1 July 2020

SALLEH MOHON SERTAI SEMULA UMNO

KOTA KINABALU – Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini mengesahkan ada menghantar permohonan untuk menyertai semula UMNO.

Menurut Salleh yang juga bekas Bendahari UMNO  Ketua Bahagian UMNO Kota Belud itu, beliau telah menghantar permohonan itu kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 26 Jun lalu.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah menyifatkan tindakan beliau keluar dari UMNO pada 12 Disember 2018 sebagai satu kekhilafan.

“Kini saya menyerahkan kepada UMNO khususnya Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Majlis Tertinggi dan Ketua UMNO Sabah diketuai oleh Bung Moktar untuk menimbang permohonan tersebut.

“Saya berhasrat menyumbang sepenuh usaha dan tenaga bersama UMNO untuk meneruskan agenda perjuangan membina Malaysia yang tercinta,” kata Salleh dalam catatan terbaru di blog beliau.

Semalam, Bung Moktar mengesahkan pihaknya menerima surat permohonan Salleh untuk menyertai semula UMNO, dan ia sedang dipertimbang dan diperhalusi untuk kelulusan.

Keputusan Salleh itu dibuat selepas beliau membatalkan permohonannya untuk menyertai PKR pada April lalu selepas memikirkan secara mendalam dan mengambil kira landskap politik hari ini termasuk pergolakan dalaman PKR.

Salleh memohon menyertai PKR pada Oktober tahun lalu selepas beliau bersama sebilangan besar pemimpin UMNO Sabah bertindak keluar parti pada 12 Disember 2018.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels