Ada  beberapa ketetapan yang perlu dijadikan pedoman bila menghadapi isu  Islamophobia ini.  Panduan dan penyuluh jalansedia ada ini bukan  peringatan baru. Ia telah dianugerahkan kepada individu Muslim, pihak  berkuasa dan kerajaan Islam. Ia jadi batu sempadan yang tegap, terang  dan tekal.

Kecurigaan,  ketakutan dan kebencian terhadap Islam bukan fenomena baru. Hakikat ini  amat mudah difahami oleh umat Islam hari ini. Persepsi negatif atau  prasangka ini sudah digariskan Allah dalam kalam yang dianugerahkanNya  kepada umat Islam sejak lebih 1,400 tahun lalu.
Pedoman pertama  ialah apabila Allah memperakukan bahawa Islam adalah agama yang sempurna  dan hanya satu-satunya agama yang diredhaiNya:
“…Pada hari ini  telah Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu  bagimu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamaMu…” (Al Maidah ayat 3).
Maknanya,  Islam sudah lengkap. Dan, hudud adalah sebahagian daripada ajaran Islam  yang komprehensif. Bagi PAS yang menjadikan Islam dasar perjuangan,  pelaksanaan hudud adalah tuntutan suci.

Cuma pihak yang dirasuk Islamophobia sahaja yang tidak mengerti, enggan mengerti dan tidak mungkin mengerti.
Lantas,  kalimah “langkah mayat saya dulu sebelum laksanakan hudud” oleh  pengerusi DAP, Karpal Singh beberapa tahun lalu, kini terngiang kembali.
Fasakhkan konsep negara Islam
Yang  menjadi persoalan, adakah Pakatan akan menunggu untuk menyelesai dan  mengimbangkan kecenderungan PAS dan DAP sehingga setelah berjaya  menguasai Putrajaya? Jika, ini berlaku apakah ini bermakna pula PAS  perlu berkompromi melunakkan konsep hudud seperti ia dengan berat hati  terpaksa memfasakhkan konsep negara Islam yang diperjuangkan sebelum  2008?
Pakatan Rakyat, bak kata presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi  Awang, dibentuk bersandarkan persefahaman pendekatan dan strategi  politik.

Apakah  selepas strategi politik ini berjaya membantu Pakatan menakluki  Putrajaya persefahaman ini boleh dileburkan begitu sahaja hanya kerana  pengikat persefahaman – kebencian terhadap Umno dan BN – telah dapat  dilunaskan?
Jika demikian keadaannya, tidakkah kerajaan Pakatan  yang baru menapak di Putrajaya kelak akan menjadi satu malapetaka kepada  rakyat Malaysia? Negara akan jadi huru-hara dan kestabilan serta  kesejahteraan akan terancam bila bantrakan berlaku antara kerabat  Pakatan!
Realiti ini menakutkan. Jika diselusuri prestasi kerabat  Pakatan sejak 2008, yang lebih banyak mencatat kejayaan politik ialah  DAP. Ia berjaya menambah bilangan kerusi parlimennya di Sibu dan menang  lebih banyak kerusi berbanding kerabat Pakatan lain pada pilihan raya  negeri Sarawak.

Jika  alur trend ini berterusan, tidak mustahil ramalan dan keyakinan DAP  sendiri bahawa ia akan mampu menawan 60 kerusi parlimen, akan dapat  dicapai.
Jika ini berlaku, dapatkah PKR dan PAS menyaingi  pencapaian itu? Jika ditakdirkan, isu hudud dapat disejukbekukan  sementara memandangkan DAP sudah jadi “abang besar” dalam Pakatan  bagaimanakah nasib Islam dan orang Melayu?
Ini kerana Islamophobia DAP terhadap cabang Islam – hudud – masih (dan semakin) menebal.
Rakan kerdil Pakatan
Dalam keadaan begitu, sanggupkah PAS bertahan dalam Pakatan dan menjadi “rakan kerdil” dalam Pakatan itu?

PKR  pula bagaimana? Umum tahu, ia sentiasa mempotretkan citra politiknya  sebagai parti pelbagai fahaman dan kaum? Sanggupkah PKR masuk kancah  perselisihan faham di antara PAS dan DAP ini?
PAS tegas. Hingga Sabtu lalu, Hadi tetap tegas dalam soal hudud.
DAP  masih meracau dengan rasukan Islamophobia. Jika orang Islam dalam PAS,  PKR dan Umno mahu kembali kepada ketetapan pertama perbincangan ini  bahawasanya Islam itu sudah lengkap dan sempurna, apakah mereka tidak  mahu ambil peduli peringatan Allah:
“Wahai Nabi, bertakwalah  kepada Allah dan janganlah kamu menuruti (keinginan) orang-orang kafir  dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi  Maha Bijaksana.
“Dan ikutilah apa yang diwahyukan Tuhanmu kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

“Dan bertakwalah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pemelihara” (Al Ahzab ayat 1hingga 3).
PAS  ingin berkongsi strategi politik dengan DAP dan PKR tetapi DAP tidak  ingin hukum hudud yang menjadi dasar PAS. Sementara itu, umat Islam  Malaysia disergah dengan gerakan lebih aktif beberapa pihak yang ingin  memesongkan aqidah umat Islam. Maka Mufti Perak, Tan Sri Harussani  mengesyorkan sebuah Akta Anti-Murtad dilembagakan.
Sanggupkah atas  nama Islam, PAS menyapa saudara seagama dalam PKR dan Umno untuk  menimbangkan cara bagaimana membenteng keluhuran, kemurniaan dan maruah  Islam dari terus disergah dan disergap oleh kawan politik yang semakin  ghairah menjadi “abang besar” politik Pakatan Rakyat?
Begitu  juga dengan PKR. Buat masa ini memang ia parti majmuk. Tetapi bila ada  “abang besar” dalam kerabat yang homogenous bukan Melayu-Islam, tidakkah  ia juga akan terbelah oleh perbedaan pandangan yang dikuasai  Islamophobia?

Ketegasan  Hadi tidak harus dilihat dalam kerangka dan lingkaran politik PAS  sahaja. Ia wajib meluas hingga melilit setiap umat Islam yang cintakan  agama mereka di Malaysia.
Dengan nisbah hampir 60 peratus rakyat  Malaysia hari ini ialah umat Melayu-Islam mahukah PAS, PKR dan Umno  menggalas dosa memecahbelahkan kekuatan umat Islam hanya kerana  menganggap diri masing-masing lebih baik, mulia dan ‘alim berbanding  pihak lain?
Islamophobia tidak akan mati. Sebab itu, Allah kerap  mengingatkan setiap muslim bahawa pihak kafir tidak akan berhenti  menyergap dan mengepung Islam dari setiap aspek kehidupan sehingga  mereka (muslimin) kembali mengikut agama mereka. 
Dipetik dari: