DS Najib Razak di Mahkamah Jalan Duta (foto mk) |
Kurang dua bulan selepas Dato Seri Najib Razak kehilangan jawatan, mantan Perdana Menteri itu dihadapkan ke mahkamah, berkaitan dana RM42 juta corporate social responsibility (CSR) syarikat SRC International Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi mantan Perdana Menteri itu.
Akaun peribadi Perdana Menteri itu diurus oleh beberapa orang pemegang amanah. Akan diketahui duduk perkara akaun itu, apabila perbicaraan bermula.
Dalam segi undang-undang, seseorang itu mesti dianggap tidak bersalah selagi belum didapati bersalah oleh mahkamah.
Sejak tahun 2014, para pemimpin seperti Tun Dr Mahathir, Lim Kit Siang dan para pemimpin Pakatan Harapan, telah mengelar Dato Seri Najib Razak sebagai pencuri wang 1MDB, khususnya berkaitan wang RM2.6bilion sumbangan daripada keluarga DiRaja Arab Saudi. Walaupun berbagai cara dilakukan oleh kerajaan PH, mereka tidak dapat menemukan bukti kuat untuk maksud pendakwaan. Akhirnya, mereka menggunakan sumbangan SRC International untuk dakwaan. Kata peribahasa, tidak rotan akar pun berguna.
Tindakan kerajaan PH, sebenarnya terperangkap dengan dakwaan mereka sendiri.
Ini lah masanya, Dato Seri Najib Razak membersihkan nama beliau sekaligus menepis dakwaan-dakwaan sebelum ini.
Jika sebelum ini, Dato Seri Anwar dibicarakan kerana salahguna kuasa menghalang siasatan sodomi terhadap mantan TPM itu semasa era Tun Dr Mahathir, kini DS Najib Razak pula berdepan dakwaan yang akan disebutkan di mahkamah sebentar lagi.
Pertuduhan keempat dibacakan. Beliau didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pertuduhan keempat - Najib didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila dia mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd.
Najib Razak menghadapi tiga tuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana jenayah pecah amanah.
Pertuduhan pertama - Najib didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Advisor Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC) dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM27 juta.
Pertuduhan kedua - Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta di tempat dan tarikh sama.
Pertuduhan ketiga - Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM10 juta di tempat sama antara 10 Feb 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen sama