RAKYAT mengundi bukan bergantung pada nama dan status seseorang calon. Pengundi melihat tindak tanduk seseorang itu, apa kah mempunyai rekod prihatin atau mesra rakyat.
Pengalaman pilihan raya di negara ini, ramai sungguh calon-calon yang tewas meskipun mempunyai nama dan status.
Dalam masa penentuan, yakni pilihan raya semua boleh berlaku. Tidak pelik, seorang calon yang hanya muncul dalam pilihan raya, akan tetapi mampu menewaskan calon yang mempunyai status dan nama.
Dalam pilihan raya, pengundi nampak hanya calon, kemudian lambang yang diwakili calon itu. Jika jumlah yang memilih calon lebih banyak daripada lambang, maka calon itu akan menang.
Dalam pilihan raya, memang yang diharapkan adalah kombinasi antara calon dan lambang. Sebab itu timbul istilah “winnable candidate”.
Bagi Bn, asas yang digunakan adalah kombinasi antara calon dan lambang. Mereka yang terpilih sebagai calon dikatakan calon yang “winnable”.
Bagi menentukan calon yang “winnable” Bn mempunyai cara tertentu untuk mengenal pasti, dan sudah tentunya daripada berbagai laporan. Berasaskan berbagai laporan itu, maka ditentukan ranking seseorang, dan kemudiannya disebut merit. Makna kata, semua calon-calon yang bakal dicalonkan adalah mereka yang winnable kerana mempunyai merit.
Tetapi perlu diambil kira juga, laporan-laporan tidak semestinya tepat. Sebab itu, ada calon-calon Bn yang mempunyai nama dan status akan tetapi tewas, atas sebab laporan berkaitan calon tersebut bukan berasaskan fakta lapangan, mungkin atas sebab kerana calon yang dimaksudkan mempunyai kedudukan dalam parti dan kerajaan.
Fakta pilihan raya di negara ini, bermula tahun 2008, apabila Bn mula kehilangan kuasa 2/3, kemudiannya kehilangan undi popular pada PRU tahun 2013, menunjukkan bahawa kretiria winnabale candidate tidak semestinya mendapat sokongan pengundi.
Kita juga melihat ada pemimpin Bn yang dikira kelas berat (heavyweight) namun hanya menang dengan majoriti kurang 2000 undi, malah ada yang menang kerana kemenangan teknikal, iaitu pertembungan berbagai penjuru.
Sebab itu, jika ada calon-calon yang merasa yakin kerana status dan nama yang pada mereka, maka sebagai jaminan untuk mereka mendapat undi, jangan dahulu menghitung anak ayam sebelum telur menetas. Rakyat dalam tempoh kempen, akan melihat sekecil-kecil sumbangan seseorang calon itu pada mereka, apa tah lagi, jika calon itu tidak responsif terhadap permasalahan rakyat, tidak suka melayan rakyat, jarang turun padang, kalau pun turun padang, bersikap VVIP.
Pada hari penentuan, faktor yang amat berbicara, apa kah calon itu mesra alam (yakni prihatin) ataupun tidak.
Sempena PRU-14, akan ada kah calon-calon yang mempunyai status dan nama bakal kecundang? Hanya rakyat yang menentukan.
Mungkin atas sebab itu, Perdana Menteri semasa mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen, menekankan, bahawa sistem pilihan raya negara ini menggunakan jumlah kerusi bukannya undi popular, kerana beliau tahu, ada kawasan-kawasan tertentu, undi calon Bn tersangat rendah berbanding calon-calon lawan.