11 October 2009

Nizar-Pas-Anwar: Najib-Umno; Bagan Pinang Jadi Rebutan! Kenapa

Calon Barisan Nasional (BN) Mohd. Isa Samad atau Zulkefly Mohd. Omar (Pas), siapakah yang akan menjadi pilihan pengundi pada pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan? Penentuan mengenainya akan diketahui malam ini.

Berdasarkan banyak maklum balas dan melalui pengamatan beberapa hari kempen pilihan raya kecil itu, tidak sukar meramalkan keputusannya. Di atas kertas mantan Menteri Besar itu dijangka menang.

Ternyata sambutan para pengundi semua kaum terhadap Isa jauh lebih baik di sebalik tekanan, provokasi dan pelbagai manipulasi pembangkang. Pembawaan beliau yang sentiasa merendah diri, ceria dan tidak melatah dalam menghadapi serangan pembangkang, mencerahkan lagi peluang.

Selain itu, populariti beliau di kalangan penduduk Port Dickson dan faktor jentera BN pimpinan Muhyiddin Yassin yang bekerja keras dan lebih teratur, dijangka memberi kelebihan.

Persoalannya bertambahkah majoriti undi BN? Ramai percaya peluang BN cukup cerah lebih-lebih lagi jika peratusan keluar mengundi adalah tinggi. Tetapi kemungkinan majoriti undi BN merosot juga tidak boleh ditolak seandainya manipulasi pembangkang pada saat-saat akhir akan memberi impak kepada pengundi.

Dengan menyedari BN mempunyai kelebihan, strategi pembangkang ialah mengurangkan peratusan keluar mengundi terutama di kawasan ramai penyokong BN. Maka tidak hairanlah jika beberapa hari kebelakangan ini, pelbagai taktik dan muslihat dilakukan bagi mewujudkan suasana tegang yang akhirnya menakutkan pengundi untuk keluar mengundi.

Berjayakah strategi itu? Pengundi Bagan Pinang tidak mudah terperangkap muslihat sedemikian. Keputusan pilihan raya adalah suatu hal tetapi tingkah laku parti yang bertanding, juga suatu hal yang perlu dinilai.

Sampai bila masyarakat terpaksa dihadapkan dengan insiden keganasan ketika penamaan calon dan memaki hamun serta pelbagai fitnah semasa kempen, yang mencerminkan kerendahan budaya politik. Hanya kerana mahu menang, pemimpin bukan Islam PKR sewenang-wenangnya mempergunakan ayat al-Quran. Kerana mahu menang juga, pemimpin parti berlabel Islam merelakan diri hadir majlis ceramah yang dihidangkan arak untuk hadirin bukan Islam. Lebih dahsyat, disebabkan ghairah mahu menang, Pas sanggup melancarkan jihad bertujuan memprovokasi penyokongnya supaya bertindak agresif.

Setakat ini tiada satu pun janjinya sejak pilihan raya umum dan banyak pilihan raya kecil lalu, ditunaikan.

Senaraikan semua janji yang dibuat termasuk di negeri yang pembangkang menang dan kira berapa yang dilaksanakan, jawapannya pasti mengejutkan.

Banyak lagi petunjuk budaya politik yang membimbangkan dan kesemua itu mesti dihentikan. Para pengundi di Bagan Pinang mempunyai peluang terbaik untuk berbuat demikian dalam mencorakkan semula budaya politik yang lebih sihat dan selamat untuk masa depan rakyat.

Kemenangan sebenar ialah apabila kita memperlihatkan keyakinan menolak ekstremisme.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels