17 March 2010

Jika PRU-13 Esok BN Sabah Akan Hilang 10 Kerusi

Jika PRU-13 esok, BN Sabah akan kehilangan Sri Tanjung (sudah pun hilang-kini disandang DAP) Parlimen Kota Kinabalu (telahpun hilang kini di tangan DAP), Kuala Penyu, Sandakan, Kepayan, Bingkor,Inanam,Likas, Luyang, dan Merotai.

Pada PRU-12 lalu Di DUN Sri Tanjong, DAP merampas kerusi berkenaan apabila calonnya, Wong Sze Phin @ Jimmy menewaskan penyandang dari BN, Samson Chin Chee Tsu, selain calon PKR, Datuk Kong Hong Ming.Jimmy memperoleh 5,359 undi manakala Samson (4,187) dan Kong (3,090) sekali gus membolehkan Jimmy menang dengan undi majoriti 1,172.

Yang jelas, jumlah keseluruhan undi diperoleh calon DAP dan PKR 8,449 jauh mengatasi undi diperoleh Samson. Bayangkan jika pembangkang mencapai kesepakatan untuk mencalonkan hanya seorang daripada mereka untuk menentang Samson.

Dengan pengundi Cina seramai 74.21 peratus daripada keseluruhan 19,536 pengundi dan Bumiputera Islam (22.81 peratus), Bumiputera Bukan Islam (2.67 peratus) dan etnik lain (0.31 peratus), Jimmy mengatasi Samson yang menang pada pilihan raya 2004 dengan undi majoriti 3,907.

Di kerusi Parlimen Kota Kinabalu, keadaan yang sama dapat dilihat melalui undi diperoleh calon DAP dan PKR yang jauh mengatasi calon BN, Chin Teck Ming dari Parti Bersatu Sabah (PBS).

Chin yang pertama kali dicalonkan, terpaksa akur kepada 8,420 undi yang diperolehnya manakala calon DAP, Dr Hiew King Chew memperoleh 9,464 undi dan calon PKR, Christina Liew Chin Jin (9,358) dan calon Bebas, Kong Yu Kiong (341).

Walaupun berhadapan dengan Chin dan Christina serta Kong, Dr Hiew menang dengan undi majoriti 106 berbanding undi majoriti diperoleh calon BN pada Pilihan Raya 2004, Datuk Dr Yee Moh Chai sebanyak 10,860 undi.

Calon BN di Parlimen Sandakan, iaitu Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Liew Vui Keong yang pertama kali melangkah ke gelanggang pertarungan pilihan raya, harus berterima kasih kepada ketidaksepakatan calon DAP, Shanty Chong Chui Lin dan calon Bebas, Fong Vun Fui.

Liew memperoleh 8,297 undi berbanding Shanty (8,121) dan Fong (2,929), sekali gus membolehkan BN merampas semula kerusi berkenaan dengan undi majoriti hanya 176.

Jelas, kehadiran calon Bebas itu membolehkan BN menguasai semula kerusi Parlimen Sandakan yang sebelum ini dikuasai calon Bebas, Chong Hon Min yang menang pada pilihan raya 2004 dengan undi majoriti 1,330.

Di DUN Kepayan (dalam Parlimen Penampang), calon BN yang juga calon tunggal MCA, Datuk Edward Khoo Keok Hai memperoleh 6,162 undi, manakala calon DAP, Stephen Jacob Jimbangan (4,100) dan calon PKR, Datuk Chau Chin Thong @ Chau Chin Tang (3,658).

Di DUN Kuala Penyu (dalam Parlimen Beaufort), calon BN, Teo Kwan Chin @ Teo Mau Sing merampas semula kerusi berkenaan daripada calon Bebas yang juga penyandang, Datuk Johan @ Christopher O T Ghani.

Bagaimanapun, Teo yang memperoleh 4,416 undi hanya menang dengan undi majoriti 257 berbanding Ghani (4,159 undi) dan calon PKR, Guandee Koh Hoi (889 undi).

Sekali lagi pertelagahan meletakkan calon pembangkang menyebabkan peluang Ghani mempertahankan kerusi berkenaan digagalkan dengan kehadiran Guandee.

Di DUN Bingkor (dalam Parlimen Keningau), peluang Naib Presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan untuk merampas kerusi itu daripada penyandang, Justin Guka dari BN, digagalkan dengan kehadiran dua calon Bebas, masing-masing Victor Leornadus @ Victor Leonardus dan Uling @ Thomas Anggan.

Jeffrey tewas dengan kekurangan 171 undi. Victor memperoleh 129 undi, manakala Uling memperoleh 164 undi. Jika kedua-dua calon Bebas itu memberi laluan kepada Jeffrey untuk berdepan dengan Justin, besar kemungkinan DUN Bingkor dirampas pembangkang.

Keadaan sama dapat dilihat di DUN Inanam, Likas, Luyang dan Merotai. Ketidaksepakatan calon DAP, PKR dan Bebas menyebabkan calon BN menang di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, dengan kemenangan pembangkang di lima negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pembangkang di Sabah dikatakan sudah mula celik. Pembangkang di negeri itu dikatakan mula melihat Sabah akan dijadikan sasaran selepas ini.

Namun, BN Sabah awal-awal lagi sudah bersedia menangkis serangan pembangkang.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman ketika diminta mengulas mengenainya selepas majlis mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada Ahad lalu, menegaskan BN Sabah sudah menyediakan perisai menghadapi serangan itu.

Bagaimanapun, BN Sabah berjaya membuktikan bahawa parti itu bukan setakat terus menerima keyakinan rakyat, malah menyediakan 24 kerusi Parlimen untuk BN kekal membentuk kerajaan pada peringkat Persekutuan.

Usaha gigih perlu dilakukan BN Sabah bagi mengekang serangan pembangkang selepas ini yang pastinya mencemburui 24 kerusi berkenaan.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels