12 May 2018

KEMELUT SABAH: PILIHANRAYA BARU DIPERLUKAN

DEMI menghentikan para penjahanam demokrasi mendapat kuasa dengan mudah, maka tiada pilihan melainkan kembali kepada rakyat sekali lagi.

Menerusi pilihanraya baru, rakyat akan menentukan parti mana yang mendapat mandat untuk menerajui kerajaan, bukannya ditentukan oleh penjahanam demokrasi. Tindakan wakil rakyat yang melompat, adalah tindakan menyalahgunakan mandat rakyat.

PRU-14 Sabah, rakyat negeri ini dengan jelas memberikan Bn kerusi 29, Warisan 21, DAP 6, PKR 2 dan STAR 2. Oleh kerana DUN Sabah berjumlah 60, maka diperlukan 31 ADUN bagi sesebuah parti menubuhkan kerajaan.

Pada 10 Mei selepas PRU-14, Bn dan STAR bergabung membolehkan untuk menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah. Namun, tindakan 4 ADUN Umno dan 2 ADUN UPKO ( UPKO telah keluar daripada Bn, namun 3 ADUN yang menang menerusi tikit Bn- Datuk Masiung Banah, Datuk Bobby Suan dan Datuk Limus Jury masih bersama Bn). menyebabkan kerajaan telah kehilangan majoriti mudah.

Kerajaan yang ada mempunyai dua pilihan. Pilihan pertama menunggu sehingga sidang DUN pertama dalam tempoh 120 hari, bermula daripada tempoh pembubaran 7 April 2018. Ini bererti, pada 9 Ogos, adalah sidang Dun pertama bagi penggal ke-14, atau sebelum tempoh itu, DUN Sabah dibubarkan untuk membolehkan pilihanraya baru, atau pilihan lain, untuk kepentingan negeri, semua parti yang menyertai PRU-14 bergabung, untuk membentuk kerajaan yang mantap.

Para pemimpin Sabah kena memikirkan rakyat & negeri, bukannya berkiblat dengan pihak lain. Sabah perlu menentukan hala tuju sendiri.

Sabah perlu diperintah oleh parti, bukan para individu yang mencari peluang. Sabah kena hentikan tindakan menikam kawan, tindakan tidak amanah, tindakan menjahanamkan demokrasi.

Parti yang diterajui yang mempunyai sejarah menikam kawan, perlu dinyahkan, kerana jika tidak, Sabah akan sentiasa mendapat jolokan, ramainya pemimpin yang tidak amanah.

UPKO, LDP, PBRS KELUAR BN

UPKO menang 1 parlimen dan 5 dun, LDP kosong, PBRS pula menang 1 parlimen dan 1 dun. Kemengan Dun oleh UPKO membolehkan Bn menang 29 kerusi pada PRU-14. Namun, daripada 5 ADUN Upko, 3 masih bersama Bn, manakala PBRS kekal satu. 

Oleh kerana 4 ADUN Umno dan 2 ADUN UPKO telah melompat, dan kemungkinan dikuti yang lain, menyebabkan kerajaan baru Sabah dipimpin TS Musa Aman, kehilangan majoriti mudah.

Musa kini, berdepan dengan kawan-kawan yang tidak amanah, dan mereka itu berselindung atas kepentingan rakyat. Mereka itu, tidak mengambil iktibar, bahawa Kerajaan Kelantan adalah pembangkang pada Kerajaan Persekutuan sejak tahun 1990, Selangor dan Pulau Pinang sejak tahun 2008. Di Kelantan pada PRU 2004, hanya majoriti dua kerusi, namun bertahan sehingga kini, kerana para wakil rakyat dan pemimpinnya amanah.

Terlihat sungguh, betapa tidak amanahnya para wakil rakyat Sabah, kerana dengan mudah memutuskan meninggalkan kawan semasa diperlukan. Jika perkara ini tidak dibendung, maka selamanya berlaku, akhirnya rakyat yang tertipu. Tindakan mereka yang berpaling tadah ini, sebenarnya bukan untuk kepentingan rakyat akan tetapi kepentingan peribadi. 

Dipundak TS Musa Aman pada masa ini, untuk menoktahkan tindakan para pemimpin tidak amanah ini. Jangan biarkan mereka mendapat kuasa dengan cara mudah. Kembali lah kepada rakyat menerusi pilihanraya baru. Biarkan rakyat menutuskan parti mana yang dikehendaki menerintah negeri, bukan ditentukan oleh oleh wakil rakyat yang tidak amanah.

UPKO dan PBRS mempunyai sejarah menikam kawan. Kini, tindakan yang sama dilakukan. Kata peribahasa, anjing tidak akan berhenti mencium tahi. Perbuatan seumpama ini perlu dinoktahkan, jika tidak, para wakil rakyat Sabah, akan masuk rekod sebagai para wakil rakyat katak selamanya.

KEPADA TS MUSA: JANGAN MENGALAH PADA PENJAHANAM DEMOKRASI

INILAH masanya, ditunjukkan kepada PENJAHANAM demokrasi, bahawa cara mudah mendapatkan kuasa, tidak semudah yang mereka fikirkan.

Jangan sesekali terperangkap dengan ISTILAH, bahawa tindakan mereka itu, demi rakyat dan negeri, tindakan mereka itu adalah untuk kepentingan peribadi.

Tindakan penjahanam demokrasi itu bercanggah dengan keputusan rakyat. Mereka itu menang kerana parti yang mereka tinggalkan. Mereka itu bukan lagi KATAK akan tetapi tergolong TIDAK amanah.

Menerusi PRU-14, rakyat Sabah telah memutuskan, bahawa Bn menang 29, Warisan 21, DAP 6, PKR 2 dan STAR 2. Menerusi keputusan itu, maka DUN tergantung. Kerajaan boleh dibentuk, jika antara kumpulan bergabung parti. Ternyata, berasaskan keadaan itu, Bn bergabung dengan STAR, yang membolehkan membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Gabungan itu, bukan katak, kerana berlaku penggabungan parti untuk bekerjasama memerintah.

Namun, selepas pembentukan kerajaan, Ketua Menteri mengangkat sumpah, kabinet telah dibentuk, tindakan penjahanam demokrasi, kerana memenuhi kepentingan peribadi mengharu birukan keadaan. Mereka itu, mahu mengulangi peristiwa tahun 1994, selepas 2 minggu Datuk Seri Pairin Kitingan (kini Tan Sri) mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, dua adun daripada parti beliau melompat, menyebabkan beliau meletakkan jawatan. Undang-undang Tubuh Kerajaan Sabah, TYT tiada kuasa melucutkan jawatan Ketua Menteri, TYT hanya boleh menasihat untuk letak jawatan.

Kepada TS Musa, jangan sesekali mencontohi tindakan Tan Sri Pairin, untuk menjadi pengajaran dan panduan di masa depan, bahawa tindakan penjahanam demokrasi yang kerap berlaku di Sabah perlu dinoktahkan untuk selama-lamanya.

Musa mempunyai dua pilihan, menunggu tempoh 120 hari, iaitu sidang DUN pertama selepas PRU-14, atau membubarkan DUN untuk memberi laluan kepada pilihanraya negeri yang baru. Menerusi pilihanraya yang baru, untuk memberi peluang sekali lagi kepada rakyat, untuk menentukan parti mana yang memerintah negeri, bukannya ditentukan oleh mereka yang tergolong tidak amanah!!!

PENJAHANAM DEMOKRASI

RAKYAT Sabah sudah membuat keputusan menerusi PRU-14, apabila Bn mendapat 29 kerusi, parti Warisan Sabah 21, DAP 6, PKR 2 dan STAR 2. 

Menerusi keputusan itu, tiada parti yang mendapat majoriti mudah bagi maksud menubuhkan kerajaan, kerana jumlah yang diperlukan adalah 31 daripada 60 Dun Sabah.

Bagi maksud menubuhkan kerajaan baru, samada Bn bekerjasama dengan parti-parti lain atau PWS berkerjasama dengan parti-parti lain.

Pada 10 Mei, Bn mengadakan kerjasama dengan STAR, pimpinan Datuk Dr Jeffery Kitingan. Menerusi kerjasama itu, maka kerajaan baru Sabah telah dibentuk. Ekoran pembentukan kerajaan baru itu, Tan Sri Musa Aman yang mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah. 

Selepas mengangkat sumpah, beliau juga telah mengumumkan 10 kabinet baru negeri yang mana salah seorang Timbalan Ketua Menteri adalah Presiden STAR.

Namun perkembangan terbaru berlaku, apabila 6 ADUN Bn melompat kepada parti Warisan Sabah. Mereka itu adalah ADUn Tanjong Batu- Datuk Amisah Samat, ADUN Balung- Datuk Osman Jamal, ADUN Sebatik Abdul Muis Picho, ADUN Kemabong- Jamawi Jaafar, ADUN Paginatan- Datuk Abdidin Madingkir dan ADUN Kedamaian- Ewon Benedik.

Dengan melompat 6 ADUN itu, membolehkan PWS/DAP/PKR mempunyai 35 kerusi DUN, berbanding jumlah ADUN bagi kerajaan yang baru dibentuk 25.

Meskipun, senario baru itu, Presiden PWS, iaitu Datuk Shafie Apdal hanya akan boleh dilantik sebagai Ketua Menteri, jika TS Musa Aman meletakkan jawatan. Jika Musa mempertahankan jawatan sehingga sidang DUN Sabah, maka akan tergantung kepada ADUN, apa kah ada usul tidak percaya kepada kerajaan. Jika jumlah ADUN menyebelahi mereka yang membuat usul tidak percaya melebihi yang menyokong kerajaan maka kerajaan itu akan jatuh.

Perlu diingat dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri, TYT hanya ada kuasa melantik, tetapi tiada kuasa melucutkan jawatan Ketua Menteri yang telah mengangkat sumpah. Berbeza dengan undang-undang tubuh kerajaan Perak, di mana Sultan mempunyai kuasa melantik Menteri Besar. Undang-Undang Tubuh Kerajaan Sabah sama dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana SPBA hanya mempunyai kuasa melantik Perdana Menteri, tetapi tiada kuasa melucut. Perdana Menteri hanya kehilangan kuasa apabila kehilangan sokongan ahli Dewan Rakyat semasa persidangan, demikian juga halnya Sabah, jawatan Ketua Menteri akan kehilangan jawatan, jika kehilangan sokongan ADUN semasa persidangan.

Kerajaan baru Sabah secara sah telah ditubuhkan dengan jumlah kerusi mudah, namun kerana tindakan para pengkhianat demokrasi, maka kerajaan yang dibentuk berdepan dengan masalah.

Mengapa kah Sabah masih mempunyai para pemimpin seumpama ini? Datuk Dr Jeffery Kiitingan yang mereka laung-laungkan sebagai KATAK, sebenarnya bukan katak, kerana beliau memimpin parti sendiri, dan membuat keputusan bergabung. Mengapa para pemimpin PWS tidak melompat-lompat melaungkan KATAK kepada Amisah, Jamal, Jamawi, Muis, Abidin dan Ewon. Mengapa sangat ketara hipokrit mereka??

11 May 2018

PASCA PRU-14: ERA BARU POLITIK SABAH?

BERASASKAN keputusan pengundi Sabah pada PRU-14 yang berlabuh pada 9 Mei, bahawa rakyat negeri ini, terbahagi-bahagi kepada beberapa hala tuju.

Apa yang jelas, era Umno/Bn sudah berlalu, meskipun mendapat 79 kerusi Parlimen daripada 222. Berasaskan keputusan itu, Umno kehilangan 54 daripada 133 berbanding PRU-13. 

Keputusan PRU-14, negeri Johor di mana Umno dilahirkan, jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH), demikian juga Kota Belud, anak sulung Umno Sabah, jatuh ke tangan parti Warisan, parti yang berkolaborasi dengan PH. 

PRU-14, menyaksikan pengakhiran Parti Umno sebagai parti terlama memerintah. Menerusi kekalahan tersebut, maka akhirnya Umno mencontohi parti Kongress India, Parti LDP Jepun dan parti Golkar Indonesia. 

Daripada tiga parti luar yang disebutkan, hanya Kongress India dan LDP berjaya kembali berkuasa, sementara Golkar tidak pernah bangkit lagi. (Nota- LDP sedang berkuasa di Jepun pada masa ini). 

Di Sabah, selepas penubuhan kerajaan kerjasma antara 29 ADUN parti Barisan Nasional dan 2 ADUN STAR, mula memikirkan SATU pendekatan baru atau PENJENAMAAN baru, untuk menamakan KERJASAMA itu, dengan mempertimbangkan hala tuju rakyat. 

Tindakan PENJENAMAAN baru, adalah satu tindakan neutralisasi terhadap gelombang arah aliran pemikiran rakyat. Penjenamaan baru itu, perlu dilakukan atau perlu diambil tindakan dengan segera, sebagai kaedah menang-menang. 

Dalam politik, tidak selalu mengunapakai kepada survival politik, sebaliknya politik kena ikut rentak peredaran zaman, kena ikut arah pemikiran rakyat, khususnya generasi pelapis. 

Menilai isu-isu yang menjadikan Umno/Bn ditolak, parti Warisan/PH yang hanya mendapat sokongan  menyebabkan DUN negeri tergantung, menggambarkan bagai mana rakyat Sabah (pengundi) berada dalam persimpangan. 

Dengan mengambil kira, persimpangan itu, maka dengan segera, kerajaan baru Sabah, perlu menubuhkan satu parti politik, yang mewakili aspirasi semua rakyat Sabah, yang merangkumi mereka yang menyokong PWS/PH dan Umno/Bn pada PRU-14. Pendekatan itu, menyerupai tindakan Tun Razak pada tahun 1974, menubuhkan Barisan Nasional, walaupun parti Sabah yang bakal ditubuhkan  itu tidak lagi mengunakan istilah "barisan".

Parti politik baru itu, mengambarkan secara total, penjenamaan baru, tidak lagi menggambarkan era Umno/bn atau mana-mana parti yang bertanding pada PRU-14. 

Sabah dan rakyatnya perlu begabung tenaga secara total, demi rakyat dan negeri. Keadaan masa lalu, perlu dijadikan sempadan. Kesejahteraan rakyat & negeri menuju masa depan adalah mustahak. Sabah perlu mempunyai kekuatan politik sebagai entiti jika mahu maju dan membangun. 

Berasaskan kepada keputusan rakyat Sabah, setiap pemimpin politik perlu membuang jauh ego masing-masing. Masa ini, adalah waktu rekonsiliasi semua pihak, demik rakyat & negeri. Fikir-Fikirkan.

7 May 2018

KERANA JAWATAN SHAFIE SANGGUP BERTINDAK APA SAHAJA

TERDEDAH sudah, siapa sebenarnya Datuk Shafie Apdal. Presiden parti Warisan Sabah itu sanggup bertindak apa sahaja demi jawatan.

Pendedahan salah seorang mantan Pegawai Yayasan Sabah, bahawa Shafie sanggup bertindak menjual Yayasan Sabah pada tahun 1994, semata-mata kerana gagal dilantik ke jawatan ICSB ( Innoprise Corporation Sdn Bhd) anak syarikat Yayasan Sabah, di mana sebelumnya jawatan itu disandang oleh Dr Jeffery dalam kerajaan PBS.

Kerajaan PBS digantikan oleh kerajaan Bn yang diterajui Umno pada awal tahun 1994.

Kerana gagal dilantik sebagai CEO, Shafie pada masa itu merupakan pengerusi NBT (North Borneo Timber) sebuah syarikat senaraian awam, membuat cadangan membeli Yayasan Sabah dengan harga RM350 juta.

Tindakan Shafie itu hampir berjaya, kerana kabinet, lembaga pengarah Yayasan Sabah, termasuk jawatan kuasa penilai telah bersetuju berkaitan cadangan itu. Tindakan itu hanya digagalkan oleh tindakan Datuk Musa Aman (kini Tan Sri) yang mana masa itu sebagai Timbalan Pengerusi Pemegang Amanah (BOT) Yayasan Sabah.

Kerakusan Shafie terhadap jawatan, terbukti lagi, apabila berkolaborasi dengan Tun Dr Mahathir, untuk menjatuhkan DS Najib Razak daripada jawatan Perdana Menteri. Menerusi kolaborasi itu, apabila TS Muhiyiddin Yassin menggantikan Najib, beliau akan dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Di Sabah pula, Shafie mensabotaj pembangunan & kemajuan luar bandar Sabah, dengan membelanjakan peruntukan Persekutuan yang disalurkan menerusi KKLW kepada projek-projek yang bukan keperluan rakyat, matlamat beliau, supaya rakyat marah kepada Tan Sri Musa.

Apabila rakyat marah, maka akan ada alasan beliau untuk dilantik ke jawatan Ketua Menteri.

Sebenarnya, Shafie daripada awal-awal lagi, hanya mementingkan diri sendiri, bukan untuk memajukan rakyat dan negeri.

Kini, dalam usaha beliau menang dalam pilihan raya, cerita-cerita bohong beliau, telah menjadi "backfired" kerana sebenarnya, beliau lah yang bertindak menjahamkan Sabah, bukannya Musa.

6 May 2018

PRU-14 SABAH: BN SABAH AKAN BENTUK KERAJAAN

MENILAI calon-calon dan pola pertandingan di seluruh kawasan Dun, nampaknya keputusan PRU-14 akan berpihak kepada Bn.

Daripada 60 Dun, 52 Dun clear bagi Bn, 4 dalam dalam keadaan 50/50, manakala 4 lagi kedudukan Bn pada keadaan 45:55 berbanding parti lawan.

Jumlah kerusi mudah bagi membentuk kerajaan adalah 31, manakala kuasa 2/3 Dun berjumlah 40.

Jumlah 52 kerusi Dun diterjemahkan kepada 22 kerusi Parlimen. 

Antara Dun yang bakal menyumbang majoriti besar adalah Dun Sibuga, Dun Sulaman dan Dun Tanjong Batu.

PRU-14 SABAH: TIADA LAGI TSUNAMI KDM

TIGA hari lagi penentuan PRU-14. Harapan Parti Warisan Sabah/PH bahawa akan berlaku tsunami KDM, ternyata tidak akan berlaku.

Parti itu menjangkakan bahwa trend PRU-13 akan berterusan, rupanya sangkaan mereka itu seperti disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Di setiap kawasan, khususnya kawasan pada PRU-13 lalu, di mana calon-calon Bn menang walaupun mendapat jumlah undi di bawah 50%, namun pada PRU kali ini, sokongan pengundi di kawasan itu telah meningkat di atas 50%.

Pada PRU kali ini, walaupun berlaku peningkatan sokongan terhadap BN di beberapa kawasan yang dikuasai DAP pada PRU-13 lalu, namun peningkatan itu tidak cukup untuk satu kemenangan. Bagi kawasan yang dimenangi PKR pula, trend sokongan rakyat, akan kita saksikan, bahawa pada PRU kali ini, tiada calon yang berlambangkan mata lebam akan menduduki DUN Sabah.

Walaupun, sokongan kaum bumiputera islam begitu padu terhadap Bn, mungkin atas sentimen, ada satu atau dua kawasan masih dalam kedudukan 50/50 antraa Bn dan PWS.

Apa yang jelas menerusi PRU-14 ini, harapan PWS menakluki kawasan KDM telah sirna.

PENGKHIANAT MELAYU

KUMPULAN ini, adalah golongan pengkhianat melayu. Selain itu, mereka adalah para individu yang kenyang, ibarat habis manis sepah dibuang, kacang lupakan kulit, tamak dan pentingkan diri sendiri.

Dalam usia senja, mereka ini menunjukkan siapa sebenarnya mereka. Termakbullah Doa Mantan Presiden Pas Ustaz Fadil Noor, para pemimpin Umno yang zalim, tamak-haloba, akan memperkenalkan diri sendiri, sebelum meninggalkan dunia yang fana ini.

Tun Dr Mahathir, Tun Daim, Rafidah, adalah mantan-mantan pemimpin Umno selama berdekad mencatur kepimpinan negara, mencatur ekonomi negara, sehinggakan rakyat negara ini terbuai, bahawa mereka lah yang terbaik. Namun, selepas DS Najib Razak mengambil alih pemerintahan negara, rupanya mereka ini, adalah kumpulan pariah, kumpulan tamak, kerana perbezaan ibarat langit dan bumi. Najib mengutamakan rakyat, mereka ini mengutamakan para kontraktor/kroni yang mana jari tangan pun tidak habis dikira, kerana jumlahnya terlalu sedikit.

Mereka ini, cemburu, kerana DS Najib didoakan oleh hampir 7juta penerima BRIM, sementara mereka yang tergolong tamak-haloba ini, didokong oleh beberapa kerat orang-orang kaya, yang kehilangan bisnes semasa era Najib.

Boleh percaya kah, kenyataan pemimpin seumpama ini? Jika kata Daim, orang cina jangan undi MCA, kerana semasa kepimpinan Datuk Chua Choi Lek, parti itu tidak menerima jawatan Kabinet. Sedangkan kenyataan ini, hanya sekali sahaja dibuat. Manakala Tun Mahathir, bukan sahaja menyatakan DAP adalah anti melayu, anti islam, bukan sekali tetapi beribu kali.

Berdekad, kumpulan individu ini, mendodoi kaum melayu/bumiputera bahawa DAP itu adalah parti chauvanis, namun kerana tamak haloba, mahu mendapat semula kedudukan, semua kahak ditelan semula.

5 May 2018

PRU-14 SABAH: TIADA PELUANG BAGI PEMBANGKANG

NAMPAK gayanya, selepas seminggu berkempen, status quo masih dipertahankan, malah kerusi pembangkang akan berkurang.

Pada PRU-13 pembangkang mendapat 12 kerusi Dun daripada 60 yang dipertandingkan, manakala Bn menang 48. 

Jika ramalan penganalis, sebelum pembubaran parlimen untuk membolehkan PRU-14 dijalankan, parti Warisan Sabah (PWS) akan memberi saingan sengit kepada Bn, namun kini, berbaki 4 hari kempen sebelum pembuangan undi sebenar, PWS tidakpun mengancam kedudukan Bn, sebaliknya hanya sebagai peserta dalam pesta demokrasi.

Faktor utama, mengapa parti Bn masih pilihan rakyat Sabah, walaupun berbagai cerita bohong dibuat oleh PWS dan parti pembangkang lain semata-mata untuk mengelirukan rakyat bagi memancing sokongan, nampak gaya, hanya meriah pada awalnya, akan tetapi apabila tiba pada masa penentuan, iaitu pilihanraya, rakyat Sabah memang bijak menilai, mata batu dan permata.

Parti Bn Sabah yang diterajui Tan Sri Musa Aman bagi kali ke-4, akan terus mendapat mandat daripada rakyat Sabah untuk meneruskan pembangunan & kemajuan.

Rakyat Sabah memberi kredit yang tinggi terhadap komitmen Perdana Menteri, dan sebagai balasan, rakyat Sabah terus menyokong parti Bn.

3 May 2018

PRU-14 SABAH: SHAFIE BUKAN JENAMA PILIHAN

APA yang tidak disedari pemimpin parti Warisan Sabah, bahawa jenama Shafie bukan pilihan bagi bumiputera islam mahupun bukan.

Bagi bumiputera islam, jenama Musa dan gandingan beliau Salleh, masih merupakan pilihan golongan itu, manakala pada golongan bukan islam, jenama Shafie di kedudukan tercorot berbanding pemimpin KDM yang ada dalam parti Barisan Nasional.

Berasaskan keadaan itu, parti Warisan Sabah, bukan lah ancaman kepada parti Barisan Nasional, akan tetapi hanya pesaing dalam pesta demokrasi.

Melihat kepada calon-calon PWS, tiada calon yang berwibawa memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat, ini kerana kepimpinan parti itu daripada Presiden, Timbalan dan Naib Presiden mempunyai imej negatif di mata rakyat.

Shafie mempunyai rekod tidak bertanggungjawab semasa menteri KKLW sehinggakan masih dalam jaminan SPRM. Darell pula merupakan pemimpin katak, sementara Peter Anthony dan Junz Wong mempunyai rekod buruk termasuk mahu menembak kapitan cina di Lido (Peter), sementara Junz adalah seorang pembohong sehinggakan digantung selama 6 bulan sebagai ADUN oleh Dewan Undangan Negeri Sabah.

Ada lah satu kelemahan di pihak rakyat, jika ada rakyat mengundi mereka. Di lain pihak pula, daripada senarai calon-calon PWS tiada rekod berkhidmat kepada rakyat, kecuali Datuk Karim Bujang dan Datuk Dr Yusof Yakob semasa bersama parti Barisan Nasional.

Ada lah satu kesilapan bagi pengundi, jika memilih parti dan calon-calon yang tiada rekod pencapaian, malah calon-calon yang tidak amanah semasa diberi tanggungjawab.

Para calon Barisan Nasional, selain mempunyai rekod dan pencapaian, akan tetapi mengotakan janji-janji yang telah dijanjikan.

Rekod parti Barisan Nasional Sabah semua janji-janji pada PRU-13 telah ditunaikan, manakala janji-janji parti-parti yang bertanding pada PRU tersebut, DAP dan PKR serta STAR, sudah hanyut ke laut.

Demikian juga janji-janji parti-parti sedemikian seperti parti PWS, dan parti pembangkang lain, selepas PRU-14, akan juga hanyut ke laut, kerana janji-janji mereka itu hanya janji bulan bintang dan retorik.

2 May 2018

RAMALAN KEPUTUSAN AWAL KAWASAN KOTA BELUD

ADALAH diramalkan, bahawa semua kawasan yang dipertandingkan di kawasan Kota Belud akan dimenangi calon-calon parti Barisan Nasional.

Kota Belud mempunyai 3 DUN, iaitu Tempasuk, Kedamaian dan Usukan. 

Pada PRU kali ini, Tempasuk mempunyai 19,129 pengundi. Diperkirakan seramai 15,686 akan menunaikan tanggungjawab. Daripada yang keluar mengundi calon Bn akan mendapat 8,941 undi, manakala calon terdekat daripada PKR dengan undi 4,549. Dengan demikian, Bn menang dengan majoriti 4,392.

Bagi Dun Kedamaian pula mempunyai 17,982 pengundi. Diperkirakan seramai 14,745 akan menunaikan tanggungjawab. Daripada yang keluar mengundi calon Bn akan mendapat 7,078 undi, manakala calon terdekat daripada PKR dengan undi 4,866. Dengan demikian, Bn menang dengan majoriti 2,212.

Dun Usukan pula, mempunyai 20,808 pengundi. Diperkirakan seramai 17,063kan menunaikan tanggungjawab. Daripada yang keluar mengundi calon Bn akan mendapat 11,773 undi, manakala calon terdekat daripada PWS dengan undi 4,948. Dengan demikian, Bn menang dengan majoriti 6,825.

Untuk Parlimen Kota Belud pula, calon Bn- Datuk Salleh Tun Said akan mendapat undi sebanyak 28,496. Manakala calon terdekat PWS sebanyak 16,623. Dengan demikian, calon Bn menang dengan majoriti 11,873.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels