17 May 2013

Barisan Kabinet Baru: Utamakan Ketelusan Pentadbiran- Najib

Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak menekankan kepentingan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan kerana ia adalah aspek yang dieksploitasi dan digembar-gembur oleh pembangkang tanpa mengambil kira sama ada ia bersandarkan kepada realiti atau persepsi.

Perdana Menteri berkata, ketika ini pembangkang hanya tahu bagaimana persepsi boleh mengatasi realiti. 

Katanya, dalam mesyuarat khas jemaah menteri yang dipengerusikannya buat kali pertama semalam selepas PRU-13, beliau meminta supaya anggota pentadbiran kerajaan memberikan maklum balas dengan lebih pantas dan lebih tegas terhadap sebarang isu yang dibangkitkan pembangkang. 

Perdana Menteri berkata, beliau turut menegaskan betapa penting bagi anggota Kabinet untuk bersedia menghadapi penilaian awam yang lebih tinggi lagi.

Maknanya, jangkaan atau harapan rakyat terhadap tingkah laku kita, sama ada pada diri kita mahupun anggota keluarga, adalah begitu tinggi. Oleh itu, kita mesti menjaga apa saja yang kita lakukan, pembawaan dan cara hidup supaya rakyat tidak mempersoalkan apa saja membabitkan integriti kita sebagai anggota pentadbiran, katanya.

Mesyuarat pertama Kabinet

Pagi semalam, anggota Kabinet baru mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, di Istana Negara. 
Mesyuarat pertama Kabinet baru hari ini berlangsung selama hampir dua jam, sejurus mereka bergambar beramai-ramai di Aras Satu bangunan Putra Perdana, pada jam 3.15 petang.

Merujuk kepada anggota Kabinet baru Najib berkata, beliau melihat mereka sememangnya bersemangat tinggi dan bersedia memikul tanggungjawab sebagai satu pasukan.

Insya-Allah kita akan melakukan yang terbaik untuk memenuhi dan melaksanakan segala amanah dan janji kita kepada rakyat, katanya.

Perdana Menteri berkata, dalam mesyuarat pertama itu beliau juga menegaskan pentingnya untuk menjunjung amanah dan kepercayaan diberikan rakyat kepada kerajaan.

Katanya, beliau menegaskan bahawa apa saja disuarakan anggota Kabinet, ia bukan atas nama individu, sebaliknya mewakili kerajaan dan adalah pendirian bersama.

Apa saja yang kita lakukan, ia mesti atas nama sebuah kerajaan, bukannya kita bergerak dalam compartment (ruang atau bahagian yang terpisah daripada bahagian lain) atau silo masing-masing. Saya tegaskan penting kita menjadi satu pasukan yang jitu, kukuh dan selaras tindakan kita, sama ada dalam negara mahupun di luar negara, sama ada kita berbicara dengan media tempatan mahupun media antarabangsa, katanya.

Beliau meminta setiap anggota Kabinet memberi nilai tambah kepada perkhidmatan dengan bukan hanya menjaga kementerian atau kawasan masing-masing, sebaliknya sanggup melakukan lebih daripada itu termasuk menyertai forum bersama dengan rakyat, sama ada penyertaan secara bersemuka, mahupun menerusi media sosial atau tradisional.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels