BUAT pertama kalinya Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), DATUK S. NALLAKARUPPAN bersetuju ditemu bual. Itu pun selepas muak dan mual menonton lagak Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjuk perutnya pada sidang akhbar menafikan beliau individu dalam video seks yang didedahkan baru-baru ini.
Terlalu banyak yang diketahui Nallakaruppan tentang penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu. Bagi beliau, adegan-adegan yang disaksi dengan matanya sendiri bukan cerita bohong dan juga bukan konspirasi. Beliau hairan mengapa masih ramai yang tegar mempercayai Anwar tidak bersalah sedangkan keengganan Ketua Pembangkang itu menyerahkan sampel DNA-nya sudah cukup untuk membuktikan sebaliknya.
Sepanjang tiga jam ditemu bual, beliau sering dilihat berfikir dan merenung pengalamannya semasa menjadi rakan baik Anwar. Ditanya mengapa terlalu lama mengambil masa untuk meninggalkan Anwar, katanya, selepas bebas daripada dipenjara setahun, beliau menyangka ‘sahabatnya’ sudah berubah. Namun Anwar tidak berubah. Ikuti wawancara Nallakaruppan bersama wartawan Mingguan Malaysia, NORAINI ABD. RAZAK dan HAFIZAHRIL HAMID.
MINGGUAN: Macam mana Datuk mula mengenali Datuk Seri Anwar Ibrahim?
NALLAKARUPAN: Saya mengenali Anwar bila dia berada di dalam ABIM. Saya mengenali seorang rakan Datuk Kordia Singh, Dia rapat dengan bapa Anwar. Ketika itu saya lihat beliau sebagai lelaki muda yang sangat aktif. Kemudian dia menceburi politik dan menjadi timbalan menteri di Kementerian Belia dan Sukan. Datuk Seri S. Samy Vellu banyak kali memberitahu bahawa Anwar meminta saya berjumpa dengannya. Saya beberapa kali menolak namun pada satu hari selepas mesyuarat Kabinet Samy Vellu telefon dan minta saya datang kerana Anwar mahu berjumpa. Hanya ketika itulah saya berjumpa dengannya. Sejak dari itu saya berjumpa di rumahnya dan kemudian menjadi semakin rapat.
Saya mula rapat sekitar tahun 1983 dan sebelum itu saya hanya berjumpa sekali sekala.
Bagaimana Datuk melihat Anwar ketika itu?
NALLAKARUPAN: Pada saya ketika itu beliau dilihat sebagai seorang yang berperangai baik. Pada awalnya tidak ada sebarang yang pelik hanya setelah beberapa lama baru beliau tunjukkan kelakuan sebenar dan saya agak terkejut dan sedih. Aktivitinya mula diketahui namun beliau tetap tidak berubah. Tiada siapa yang boleh menasihatkannya kerana beliau tidak akan mendengar. Kemudian ketika saya bersama Datuk V.K Lim atas urusan perniagaan dan mengambil alih kepentingan dalam syarikat Multi Purpose. Ketika itu saya masih bersama Magnum. Saya pernah berhasrat untuk berhenti kerana tidak tahan dengan apa yang dilakukan Anwar tetapi dihalang oleh V.K Lim. Beliau berpandangan kita berurusan perniagaan, jangan mencari pasal dengannya dan jangan berhenti. Saya tiada pilihan, di satu pihak ia berkaitan dengan kelangsungan hidup saya, di satu pihak melibatkan syarikat saya dan di satu pihak pula ia melibatkan kawan saya.
Bila Datuk mula perasan Anwar ini mempunyai perangai pelik?
NALLAKARUPAN: Perangai peliknya itu mula saya lihat ketika beliau berada di Kementerian Pelajaran. Saya tidak pernah melihat dalam hidup saya seorang lelaki yang berperangai pelik sebegitu. Anwar dan saya umur lebih kurang tapi saya tidak pernah lihat orang bernafsu seperti itu. Saya boleh katakan beliau ini mempunyai masalah split personality. Berperangai alim pada satu masa namun melakukan perbuatan buruk pada waktu lain. Saya pernah menunjukkan gambar beliau duduk bersebelahan imam di Masjid Negara. Saya secara bergurau berkata, “awak buat jahat semalam tapi esok you pergi masjid duduk sebelah imam.’’ Anwar menjawab itu budak jahat (gambar) tapi ini budak baik (tunjuk dirinya). Anwar mengaku dia rascal.
Saya adalah seorang yang percaya pada Tuhan dan pada awalnya saya melihat beliau adalah seorang pemimpin untuk negara. Tapi bila sudah terlibat dalam perbuatan tidak bermoral saya tidak pernah menyangka akan ada seorang yang berjawatan tinggi dalam kerajaan akan berkelakuan sedemikian. Saya mula merasa tidak kena beberapa ketika kemudian saya ditangkap. Namun kemudian saya berfikir tidak boleh membiarkan beliau begitu saja atas dasar kawan. Keadaan akan berlainan jika saya memilih untuk bersama kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir ketika itu tetapi saya tidak melakukannya. Bila sampai waktu Anwar dibebaskan saya beranggapan beliau akan berubah tetapi itu tidak berlaku. Anwar tidak pernah berubah. Pada masa itulah saya membuat keputusan untuk meninggalkannya.
Kenapa Datuk mengambil masa yang lama, lebih 20 tahun untuk meninggalkan Anwar?
NALLAKARUPAN: Saya bertindak keluar setelah berbincang dengan beberapa rakan rapat. Mereka memberitahu saya perlu lakukan (tinggalkan Anwar) untuk negara dan masyarakat dan bukan kerana hanya fikirkan tentang seorang kawan. Kata-kata ini telah diucap oleh seorang tokoh yang dikenali dan saya akur kerana mendengar ia perlu dilakukan untuk negara dan masyarakat. Pernah pada ketika beliau di dalam kerajaan sekitar tahun 1996 atau 1997, Anwar mengugut saya menyuruh polis menangkap saya jika saya meninggalkan beliau. Saya ketika itu telah bersedia untuk meninggalkan semuanya tetapi V.K Lim telefon meminta saya membatalkannya. Ia satu keadaan yang sangat sukar bagi saya. Malah ketika kisahnya terdedah kepada umum saya pernah berkata kepada Anwar bahawa apa yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir adalah betul, kenapa tidak mengaku saja.
Apakah Azizah, Azmin dan anak-anak beliau tahu siapa sebenarnya Anwar?
NALLAKARUPAN: Saya pasti Azizah dan Azmin tahu siapa beliau. Tapi mereka seperti biasa akan mengatakan semua yang berlaku adalah konspirasi. Sebenarnya tidak ada konspirasi dan saya berani mengatakan apa yang Tun Dr. Mahathir katakan adalah betul walaupun pada satu ketika saya tidak memihak kepada beliau. Kita lihat dalam kes liwat melibatkan Saiful Bukhari, perkara yang mudah seperti menyerahkan DNA pun begitu sukar untuk dilakukan. Beliau tetap mengatakan semua itu adalah konspirasi. Semasa polis menangkap saya dulu pihak polis mahu mengambil sampel DNA saya, saya tidak ada masalah, ambillah. Kenapa Anwar tidak mahu bagi sedangkan suspek adalah beliau. Saya telah ditahan di Bukit Aman hampir 50 hari. Saya masih lagi memikirkan tentang kawan ketika itu. Namun kini saya sangat menyesal kerana tidak membantu kerajaan ketika itu.
Penyokong Anwar ramai yang fanatik. Mungkin Datuk ada perkara yang tidak pernah diberitahu untuk dikongsi kepada mereka?
NALLAKARUPAN: Bagi saya apa saja yang dikatakan atau keluar dari mulutnya adalah temberang. Saya pernah berkawan rapat dengannya dan saya tahu. Bila beliau menjadi Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri, dia boleh twist and talk bila-bila masa seperti sesumpah. Lidahnya sangat bercabang Dia boleh kata buah epal yang dipegangnya adalah buah oren. Begitu hebat beliau memutar belit. Rakyat pula tertipu dengan tipu helah dan putar belit yang dikatakan kerana kepetahannya berkata-kata. Itulah perangai sebenarnya. Sayangnya kepetahan dan bakat berpidatonya tidak digunakan untuk kebaikan negara. Kelakuan sebenarnya boleh menghancurkan negara.
Datuk dikenali sebagai rakan tenis Anwar, boleh ceritakan?
NALLAKARUPAN: Kami bermain tenis di sebuah tenis court berdekatan dengan Bangsar Shopping Centre dan Tivoli Villa Condominium. Tempat ini di bangunkan oleh Multi Purpose dan Bandar Raya Development untuk kami bermain tenis. Kami mempunyai seorang jurulatih dari Chicago. Namun dalam banyak hal orang mengetahui beliau menghabiskan masa bermain tenis. Selalunya saya bergerak dengan pemandu saya tetapi bila Anwar mahu menukar aktivitinya saya akan memandu. Ketika itu beliau adalah Timbalan Perdana Menteri dan saya pernah beritahu beliau jika apa-apa berlaku, saya akan masuk penjara.
Apa yang Datuk boleh lakukan untuk orang ramai tahu siapa sebenarnya Anwar?
NALLAKARUPAN: Bagi saya semua pihak termasuklah parti politik seperti UMNO perlu membantu usaha ini. Saya ada berceramah ketika pilihan raya dan ramai yang mahu berjumpa saya secara personal untuk tahu lebih lanjut. Banyak tempat sudah saya pergi dan nama saya sudah sangat dikenali. Namun secara personal saya katakan mereka tidak melihat apa yang berlaku. Memang orang suka mendengar ceramah yang saya sampaikan tapi saya juga perlu fikir apakah saya perlu terlalu menonjol begini. Tapi saya juga tidak mahu mengambil risiko yang agak keterlaluan.
Dalam keadaan sekarang dengan ada banyak kes melibatkan beliau di mahkamah dan pelbagai lagi nanti akan timbul pandangan apa yang dikatakan tidak betul. Kita mahu penerangan ini dilakukan secara tersusun supaya orang betul-betul faham dan sedar. Tapi saya berterus terang apa yang orang ramai tahu hanyalah 20 peratus daripada kisah keseluruhannya. Saya pernah berceramah di Permatang Pauh dan saya ada sedikit bercakap tentang aktivitinya dan yang berkaitan dengan wang judi Magnum. Kemudian beliau menyaman saya sebanyak RM50 juta. Saya sebenarnya sangat gembira beliau saman saya kerana sekurang-kurangnya di mahkamah nanti saya akan dedahkan semuanya. Saya akan mendedahkan segalanya di mahkamah nanti, apa yang dilakukan, aktiviti yang dibuat, semua akan didedah. Saya memang menanti saat itu dan tidak sabar mahu berjumpa Anwar di mahkamah.
Ambil contoh kes video seks baru-baru ini, ramai yang beranggapan itu adalah konspirasi. Kalau hendak tunggu kes mahkamah akan ambil masa Datuk?
NALLAKARUPAN: Dalam kes itu Datuk Shazryl Eskay Abdulla memang rapat dengan Anwar. Selepas pembedahan Anwar, beliau berada di Universiti Oxford di London dan Anwar juga minta saya datang ke sana katanya atas urusan perniagaan. Eskay berada di sana selama dua tiga hari. Adalah mengejutkan Anwar tetap berkelakuan sama dan saya tidak bersetuju dan saya balik. Anwar masih lagi berperangai sama dan saya tidak faham kenapa beliau masih begitu. Seolah-olah Anwar menganggap saya seperti bapa ayam. Satu lagi saya hendak nyatakan di sini adalah tidak betul bahawa Anwar tidak mengenali Eskay kerana mereka telah kenal lama. Saya kesal kerana Anwar mempunyai isteri dan anak namun beliau tidak peduli tentang semua itu. Apa yang difikirkannya adalah apa yang perlu untuk dirinya dan bukan orang lain. Anwar adalah seorang yang tidak akan berubah malah sehingga ke liang lahad sekalipun. Malah jika beliau hidup balik pun Anwar akan tetap mengulangi perbuatan yang sama.
Apa yang membuatkan Datuk benar-benar kecewa dengan Anwar?
NALLAKARUPAN: Saya kesal kerana Anwar tidak mahu berubah. Saya ingat selepas keluar penjara dia akan berubah tetapi sama saja. Beliau memang tidak akan berubah walaupun selepas dia mati nanti. Sekali lagi saya cakap kalau Anwar boleh hidup balik dia akan ulang balik perangai buruknya itu. Tapi sebenarnya apa yang saya lakukan ini adalah untuk kebaikan negara dan orang ramai seperti nasihat dari rakan dan tokoh yang saya katakan tadi. Ketika saya di dalam penjara saya pernah diugut akan digantung kerana kesalahan yang dilakukan namun saya tidak bekerjasama. Ketika itu apa yang saya lakukan kerana Anwar adalah kawan baik saya. Tapi saya silap kerana ia tidak berbaloi. Anwar sangat pandai berlakon sehinggakan ramai orang terpengaruh dengan lakonan dan penipuan beliau. Bagi saya beliau tidak akan berubah.
Memang saya silap tidak keluar lebih awal tapi apa yang saya lakukan ini adalah untuk negara kerana pemimpin datang dan pergi namun negara ini akan tetap kekal. Saya sendiri masuk penjara ketika zaman Tun Dr. Mahathir tetapi saya tidak menyalahkan beliau dan tidak pernah bercakap buruk tentangnya. Malah saya menghormati beliau dan tidak menyimpan dendam terhadapnya kerana saya tahu apa yang dilakukan beliau adalah betul. Saya cabar Anwar supaya mengheret Tun Dr. Mahathir ke mahkamah supaya saya boleh menjadi saksi pertama untuk Tun. Dr. Mahathir. Saya akan lakukan walaupun beliau pernah memenjarakan saya. Oleh itu saya melihat apa yang saya lakukan ini adalah untuk negara dan masyarakat. Saya tahu apa yang Anwar lakukan adalah salah kerana saya berada dan melihat sendiri apa yang beliau lakukan. Saya sanggup mati untuk negara jika itu yang perlu saya lakukan untuk menegakkan kebenaran yang diselindung oleh Anwar. Dan yang paling penting tidak ada orang yang boleh membeli saya kerana saya bukan orang yang murah maruahnya untuk dibeli. Saya adalah manusia yang berpegang pada prinsip tapi Anwar bukanlah orang yang tahu apa maknanya prinsip.
Berapa lama lagi Anwar akan bertahan?
NALLAKARUPAN: Bagi saya apa yang dilakukan beliau adalah sekadar berlakon. Beliau lahir di Pulau Pinang sama seperti Tan Sri P. Ramlee. Kedua-duanya pelakon tapi Anwar lebih hebat kerana berlakon di pentas sebenar. Begitu juga bagi Wan Azizah dan Azmin yang mana mereka adalah pelakon dan Anwar adalah pengarah. Kalau tidak bagaimana Wan Azizah boleh kata Anwar adalah pemimpin anugerah Tuhan. Beliau adalah pelakon terbaik dan tidak ada orang yang boleh berlakon seperti Anwar.