6 July 2011

Tuahnya Musa Aman

Datuk Seri Musa Aman dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah pada 4hb March 2004, mengambil-alih dari Tan Sri Chong Kah Kiat yang mewakili kaum Cina setelah tempohnya selama 2 tahun tamat mengikut sistem penggiliran ketua Menteri Sabah yang diperkenalkan BN pada 1994.

Semasa menjadi Ketua Menteri Sabah, Chong Kah Kiat adalah pelobi utama dan penyokong kuat Musa Aman untuk dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah yang baru. Presiden LDP itu beberapa kali mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir meyakinkan PM bahawa Musa adalah calon yang paling layak menggantikan Datuk Osu Sukam.

Pada ketika itu kegiatan melobi jawatan pengerusi perhubungan begitu sengit. Terdapat satu kumpulan yang diketuai Datuk Karim Ghani, Ketua Penerangan UMNO ketika itu menemui Tun Mahathir dengan memorandum yang ditandatangani 16 daripada 25 ketua UMNO Sabah meminta bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak dilantik semula sebagai Pengerusi UMNO Sabah.

Saya masih ingat peristiwa yang berlaku awal tahun 2001, di Nexus Karambunai Resort, dalam satu majlis yang dihadiri Tun Mahathir, Datuk Rizalman Abdullah dan Datuk Sairin Karno dan beberapa orang lagi melobi dan meminta tandatangan daripada ketua-ketua bahagian UMNO untuk menyokong Salleh Said.

Chong Kah Kiat adalah seorang yang komited bila menyokong seseorang. Beliau telah melantik Musa kejawatan terkanan dalam kabinet sebagai Menteri Kewangan sebaik saja menjadi KM Sabah menggantikan Osu Sukam. Manakala Salleh dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Perlantikan Musa memperkuatkan lagi kedudukannya. Akhirnya Musa dipilih sebagai Pengerusi Perhubungan Sabah yang baru pada September 2001.

Setelah dilantik sebagai Ketua Menteri, Musa melantik Chong Kah Kiat sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah. Manakala Salleh Said digugurkan daripada senarai calon DUN Sabah pada pilihan raya 2004. Salleh bertanding untuk kawasan parlimen Kota Belud selama satu penggal sahaja. Pada pilihan raya tahun 2008, Musa menggugurkan nama Salleh dan memilih Dato Rahman Dahlan sebagai calon parlimen Kota Belud.

Musa Aman adalah pemimpin politik yang amat bertuah dalam sejarah BN Sabah. KM sebelumnya, Tun Sakaran (8 bulan), Salleh Said (18 bulan), Yong Teck Lee (24 bulan), Tan Sri Bernard Dompok (8 bulan), Osu Sukam (24 bulan) dan Chong Kah Kiat (24 bulan).

Jika ditinjau semula, orang yang sebenarnya membawa tuah kepada Musa Aman ialah Tan Sri Chong Kah Kiat. Selain memberi sokongan peribadi yang padu kepada Musa Aman, Chong Kah Kiat sebagai Pengerusi BN Sabah telah membuat kerja-kerja politik yang memudahkan tugas Musa Aman setelah beliau menggantikannya.

Kejayaan terbesar Chong Kah Kiat ialah kejayaannya memujuk parti pembangkang, PBS untuk menyertai semula BN. Pada 15 Nov 2001, atas usaha Chong Kah Kiat, Majlis Tertinggi PBS yang diketuai Tan Sri Pairin menyerahkan permohonan masuk BN kepada Tun Mahathir. Pada 23 Januari 2002, secara rasminya PBS telah diterima sebagai anggota BN Sabah.

Dengan kemasukan semula PBS, Musa yang menjadi KM Sabah tidak lagi menghadapi cabaran politik. Cabaran Musa hanya untuk memperkuatkan kedudukan politiknya. Dan tuah terus menyebelahi Musa setelah berlaku perubahan kepimpinan di peringkat Pusat, Datuk Seri Abdullah Badawi menggantikan Tun Mahathir.

Dasar Penggiliran KM Sabah dimansuhkan atas dua alasan. Pertama, parti pembangkang tidak ujud di Sabah. Kedua, dasar itu adalah janji peribadi Tun Dr Mahathir dan bukannya dasar BN yang kekal. Sekali lagi TUAH memihak kepada Datuk Musa Aman.
(Seperti dipetik daripada blog sekaliketuk.blogspot.com)

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels