Malah dia menebalkan muka berceramah di pentas PAS bagi menarik simpati terhadapnya, biar pun isi ceramahnya kasar dan tidak sesuai dengan perjuangan Islam.
Kemuncak kepada muslihatnya apabila dia menulis surat dengan bahasa merendah diri merayu dibenarkan bertanding menggunakan logo PAS.
Dan segala dokumen itu masih lagi disimpan PAS Kelantan bagi menggambarkan siapa sebenarnya Ibrahim. Dia merupakan pemimpin paling acap keluar masuk parti.
Timbalan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, segala dokumen mengenai rayuan Ibrahim supaya dibenarkan bertanding menggunakan logo PAS masih disimpan.
Katanya, ketika itu bekas pemimpin Umno itu memohon dengan rendah diri supaya dibenarkan menggunalan lambang bulan di kertas undinya biar pun tidak menyertai PAS.
“Sekarang Ibrahim telah melupakan segala-galanya ihsan diberi PAS sehingga menang di kerusi Parlimen Pasir Mas. Hari ini dia sanggup mengecam pula orang yang memberi peluang kepadanya ketika bertanding tahun lalu.
“Tidakkah itu dinamakan tindakan biadap apabila menggigit tangan orang yang menghulur bantuan kepadanya,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis hari raya anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Isnin lalu.
Ibrahim sebelum ini mendesak Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat meletak jawatan sebagai Menteri Besar kerana didakwanya sudah nyanyuk dan kerap uzur.
Takiyuddin berkata, Ibrahim tidak lebih sebagai pengemis politik yang sanggup meminta sedekah bagi kepentingan politik jangka pendeknya.
Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Haji Abdul Fatah Harun berkata, Ibrahim terpaksa mencipta glamour kerana masih belum diterima menjadi ahli Umno sehingga sekarang.
“Melalui tindakan mengecam pemimpin PAS mungkin diharapnya diterima semula menjadi pemimpin Umno di Pasir Mas,” katanya.
Dewan Pemuda PAS Kelantan menyifatkan anggota parlimen Pasir Mas itu sebagaisebagai kacang lupakan kulit.
Ketuanya Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, pemimpin yang tidak mampu menghargai jasa dan sumbangan orang lain tidak mungkin bertahan lama dalam arus politik.
Katanya, tiada tempat bagi pemimpin seperti itu kerana rakyat tidak mampu diperbodohkan dengan kenyataan bersifat kebudakan.
“Siapa tidak kenal Ibrahim Ali. Pemimpin yang bermuka-muka macam itu hanya mampu hadir sekejap sahaja dan akan terus dilupai.
“Kehadirannya tidak lagi menjadi sebutan orang. Masanya akan menghukum segala tindak tanduknya sekarang,” katanya.
Anggota Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, tindakan Ibrahim yang menghina Menteri Besar akan mempercepatkan lagi kejatuhannya.
Kata beliau tidak ada pemimpin yang mampu mempertahankan sebuah kerajaan negeri sehingga lima penggal berturut-turut di tengah-tengah asakan Umno dan BN serta jentera kerjaaan dari pelbagai hala kecuali Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
“Paling tidak pun Ibrahim seharusnya menghormati rakyat negeri ini dan tindakan beliau menghina Tuan Guru Nik Aziz dapat mencerminkan siapa sebenarnya pemimpin berkenaan,” katanya.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Krai, Ustaz Mahadi Mat Zain mendesak Ibrahim memohon maaf secara berdepan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz sekiranya mahu bertahan sebagai pemimpin politik.
Sepanjang penglibatan Ibrahim dalam politik beliau tidak pernah memenangi pilihan raya tanpa bantuan PAS.Ini terbukti sokongan padu penyokong PAS membolehkan beliau memenangi kerusi parlimen Pasir Mas pada 1990 ketika bertanding di atas tiket Semangat 46.
Bagaimanapun pada 1995 selepas menyertai Umno, beliau gagal mempertahankan kerusi tersebut.Dan sekali lagi dengan bantuan PAS Ibrahim memang di Pasir Mas kerana bertanding menggunakan lambang bulan purnama.
Sebelum menyertai Semangat 46, Ibrahim pernah terlibat dengan Berjasa.