Keputusan sudah diketahui. Pemenang juga sudah diketahui. Kabinet Sabah sudah dibentuk dan telahpun mengangkat sumpah. Hanya yang belum, angkat sumpah semua ADUN yang menang di depan Speaker DUN.
Diantara 48 ADUN Sabah yang menang, 29 daripadanya menganggotai jemaah menteri Sabah dan seorang dilantik sebagai Pengerusi GLC bertaraf menteri.
Dengan perlantikan 29 ADUN sebagai jemaah menteri, maka 18 yang lain menjadi Penyokong kerajaan. Jumlah itu telah cukup berentap dengan Pembangkang yang berjumlah 12.
Pada kali ini, DUN Sabah akan kehilangan pendebat yang cukup mendapat perhatian ADUN, yang pertama Jimmy Wong dan kedua Masiung Banah. Jimmy Wong tidak bertanding DUN, manakala Masing dilantik menganggoti jemaah menteri sebagai Pembantu Menteri Belia dan Sukan Negeri.
Keterangan di atas adalah output daripada PRU-13 yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada petang 5 mei lalu.
Untuk rekod pada PRU-12, kerusi DUN Sabah hampir disapu bersih oleh BN, kerana hanya satu kerusi dimenangi pembangkang (DAP). Keputusan itu mengulangi pencapaian PRU-11, di mana daripada 60 DUN, 59 BN dan satu bukan.
Pada PRU-13 lalu, keputusan, walaupun masih berpihak kepada BN dengan penguasaan 2/3 dengan jumlah kerusi 48; namun rekod dua pilihanraya sebelumnya tidak dapat dilulangi.
Penyumbang kepada kegagalan BN itu, apabila parti komponennya PBS yang mana satu ketika adalah parti pembangkang terbesar dalam Dun Sabah mengalami kekalahan separuh dari kawasan-kawasan yang ditandinginya.
PBS betanding 14 kerusi DUN dan hanya menang 7 daripadanya. Walaupun, mengalami kekalahan teruk, tidak membawa impak terhadap keanggotaannya dalam jemaah menteri sabah, apabila enam daripada ADUN yang menang dilantik, samada sebagai menteri penuh ataupun pembantu menteri.
Parti komponen berikutnya yang menyumbang kepada berkurangnya kerusi BN adalah Upko dan MCA, apabila dua calonnya masing-masing tewas; kemudian diikuti oleh Umno apabila kalah di Dun Klias, kekalahan pertama Parti itu sejak tahun 1994.
Kekalahan calon Umno di Dun Klias telah mencacatkan rekodnya yang bersih setiap pilihanraya.
Apa yang menarik pada PRU-13 lalu, BN bukan sahaja ditolak di kawasan bandar malah di pendalaman. Kekalahan BN di Bingkor, Klias, Matunggong dan Kedamaian merupakan isyarat kepada Bn pada PRU-14 akan datang, bahawa golongan rakyat di pedesaan bukan lagi simpanan tetap BN. Juga, apa yang menarik, pada keputusan PRU-13, apabila undi popular tidak diperolehi oleh dua pemimpin utama PBS-iatu Tan Sri Pairin Kitingan dan Timbalannya Datuk Dr Maximus Ongkili. Jika berasaskan teori angka, dan berlaku pertembungan satu lawan satu, kedua-dua pemimpin utama PBS itu sebenarnya telah tewas.
Di kawasan bandar, terutama di kawasan Pantai Barat, sudah tentunya bukan lagi wilayah BN, walaupun dua kawasan di menangi-iaitu Tanjong Aru dan Petagas. Karambunai walaupun dikategorikan bandar, namun didiami oleh majoriti penduduk luar bandar.
Percayalah bukan mudah untuk menang bagi kawasan-kawasan yang dimenangi pembangkang. Sebagai contoh- Dun Sri Tanjong, kawasan itu yang dimenangi DAP pada PRU-2008, juga dimenangi parti itu pada PRU-13 dengan jumlah majoriti yang semakin meningkat.
Kawasan seperti Inanam, Luyang, Kepayan, Api-Api, Likas bukan mudah dimenangi lagi; sementara Moyog, Bingkor, Tamparuli, Matunggong, Klias, Kedamaian mungkin akan dimenagi Bn jika percaturan mengena pada PRU-14 akan datang.
Dengan berlakunya fenomena penerimaan rakyat terhadap parti-parti yang bertanding, Bn tidak boleh mengambil mudah penerimaan rakyat terhadap dua parti pembankang-iaitu PKR dan DAP. Pada tahun 2008, lambang DAP belum lagi masung kampung, namun pada PRU-13 lalu, bendera parti itu bukan sahaja dipasang di jalan-jalan, malah dinaikkan di rumah penduduk; sebagai tanda jelas, DAP sudah mereka terima. Di Tuaran misalnya, bendera DAP malah dikibarkan di Surau penyokong pembangkang.
Satu fenomina telah berlaku, di Kota Belud misalnya, suatu masa dahulu, bendera PAS adalah taboo dikibarkan di kawasan penduduk bukan islam; demikian juga bendera DAP taboo dikibarkan di kawasan penduduk islam, namun pada PRU-13 lalu, pengibaran bendera-bendera dua parti itu sudah menjadi perkara biasa.
Juga, perkara yang perlu diperhatikan oleh Bn, bahawa pada PRU-13 lalu, tiada seorangpun calon dari PKR, PAS atau DAP kehilang wang deposit; bebanding pada PRU-PRU lalu, kehilangan wang deposit adalah langganan calon-calon PAS mahupun PKR.
Bn Sabah perlu mengambil iktibar daripada keputusan PRU-13. Mengubah cara pendekatan, mungkin boleh mengembalikan sokongan rakyat. Formula itu, perlu ditemui daripada sekarang.