6 April 2018

HARI PENENTUAN SUDAH TIBA- APA DILEMA RAKYAT?

RAKYAT berdepan dilema, memilih kerajaan prihatin, tetapi di dalamnya ada pemimpin tidak prihatin. Keadaan ini yang menjadikan pengundi di sebuah kawasan serba salah. Mereka berdepan dengan keadaan DITELAN MATI EMAK DILUAH MATI BAPA. 

Fakta menunjukkan di beberapa kawasan, samada parlimen mahupun Dun, jika mantan-mantan wakil rakyat itu dicalonkan semula, meskipun Kerajaan Bn merupakan kerajaan yang prihatin, namun kerana mencalonkan calon-calon yang mempunyai rekod tidak prihatin kepada rakyat, maka akan berlaku penolakan terhadap mereka itu. 

Wakil rakyat yang mempunyai jawatan selain wakil rakyat, seperti menteri, bukan sahaja perlu berkhidmat di kawasannya, akan tetapi perlu memberi khidmat kepada rakyat secara umum, khususnya ahli/penyokong parti. Mereka itu kena sedar dan faham, bahawa kalau bukan kerana sokongan daripada semua pihak yang membolehkan parti menubuhkan kerajaan, maka mereka itu tidak akan jadi menteri, meskipun sebagai seorang wakil rakyat. 

Penulis suka mengutarakan, memang ramai menteri dalam kabinet negeri, tidak prihatin terhadap ahli/penyokong parti, malah mereka itu, lebih akrab pada mereka yang bukan ahli/penyokong. Apa yang paling menyedihkan, ada sesetengah daripada mereka itu, selama memegang jawatan, hanya berkhidmat dengan beberapa orang, iaitu mereka yang berada dalam “inner circle” mereka. Sesetengah menteri atau pembantu menteri, hanya kelihatan sepanjang 5 tahun, dengan orang-orang tertentu sahaja, yang boleh dikira dengan jari, seolah-olah mereka itulah yang hanya berjumlah tidak lebih 10 orang itu penentu kemenangan seseorang itu dalam pilihan raya.

Kelibat sesetengah mereka itu, sangat ketara semasa masa persidangan DUN, mereka itu  suka sangat mengelak berjumpa rakyat.

Oleh kerana ketidak prihatinan mereka itu, maka jika dicalonkan semula, maka akan menjadi liabiti kepada parti, sebab itu, pada PRU-13 lalu, ada calon-calon yang mempunyai jawatan namun tewas, malah ada diantara mereka itu meskipun menang, akan tetapi kemenangan secara teknikal, kerana pertembungan berbagai penjuru. 

Jika ada diantara mereka itu dicalonkan semula, maka status mereka yang merupakan liabiti kepada parti, dikhuatirkan parti akan kehilangan banyak kerusi. 

Hari penentuan sudah tiba. Esok parlimen/dun akan dibubar. SPR akan menentukan hari pengundian. 14.9juta pengundi akan menentukan parti mana yang bakal memerintah. Bagi Sabah pula akan ditentukan oleh 1.111juta pengundi yang tersebar daripada Kudat hingga ke Tawau. 

Bn Sabah membawa bersamanya 22 kawasan Parlimen dan 48 Dun yang dimenangi pada PRU-13. Sabah akan tetap menggunakan 60 kawasan Dun, meskipun mempunyai 73 Dun. 

Pengerusi Bn Sabah- Tan Sri Musa Aman menerusi wawancara secara langsung dengan CBNC semalam, merasa yakin, pengundi Sabah masih teguh kepada Bn. Kenyataan Ketua Menteri itu secara umumnya memang betul, namun hanya dicacatkan oleh sebahagian kecil wakil rakyat yang tidak prihatin/ mesra dengan rakyat. Benarlah, dalam setandan pisang tidak semuanya elok. Atas sebab itu, rakyat kena membuat keputusan yang bijak, jangan hukum kerajaan yang prihatin. Rakyat kena melihat ke depan, meskipun mereka berdepan dengan dilema!!!! 

Harap-harap pucuk kepimpinan telah mengenal pasti, mereka yang terkategori sebagai liabilti dan tidak mencalonkan mereka semula. Memang keputusannya tidak mudah, kerana ada sebahagian daripada mereka itu adalah Ketua Bahagian/Pengerusi Bn di kawasan mereka. Meskipun demikian, keputusan perlu dibuat, kerana yang memenangkan calon adalah pengundi, kerana kerap berlaku, pilihan parti tidak semestinya pilihan rakyat. 

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels