10 February 2010

Hakim Tetap 18 Februari Keputusan Sama Ada Tarik Diri Dengar Kes Anwar

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan 18 Februari depan untuk memutuskan sama ada beliau akan menarik diri daripada terus mendengar kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohamad Zabidin berkata beliau memerlukan masa untuk meneliti hujah pihak pendakwaan dan pembelaan serta nas undang-undang yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak kepada permohonan Anwar yang meminta beliau menarik diri daripada mendengar kes itu atas alasan hakim dianggap berat sebelah.

Beliau menetapkan tarikh tersebut setelah mendengar hujah peguam Anwar, Karpal Singh dan hujah jawapan oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden.

Pihak pembelaan yang seharusnya membuat pemeriksaan balas terhadap saksi pertama pihak pendakwaan, iaitu pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, pada Isnin lalu telah menangguhkan dua kali prosiding tersebut untuk membolehkan Anwar memfailkan afidavit untuk menyokong permohonannya serta pihak pendakwaan memfailkan afidavit jawapan.

Pihak pembelaan membuat permohonan supaya Hakim Mohamad Zabidin menarik diri berdasarkan keputusan hakim berkenaan berhubung dua artikel yang diterbitkan Utusan Malaysia yang disifatkannya sebagai mempunyai elemen berat sebelah.

Anwar, 63, Penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, didakwa meliwat Mohd Saiful, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan. - BERNAMA

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels