Mesyuarat Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) peringkat negeri Sabah hari ini telah dipengerusikan bersama oleh saya dan Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin di Menara Kinabalu, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).
Fokus utama perbincangan adalah menjurus kepada usaha Kerajaan Negeri Sabah dengan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan untuk memerangi COVID-19 di negeri ini khususnya menerusi program imunisasi dan juga keperluan-keperluan pengurusan pandemik COVID-19 yang lain.
Antara intipati utama perbincangan adalah komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menghantar 2.89 juta dos vaksin pada bulan September ke negeri Sabah. Dengan penghantaran bekalan vaksin ini kita dapat meningkatkan kadar vaksinasi harian kepada 60,000 hingga 70,000 dos sehari sekaligus membantu kerajaan negeri mencapai sasaran 60% daripada jumlah populasi dewasa di negeri ini mendapat vaksinasi lengkap menjelang akhir bulan September, dan 80% menjelang akhir bulan Oktober.
Kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) juga akan meneruskan serta mempertingkatkan program ‘Mobile Outreach’ pada bulan September dan Oktober yang akan melibatkan lebih 130 program bagi memperluaskan jangkauan program imunisasi ke kawasan pedalaman.
InsyaAllah, selepas Sabah mencapai kadar imuniti kelompok bulan Oktober nanti, kita akan meneruskan program vaksinasi kepada golongan remaja terutamanya mereka yang berisiko tinggi.
Selain itu 480 unit silinder oksigen, 24 kotak regulator oksigen dan 5 buah kotak ubat-ubatan COVID-19 akan sampai ke negeri Sabah pada hari esok melalui penghantaran khas oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Sebagai tambahan, Unit Rawatan Rapi (ICU) modular dengan kapasiti 10 katil untuk kegunaan Hospital Tawau dan 29 buah ambulans tambahan untuk keperluan hospital-hospital di negeri Sabah juga akan dihantar pada kadar segera.
Kementerian Kesihatan juga akan membuat mobilisasi tenaga kerja iaitu seramai 97 pegawai lantikan telah di arah melapor diri ke Sabah pada Ogos dan September, 50 orang pegawai perubatan akan ditawarkan perlantikan tetap bermula 13 September dan baki keperluan pegawai perubatan akan ditampung dengan pengisian pegawai perubatan siswazah. Selain itu, 78 penolong pegawai perubatan dari Kolej Eastern yang telah dimobilisasi ke Selangor tempoh hari akan dihantar semula bertugas ke negeri Sabah selewat-lewatnya akhir minggu ini.
Mesyuarat turut dihadiri oleh YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II, YB Tuan Haji IR. Shahelmey Bin Yahya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Exco Kesihatan Negeri Sabah, YBhg. Dato’ Mohd Shafiq Bin Abdullah, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Bin Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YB Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Rosmadi Datu Sulai, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (KPPAN), Dr Rose Nani Mudin, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah dan para pegawai tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)- fb Datuk Hajiji Haji Noor