29 June 2013

Tumpukan kepada Janji Ditepati: Musa

Tuan Haji Nizam (Duduk-tengah)
KETUA MENTERI Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman mengingatkan agar semua jajaran barisan kerajaan  berkerja bersungguh-sungguh bagi menepati janji-janji kerajaan kepada rakyat.

Musa memberitahu demikian semasa majlis perlantikan setiausaha-setiausaha politik di berbagai Kementerian termasuk Jabatan Ketua Menteri.

Menurut Musa, Piliahanraya ke-13 sudah berlalu, barisan kabinet telahpun dibentuk dan setiausaha-setiausaha poltik telahpun dilantik, atas sebab itu masa berkerja adalah menjadi keutamaan.

Pada PRU-13 lalu, BN Sabah menang dengan kuasa 2/3 Dewan undangan Negeri, apabila memenangi 48 kerusi daripada 60 DUN Sabah.

Pada Majlis semalam, seramai 14 setiausaha-setiausaha politik telah dilantik, di mana diantaranya lapan muka baru.

Tuan Haji Nizam Datuk Haji Abu Bakar Titingan telah dilantik semula ke jawatan Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, walaupun sebelum itu ada spekulasi bahawa beliau akan mengetuai salah satu GLC milik kerajaan Negeri.

Salah seorang setiausaha politk yang dilantik semalam, adalah mantan pegawai di Jabatan Ketua Menteri Mohd Joh Haji Wid dan kini dilantik sebagai setiausaha politik di Kementerian Kewangan.

Sementara itu, Datin Maizatul Akmam Haji Alwi dikekal di Kemenetrian Kewangan, demikan juga Datuk Amisah Yasin kekal di Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

26 June 2013

Pembenihan Awan

Proses ini adalah satu perkara yang perlu kita tahu. Jerebu yang melanda adalah satu desakan yang kuat untuk melakukan proses ini walaupun kosyang tinggi.

Terdapat 3 JENIS pembenihan awan iaitu:

Pembenihan dinamik awan

Arus udara menegak terdorong dan lebih banyak air melalui awan. Hal ini membawa pada lebih banyak hujan. Kaedah ini mempunyai 11 peringkat yang berbeza yang terlibat dan setiap kesalahan di salah satu peringkat boleh merosakkan seluruh proses.

Pembenihan Awan Higroskopik

Bahan letupan dan flare digunakan untuk menyebarkan garam melalui bahagian bawah awan. Air tertarik pada garam dan siaznya membesar lalu turun ke bawah sebagai hujan. Teknik ini masih memerlukan banyak kajian.

Pembenihan Awan Statik

Bahan kimia iaitu silver iodide disebarkan ke dalam awan. Kelembapan yang terdapat dalam awan terkondensasi di sekitar kristal. Hal ini membuat awan lebih berkesan dalam penyebaran hujan di tempat – tempat tertentu.

Namun begitu, Pembenihan awan bergantung pada cuaca. Kehadiran awan adalah suatu kemestian.Teknik ini juga bergantung pada suhu dan komposisi awan.

Pembenihan awan amat sangat komplesk cara persediaannya dan mungkin mengambil masa beberapa tahun latihan untuk menghasilkan buah (awan).Tidak ada sistem kawalan di tempat untuk menentukan di mana hujan akan jatuh.

Najib Yakin "Malaysian Spring" tidak berlaku di Malaysia

Najib dan Anwar di Dewan Rakyat pada 24 jun 2013
Kerajaan BN  tidak yakin slogan 'Malaysian Spring' yang digambarkan sebagai usaha pihak tertentu untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan akan berlaku di negara ini.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana pihak yang menggunakan perkataan 'rakyat' bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Kerajaan tidak takut kepada perkataan 'Malaysian Spring'. Asas yang saya tekankan ialah apa-apa tindakan yang dilakukan mestilah berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan kerana ia adalah perkara pokok," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Beliau menjawab soalan yang dibangkitkan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) berhubung tindakan polis menjalankan siasatan terhadap ahli seumur hidup DAP, Dr Chen Man Hin yang menggunakan terma 'Malaysian Spring'.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Dr Chen dipanggil untuk disoal siasat pihak polis kerana didakwa merancang untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan seperti yang berlaku di Timur Tengah melalui gerakan yang dikenali 'Arab Spring'.

Mengulas mengenai perkara itu, Najib bagaimanapun berkata sebarang tindakan undang-undang berhubung siasatan terhadap Dr Chen adalah di bawah bidang kuasa Peguam Negara.

Kepada soalan asal yang dikemukakan oleh Datuk Dr Abd Latiff (BN-Mersing) berhubung penyalahgunaan perkataan 'rakyat', Najib berkata Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan kepada masyarakat untuk menyuarakan pendapat dan pandangan.

Namun tegas Perdana Menteri, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melangkaui batas Perlembagaan Persekutuan

18 June 2013

Pemilihan Umno: Antara Kesinambungan dan Perubahan

ADA dua kepentingan: Dari kacamata kepimpinan, kesinambungan adalah faktor utama meneruskan suatu kemajuan; manakala daripada kaca mata ahli- pergantian kepimpinan adalah sesuatu yang wajar dilakukan untuk menyuntik idea idea dan pendekatan baharu demi pembaharuan ke arah perubahan.

Kesinambungan kepimpinan membolehkan sesuatu yang dirancang itu hanya menunggu pelaksanaan; sementara jika berlaku perubahan kepimpinan, sudah tentunya kepimpinan baharu itu perlu melaksanakan perancangan terlebih dahulu sebelum pelaksanaan.

Boleh juga berlaku, kempimpinan yang baru itu mempunyai perancangan awal, dan hanya menunggu menjadi pemimpin untuk melaksanakan perancangannya, atas sebab itu seseorang itu menawar diri bertanding merebut sesuatu jawatan.

Di lain pihak, penyandang sesuatu jawatan telahpun merancang sesuatu untuk tindakan pelaksanaan, hanya mungkin kekangan waktu dan kewangan membantut pelaksanaannya; atas sebeb itu dijadikan modal bagi pencabar untuk menggamit sokongan daripada para ahli, agar diberi peluang untuk menduduki sesuatu jawatan.

Sebenarnya, yang menjadikan sesuatu perjuangan itu relevan atau tidak terletak bukan pada perubahan tetapi kepada kekuatan kesahihannya. Dan dalam konteks UMNO faktor kesinambungan inilah yang memberi kekuatan kesahihan kepada perjuangan kebangsaan Melayu yang berbeza dari kaum dan parti lain.

Pada tahun-tahun 1990-an, untuk tempoh selama lebih sedekad UMNO seolah-olah terpukau dengan perkataan `arus perubahan'. Oleh kerana ia begitu sering diucap, sehingga hampir menjadi satu mantra, maka makna asalnya telah tenggelam dan perkataan perubahan tadi telah mendapat makna baru, iaitu perubahan, tak kira jenis apa pun, adalah sesuatu yang baik dan seterusnya diingini.

Kita begitu taksub dengan perubahan sehinggakan banyak idea serta adab berpolitik yang sihat turun-temurun telah digadaikan. 

Hakikat bahawa sesetengah dari idea-idea tersebut merupakan idea yang paling bernas pada masa ia diterbitkan, dan hakikat bahawa ia telah banyak berjasa dan masih boleh diguna pakai tidak lagi jadi perhitungan, pada ketika itu kita hanya setia pada label `perubahan'. 

Kenapa kita begitu terpesona dengan perubahan? Perubahan adalah sesuatu yang lumrah, boleh jadi baik atau boleh jadi buruk, terpulang kepada bagaimana kita mengendalikannya. Secara tersendiri ia tidak mempunyai makna. We were hypnotise by the allure of change, not relizing that change is the natural order of things while progress is not. 

Kita mahukan kemajuan dalam semua lapangan hidup, moral dan material, bukan sekadar perubahan. 

Hala tuju bangsa tidak boleh ditentukan secara mutlak oleh perubahan, kita harus mengawal perubahan, bukan kita yang ditentukan oleh perubahan. 

Lebih dari itu, bagi Umno jika kita tidak berhati-hati keghairahan kepada perubahan sebenarnya menyembunyikan lebih banyak kemudaratan kerana dari segi sejarah, untuk musuh-musuh UMNO mereka mahukan agar parti lemah, akibat persengkitaan pemimpin Umno itu sendiri tidak pernah sudah-sudah; hanya kerana mahu jadi PEMIMPIN UTAMA.

Walaupun kita telah dijajah lebih seratus tahun hakikat kita masyarakat induk bukan sahaja tidak pernah berubah tetapi berkesinambungan. Oleh itu, dari memberi fokus kepada perubahan, terdapat lebih banyak manfaat jika kita memberi masa untuk benar-benar menginsafi apa yang dimaksudkan dengan asas-asas kesinambungan yang memberi kekuatan kesahihan kepada perjuangan parti.

Bagi mereka yang mempunyai ura-ura mencabar kepimpinan baik di peringkat tertinggi mahupun di peringkat bahagian, perlu memberi pertimbangan kepada ASAS KESINAMBUNGAN, bukan terpengaruh dengan PERUBAHAN DAN DEMOKRASI; kerana KESINAMBUNGAN KEPIMPINAN DALAM PARTI LAH MERUPAKAN KEKUATAN PARTI UMNO.

Hari Ke-2 Sidang DUN Sabah: Pencerobohan Lahad Datu Tiada Kaitan Tuntutan 'Sultan Sulu' - Musa

KOTA KINABALU: Pencerobohan di Lahad Datu tidak ada kaitan dengan tuntutan 'Sultan Sulu' tetapi adalah tindakan pengganas yang cuba mengganggu-gugat keselamatan negara khususnya di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman. Sabah, tegas beliau, adalah sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat dalam Malaysia.

Sambil merujuk buku bertajuk 'Putting to Rest the Claim to Sabah by Self-proclaimed Sultanate of Sulu', beliau berkata Peguam Negara Malaysia menyatakan status negeri Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia yang sah adalah berdasarkan dua asas utama.

"Pertama, berdasarkan instrumen ikatan yang sah dan mengikut undang-undang, 'Sultan Sulu' pada masa dahulu telah secara sukarela menyerahkan sepenuhnya dan muktamad wilayah yang sekarang dikenali sebagai Sabah untuk selamanya semua tuntutan dan hak selain menerima hak bayaran wang serahan tahunan.

"Kedua, sebarang tuntutan atau hak 'Sultan Sulu' terhadap Wilayah Sabah walaupun ia sah atau wujud pada tahun 1962/1963 telah menjadi terbatal dan termansuh apabila penduduk Sabah membuat satu keputusan sendiri melalui pungutan suara pada tahun 1962 oleh Suruhanjaya Cobbold pada bulan Ogos hingga bulan September 1963," katanya.

Beliau berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah Setiausaha Agungnya telah melaksanakan satu lagi pungutan suara di mana rakyat di Sabah telah menyatakan hasrat mereka secara sukarela untuk merdeka daripada penjajahan British dan justeru, bersetuju untuk bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura membentuk Malaysia.

Musa berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Lajim Ukin (PKR-Klias) sama ada benar pihak Sultan Sulu III menuntut hak ke atas negeri Sabah dan siapakah yang disyaki sebagai dalang penerobohan itu, semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Likas, dekat sini Selasa.

Musa yang juga pengerusi jawatankuasa keselamatan negeri berkata pengganas yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Tentera Di Raja Kesultanan Sulu' yang dianggarkan seramai 200 orang dikesan menceroboh di Lahad Datu pada 9 Februari lepas.

"Dalang pencerobohan ini ialah Datu Agbi Muddin Datu Kiram dan Jamalullail Kiram serta penglibatan warga Malaysia yang masih dalam siasatan polis.

"Dalam kejadian tersebut, pengganas-pengganas berkenaan enggan berundur dari kawasan yang dicerobohi. Dengan itu pasukan keselamatan telah melancarkan gerakan ofensif terhadap kumpulan penceroboh dari Sulu tersebut pada 5 Mac," katanya.

Beliau berkata pertempuran itu menyebabkan seramai 80 orang terkorban, termasuk lapan anggota polis dan dua tentera Malaysia serta memaksa penduduk kampung meninggalkan rumah kediaman mereka.

Bagi menjamin keselamatan wilayah yang terlibat, katanya kerajaan telah mengisytiharkan kawasan Pantai Timur Sabah sebagai Kawasan Keselamatan Khas dan meletakkan pasukan keselamatan untuk mengawal kawasan berkenaan.

Musa berkata penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM)yang diumumkan Perdana Menteri pada 7 Mac lepas adalah berikutan insiden pencerobohan di daerah Lahad Datu.

Penubuhan ESSCOM yang diterajui Ketua Pengarah Datuk Mohammad Mentek, antara lain bertujuan memantapkan lagi semua operasi yang dilaksanakan oleh pelbagai entiti pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Ketua menteri berkata antara aspek utama yang dipertanggungjawabkan kepada ESSCOM ialah untuk meningkatkan kawalan keselamatan terutama di kawasan Perairan Pantai Timur Sabah selain meningkatkan kemampuan risikan di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, Musa berkata 10 daerah diwartakan sebagai Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) yang merangkumi daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Katanya ESSCOM kini berada di landasan yang betul dan mampu bergerak seiring dengan visi, misi dan matlamat yang telah ditetapkan.

Justeru, visi ESSCOM adalah untuk menjadi peneraju kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat di kawasan Pantai Timur Sabah menjelang tahun 2017, katanya.

Beliau berkata ini termasuk mengekal dan meningkatkan aktiviti keselamatan di Kawasan Pantai Timur Sabah daripada sebarang ancaman musuh.

Ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan dalam membantu memacu pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat, katanya.

Selain itu, Musa berkata ESSCOM juga bermatlamat untuk memastikan dan mempertingkatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di Malaysia secara amnya dan di kawasan Timur secara khususnya, memastikan kesejahteraan penduduk terutama dalam menjaga kesihatan awam di kawasan yang terlibat.

Penubuhan ESSCOM turut memastikan anggota masyarakat bebas untuk membuat perjalanan di kawasan Pantai Timur Sabah dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi orang yang menduduki tanah atau premis secara tidak sah di dalam kawasan berkenaan.

Musa berkata bagi memastikan visi, misi dan matlamat dapat dicapai, ESSCOM mengenal pasti lima teras strategik yang akan dilaksanakan mulai tahun 2013 hingga 2017.

Ini termasuk memperkukuhkan kawalan keselamatan kawasan Pantai Timur Sabah secara bersepadu bagi mewujudkan persekitaran yang selamat, meningkatkan keupayaan risikan dan perkongsian maklumat, merancang dan menyelaras penempatan semula selaras dengan keperluan pemeliharaan keselamatan awam bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, katanya.

Beliau berkata tumpuan juga diberikan kepada memupuk semangat patriotisme di kalangan masyarakat Kawasan Pantai Timur Sabah bagi mengukuhkan perpaduan nasional dan menyelaras program pembangunan sosio ekonomi sebagai pemangkin kepada perkembangan keselamatan kawasan Pantai Timur Sabah.

Sejak penubuhannya, pelbagai aktiviti dijalankan oleh ESSCOM, antaranya mengadakan pelbagai mesyuarat dan pemantauan terhadap tahap keselamatan dan ketenteraman semasa pilihan raya umum ke-13 dengan menempatkan dua pegawai kanan ESSCOM di kesemua 10 daerah yang diwartakan sebagai Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Katanya pihak ESSCOM berusaha mempertingkatkan jumlah anggota keselamatan dan aset bagi menghadapi sebarang anaman di masa hadapan. Kesemua agensi keselamatan dan penguatkuasaan akan berusaha untuk memastikan peristiwa yang berlaku di Tanduo, Lahad Datu tidak akan berulang.

Musa berkata kerajaan telah mengambil pelbagai yang wajar ke arah mewujudkan prasarana yang sesuai untuk menempatkan aset pasukan keselamatan di bawah ESSCOM.

Sehubungan itu, katanya lima batalion akan ditempatkan di Kawasan Pantai Timur Sabah yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kerajaan masih meneliti lokasi yang sesuai untuk menempatkan kesemua lima batalion tersebut. Pada masa kini, pembinaan kabin khususnya bagi ibu pejabat ESSCOM dan beberapa balai polis hanya bersifat sementara.

"Di samping itu, kerajaan juga prihatin terhadap kebajikan penduduk kampung yang terlibat semasa penerobohan tersebut. Justeru, kerajaan mempunyai dua cadangan bagi penempatan semula kampung di Tajung Batu dan kampung di Tanjung Labian yang terlibat dalam insiden pencerobohan pengganas baru-baru ini," katanya.

Bagi penduduk kampung di Tanjung Batu, Musa berkata penempatan kampung berkenaan sedang dalam proses pembinaan di atas Tanah Cadangan Simpanan Kampung Tanjung Batu yang berkeluasan 6.1 hektar, melibatkan pembinaan 25 buah rumah baharu.

"Empat daripada rumah tersebut dibina di atas tanah bergeran, manakala sebanyak 21 buah rumah lagi dibina di atas tanah kerajaan negeri. Pada ketika ini, projek pembinaan rumah-rumah tersebut telahpun bermula dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2013," katanya.

Beliau berkata bagi cadangan penempatan penduduk kampung di Tanjung Labian, penempatan akan dibina di atas Tanah Simpanan Rancangan Penempatan daerah Lahad Datu iaitu Kampung Tenagian, melibatkan pembinaan sejumlah 52 buah rumah baharu.

Kebenaran bagi memasuki dan memulakan pembinaan telahpun diperoleh daripada Jabatan Tanah dan Ukur tetapi proses bagi menentukan sempadan masih belum diputuskan oleh Juruukur Daerah, katanya.

Sementara itu, sejumlah 106 rumah yang rosak semasa insiden tersebut telah dibaiki sepenuhnya oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui Giat Mara dan Felcra Sdn Bhd.

Berikutan pencerobohan itu, Musa berkata seramai 31 orang telah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca dan dalang dalam pencerobohan itu.

Beliau berkata ketika ini tahap keselamatan di Sabah khususnya di daerah di bawah liputan ESSCOM adalah terkawal, dan sehingga kini, tidak ada insiden pencerobohan baru yang dilaporkan.

Bagaimanapun, Musa berkata ESSCOM sentiasa memantau perkembangan keselamatan terutama di Kawasan Pantai Timur Sabah dan menegaskan agensi keselamatan termasuk ATM, PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sentiasa membantu dan akan bertindak sekiranya terdapat sebarang ancaman baharu ke atas keselamatan Sabah.

16 June 2013

Pemilihan Umno: Antara Demokrasi dan Perpaduan

ADA ahli atau pemimpin percaya bahawa perpaduan dalam parti sungguh penting, apatah lagi berhadapan dengan situasi politik yang semakin mencabar masa ini. Ada juga ahli atau pemimpin percaya bahawa amalan demokrasi boleh menguatkan parti dan kepercayaan bukan sahaja daripada ahli akan tetapi juga penyokong dan rakyat jelata.

Pengertian demokrasi dalam hal ini, adalah apabila adanya pemilihan parti, maka berlaku pertandingan bagi jawatan-jawatan yang tersedia. Tujuan pertandingan itu adalah untuk menampilkan pemimpin yang mempunyai kaliber dan visi yang lebih baik bagi maksud memperkuat parti.

Kekuatan sesebuah organisasi politik bukan sahaja dilihat pada kekuatan pemimpin secara peribadi yang mempunyai jawatan tetapi kekuatannya menggamit sokongan daripada akar umbi atau rakyat secara umum perlu dilihat.

Sesuatu yang perlu diingat oleh pemimpin sesebuah parti, parti yang boleh menang pada sebarang pilihanraya adalah parti yang mampu mendapat sokongan daripada rakyat jelata. Sokongan ahli sesebuah parti sahaja tidak akan cukup memenangkan sesebuah parti; faktor inilah yang perlu ditanam oleh seseorang pemimpin yang mempunyai hasrat mendapat jawatan pada sesebuah parti. Kata orang, kalaupun hebat dalam parti, akan tetapi tidak hebat di mata rakyat jelata, maka itu dinamakan pemimpin yang syiok sendiri.

Sempena pemilihan Umno tahun ini, khususnya Bahagian Kota Belud; faktor yang disebutkan diatas bukan sahaja perlu dihayati pemimpin yang berhasrat mendapat jawatan dalam parti, tetapi para ahli juga perlu memikirkan faktor-faktor itu. Sebagai ahli yang bertanggungjawab memilih pimpinan di peringkat bahagian, juga perlu memikirkan sokongan rakyat jelata terhadap parti, jika mahu menonjolkan seseorang menarajui parti.

Di kawasan Kota Belud khususnya parti Umno, sebenarnya para pemimpin yang boleh ditonjolkan adalah pemimpin yang sudah lama dikenal oleh rakyat, bukan sahaja mereka itu aktif dalam politik akan tetapi juga mereka-mereka ini adalah wakil-wakil rakyat dan mantan wakil rakyat.

Bagi rakyat Kota Belud, nama-nama seperti Datuk Dr Salleh Tun Said, Datuk Musbah Jamli, Datuk Japlin Akim adalah para pemimpin yang silih berganti menjadi memimpin Umno Bahagian Kota Belud.

Salleh yang berkecimpung sejak sekian lama dalam arena politik Kota Belud termasuk negeri dan nasional pada masa ini merupakan Ketua Bahagian Umno Kota Belud. Manakala Musbah adalah salah seorang pemimpin Usno yang telah dibubarkan kerana memberi ruang kepada Umno mengembangkan sayapnya di Sabah pada tahun 1991. Sementara Japlin pula adalah produk Umno itu sendiri, selepas bertapak di Sabah.

Pemilihan Umno tahun ini, berlainan dengan pemilihan tahun-tahun sebelumnya, kerana pada pemilihan kali ini, tiada lagi sistem kuota, ertinya seseorang itu boleh bertanding asalkan hanya ada pencadang dan penyokong daripada ahli itu sendiri, tidak sama seperti dahulu, pencalonan perlu dilakukan di peringkat cawangan.

Memang menjadi dilema di antara para pemimpin, ahli dan penyokong samada memeriahkan demokarsi atau perpaduan. Kalau dihayati maksud pertandingan itu sendiri adalah untuk memeriahkan demokrasi dalam parti selain mencari pemimpin yang benar-benar hebat daripada kalangan yang hebat-hebat, namun apa yang berlaku adalah selepas sesuatu pertandingan adalah "permusuhan" walaupun tidak dizahirkan, tetapi tersirat.

Umno mempunyai pengalaman sendiri pada tahun 1987, apabila berlaku pertandingan yang sengit bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, maka berlaku perpecahan dalam Umno itu sendiri. Meskipun di peringkat bahagian, tidaklah mempunyai impak yang besar terhadap parti secara keseluruhan, namun berimpak juga terhadap ahli dan penyokong di peringkat akar umbi. Akan tetapi jika maksud pertandingan di peringkat Bahagian itu dapat mengwujudkan penyatuan semua ahli dan penyokong parti dan memperkuat parti, maka pertandingan seumpama itu adalah digalakan.

Sebenarnya, seseorang pemimpin itu akan bertanding merebut sesuatu jawatan dalam parti, kerana dorongan para ahli dan akar umbi. Tanpa dorongan itu, penulis yakin seseorang itu tidak akan maju untuk menawarkan diri bertanding; kerana maksud pertandingan bagi seseorang yang menawarkan dirinya adalah semata-mata merasakan bahawa dia mempunyai sokongan yang cukup kuat untuk menang.

Pemilihan Umno di ambang pintu. Pada julai dijadualkan mesyuarat cawangan-cawangan dan kemudian pada Oktober pemilihan di peringkat bahagian dan Majlis tertinggi. Bermula daripada sekarang, bukan sahaja pemimpin akan tetapi ahli juga memikirkan apakah dalam pemilihan kali ini untuk memeriahkan DEMOKRASI ATAU PERPADUAN.

14 June 2013

Pakatan Rakyat Mahu Gagalkan Sidang Parlimen pada 24 Jun

MELIHAT gelagat PAKATAN RAKYAT yang beria-ia melakukan kemuncak Himpunan Black505 pada 22 Jun bertujuan menggagalkan Persidangan Pertama Dewan Rakyat selepas PRU-13 yang ditetapkan pada 24 jun.

Penganjur BLACK505 melakukan himpunan secara berangkai bermula pada 17 Jun di Ipoh dan berterusan saban hari sehingga 22 jun di Kuala Lumpur.

Himpunan BLACK505 yang dimulakan pada 8 Mei lalu, dan berlarutan sehingga 9 kali, nampaknya gagal menadapat sambutan rakyat.

Pakatan Rakyat mencuba sekali lagi pada 22 Jun ini dengan menamakannya sebagai puncak kepada himpunan merupa usaha terdesak mereka untuk membangkitkan emosi rakyat agar mencontohi kebangkitan rakyat arab seperti mana berlaku di Tunisia, Mesir dan Libya yang sering disebut sebagai Arab Spring.

Sebelum ini, selama 9 kali himpunan Black505 diadakan di stadium, namun kali ini mereka mengadakannya di jalanan, kerana menurut mereka, inilah satu cara untuk menjadikan himpunan itu berjaya, kerana mereka mengaharapkan pihak berkuasa melalui polis akan bertindak terhadap mereka.

Pengajur sebenarnya mahu agar pihak polis bertindak, seperti menangkap pengajur, menangkap para pemimpin pakatan Rakyat, melakukan penangkapan berramai-ramai terhadap penyokong mereka, untuk mendorong pembangkitan emosi.

Selama 9 kali himpunan itu, pihak polis tidak bertindak, atas sebab itu tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Namun, melalui himpunan jalanan, yang bermula 17 Jun sehingga 22 Jun, mereka berharap agar pihak polis bertindak.

Sekiranya pihak polis bertindak, maka ada kemungkinan himpunan itu menjadi rusuhan rakyat, sehingga menimbulkan ketegangan, jika ini berlaku, maka kemungkinan di adakan perintah berkurung. Jika keadaan tidak terkawal di ibu negara, maka ada kemungkinan, Sidang Dewan Rakyat terpaksa dibatalkan pada 24 Jun ini.

13 June 2013

Semua Wakil Rakyat Sabah Angkat Sumpah

Adun Tempasuk Datuk Musbah bersedia mengangkat sumpah sebagai ADUN 
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mengetuai 60 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dalam upacara mengangkat sumpah di hadapan Speaker Datuk Salleh Tun Said.

Antara mereka yang mengangkat sumpah adalah 12 pemimpin pembangkang diketuai Datuk Lajim Ukin.

Selain Musa, 11 ahli Kabinet dan 18 pembantu menteri turut mengangkat sumpah.

12 June 2013

Musa minta Wakil Rakyat Beri Khidmat Baik kepada Rakyat

KETUA Menteri Sabah- Datuk Seri Musa Haji Aman meminta semua Anggota Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) yang dipilih pada PRU-13 lalu perlu menunaikan tanggungjawab mereka mengikut mandat yang diberikan rakyat.

Wakil Rakyat yang dipilih menurut Musa, perlu berkerjasama dengan rakyat bagi menafaat bersama.

Dalam satu perjumpaan dengan wakil-wakil rakyat BN di Bangunan Dewan Undangan Negeri semalam,  Musa menyatakan bahawa adalah satu kepercayaan besar yang diberikan rakyat yang mengharapkan semua wakil rakyat senantiasa turun padang dan berusaha membantu rakyat sebaik mungkin bagi mengurangkan masalah yang dihadapi rakyat di kawasan masing-masing.

Musa juga mengesa agar wakil rakyat daripada BN supaya senantiasa mengemaskini maklumat pembangunan yang dilaksanakan kerajaan agar mereka mudah memberi penerangan kepada rakyat, selain menangkis fitnah dan tomahan pembangkang.

Sabah yang mempunyai 60 kerusi DUN, 48 daripadanya adalah ADUN BN, manakala Pembangkang 12.

9 June 2013

PRU-14: Sabah sasaran Pakatan berikutnya

PAKATAN RAKYAT bukan sahaja mahu merampas PUTRAJAYA pada PRU-14, malah salah satu negeri yang pada satu ketika merupakan SIMPANAN TETAP BN  Negeri Sabah, akan menjadi sasaran berikutnya.

Sabah yang merupakan SIMPANAN TETAP BN kerana melalui dua PILIHANRAYA UMUM Tahun 2004 dan Tahun 2008, hanya melepaskan satu Kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri kepada Pembangkang; terkejut kerana pada PRU-13 lalu, jumlah kawasan yang terlepas di tangan pembangkang berkali-kali ganda terutama bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala di peringkat Parlimen bertambah sekali setengah kali ganda.

Pada PRU-13 yang diadakan pada 5 Mei lepas, Pembangkang berjaya menang 3 kawasan Parlimen bertambah dua; manakala DUN, pembangkang menang 12 bertambah 11 kerusi.

MUNGKIN berlaku, jika pertembungan satu lawan satu, lapan kawasan DUN dan empat kerusi Parlimen akan menyebelahi pembangkang. DUN-DUN tersebut adalah Kiulu, Kundasang, Paginatan,Tambunan,Liawan,Melalap, Nabawan dan Elopura; sementara Parlimen adalah Kota Marudu, Keningau, Tenom dan Pensiangan.

Melihat kepada keputusan PRU-13 lalu, Sabah tidak lagi boleh mendabik dada sebagai negeri Simpanan Tetap BN, jika trend pengudian akan berterusan menjelang PRU-14.

Jika tiada sesuatu yang berlaku LUARBIASA  pada bentuk kepimpinan BN Sabah; ada kemungkinan kawasan-kawasan yang dimenangi BN kerana akibat pecah undi, kemungkinan besar akan ditawan pihak pembangkang. Sebabnya, kawasan-kawasan di mana BN tewas pada PRU-13 lalu, adalah kawasan-kawasan yang dimenangi BN pada PRU-12 kerana kaedah yang sama, iaitu pecah undi.

Jika tidak berlaku pendekatan yang LUARBIASA terutama penguasaan media alternatif yang mampu mengwujudkan POLL OPINION dan menangai PERSEPSI NEGATIF terhadap BN, kawasan-kawasan berikut kemungkinan besar tidak selamat bagi BN. Kawasan-kawasan tersebut adalah Parlimen Beaufort, Parlimen Tuaran, Parlimen Ranau dan Parlimen Kota Belud. Sementara peringkat DUN pula adalah Dun Tanjong Kapor, Dun Karanan, Dun Kemabong, Dun Sook, Dun Karamunting dan Dun Tanjong Papat.

Melihat kepada trend pengundian bermula sejak tahun 2008, kemudian 2013, ada kemungkinan anggapan ini boleh berlaku, namun jika ada PERUBAHAN LUARBIASA sepertimana disebutkan pada awal tulisan ini, maka anggapan itu mungkin tidak akan berlaku.

Perkiraan pencapaian Pembangkang di Sabah nanti, belum memuadaratkan Kerajaan negeri kerana BN negeri mungkin masih dapat menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah, namun berakibat buruk di peringkat Pusat.

Berasaskan kepada keputusan PRU-13 lalu, di Semenanjung BN memang 85 kerusi Parlimen, manakala Pembangkang 80. Daripada 57 kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarwak, BN menang 48, manakala Pembangkang 9. Target pembangkang bagi Sabah dan Sarawak adalah 32 kerusi untuk menduduki Putrajaya. Melihat kepada jumlah yang diperlukan itu, memang agak sukar untuk Pembangkang mencapainya; namun kita kena ingat, JIKA BERLAKU SESUATU YANG LUARBIASA, kata orang either side will happen.

Pihak BN Sabah perlu mengambil iktibar kepada keputusan PRU-13 lalu. Kekalahan seorang Menteri Pusat, seorang Timbalan Menteri, tiga pembantu menteri pada kerajaan negeri merupakan indikasi, bahawa jawatan seseorang bukan lagi petunjuk kepada sokongan rakyat.

Kehilangan undi popular kepada Presdien dan Timbalan Presiden PBS juga, merupakan satu indikator, bahawa jawatan dalam parti juga bukan lagi boleh menggamit sokongan.

Pada PRU-14 nanti, sebahagian besar pemimpin Sabah sudah lanjut usia, malah Presiden PBS Tan Sri Pairin Kitingan sudah menyatakan bahawa PRU-13 adalah terakhirnya untuk bertanding. Kekalahan Tan Sri Bernard Giluk Dompok di Parlimen Penampang; akan menambah kerumitan kepada BN Sabah pada PRU-14 nanti. Kehilangan undi popular kepada Datuk Maximus Ongkili di Parlimen Kota Marudu, adalah indikasi, bahawa Timbalan Presiden PBS itu tiada "command" yang mampu merai sokongan rakyat.

Lambatnya peremajaan dalam kempimpinan PBS akan membawa padah pada BN berdepan dengan PRU-14 nanti. Berlainan dengan Umno yang senantiasa mempunyai pemimpin pelapis. Umno berdepan pemilihan Parti hujung tahun ini, mungkin melalui pemilihan itu akan muncul pemimpin-pemimpin yang bakal mengambil alih kepimpinan atau setidak-tidak barisan baru yang mempunyai kombinasi antara baru dan yang lama.

BN negeri bermula daripada sekarang perlu mengatur strategi yang jitu, jangan lalai, kerana Pembangkang tidak akan berhenti. Mereka akan mengisi masa lima tahun dengan berbagai muslihat untuk mengumpul aliran pendapat yang boleh menyebelahi mereka, bagi menduduki Putrajaya.

Anwar Ibrahim, tidak akan bersara daripada politik, selagi kemahuannya menjadi Perdana Menteri tidak tercapai. Anwar akan melahirkan para pemimpin pelapis yang tidak gentar, mampu mencipta isu yang dekat dengan hati rakyat. Tiada yang menduga muculnya Rafizi Ramli- kini MP Pandan, Shamsul Akin Iskandar- kini MP Kuala Ketil yang juga "gaint killer" kerana mampu mengalahkan Datuk Ali Rustam- MB Melaka. Demikian juga munculnya Darel Leiking Di Parlimen Penampang, yang mengalahkan Preseden UPKO yang juga penyandang kerusi itu.

BN negeri, mula daripada sekarang kena melihat pemimpin pelapis yang mempunyai ketokohan, bukan sahaja melibatkan parti komponen juga parti Umno yang merupakan tulang belakang kerajaan negeri. Fikir-fikirkan lah.

8 June 2013

Pemilihan Umno: Peluang Generasi muda

APAKAH generasi muda mendapat peluang pada pemilihan Umno kali ini? Terserah kepada perwakilan di peringkat cawangan, apa kah memberi peluang kepada generasi itu.

Hala tuju parti, agar senantiasa inklusif perlu melakukan peremajaan sesuai dengan perkembangan politik tanah air.

Ketua-ketua cawangan yang telah berumur, apatah lagi kurang celik dengan pengunaan media baru, dan kurang peka terhadap perkembangan politik tanah air, perlu memberi ruang kepada generasi penerus yang sesuai dan mempunyai ketokohan.

Diharapkan, sekurang-kurangnya 60 peratus daripada seluruh cawangan Umno di negara ini, diketuai oleh generasi penerus dan demikian juga di peringkat bahagian.

PRU-14, bukan lagi pilihanraya konvensional, akan tetapi lebih kepada perang isu dan alam maya. Kegagalan menguasainya, akan berakibat fatal kepada kelangsungan parti, kerana sejarah membuktikan, bahawa parti yang tidak bergerak sesuai dengan perkembangan zaman akan kecundang.

Di dunia, untuk sementara hanya Umno yang berusia lebih setengah abad belum kehilangan kuasa. Parti Kongres di India, Golkar di Indonesia dan LDP di Jepun kehilangan kuasa. Parti kongres India dan LDP masih bernasib baik kerana dapat memerintah semula, akan tetapi Golkar sehingga kini belum lagi menguasai politik Indonesia sepertimana era Soeharto.

Kalau Umno tidak mahu tercatat dalam sejarah, maka perlu mengambil iktibar kepada kejatuhan parti-parti yang disebutkan itu.

Umno perlu menjalankan transformasi total, bukan sahaja daripada segi pendekatan perlembagaannya, juga pendekatan para pemimpinnya.

Persepsi kalau mahu cepat kaya, maka jadilah pemimpin Umno, perlu dikikis, dan jadikan slogan kalau mahu memertabatkan bangsa, agama dan negara maka jadilah pemimpin Umno.

Kalau berkehendakan pembelaan, maka sertailah Umno, kalau mahu didengar pendapat maka sertailah Umno, kalau mahu hubungan antara pemimpin dan ahli bagaikan aur dan tebing, maka sertailah Umno. Semangat ini kena ada pada setiap pemimpin dalam umno, kerana Umno hanya sebuah wadah, yang mencorakkannya adalah pemimpin dan ahlinya.

7 June 2013

Memerangi Persepsi : Salah satu agenda Najib

Perdana Menteri tidak segan silu mengakui bahawa jentera kerajaan kurang cekap menangani “perang” persepsi, namun usaha dan pendekatan menanganinya boleh dirancang berdasarkan pengalaman yang dilalui.

Antara persepsi yang melekat pada minda rakyat adalah bahawa wakil rakyat yang menang dalam pilihanraya kerana dipilih rakyat sudah meningkat darjatnya kepada Orang Kenamaan (VIP), sehingga tingkahlakunyapun berubah.

Demikian juga individu tertentu yang dilantik dalam jawatan politik, umpamanya Setiausaha politik, atau pegawai kepada wakil-wakil rakyat atau menteri, biasanya akan berubah perilakunya selepas sahaja mendapat jawatan yang berstatus VIP itu.

Bukan itu sahaja, kerana status itu, maka gaya hidup mereka secara sekelip mata berubah.

Berasaskan kepada keadaan yang kelihatan dengan mata itu, maka timbul persepsi, bahawa tingkahlaku yang berubah itu, kerana habuan yang mereka dapat melalui kedudukan yang ada pada mereka.

Timbulah dakwaan rasuah, salahguna kuasa; kerana adalah mustahil jika bersandarkan dengan gaji sahaja,  seseorang itu boleh mendapat segala-galanya dalam masa yang sesingkat-singkatnya.

Tun Dr Mahathir pernah berkata, seseorang yang bersih itu, juga perlu kelihatan bersih. Ertinya, janganlah hanya selepas berjawatan wakil rakyat atau Jemaah menteri atau exco atau juga setiausaha politik tidak semena-mena mampu memiliki segalanya; selain itu lifestyle juga berubah.

Tindakan memerangi persepsi tidak akan berjaya, jika para pelakunya tidak berubah. Selagi sifat bermegah-megah dan berperlaku VIP tidak terhakis, selagi itu persepsi tidak akan berjaya dihakiskan.

Tindakan mengistiharkan harta dan kekayaan sebelum seseorang itu dilantik ke jawatan yang bersifat VIP adalah satu kaedah bagaimana memerangi persepsi. Pengistiharan harta seharusnya menjadi pengetahuan umum, kerana dengan mengetahui pemilikan harta seseorang yang dilantik ke jawatan yang berstatus VIP dengan sendirinya menghapus persepsi terhadap seseorang itu.

Kita maklum, sejak 5 tahun lalu, isu utama pembangakang adalah soal rasuah, salah guna kuasa, pemberian projek kepada kroni. Faktor ini melekat pada mereka yang berkepentingan dalam kontrak-kontrak kerajaan, sehingga mereka yang gagal, akan terus spin isu ini, sehingga menjadi negatif kepada kerajaan.

Pembangkang melalui berbagai kaedah, samada melibatkan pemimpin utama mereka, malah penyokong mereka, senantiasa melontarkan berbagai isu kepada para pemimpin kerajaan daripada BN. Kita sering mendengar bagaimana Ketua Menteri Sarawak dan Sabah menjadi sasaran mereka. Mereka mencipta berbagai isu dan fakta palsu, kononnya kedua-kedua itu pengamal rasuah.

Penggunaan media siber yang meluas, menyebabkan penyebaran isu-isu fitnah semakin cepat merebak, sehingga pengguna media alternatif itu tiada peluang mengetahui mana satu fakta yang benar mahupun mana satu yang palsu.

Berasaskan fakta yang ada ini, maka Perdana Menteri mengambil inisiatif agar satu kaedah itu membendung persepsi negatif ini. Kerajaan tidak akan mampu menanganinya secara bersendirian, pihak-pihak Ngo atau persendirian perlu dilibatkan, atas sebab, persepsi yang berligar-ligar pada minda mereka yang pro pembangkang  adalah apa sahaja penerangan daripada pihak agensi yang berkaitan dengan kerajaan adalah usaha menutup fakta-fakta yang disebar luaskan.

Tindakan memerangi persepsi tidak akan berjaya dilakukan oleh kerajaan atau agensi yang berkaitan dengan kerajaan, akan tetapi perlu dilakukan oleh mereka yang mempunyai kedudukan yang terpalit dengan persepsi itu. Fikir-fikirkan lah.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels