15 May 2013

Julung Kalinya Wakil Rakyat Kota Belud dilantik Menteri Penuh Kabinet Persekutuan

Kota Belud, kata orang tempatan adalah kilang pemimpin; penyebabnya, daripada semua jawatan politik di Sabah, pernah dijawat oleh pemimpin politik yang mewakili KotaBelud.

Daripada jawatan Tuan Yang Terutama sehingga ke jawatan Ketua Menteri. Namun pada kali ini jawatan Menteri Penuh diberikan kepada wakil rakyat yang mewakili Kota Belud, walaupun sebelum ini ada seorang pemimpin Kota Belud pernah dilantik sebagai Menteri Penuh, iaitu Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia (Sekarang ini sebagai Speaker Dewan Rakyat), namun bukan sebagai wakil rakyat, melainkan sebagai senator.

Kota Belud adalah anak sulung Umno di Sabah, apabila Parti Terbesar di negara itu mengembangkan sayapnya ke Sabah pada tahun 1991.

Perlantikan Datuk Rahman Dahalan sebagai Menteri Kesejahteraan bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merupakan penghormatan kepada rakyat Kota belud, yang sememangnya dari dahulu adalah penyokong tegar barisan nasional, walaupun salah satu DUN terlepas ke tangan parti PKR pada PRU-13 yang lalu.

Kota Belud yang sudah dikenal pasti sebagai kawasan baru Jelapang Padi negara, sudah tentunya berbangga dengan perlantikan wakil rakyatnya. Melalui perlantikan itu, sudah tentunya Pekan Kota Belud akan berubah wajah, daripada pekan kecil kepada pekan besar, kerana keadaan memerlukan.

Bagi yang pernah melawat Kota Belud, kawasan pekan itu, sudah begitu sesak, bukan sahaja sesak dengan pembangunan kedai, akan tetapi sesak dengan kenderaan. Saban hari, masalah utama penduduk pekan adalah kesesakan lalu lintas, kerana kecilnya kawasan pekan.

Di keranakan Menteri yang mengurus Bandar kebetulan adalah wakil rakyat Kota Belud, sudah tentunya satu Master Plan bagi mengwujudkan Pekan Baru Kota Belud akan terealisasi, setidak-tidaknya dalam tempoh lima tahun.

Satu Pekan Kota Belud yang seronok di lawati, seronok untuk didiami, kerana keadaan yang mesra penghuni; selain itu mesra alam sekitar, kerana ditumbuhi oleh pemandangan cantik seperti taman-taman bunga dan taman-taman permainan.

Satu harapan besar daripada Menteri, mudah-mudahan pandangan ini diambilkira.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels