BAGI rakyat biasa, musim pilihan raya merupakan masa-masa bermanja. Mengapa? Masa inilah mereka didatangi pemimpin kalau bukan menerusi majlis ceramah, juga menerusi lawatan rumah ke rumah.
Dalam tempoh 5 tahun, hanya terdengar, terbaca atau ternampak kelibat pemimpin, maka pada masa inilah, rakyat tidak perlu temu janji, akan tetapi dikunjungi pemimpin.
Pada masa inilah, semua kemampuan politik seseorang ahli politik digunapakai dan dipraktikkan.
Pada masa ini juga, apa sahaja janji bakal ditaburkan, termasuk janji bulan bintang.
Para pemimpin politik bukan sahaja berjanji pada para pengundi atas pagar, akan tetapi juga kepada penyokong.
Dalam pilihanraya seumpama ini, janji-janji bukan sahaja menerusi mulut, akan tetapi berbentuk bertulis, iaitu manifesto.
Dalam pilihan raya, apa yang ditakutkan oleh pemimpin politik adalah pengundi beralih (swing votes). Pengundi seumpama ini, boleh berlaku hanya kerana kesilapan kecil.
Biarpun seseorang pengundi telah memutuskan parti pilihan selama 5 tahun, namun hanya kerana kesilapan kecil, di masa memangkah, emsoi yang memangkah. Jika ini berlaku, maka tiada yang boleh dilakukan, nasi sudah menjadi bubur.
Kerana emosi di saat-saat akhir, maka telah menyebabkan Bn kehilangan undi popular pada PRU-13, juga kerana emosi Bn kehilangan kuasa 2/3 pada PRU 12.
Memang pada masa ini, pengundi yang telah membuat keputusan, misalnya penyokong Bn, menggambarkan pilihan mereka kepada KAMI PILIH BIRU, manakala penyokong parti Warisan Sabah memilih IN GOD WE TRUST, CHANGE WE MUST. Namun di saat-saat akhir, hanya kerana kesilapan kecil, ianya bakal berubah.
Masa-masa kritikal adalah 24 jam sebelum peti undi ditutup. Pada masa inilah, swing votes berlaku.
Atas sebab itu, untuk memastikan undi penyokong khasnya dan undi atas pagar umumnya, pada masa-masa kritikal jangan berlaku kesilapan, khususnya daripada jentera pilihanraya dan perai undi.
Jangan lupa, jika ada pengundi berpusing, mereka ada keluarga, sekurang-kurangnya ada isteri, ditambah ibu dan bapa, atau saudara mara. Dalam pilihan raya, elakkan ketua keluarga sesebuah keluarga “sakit hati” kerana bersamanya ramai pengundi. Fikir-Fikirkan Lah.