11 October 2009

Najib: Ong Tee Kiat Perlu Letak Jawatan Sesuai EGM MCA

Datuk Seri Najib Razak mahu MCA menyelesaikan krisis kepimpinan parti itu dahulu sebelum soal kedudukan presiden MCA yang juga menteri pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat dalam kabinet ditangani.

Perdana menteri, yang juga pengerusi BN, berkata apa yang penting kini ialah MCA mencari penyelesaian tuntas supaya perkara itu tidak berulang lagi.

"Saya amat berharap kepada kepimpinan MCA untuk membuat keputusan dengan segera, membaik pulih MCA serta mengembalikan keyakinan anggota-anggotanya dan masyarakat umum terhadap MCA," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku dwibahasa hasil nukilannya berjudul Menakhoda Zaman dan Helming the Times di Kuala Lumpur hari ini.

"Saya percaya mereka telah mengambil iktibar daripada keputusan mesyuarat agung luar biasa (EGM) semalam," katanya.

Najib berkata BN menghormati keputusan yang dibuat oleh perwakilan MCA dan percaya jika kepentingan BN dan MCA diutamakan, parti itu boleh kembali kuat dan stabil serta menjadi rakan yang penting dalam BN.

"Jadi apa-apa keputusan yang bakal dibuat oleh jawatankuasa kerja pusat MCA nanti, semestinya berlandaskan kepada keputusan yang telah dicapai di EGM MCA," katanya.

Jawatankuasa itu akan bermesyuarat Khamis depan untuk menentukan langkah seterusnya selepas usul tidak percaya diluluskan terhadap kepimpinan Ong, manakala bekas timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak dikembalikan kepada jawatan itu semalam.

Ditanya kesan terhadap BN jika Ong tidak mahu melepaskan kepimpinan parti itu, Najib berkata:

"Kenapa anda mahu membuat andaian yang beliau tidak akan melepaskan jawatan? Selesaikan satu-satu dahulu."

Najib berkata kepimpinan MCA perlu mempunyai ciri-ciri yang boleh dipercayai dan berkesan serta mampu meraih sokongan masyarakat kaum Cina untuk menyokong BN.

Buku Menakhoda Zaman dan Helming the Times itu mengandungi 11 bab yang ditulis semula oleh Najib berdasarkan lima ucapan beliau semasa bertanggungjawab sebagai timbalan presiden Umno dari 2004 hingga 2009.

Menerusi buku itu, beliau memetik semula bahan tertentu dalam ucapan berkenaan yang dilihat sebagai sangat relevan untuk dinilai masyarakat Malaysia dan memahami perspektif yang tersurat dan tersirat di sebaliknya demi memakmurkan semula fenomena politik negara.

Buku ini menzahirkan idea Najib yang menulis secara jujur dan telus perihal pelbagai kelemahan Umno, parti terbesar negara yang kini dilihat sebagai di peringkat agak kritikal.

Menerusi buku itu juga, beliau menyuarakan betapa pada tahap sebegini Umno sebagai tulang belakang pemerintahan negara tidak seharusnya hilang perspektif kekuasaan serta pengaruhnya.

Anggota Umno perlu berfikiran jelas dan ikhlas menghadapi kenyataan sosial dan politik semasa dan harus yakin menghadapi pelbagai kemungkinan sekiranya Umno hendak terus mempertahankan kekuasaannya.

Buku setebal 152 muka surat itu dijual di semua cawangan MPH serta kedai buku utama seluruh negara pada harga RM42 di Semenanjung dan RM45 di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Ong berkata beliau akan mengambil langkah seterusnya dengan mengutamakan kepentingan parti, sambil menambah beliau memikul sepenuh tanggungjawab terhadap keputusan EGM MCA semalam.

"Saya memikul sepenuh tanggungjawab terhadap keputusan EGM dan akan mengambil langkah seterusnya dengan mengutamakan kepentingan parti selepas berunding dengan rakan setugas dan para penyokong serta perbincangan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat parti yang berikutnya," kata Ong menerusi laman blog beliau.

Beliau berkata jawatankuasa kerja pusat akan membincangkan hala tuju parti dan keputusan EGM.

"Keputusan itu telah menghantar mesej tertentu yang saya lihat kini diberikan tafsiran dalam akhbar oleh pelbagai pihak dengan banyak cara," katanya.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Akhbar beliau, Lim Xiu Bin berkata Ong mengambil cuti empat hari sehingga Rabu. BERNAMA

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels