulis, kerana kebetulan ADUN Bugaya itu, ada di pejabat dan setelah diberi tahu oleh pembantu khas beliau berhubungan dengan tujuan penulis, beliau bersedia berjumpa meskipun jam menunjukkan pukul 1.30 petang.

Rupanya, daripada pagi, beliau menerima kunjungan daripada rakyat beliau daripada ADUN Bugaya,

Penulis dipersilakan duduk di sofa ruang pejabat beliau. Selepas bersalaman, selain bertanya khabar, penulis to the point sahaja, tujuan penulis ingin berjumpa, kerana penulis faham, bahawa masih ada tetamu menunggu giliran berjumpa beliau.

Dalam pertemuan singkat itu, penulis dapat gambarkan, bahawa scenario politik semasa Semporna, tidaklah sepanas seperti mana diwar-warkan, di media-media tempatan, atau media alternatif, sebaliknya keadaan politik Semporna, "under control".

Semporna dilanda musibah politik, apabila Ketua Bahagian Umno kawasan itu keluar daripada Umno untuk menubuhkan parti bagi menentang bekas partinya.

Lebih setahun berlalu, usaha memulihkan Umno Semporan berjalan lancar, kerana masing-masing pemimpin kawasan itu, mengatur langkah serentak, walaupun kelihatan tidak berkumpulan, kerana selain menjimatkan masa, juga berusaha menjagkau sebanyak mungkin kawasan, kerana keadaan topografi kawasan itu, yang terdiri daripada banyak pulau.

Penduduk Semporna, selain tinggal di Tanah besar, juga berselerak di beberapa pulau. Oleh kerana kekangan masa, maka setiap pemimpin yang diberikan amanah untuk memulihkan Umno dijalankan secara serentak, sebab itu, pihak luar melihatnya, seolah-olah wujud beberapa kem di kawasan itu. Sebenarnya, itulah startegi Umno bahagian itu, kerana mengambil kira masa yang menjadi kekangan.

Para pemimpin Umno bahagian itu sedar, selepas Datuk Shafie keluar daripada Umno pada tahun 2016, yakni tepatnya pada Julai 2016, para pemimpin parti yang setia kesuntukan masa.

Bukan mudah, menerangkan kepada rakyat, khususnya ahli Umno di peringkat akar umbi, kerana Shafie telah mengetuai bahagian itu selama 20 tahun. Jangka masa 20 tahun bukan singkat, dan terbayang bagai mana cengkapan Shafie terhadap rakyat, termasuk ahli dan penyokong parti.

Para pemimpin Umno Semporna, tersangat sedar, sedang berhadapan dengan situasi yang rumit dan mencabar, kerana fakta politik di Negara kita ini, membuktikan, bahawa pemimpin yang berdekad mewakili sesuatu kawasan, sebenarnya mempunyai pengikut-pengikut tegar dan setia, seperti mana pengikut Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Permatang Pauh.

Para pemimpin Umno Semporna, telah mengambil iktibar apa yang berlaku di Parlimen Permatang Pauh, sebab itu, dengan masa yang kurang daripada 2 tahun, pemimpin Umno bahagian itu, perlu mengatur startegi, untuk mempercepat pemulihan parti.

Kini, menurut ADUn Bugaya yang juga menjalankan tugas sebagai Timbalan Ketua Bahagian Umno, usaha dan tindakan yang berterusan, setidak-tidaknya sukses meneutralisasikan keadaan pada tahap 80-90%.

Pada keadaan sekarang, jika PRU-14 diadakan esok, Umno Semporna sudah bersedia, berdepan dengan mantan Ketua Bahagian, yang kini Presiden parti Warisan Sabah, dan masih MP kawasan itu.

Dalam tempoh masa kurang daripada 2 tahun, didapati, bahawa ahli dan penyokong Umno, masih kukuh, kerana menurut mereka, pemimpin hilang berganti, manakala perjuangan parti, perlu diteruskan.

PRU-14 merupakan "do or die" samada di pihak Shafie dan Umno kawasan itu. Para pemimpin Umno tersangat sedar, bahawa kekalahan Shafie, akan menguburkan kerjaya politik beliau untuk salama-lamanya.

Bagi Umno pula, tiada petimbangan lain, mesti mempertahankan kawasan itu, sebab itu, pucuk pimpinan perlu melihat, pemimpin mana yang mempunyai ketokohan dan mempunyai semangat juang yang tinggi, sanggup terkorban di medan perang, bagi mempertahankan kawasan itu, kerana jika gagal, maka akan memalitkan imej itu, bukan sahaja kepada Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, malah kepada Presiden parti.

Menurut Ramlee, "kami diperingkat akar umbi, sudah melaksanakan apa yang perlu dilaksanakan, wala kami, mempertahankan parti pemimpin, iaitu Tan Sri Musa Aman di peringkat Negeri, dan Dato Seri Najib Razak diperingkat pusat" kalimat itulah menjadi penutup pada pertemuan singkat itu.

31 December 2016

Pemimpin Kerjaan Sibuk Berselfpie- Pembangkang Cuba "Win The Heart and The Mind" Rakyat

Sementara pemimpin kerajaan sibuk berselfpie dan bercuti, para pemimpin pembangkang meningkatkan insentitas untuk mendapatkan "the heart and the mind" rakyat.

Isu BR1M difatwakan oleh Tun Dr Mahathir sebagai rasuah dan haram diterima. Isu naik haji tajaan 1MDB, menurut Tun Dr Mahathir mereka yang menunaikan haji melalui tajaan itu, tidak akan mendapat haji mabrur, sebabnya wang yang digunakan sebagai tajaan, bersumber daripada wang yang dicuri.

BR1M merupakan isu yang digunakan Tun Dr Mahathir bagi mempengaruhi rakyat yang menerima bantuan kerajaan itu supaya tidak menganggap bantuan kerajaan itu sebagai sifat keprihatian kerajaan kepada rakyat yang menerima impak rasionalisasi subsidi minyak, sebaliknya pemberian itu, adalah kaedah membeli undi untuk membuatkan penerima BR1M mengundi calon-calon parti Barisan Nasional.

Tun Dr Mahathir dan pemimpin pembangkang, cuba menanamkan perasaan kepada penerima BR1M dan mereka yang ditaja naik haji rasa penyesalan kerana terlibat dosa besar, kerana dipesongkan menerima BR1M dan tajaan naik haji. Manakala, pada rakyat bukan beragama islam, Tun Dr Mahathir dan pembangkang cuba menanamkan perasaan, bahawa menerima BR1M sebagai satu cara membeli itegriti mereka, dan mereka itu termasuk dalam penerima rasuah.

Tujuan Tun Dr Mahathir dan pembangkang adalah untuk “win the heart and the mind of people” khususnya golongan B40, kerana kumpulan itulah merupakan “bank votes” parti Barisan Nasional. Pengalaman Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Parti Barisan Nasional selama 22 tahun, tahu betul, bahawa kemenangan parti Barisan Nasional, sangat terletak pada sokongan B40 atau pengundi luar bandar. 

Rekod pilihanraya tahun 2008 dan 2013 juga menunjukkan, bahawa kemenangan parti Barisan Nasional terletak pada pengundi luar bandar. Untuk itu, bagi Tun Dr Mahathir dan pembangkang, adalah mustahil menumbangkan parti Barisan Nasional, jika mereka gagal mempengaruhi pengundi B40 atau pengundi luar bandar.

Berbagai cara digunakan pemimpin pembangkang, antaranya, kemerosotan nilai ringgit terhadap wang dollar Amerika, kenaikkan harga barangan akibat GST, kejatuhan saham FGV yang merugikan ratusan ribu peneroka Felda, pembelian anak syarikat Felda terhadap saham milik Tan Sri Peter Sondakh, jutawaan Indonesia pada harga 3 kali lebih tinggi berbanding nilai saham syarikat itu, isu 1MDB dan wang derma RM2.6bilion, mengharamkan BR1M serta menjadikan mereka yang naik haji tajaan 1MDB tidak mendapat haji mabrur.

Isu-isu yang dimainkan Tun Dr Mahathir dan pembangkang bertujuan mempengaruhi “the heart and the mind” pengundi bumiputera, kerana hanya kumpulan itu sahaja yang berbaki kepada parti Barisan nasional, kerana golongan kaum cina, sebenarnya sejak tahun 2008 sudahpun berputus arang dengan parti Barisan Nasional.

Melihat kepada cara Tun Dr Mahathir dan pembangkang, sebenarnya bukan memberikan rakyat fakta yang betul, akan tetapi memberikan fakta salah dan berunsur menipu, hanya semata-mata untuk menghalalkan cara, demi tujuan politik. Sebenarnya, Tun Dr Mahathir adalah seorang yang pakar strategis, kerana setiap dakwaan, belumpun berjawab, ditimbulkan lagi isu baru, sehinggakan membuatkan pemimpin kerajaan, senantiasa berada dalam keadaan menjawab dan menjawab. Tujuan kepada cara ini, supaya pemimpin kerajaan, tidak dapat berhujah bernas dan terikut permainan yang dicipta pembangkang.

30 December 2016

Persepsi Rasuah- Bapa Borek Anak Rintik

Pembangkang di Malaysia, meracuni rakyat dengan andaian, kononnya, jika ada projek bernilai RM10juta, maka cara agihan projek itu, RM4juta for me, RM3juta for you dan RM3juta kos projek. Jika projek mitigasi banjir Penampang dan Putatan berkos RM400juta, maka RM160juta for me, RM120juta for you dan hanya RM120juta untuk projek mitigasi. Mereka menyimpulkan, kadar rasuah sehingga 70 peratus, sebab itulah semua projek yang bermatalamat rakyat tidak sampai ke bawah, sebagai contoh kata mereka projek bekalan air bersih luar bandar (BALB) negeri Sabah yang bernilai RM3.3bilion, hanya 30 peratus sahaja sampai di lapangan, sebab itulah masalah bekalan air Sabah tidak selesai.

Pembangkang meracuni rakyat, bahawa kadar rasuah sehingga 70 peratus, kerana kelakuan bapa borek anak rintik, kerana Perdana Menteripun kata mereka terlibat amalan rasuah khususnya yang melibatkan 1MDB dan SRC International.

Pembangkang berjaya mengeksploitasi isu 1MDB dan dana RM2.6bilion, dan kini mereka mempergunakan isu Felda, bahawa kerana amalan rasuah, maka syarikat gergasi itu mengalami kerugian.

Pembangkang benar-benar mengeksplotasi keadaan Felda, sebabnya mereka tahu, bahawa sebanyak 54 kawasan Parlimen terletak di kawasan Felda, dan pada PRU-PRU lalu, kawasan-kawasan itu dimenangi parti Barisan Nasional.

Pembangkang cukup yakin dengan mengekploitasi Felda, dan jika tindakan itu boleh menyebabkan swing votes 5%, maka pembangkang boleh menang sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah kerusi tersebut. Jika itu berlaku, maka tidak dapat dinafikan, bahawa PRU-14, merupakan pengakhir kerajaan Parti Barisan Nasional.

Bagi maksud undi, pembangkang, mempersoalkan BR1M, dan bahawa skim bantuan kerajaan kepada kumpulan sasar itu, merupakan bentuk rasuah dan haram diambil. Mereka mensasarkan, hanya 1-2% daripada penerima BR1M, menyokong pendapat mereka itu bagi melengkapi sasaran swing votes 5% pada PRU-14 akan datang.

Tiada sesiapa yang boleh menafikan, jika melihat kepada keputusan PRU-13 lalu, jika pada PRU-14 berlaku swing votes 5% dan penyokong pembangkang tidak berubah, maka kemenangan akan berpihak kepada parti-parti pembangkang. Namun, keadaan ceteris paribus, tidak semestinya berlaku, kerana setiap PRU, berlainan isu, berlainan pendekatan.

Pemenang pada PRU-14, terletak kepada pihak-pihak yang mampu mengeksplotasi keadaan khususnya yang mempengaruhi fikiran rakyat dalam masa singkat. Faktor-faktor yang dapat mempengaruhi fikiran rakyat, khususntya berkaitan persepsi. Fikir-Fikirkan lah

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels