2 July 2010

Sup Tulang Ikan Citarasa Kota Belud- Kesukaan Rooney

Saya didesak oleh para pelanggan Citarasa Kota Belud, antaranya Cikgu Haji Milus Alu, Saudara Haji Andaman Hj Mansaded untuk menyiarkan signature menu citarasa Kota Belud kesukaan saudara Rooney Biusing.

Sukar digambarkan rasa sup ini, saudara-saudari dipelawa mencubanya.

1 July 2010

Antara Banner "Kapsul" dan Kehadiran Pemuda Sempena Mesyuarat Pemuda Kota Belud Ahad Lalu

Kata orang Indonesia, ada yang JELI melihat. Perkataan KAPSUL dalam banner pergerakan pemuda yang berlatarkan gambar ketua pemuda Kota Belud, ada yang menggambarkan sebagai sebagai negatif.

OKB tidak tahu apa sebenarnya makna "kapsul" itu. Kalau dilihat dari segi anggapan atau persepsi, kapsul biasanya dikaitkan dengan ubat-ubatan. Biasa kita diberi ubat dalam bentuk kapsul, agar mudah ditelan dan tidak terasa pahit.

OKB menduga-duga, mungkin yang ingin disampaikan oleh pergerakkan pemuda itu adalah, Pemuda adalah selaput yang boleh menjadi perantara untuk menyampaikan mesej pimpinan kepada akar umbi. Pemuda mahu menterjemahkan yang pahit-pahit itu menjadi yang manis-manis agar akar umbi boleh menerima perjuangan parti.

Ada kemungkinan ini lah yang ingin disampaikan oleh pemuda dengan gambar "kapsul" itu.

Dalam perasmian itu juga, perasmi adalah Ketua Bahagian (SSK) dan telah memberi 2 faktor sebagai cabaran kepada pemuda, yakni kesetiaan dan keyakinan.

Mungkin Ketua Pergerakan itu sdr Bahrul Sawi ingin menterjemahkan pesanan itu sebagai "Kapsul" demi kelangsungan parti khasnya diperingkat Kota Belud.

Satu perkara yang tidak boleh diketepikan semasa persidangan itu adalah kehadiran kaum muda parti. OKB sungguh prihatin dengan keadaan itu, kerana pemuda adalah golongan penerus.

Sambutan yang hambar daripada kaum muda, membuatkan mantan timbalan ketua pemuda Umno Rosmin Kasan memberi komen yang agak negatif kepada kepimpinan pemuda.

Lesunya sambutan pemuda kepada mesyuarat pemuda bahagian Kota Belud Ahad lalu, kononnya menampakkan, bahawa kepimpinan Bahrul tidak mampu "winner take all" ekoran pemilihan pemuda yang sangat sengit itu. Para pemuda yang align dengan Tadzul rupanya hingga kini belum bisa menerima kepimpinan Bahrul.

Pemuda adalah pemuda, bahagian adalah bahagian. Memang secara tidak langsung bahagian bertanggungjawab terhadap pemuda, namun perlu di ingat, pemuda mempunyai carta organisasinya sendiri.

Apa kah pemuda menerima kepimpinannya itu satu perkara, walaupun ada yang memberi komen sinis kononnya kelesuan sambutan pemuda kepada pergerakaan itu disebabkan kepimpinan SSK.

Kita perlu berfikiran rasional. Sebenarnya kehadiran bukan faktor penolakan kepada SSK akan tetapi,kehadiran ada hubung kait dengan pengurusan pergerakkan itu. Kelesuan sambutan pemuda dapat digambarkan bahawa jalinan komunikasi dua arah antara AJK Pemuda dengan golongan muda sungguh minima sekali, kerana itu sambutan juga minima.

Belum terlambat lagi, gapailah golongan muda.

28 June 2010

Cabaran Kepada Pemuda Umno Kota Belud

SEMALAM semasa merasmikan persidangan pemuda Umno Kota Belud, Ketua Bahagian merangkap Penasihat Sains dan Teknologi kepada Ketua Menteri Sabah DSP Salleh Tun Said telah menggariskan 2 faktor utama yang perlu digenggam oleh pemuda demi mendapatkan sokongan berterusan terhadap parti yakni menanamkan keyakinan dan kesetian terhadap parti baik daripada ahli-ahli Umno ataupun sebaliknya.

Untuk mencapai sasaran itu pemuda perlu mengikis sifat-sfat ego, berlagak, sombong dan bongkak dan seterusnya menukar elemen negatif itu kepada sifat-sifat berbudi,mesra serta prihatin.

Elemen-elemen yang disebutkan oleh SSK itu jika dihayati merupakan halatuju perjuangan parti agar supaya parti terus releven sepanjang hayat. jika tidak, maka akar umbi akan menghukum bukan sahaja pemuda akan tetapi semua pimpinan parti.

Ahli yang setia adalah ahli yang yakin dengan perjuangan parti, sebaliknya ahli yang tidak setia tetapi berpura-pura setia adalah ahli yang bersifat musiman, dan akan berubah arah jika parti tidak dapat memberikan kehendak-kehendak atau keinginan-keinginan yang bersifat pribadi.

PRU-12 telah mengajar kita, bahawa ada calon-calon UMNO yang ditolak rakyat. Penyebab kepada penolakkan itu, adalah elemen negatif yang ada pada segelintir pemimpin parti.

Jangan biarkan elemen negatif ini membelengu parti, kerana kita perlu ingat akibat nila setitik maka susu sebelanga rosak binasa.

27 June 2010

Aura Pas Telah Tercalar

Aura pas tercalar disebabkan keegoan pemimpin mereka sendiri. Kepudaran seri wajah pas kian ketara selepas parti itu menolak secara terbuka perpaduan sesama islam di negara ini. Bagi umat islam yang mahu melihat kebangkitan islam itu melihat sebarang perbuatan atau tindakan bagi menghalang usaha yang boleh merusakkan nilai2 ini menganggapnya merusakkan agama.

Istilah ukhuwah imaniyah yang dalam al-quraan itu sendiri memandangkan persaudaraan itu dikaitkan secara langsung dengan keimanan sesaorang.

Allah telah berfirman bermaksud Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelagah) itu; dan bertawakallah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (Surah al-Hujuraat: 10)

Tidak lama selepas penolakkan itu, Allah menunjukkan kepada kita satu persatu kemungkaran pas.

Siapa yang membenarkan MP DAP Taiping menggunakan ayat suci al-quraan dalam ceramah politik ketika menghadapi PRK Bkt Gantang kalau tidak pas? Nga Kor Ming dengan begitu hebat sekali mengutuk orang islam Umno dengan mentafsiran ayat suci tersebut mengikut acuan politiknya. Ini bukan pertama kali berlaku, kalau dahulu ketika mengulas budget DUN Wong Kor Wa (ADUN Canning) telah bertindak perkara yang sama. Kalau kita lihat sejarah bila masa DAP menyertujui perlaksanaan islam di negara ini, bahkan Karpal sendiri dengan jelas DAP rela tidak bersama Pakatan jika pas mahu menegakkan islam dan langkah mayatnya terlebih dahulu. Paslah yang mengajar DAP semakin kurang ajar.

Golongan bukan islam semakin berani apabila mendesak kerajaan sekali lagi membenarkan penggunaan keatas Kallimah Allah. Pas sekali lagi menguris hati umat islam dengan menyokong usaha2 golongan bukan islam tersebut sekaligus membelakangi kenyataan dari Dato' Dr Haron Din Timbalan Musyidul Am Pas sendiri.

"Mana-mana umat Islam yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah 'Allah' dalam akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly dalam penerbitannya boleh membawa kepada kekufuran.

Menyokong kepada sesuatu perkara yang salah di sisi Islam juga secara tidak langsung boleh menyebabkan berlakunya kekufuran dan syirik. Saya menyeru kepada sahabat-sahabat saya supaya mempertimbangkan semula pendirian mereka. Kalau kita sokong perkara yang kufur, kita pun secara tak langsung akan kufur sama.

Saya kesal terhadap beberapa penulis blog termasuk di kalangan beberapa pemimpin parti-parti politik tertentu yang menyatakan sokongan mereka kepada keputusan berkenaan. Saya harapkan orang-orang ini boleh bersatu pandangan, memanglah setiap orang itu ada kebebasan bersuara.

Kalau hal politik memanglah ada banyak pandangan, tapi kalau hal agama, kita perlu balik kepada kaedah agama. Kalau kita berpuas hati dengan perkara yang syirik ia akan membawa kepada kekufuran".

Golongan2 ini sudah lupa pesanan Rasullullah SAW bahawa, "akan datang suatu dizaman dimana kamu akan menjual agama kamu dengan nilai dunia yang terlalu sedikit". Namun malang terdapat segelintir dikalangan kita yang begitu gigih berjuang untuk mendapatkan "ayat-ayat kerusi", sehingga mereka terlupa dengan peringatan ALLAH didalam "Aayatul Kursi"

Allah tetap membuka aib sesaorang itu walaupun sejauhmana bijaknya manusia, ini janji Allah. Kenapa 4o orang ulama muda menyertai Umno, kenapa mereka2 itu tidak sahaja menyertai pas sedangkan pas sudah mengkafirkan Umno? Diatas adalah pandangan dan pendapat dari penulis sendiri untok menjawab soalan itu, mungkin kepada penyokong pas yang taksud mempunyai pandangan lain...

Berbalik kepada bagaimana pula penganut Budha,Hindu,Kristian,Silk,Bahai memilih pula menyokong dan menyertai Pas? Bila kita melihat kepada situasi apa yang pas lakukan kepada islam di negara ini tidak menghairankan kepada kita kenapa golongan tersebut bertindak sedemikian. Tepuk dada tanyalah selera kita sendiri, semua jawaban ada pada kita asalkan kita menggunakan akal yang ada sebaik mungkin. Jawaban dan pandangan dari penulis hanya ringkas sahaja, kaum bukan islam tidak akan kuat selagi islam itu sendiri tidak berpecah!!!

26 June 2010

Sokongan Rahman Dahalan Terhadap Lesen Judi Dalam Sukan Jadi Noda Hitam Padanya

Sokongan wakil rakyat Kota Belud Datuk Rahman Dahalan terhadap lesen judi sukan pada 15 Mei lalu ternyata menjadi noda hitam pada dirinya.

Kerajaan malam ini telah mengeluarkan keputusan bahawa kerajaan tidak akan mengeluarkan lesen judi sukan kepada mana-mana pihak dalam negara ini kerana pertimbangan agama.

Sebenarnya, walaupun wakil rakyat Kota Belud itu merupakan penyokong kerajaan, namun agamanya tidak membenarkan dianya menyokong secara terbuka mengenai perjudian.

BN diwakili oleh berbagai agama, alang kah moleknya jika sokongan terbuka itu dibuat oleh wakil rakyat BN yang bukan beragama islam.

Melalui keputusan kerajaan yang diumumkan oleh Najib, bahawa tiada lesen judi sukan yang akan dikeluarkan, maka sokongan Rahman Dahalan kepada pemeberian lesen itu hanya menjadi noda hitam kepadanya sampai bila-bila.

Sebenarnya lesen judi sukan ini telah diberikan oleh menteri kewangan masa itu yakni Anwar Ibrahim kepada Ascot Sdn Bhd anak syarikat Berjaya groups, namun setelah tamat tempoh lesen itu, Ascot telah beberapa kali mencuba memperbaruhinya.

Najib sebagai menteri kewangan, telah mendengar beberapa pandangan termasuk NGO, bahawa pemberian lesen seumpama itu memberi kesan negatif kepada agama. Ataspertimbangan itu, maka lesen judi sukan tidak akan dikeluarkan.

25 June 2010

Tidak Mudah Cari Makan Di Pekan Kecil

Bagi mereka yang menggunakan tulang empat kerat dan masih mengamalkan cara penghidupan ditakuk lama (primitif) hidup di pekan kecil sungguh menarik. Manakan tidak, pekan kecil tidak menyediakan semua bentuk jalinan sosial, bagi yang suka mendekati Tuhan, surau atau masjid jadi pilihan, bagi mereka yang kurang minat, maka "bus stop" jadi pilihan selain gerai-gerai kampung.

Kota Belud kononnya akan dikenali dengan "jelapang Padi". Terima kasih kepada kerajaan persekutuan kononnya akan menyalurkan 1 bilion untuk mengubah persawahan Kota Belud kepada jelapang padi.

Selain itu, usaha kerajaan menjadikan Kota Belud salah satu tapak agropolitan juga merupakan salah satu harapan daerah ini untuk maju dan memudahkan penduduknya cari makan.

Pertanian merupakan usaha tahunan. Ianya memerlukan masa untuk mengeluarkan hasil atau produk. Sementara menunggu itu semua, maka keperitan hidup bagi penduduk yang tergantung kepada alam sungguh menyedihkan.

Lain halnya dengan segelintir mereka yang berkerja pada kerajaan misalnya guru-guru, para pegawai, kerani dan semacamnya, maka pada penghujung bulan, seperti sekarang ini, akan berbarislah mereka pada ATM-ATM bank di Kota Belud, yang mana kadang-kadang berbaris panjang untuk mengeluarkan wang untuk dibelanjakan di kedai-kedai gui brothers.

Pada akhirnya wang gaji untuk sara hidup berpindah tempat penyimpanan daripada akaun persendirian kepada akaun Gui Brothers.

Kota Belud masih bertuah, kerana tiada kelab-kelab jackpot seperti mana terdapat di daerah-daerah besar seperti Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Sandakan, Tawau, Kudat dan daerah-daerah lebih besar daripada pekan Kota Belud. Jika seandainya Pekan Kota Belud mempunyai kelab-kelab seperti ini, sudah tentulah, Gui Brothers akan kekurangan pendapatan, kerana sebahagian besar daripada gaji bulanan itu akan berpindah kepada mesin-mesin berkomputer.

Walaupun kelab-kelab jackpot tidak terdapat di pekan ini, namun kewujudan perimis-perimis ramalan nombor ekor sudah cukup mengalih sebahagian pendapatan bulanan daripada para pekerja kerajaan maupun swasta.Sebenarnya ini lah petanda, sesebuah daerah itu sukar mencari makan. Kerana itu, ramai yang mencuba nasib, kononnya supaya cepat keluar daripada belengu keperitan tersebut.

Kapan kah fenomena ini akan berakhir.. para pemimpin Kota Belud ada jawapannya.

23 June 2010

Membantu Penduduk Gaza Wakil Rakyat Negara Boleh Bersatu-Membantu Penduduk Sendiri Wakil Rakyat Negara Terus Bercakaran

APABILA dua kapal misi bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang diserang dan ditahan pihak regim zionis Israel dimana dalam kapal itu terdapat warga Malaysia, maka berbagai pihak mengutuk serangan itu, baik kerajaan mahupun pembangkang.

Ceritanya menjadi hangat dan isu perbualan memandangkan ramai rakyat Malaysia, terdiri daripada sukarelawan, Ahli Parlimen dan juga wakil media, berada di atas kedua-dua kapal berkenaan, iaitu Mavi Marmara dan Rachel Corrie.

Berbagai komen dan pandangan diberikan oleh pelbagai pihak dari pelbagai sudut yang berlainan latarbelakang, kepercayaan anutan dan fahaman politik mengenai serangan ke atas dua kapal itu.

Secara umumnya melalui komen-komen dan ulasan-ulasan adalah jelas bahawa rakyat di negara kita mempunyai satu nada suara dalam hal-hal bersangkutan kemanusiaan.

Dalam hal yang berlaku ke atas kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza ini, pemimpin dan rakyat Malaysia bersatu suara mengecam dan mengutuk keganasan Israel, malahan mendesak agar Tel Aviv diheret ke muka pengadilan antarabangsa.

Suara lantang ini bukan saja datang daripada pemimpin parti kerajaan, tetapi juga dari kalangan parti pembangkang dan rakyat biasa.

Ini jelas dapat dilihat pada satu-satu demonstrasi yang telah diadakan di serata tempat yang digerakkan oleh pertubuhan politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang disertai bersama-sama oleh orang politik yang berlainan ideologi.

Di peringkat pimpinan lebih tinggi, pemimpin-pemimpin kerajaan dan pembangkang telah membuat kenyataan dan ulasan tegas sebagai menunjukkan kemarahan dan ketidakpuasan terhadap keganasan yang dilakukan rejim zionis Israel.

Dan sebagai bukti kesatuan pemimpin dan rakyat mengutuk perbuatan tersebut, Dewan Rakyat yang bersidang pada hari Isnin lepas telah sebulat suara meluluskan usul mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel menyerang kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, sehingga mengakibatkan sembilan aktivis terkorban dan 12 rakyat Malaysia ditahan pada 31 Mei lepas.

Usul yang dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta dibahaskan selama lebih lima jam oleh 28 Ahli Parlimen kerajaan, pembangkang dan Bebas, sebelum diluluskan sebulat suara.

Keputusan sebulat suara itu diumumkan Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee, ketika majoriti Anggota Parlimen berada dalam dewan kecuali mereka yang mempunyai urusan rasmi di luar, termasuk Anggota Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria, yang turut mengikuti misi kemanusiaan ke Gaza bersama Perdana Global Peace Organisation (PGPO) dengan kapal MV Rachel Corrie.

Dewan Rakyat mempunyai 222 anggota dengan 137 mewakili Barisan Nasional, 77 pembangkang dan lapan anggota Bebas. Pembangkang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (25), DAP (29), Pas (23) dan Bebas (lapan).

Daripada 28 Ahli Parlimen yang membahaskan usul tersebut, 12 orang adalah daripada BN dan 13 daripada pakatan pembangkang serta dua anggota Bebas.

Suara senada Ahli-Ahli Parlimen ini untuk meluluskan usul tersebut menunjukkan betapa rakyat negara ini sememangnya bersatu hati dalam menangani isu-isu keganasan dan ketidakadilan global. Ia bukti pendirian Malaysia menyokong misi kemanusiaan ke Gaza yang digerakkan oleh NGO.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam kenyataannya selepas meraikan enam sukarelawan Malaysia dalam kapal Rachel Corrie yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dibebaskan oleh tentera Israel Sabtu lepas, menyatakan bahawa beliau tetap akan menyokong program dan usaha NGO untuk meneruskan penghantaran misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Najib berkata misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin telah membuka mata masyarakat dunia tentang kekejaman rejim zionis di Israel yang bertindak menghalang pasukan misi bantuan itu di perairan antarabangsa.

"Kita dapat lihat sekarang ini, betapa perubahan dari segi pendapat dunia, yang sudah pun memihak kepada rakyat Palestin dan rata-rata kerajaan Israel dikutuk oleh masyarakat antarabangsa," katanya.

Namun, hakikatnya apabila kesengsaraan berhubungkait dengan penduduk negara ini, sepertimana yang selalu kita nampak melalui siaran TV3 melalui program KERANAMU, tidak pun kedengaran para wakil rakyat atau para NGO yang kononnya membela kemanusian tampil ke depan untuk menjadi wira bagi membantu rakyat yang terlibat itu.

Kesengsaraan penduduk Gaza kerana masalah politik dan kerana itu berlaku perang. Dalam negara masalahnya adalah berurusan dengan kehidupan di negara yang aman damai, namun ada juga penduduk yang mengalamai kesengsaraan hidup.

Sekiranya sejak 50 tahun lalu, agihan kekayaan negara dilakukan dengan adil dan seksama, maka sepatutnya tiada lagi penduduk yang berada dalam keadaan daif, terutama di Sabah dan Sarawak.

Namun kerana keraksuan para pemimpin serta wakil rakyat yang diamanahkan, maka mengakibatkan mereka kayaraya, sementara rakyat senantiasa berada dalam keadaan papa kedana.

Benarlah ada pemimpin yang dipuja-puja pada masa kini, kerana kononnya pemimpin itu telah memberi peluang kepada para pengikutnya. Jika dahulu para pengikutnya hanya individu jalanan, kini telah mejadi hartawan, ke sana kemari dengan kereta model terkini, terutama Toyota Ninja King.

Wakil rakyat dipilih oleh semua lapisan masyarakat, dari yang miskin dan yang kayaraya. Pengalaman dalam politik, pengundi yang papa kedanalah yang paling setia mengundi. Dengan uluran RM10, sudah bersyukurlah pengundi itu, namun yang hartawan, kalau bukan projek jutaan, itupun belum tentu memangkah seseorang calon itu .

Dalam kejadian di Gaza, sayang para wakil rakyat kita lebih rela menyusukan kera di hutan dibanding anak yang kelaparan di serambi rumah usang.

22 June 2010

Inilah Akibat Bila Kita Nampak Diri Kita Lebih Putih Dari Orang Lain

Inilah jadinya bila terlalu asyik hendak mewujudkan persepsi supaya orang benci kerajaan.Adakalanya kita lupa siapa diri kita semalam,kelmarin,tahun lalu atau 10 tahun lalu.

Apa lagi ia bukannya satu rahsia tetapi sesuatu yang semua orang tahu.Bijak dan hebatnya ialah cuma cara lakonan supaya orang percaya kononnya diri kita suci.


Makanya Ahli Parlimen Bebas Wangsa Maju, Wee Choo Keong turut terpanggil menghentam apa yang didakwanya sikap berpura-pura Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin PAS menentang lesen judi dan arak.

Baginya ini politik ‘dua alam’.

Bekas ahli parlimen PKR itu mengingatkan Anwar bahawa tidak siapa yang lupa beliaulah yang menghalalkan judi di Sabah semasa menjadi Menteri Kewangan walaupun ditentang keras Ketua Menteri yang bukan Islam waktu itu.

“Dialah rakan baik Datuk S.Nallakaruppan, pengarah eksekutif Magnum, judi empat nombor ekor. Inilah politik cakap tak serupa bikin. Kini beliau (Anwar) mahu menjadi suci dalam debu...lebih putih dari klorok,” kata Wee ketika membahas usul RMK 10 di Dewan Rakyat, Semalam.

Anehnya kata Wee, bagaimana seorang manusia boleh bertukar menjadi raksasa pelbagai wajah, menjadi sesumpah hipokrit dan semuanya atas angan-angan untuk jadi Perdana Menteri ‘at all cost’.

Beliau kemudian menyindir ahli-ahli parlimen PAS supaya mereka mengambil pengajaran dan ikhtibar daripada Mursyidul Am Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pernah memfatwakan bahawa hasil haram termasuk penjualan arak dan alkohol boleh digunakan untuk pembangunan Kelantan.

“Kalau Mursyidul Am PAS boleh benarkan, mengapa ada beberapa kerat ahli parlimen PAS menentang perlesenan pertaruhan sukan oleh kerajaan Persekutuan? Lagipun ianya tidak babitkan orang Islam, mengapa membantah. Mengapa bersikap talam dua muka,” persoalnya.

Kenyataan pedas Wee mengundang rasa kurang senang beberapa ahli parlimen PAS terutama Dr Lo Lo Ghazali (Titiwangsa) dan Khalid Samad (Shah Alam) yang bangun membantah pendapat ahli parlimen Bebas itu.

Mereka terus cuba menganggu Wee meneruskan ucapan membahas usul tersebut.

Bagaimanapun, tanpa memperdulikan gangguan itu, Wee terus mempersoal tindak tanduk pemimpin PAS, dengan bertanya, apakah mereka tidak bersetuju dengan fatwa Mursyidul Am PAS?

“Atau apakah mereka lebih menjadikan Ketua Umum PKR sebagai kiblat mereka dan presiden pimpinan mereka?,” katanya.

Dewan terus panas apabila Dr Lo Lo bangun menggunakan peraturan membantah kenyataan Wee yang membacakan fatwa Tok Guru antara lain berbunyi “ bagi penjualan arak, ia hanya dbenar jua oleh orang bukan Islam kepada golongan itu sahaja kerana jika ianya haram sudah tentu menyulitkan orang bukan Islam menikmatinya,”.

Menurut Dr Lolo dan kemudian disokong Khalid, Wee tidak faham perbezaan kenyataan Nik Aziz apabila menganggap apa dikatakan Menteri Besar Kelantan itu sebagai fatwa.

Wee yang dibenarkan timbalan speaker Datuk Ronald Kiandee meneruskan perbahasan menyatakan, Kelantan menggunakan hasil cukai arak, lesen anjing dan sebagainya bagi menampung kos membuat jalan dan projek pembangunan.

“Arak itu sendiri diminum bukan Islam, jadi bila diminum mereka, maka untuk menjaga keselamatan, kerajaan ambil duit dari mana,” katanya.

Beliau kemudian meminta pemimpin PAS tidak perlu hipokrrit sebaliknya berlaku jujur dan mengikuti nasihat Tok Guru serta beri sokongan kepada usaha kerajaan persekutuan melesenkan pertaruhan sukan.

Katanya, adalah tidak masuk akal untuk kerajaan menghapuskan subsidi tetapi di waktu sama membenarkan sindiket haram judi sukan mengaut keuntungan yang banyak.

19 June 2010

Dakwaan Yong Teck Lee Mungkin Ada Benarnya???

Kita perlu kaji DAKWAAN presiden Parti Maju Sabah(SAPP) Datuk Yong Teck Lee kononnya kerajaan pusat mengikuti jejak penjajah British dengan mempengaruhi minda penduduk negeri itu.

Walaupun dakawaan ini dinafikan Timbalan Perdana Menteri dengan mengatakan bahawa kerajaan pusat sentiasa berlaku adil dan komited untuk membangunkan Sabah supaya setanding dengan negeri-negeri lain daripada segi pembangunan. Namun dikalangan akar umbi ramai juga yang menerima dakwaan Yong Teck Lee itu.

Kerajaan Persekutuan berkali-kali mengatakan bahawa kerajaan pusat tidak akan menganaktirikan mana-mana negeri. Namun, rakyat terutama rakyat yang tidak mendapat peluang dan tidak ada kabel melihatnya sepertimana dakwaan Yong Teck Lee itu. Dakwaan Yong itu mungkin ada kebenarannya. Sebagai presiden sebuah parti yang pernah ikut serta memerintah negeri, dakwaan Teck Lee itu tidak boleh dianggap remeh.

Seruan kerjaan pusat dengan mengatakan akan terus membela nasib rakyat tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama termasuk di Sabah dan Sarawak.

Lagi pun rakyat Sabah bebas memilih kerajaan yang disukainya. Sejarah Sabah menunjukkan bahawa mana-mana kerajaan yang mengabaikan tangunjawabkan akan diketepikan. Rakyat Sabah telah matang dalam memilih hala tujunya.

Dakwaan Yong Teck Lee diucapkannya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan SAPP bahagian Putatan dan Petagas 1 Disimber lalu, Yong berkata Kuala Lumpur mempengaruhi rakyat Sabah sejak sekian lama agar kerajaan pusat dapat mengambil kesempatan terhadap kekayaan hasil bumi Sabah dan rakyat negeri itu dinafikan pelbagai peluang termasuk jawatan dalam perkhidmatan Persekutuan di negeri itu.

Walaupun TPM menafikan dakwaan itu dengan mengatakan kerajaan pusat telah memberi peruntukan yang adil kepada Sabah dan Sarawak terutama dalam membangunkan kawasan luar bandar, namun ramai juga mempertikaikannya, kerana menurut mereka, yang diuntungkan hanya orang-orang tertentu, bukannya rakyat sasar.

Persepsi seperti ini lah yang perlu diambil iktibar oleh para pemimpin baik pusat maupun negeri. Penerangan kepada rakyat terutama rakyat sasar perlu dilakukan dengan kerap agar mereka tidak terpesong dengan dakyah parti yang membangkang.

18 June 2010

PRU-13: Jika BN Sabah Salah Letak Calon; Akibatnya Parah

Ada yang mencongak-congak bahawa jika pada PRU-13 akan datang jika ADUN-ADUN yang tidak disukai rakyat diletakkan semula, kemnugkinan pengundi tegar BN akan melakukan protes.

Protes pengundi-pengundi tegar BN itu telah mula kenampakan semasa PRU-12.

UMNO jangan terlalu yakin dengan 32 kerusi di mana terdapat pengundi tegar parti itu, kesilpan sedikit akan mengundang padah.

28 kerusi yang dikuasai pengundi bukan islam termasuk kawasan cina, berasaskan perkembangan semasa kawasan-kawasan ini tidak selamat bagi BN.

Alasan mereka, hak Sabah semakin terhakis di bawah pemerintahan Umno.

Jika semasa pra-kemerdekaan Sabah dan Sarawak dikategorikan sebagai negara, kini hak-hak itu dikategorikan sebagai salah satu negeri di bawah persekutuan. Pada pra-kemerdekaan, status Sabah dan Sarawak adalah sama dengan Malaya, kini status itu tiada lagi, apatak lagi dengan konsep 1Malaysia. Melalui konsep 1Malaysia status Sabah dan Sarawak adalah sama dengan negeri-negeri di Malaya.

Jika mengimbas kenapa Sabah dan Sarawak dipelawa menjadi federasi pada tahun 1963 adalah agar Sabah dan Sarawak menjadi negara maju seperti Malaya, namun setelah 47 tahun menyertai Sabah dan Sarawak masih ketinggalan begitu jauh. Kalau bukan kerana PRU-12 di mana di Semenanjung, BN kecundang, Sabah dan Sarawak tidak akan menjadi perhatian.

Bagi penduduk Sabah dan Sarawak, walaupun perhatian pihak persekutuan sudah terlambat, namun demi kesetian kepada negara, maka rakyat masih menyokong konsep penggabungan itu.

Namun, walaupun PRU-12 telah berlalu lebih 2 tahun, kerancakan pembangunan bagi 2 negeri ini masih terlalu perlahan. Kalaupun ada projek-projek pembangunan yang berjalan di dua negeri itu, namun projek-projek adalah kepunyaan kontraktor yang berasal daripada Semenanjung dan projek-projek itu tidak pun menyumbang kepada penyediaan peluang pekerjaan. Peluang yang ada hanya bertaraf buruh, sudah tentunya diisi oleh PTI.

Bayangkan untuk mendapat projek pembangunan bagi negeri Sabah misalnya, terpaksa berurusan dengan pihak-pihak tertentu di Putrajaya. Sudah lah karenah birokrasi di peringkat negeri begitu tebal, ditambah lagi dengan birokrasi yang di atur di tanah seberang.

Untuk membangun negeri, bayangkan orang Sabah terpaksa mengemis. Sabah dan Sarawak kaya dengan sumber alam. Ada minyak, ada arang batu, penyumbangkan kepada eksport negara terutama hasil minyak kelapa sawit, koko, kayu dan lada sumber laut dan sebagainya, pun demikian Sabah dan Sarawak masih ketinggalan dalam semua perkara.

OKB sungguh sedih dengan semua ini, OKB berharap jangan pula majoriti pengundi dua negeri ini tumpang sedih, sehingga mereka menolak kerajaan BN.

Sarawak beruntung kerana ada Ketua Menteri pribumi, tetapi Sabah? Seharusnya Sabah diberi peluang ditadbir urus oleh pribumi agar naluri membangun anak watan terus membara. Benar, Sabah pernah diurus oleh pribumi. Semasa PBS, kerana politik sempit, maka yang dimajukan hanya kaum pribumi bukan islam. Zaman Usno, kerana kepimpinan yang belum ke depan. Zaman BN, kerana konsep bergilir-gilir, maka keupayaan pemimpin pribumi belum kenampakan.

Cuba beri contoh, mana ada sesuatu perniagaan itu boleh maju dalam sekelip mata?. Tanam kelapa sawitpun perlu 4 tahun untuk mendapatkan hasil yang maksima.

Sabah kini, di terajui oleh Musa Aman, akhirnya hanya orang-orang tertentu ada hubung kait dengannya sahaja yang maju, apa kah dari segi perniagaan atau peluang projek.

Siapa kata orang Sabah, tidak mampu. OKB pernah bertugas di Semenanjung lebih 10 tahun sebagai pengurus besar pada syarikat swasta dan GLC yang ada hubungan dengan kerajaan negeri.


OKB cukup terkilan sejak tahun 2004, OKB berusaha berjumpa Musa Aman, sehingga kini peluang itu belum pernah ada. Siapa kata, usaha tiada, semua usaha telah dilakukan. Bayangkan, mereka yang tidak tahu guna lif ingin berjumpa ketua menteri?

Kesimpulannya, untuk dapat peluang.. betul lah kata orang... Siapa anda kenal? Contoh yang paling dekat.. pada masa ini.. siapa-siapa yang kenal dengan Musa Aman dan Safie Afdal.. sedang sibuk melaksanakan projek-projek jutaan ringgit.

OKB hanya mampu mengeluh melalui tulisan!!!

17 June 2010

Siapa Kata Bumiputra Ada Peluang

Status bumiputra kadang-kadang menjadi penghalang untuk maju. Kenapa? persepsi yang melekat pada bumiputra itu hanya sebagai "pekerja" tidak boleh jadi "pengurus" yang boleh berjaya.

Kata mereka ramai sudah bumiputra yang mendapat nikmat melalui dasar ekonomi baru (DEB), tapi akhirnya tersunggur dipertengahan jalan.

Suatu ketika nama-nama Tan Sri Tajudin Ramli Halim Saad, Rashid Hussien sungguh harum, namun berapa ramai yang mereka lahirkan sama seperti mereka? Disebabkan sifat "monopoli" itu ke mana mereka sekarang?

DEB akhirnya dimansuhkan, kononnya DEB menjadi faktor kenapa negara tidak berdaya maju.

Kini MBE ekonomi disyorkan oleh pentadbir baru negara. Sebelum dalam MBE itu tidak pun diuraikan asas DEB dahulu, melainkan MBE berasaskan merit.

Namun disebabkan desakan beberapa NGO bumiputra termasuk PERKASA, akhirnya kepentingan Bumiputra disentuh dalam RMK-10. Jika tiada desakan beberapa NGO bumiputra itu, maka MBE sepertimana draft asal, yakni berasaskan merit, kemungkin besar diteruskan.

Apa kah melalui MBE bumiputra akan juga mendapat peluang sepertimana DEB dahulu? Kalau pun ia, apa kah metoda adalah sama, Siapa Yang Anda Kenal?

Semalam semasa borak-borak di Hyatt Kota Kinabalu, telah ramai bumiputra yang mendapat projek "turn-Key" kononnya daripada kementerian Luar Bandar Persekutuan. Orang-orang tertentu ini mendapat projek kononnya kerana mereka kenal menterinya, kalau tidak kenal Sorry lah.

OKB yang mana menteri itu tidak kenal, telah beberapa kali ingin berkomunikasi dengan menteri itu, namun hingga kini tidak pernah berjaya.

Di ceritakan juga kononya menteri itu pada PRU-13 akan datang akan kembali ke peringkat ADUN, kononnya mahu jadi Ketua Menteri. Macai-macainya kini terutama yang mendapat projek-projek ke hulu ke hilir mengembar gemburkan bahawa menteri itu akan menggantikan Musa Aman pada PRU-13 akan datang. Demi persediaan awal, maka macai-macainya perlu ada duit banyak, kerena berdepan dengan Musa Aman yang telah 7 tahun menjadi Ketua Menteri bukan lah mudah.

Diisukan juga, bahawa menteri itu tidak "senang" kepada Salleh Said kerana menerima jawatan penasihat Sains dan Teknologi kepada Ketua Menteri Sabah, kerana kononnya kerana menteri itulah, Salleh dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri.

Di Sabah, cerita disebarkan kemana-mana bahawa menteri itu adalah anak emas Najib, kerana hubungannya dengan PM itu semasa menjadi Timbalan Menteri Pertahanan.

Macam-macam kalau cerita politik... kebenarnya tiada yang tahu.

16 June 2010

Laporan MTEN dan MBE Serta RMK-10 Ada Perbedaan Percanggahan??

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan, tiada percanggahan mengenai isu pemilikan ekuiti bumiputera dalam Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dengan laporan dikeluarkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Beliau berkata, laporan MTEN adalah tepat serta tiada sebarang konflik mengenainya dan pembentangan RMK-10 di Dewan Rakyat minggu lalu merupakan pendirian kerajaan.

"Kita mesti faham, laporan yang dibuat oleh MTEN adalah tepat dan susulan mengenai butiran lanjut terutama yang melibatkan Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) akan dihuraikan kelak.

"Saya tidak menjanjikan bantuan bumiputera dihapuskan. Itu salah tanggapan, apa yang saya kata, bantuan ini kita akan lakukan dengan cara yang mesra pasaran dan berdasarkan merit," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di sini malam ini.

Perdana Menteri mengulas dakwaan pihak tertentu bahawa langkah kerajaan mengekalkan pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus dalam RMK-10 bertentangan dengan laporan yang dibuat oleh MTEN.

Mengulas lanjut, Najib berkata, kerajaan juga akan memperincikan penjelasan mengenai sub sektor NKEA yang akan dibangunkan bagi menyumbang kepada peningkatan pendapatan per kapita bumiputera.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan, kerajaan juga memberi tumpuan kepada pendapatan 40 peratus isi rumah tanpa mengira kaum.

"Kita turut memberi tumpuan kepada sektor swasta yang sudah tentu akan menolong semua pihak dalam membangunkan negara kita," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri memberitahu, semua parti komponen BN akan mengambil tanggungjawab menjelaskan mengenai isu MBE dan RMK-10 kepada seluruh rakyat.

Menurutnya, langkah itu bertujuan untuk memastikan rakyat sedar bahawa agenda yang dirangka dalam RMK-10 dan MBE adalah perjuangan BN untuk semua kaum dan bukan hanya dikhususkan untuk kaum tertentu sahaja.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels