12 May 2018

KRISIS PERLEMBAGAAN SABAH BERMULA

KETIKA artikel ini ditulis, para ADUN parti Warisan, PKR, DAP dan 6 ADUN Katak daripada Umno/UPKO sedang berada di Istana Negeri, menunggu Angkat Sumpah Datuk Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri. 

Jika TYT Sabah melaksanakan juga majlis angkat sumpah, maka Sabah mempunyai dua Ketua Menteri pada masa yang sama. 

Tan Sri Musa Aman telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei, selepas PRU-14. Beliau dalam kenyataan ringkas sebentar tadi, menegaskan, tiada siapa yang meletakkan jawatan, baik beliau mahupun anggota kabinet beliau yang mengangkat sumpah pada 10 Mei.

Jika TYT Sabah benar, benar melantik Shafie sebagai Ketua Menteri, sedangkan Musa masih sebagai Ketua Menteri, maka bermula lah krisis perlembagaan Sabah, dengan itu hanya Mahkamah akan menentukan, siapa Ketua Menteri yang sah. Nampak gaya, pentadbiran negeri akan terganggu pada masa krisis itu.

ENAM JAHANAM-MENGHINA TYT SABAH

Datuk Hamisah Samat
TYT Sabah kena bertegas pada keputusan awal melantik Tan Sri Musa Aman sebagai Ketua Menteri selepas PRU-14, kerana mendapat sokongan 30 ADUN, 28 daripada Bn dan 2 daripada STAR.

TYT selepas berpuas hati dengan sokongan daripada semua ADUN tersebut, termasuk daripada 6 orang yang menjadi penjahanam kepada demokrasi ( Osman Jamal-Balung, Hamisah Samat-Tanjong Batu, Abdul Muis Picho-Sebatik, Jamawi Jaafar-Kemabong, Abidin Madingkir- Paginatan dan Ewon Benedik-Kedamaian), maka TYT memberi watikah perlantikan kepada TS Musa Aman sebagai Ketua Menteri Sabah, pada 10 Mei 2018.

Pada majlis perlantikan Ketua Menteri, angkat sumpah kabinet negeri yang berjumlah 10 orang turut diadakan sama. Namun, kurang daripada 24 jam, kerana tindakan 6 penjahanam demokrasi membuat angkara dengan melompat kepada parti Warisan Sabah, sehinggakan berlaku kemelut.

Dalam keadaan sekarang, apabila Ketua Menteri dilantik, maka tiada perlantikan Ketua Menteri lagi, kecuali, TS Musa meletakkan jawatan.

Memang di atas kertas, Kerajaan Musa hanya mempunyai 25 ADUN, manakala Datuk Shafie Apdal 35, namun ianya belum menjadi kenyataan, meskipun kenyataan sana sini, berkaitan dengan perkara itu.

TYT berlatar belakangkan undang-undang, selain itu pengalaman beliau memandu beliau membuat keputusan. Berasaskan pengalaman dan kebolehan TYT serta rekod yang pada beliau, maka keputusan beliau melantik TS Musa Aman adalah betul, berasaskan fakta semasa ADUN Sungai Sibuga itu dilantik. Oleh kerana tindakan 6 ADUN itu, bukan sahaja menjadi penjahanam kepada demokrasi akan tetapi menghina TYT.

NEGARA SUDAH JADI NEGARA POLIS (POLICE STATE)

MASUK dua hari, Tun Dr Mahathir jadi Perdana Menteri, telah menggunakan Jabatan Imigresion bagi menyekat Dato Seri Najib Razak dan keluarganya meninggalkan negara. Nampaknya, era mahathrism telah kembali.

Kini, Najib adalah tergolong mereka yang muflis, penghutang PTPTN yang ingkar membayar, mereka yang berhutang pada LHDN, dan juga mereka yang dilarang meninggalkan negara berasaskan keputusan mahkamah.

Setakat ini Najib tidak termasuk dalam apa yang disebutkan pada para 2, namun kerana DENDAM, kerajaan baharu, maka Najib & keluarga dihukum sedemikian rupa.

Begitu hebatnya Tun Dr Mahathir menabur berbagai fitnah terhadap Najib di luar negara, tidak sesekali beliau dihalang meninggalkan negara ini.

Kita kena berdepan sekali lagi, dengan kerajaan yang kuku besi. Nampaknya Penjara Kamunting atau pusat tahanan Simpang Renggam akan padat semula. Selain itu penanahan tanpa bicara, akan digunapakai semula. 

KENAPA WARISAN SANGGUP TERIMA WAKIL RAKYAT KATAK?

KALAU melihat Darell Leiking di Padang Merdeka, terlolong-lolong mengatakan Dr Jeffery Kitingan KATAK, sedangkan hakikatnya bukanlah demikian. Jeffery mengetuai parti beliau sendiri. Atas kapasiti sebuah parti, maka beliau betgabung dengan 29 ADUN yang diketuai TS Musa Aman untuk membentuk kerajaan.

Kini, parti Warisan Sabah bersorak gembira menyambut 6 ADUN KATAK, daripada Bn, yang membolehkan parti itu mempunyai 35 kerusi, berbanding Bn 25. Mengapa Darell tidak terlolong-lolong memanggil mereka ini KATAK!!!! sebaliknya sebagai HERO???

Tidak akan berlaku pada satu-satu masa, ada dua Ketua Menteri. Memang di atas kertas, Shafie disokong 35 ADUN, namun beliau belum boleh mengangkat sumpah, selagi TS Musa Aman tidak meletakkan jawatan.

TS Musa perlu bertahan, demi mengajar mereka yang tidak amanah, mereka yang menjahanamkan demokrasi untuk mendapat kuasa mudah.

Kalau terpaksa, Musa perlu membubarkan DUN untuk memberi peluang kepada rakyat menentukan parti yang diberi mandat memerintah negeri menerusi pilihanraya.

Pilihanraya adalah tindakan betul bagi berdepan dengan kemelut yang ditimbulkan oleh penjahanam demokrasi.

Kepada TS Musa, biar kalah atau menang dalam dunia demokrasi, jangan kalah/menang kerana tindakan para petualang.

Adalah jelas, menerusi PRU-14, Bn menang 29, namun kerana 6 petualang, menyebabkan Bn hanya berbaki 23 kerusi. Jika dituruti tindakan 6 ADUN yang berpaling tadah itu, maka TIDAK ADIL bagi 23 ADUN yang lain, pada masa yang sama tidak adil bagi rakyat yang menyokong 6 ADUN tersebut. 6 ADUN itu menang kerana tikit Bn, bukan tikit individu!!!

Adalah sungguh hipokrit bagi Warisan, kerana menerima ADUN Katak!!!.

KEMELUT SABAH: PILIHANRAYA BARU DIPERLUKAN

DEMI menghentikan para penjahanam demokrasi mendapat kuasa dengan mudah, maka tiada pilihan melainkan kembali kepada rakyat sekali lagi.

Menerusi pilihanraya baru, rakyat akan menentukan parti mana yang mendapat mandat untuk menerajui kerajaan, bukannya ditentukan oleh penjahanam demokrasi. Tindakan wakil rakyat yang melompat, adalah tindakan menyalahgunakan mandat rakyat.

PRU-14 Sabah, rakyat negeri ini dengan jelas memberikan Bn kerusi 29, Warisan 21, DAP 6, PKR 2 dan STAR 2. Oleh kerana DUN Sabah berjumlah 60, maka diperlukan 31 ADUN bagi sesebuah parti menubuhkan kerajaan.

Pada 10 Mei selepas PRU-14, Bn dan STAR bergabung membolehkan untuk menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah. Namun, tindakan 4 ADUN Umno dan 2 ADUN UPKO ( UPKO telah keluar daripada Bn, namun 3 ADUN yang menang menerusi tikit Bn- Datuk Masiung Banah, Datuk Bobby Suan dan Datuk Limus Jury masih bersama Bn). menyebabkan kerajaan telah kehilangan majoriti mudah.

Kerajaan yang ada mempunyai dua pilihan. Pilihan pertama menunggu sehingga sidang DUN pertama dalam tempoh 120 hari, bermula daripada tempoh pembubaran 7 April 2018. Ini bererti, pada 9 Ogos, adalah sidang Dun pertama bagi penggal ke-14, atau sebelum tempoh itu, DUN Sabah dibubarkan untuk membolehkan pilihanraya baru, atau pilihan lain, untuk kepentingan negeri, semua parti yang menyertai PRU-14 bergabung, untuk membentuk kerajaan yang mantap.

Para pemimpin Sabah kena memikirkan rakyat & negeri, bukannya berkiblat dengan pihak lain. Sabah perlu menentukan hala tuju sendiri.

Sabah perlu diperintah oleh parti, bukan para individu yang mencari peluang. Sabah kena hentikan tindakan menikam kawan, tindakan tidak amanah, tindakan menjahanamkan demokrasi.

Parti yang diterajui yang mempunyai sejarah menikam kawan, perlu dinyahkan, kerana jika tidak, Sabah akan sentiasa mendapat jolokan, ramainya pemimpin yang tidak amanah.

UPKO, LDP, PBRS KELUAR BN

UPKO menang 1 parlimen dan 5 dun, LDP kosong, PBRS pula menang 1 parlimen dan 1 dun. Kemengan Dun oleh UPKO membolehkan Bn menang 29 kerusi pada PRU-14. Namun, daripada 5 ADUN Upko, 3 masih bersama Bn, manakala PBRS kekal satu. 

Oleh kerana 4 ADUN Umno dan 2 ADUN UPKO telah melompat, dan kemungkinan dikuti yang lain, menyebabkan kerajaan baru Sabah dipimpin TS Musa Aman, kehilangan majoriti mudah.

Musa kini, berdepan dengan kawan-kawan yang tidak amanah, dan mereka itu berselindung atas kepentingan rakyat. Mereka itu, tidak mengambil iktibar, bahawa Kerajaan Kelantan adalah pembangkang pada Kerajaan Persekutuan sejak tahun 1990, Selangor dan Pulau Pinang sejak tahun 2008. Di Kelantan pada PRU 2004, hanya majoriti dua kerusi, namun bertahan sehingga kini, kerana para wakil rakyat dan pemimpinnya amanah.

Terlihat sungguh, betapa tidak amanahnya para wakil rakyat Sabah, kerana dengan mudah memutuskan meninggalkan kawan semasa diperlukan. Jika perkara ini tidak dibendung, maka selamanya berlaku, akhirnya rakyat yang tertipu. Tindakan mereka yang berpaling tadah ini, sebenarnya bukan untuk kepentingan rakyat akan tetapi kepentingan peribadi. 

Dipundak TS Musa Aman pada masa ini, untuk menoktahkan tindakan para pemimpin tidak amanah ini. Jangan biarkan mereka mendapat kuasa dengan cara mudah. Kembali lah kepada rakyat menerusi pilihanraya baru. Biarkan rakyat menutuskan parti mana yang dikehendaki menerintah negeri, bukan ditentukan oleh oleh wakil rakyat yang tidak amanah.

UPKO dan PBRS mempunyai sejarah menikam kawan. Kini, tindakan yang sama dilakukan. Kata peribahasa, anjing tidak akan berhenti mencium tahi. Perbuatan seumpama ini perlu dinoktahkan, jika tidak, para wakil rakyat Sabah, akan masuk rekod sebagai para wakil rakyat katak selamanya.

KEPADA TS MUSA: JANGAN MENGALAH PADA PENJAHANAM DEMOKRASI

INILAH masanya, ditunjukkan kepada PENJAHANAM demokrasi, bahawa cara mudah mendapatkan kuasa, tidak semudah yang mereka fikirkan.

Jangan sesekali terperangkap dengan ISTILAH, bahawa tindakan mereka itu, demi rakyat dan negeri, tindakan mereka itu adalah untuk kepentingan peribadi.

Tindakan penjahanam demokrasi itu bercanggah dengan keputusan rakyat. Mereka itu menang kerana parti yang mereka tinggalkan. Mereka itu bukan lagi KATAK akan tetapi tergolong TIDAK amanah.

Menerusi PRU-14, rakyat Sabah telah memutuskan, bahawa Bn menang 29, Warisan 21, DAP 6, PKR 2 dan STAR 2. Menerusi keputusan itu, maka DUN tergantung. Kerajaan boleh dibentuk, jika antara kumpulan bergabung parti. Ternyata, berasaskan keadaan itu, Bn bergabung dengan STAR, yang membolehkan membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Gabungan itu, bukan katak, kerana berlaku penggabungan parti untuk bekerjasama memerintah.

Namun, selepas pembentukan kerajaan, Ketua Menteri mengangkat sumpah, kabinet telah dibentuk, tindakan penjahanam demokrasi, kerana memenuhi kepentingan peribadi mengharu birukan keadaan. Mereka itu, mahu mengulangi peristiwa tahun 1994, selepas 2 minggu Datuk Seri Pairin Kitingan (kini Tan Sri) mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, dua adun daripada parti beliau melompat, menyebabkan beliau meletakkan jawatan. Undang-undang Tubuh Kerajaan Sabah, TYT tiada kuasa melucutkan jawatan Ketua Menteri, TYT hanya boleh menasihat untuk letak jawatan.

Kepada TS Musa, jangan sesekali mencontohi tindakan Tan Sri Pairin, untuk menjadi pengajaran dan panduan di masa depan, bahawa tindakan penjahanam demokrasi yang kerap berlaku di Sabah perlu dinoktahkan untuk selama-lamanya.

Musa mempunyai dua pilihan, menunggu tempoh 120 hari, iaitu sidang DUN pertama selepas PRU-14, atau membubarkan DUN untuk memberi laluan kepada pilihanraya negeri yang baru. Menerusi pilihanraya yang baru, untuk memberi peluang sekali lagi kepada rakyat, untuk menentukan parti mana yang memerintah negeri, bukannya ditentukan oleh mereka yang tergolong tidak amanah!!!

PENJAHANAM DEMOKRASI

RAKYAT Sabah sudah membuat keputusan menerusi PRU-14, apabila Bn mendapat 29 kerusi, parti Warisan Sabah 21, DAP 6, PKR 2 dan STAR 2. 

Menerusi keputusan itu, tiada parti yang mendapat majoriti mudah bagi maksud menubuhkan kerajaan, kerana jumlah yang diperlukan adalah 31 daripada 60 Dun Sabah.

Bagi maksud menubuhkan kerajaan baru, samada Bn bekerjasama dengan parti-parti lain atau PWS berkerjasama dengan parti-parti lain.

Pada 10 Mei, Bn mengadakan kerjasama dengan STAR, pimpinan Datuk Dr Jeffery Kitingan. Menerusi kerjasama itu, maka kerajaan baru Sabah telah dibentuk. Ekoran pembentukan kerajaan baru itu, Tan Sri Musa Aman yang mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah. 

Selepas mengangkat sumpah, beliau juga telah mengumumkan 10 kabinet baru negeri yang mana salah seorang Timbalan Ketua Menteri adalah Presiden STAR.

Namun perkembangan terbaru berlaku, apabila 6 ADUN Bn melompat kepada parti Warisan Sabah. Mereka itu adalah ADUn Tanjong Batu- Datuk Amisah Samat, ADUN Balung- Datuk Osman Jamal, ADUN Sebatik Abdul Muis Picho, ADUN Kemabong- Jamawi Jaafar, ADUN Paginatan- Datuk Abdidin Madingkir dan ADUN Kedamaian- Ewon Benedik.

Dengan melompat 6 ADUN itu, membolehkan PWS/DAP/PKR mempunyai 35 kerusi DUN, berbanding jumlah ADUN bagi kerajaan yang baru dibentuk 25.

Meskipun, senario baru itu, Presiden PWS, iaitu Datuk Shafie Apdal hanya akan boleh dilantik sebagai Ketua Menteri, jika TS Musa Aman meletakkan jawatan. Jika Musa mempertahankan jawatan sehingga sidang DUN Sabah, maka akan tergantung kepada ADUN, apa kah ada usul tidak percaya kepada kerajaan. Jika jumlah ADUN menyebelahi mereka yang membuat usul tidak percaya melebihi yang menyokong kerajaan maka kerajaan itu akan jatuh.

Perlu diingat dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri, TYT hanya ada kuasa melantik, tetapi tiada kuasa melucutkan jawatan Ketua Menteri yang telah mengangkat sumpah. Berbeza dengan undang-undang tubuh kerajaan Perak, di mana Sultan mempunyai kuasa melantik Menteri Besar. Undang-Undang Tubuh Kerajaan Sabah sama dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana SPBA hanya mempunyai kuasa melantik Perdana Menteri, tetapi tiada kuasa melucut. Perdana Menteri hanya kehilangan kuasa apabila kehilangan sokongan ahli Dewan Rakyat semasa persidangan, demikian juga halnya Sabah, jawatan Ketua Menteri akan kehilangan jawatan, jika kehilangan sokongan ADUN semasa persidangan.

Kerajaan baru Sabah secara sah telah ditubuhkan dengan jumlah kerusi mudah, namun kerana tindakan para pengkhianat demokrasi, maka kerajaan yang dibentuk berdepan dengan masalah.

Mengapa kah Sabah masih mempunyai para pemimpin seumpama ini? Datuk Dr Jeffery Kiitingan yang mereka laung-laungkan sebagai KATAK, sebenarnya bukan katak, kerana beliau memimpin parti sendiri, dan membuat keputusan bergabung. Mengapa para pemimpin PWS tidak melompat-lompat melaungkan KATAK kepada Amisah, Jamal, Jamawi, Muis, Abidin dan Ewon. Mengapa sangat ketara hipokrit mereka??

11 May 2018

PASCA PRU-14: ERA BARU POLITIK SABAH?

BERASASKAN keputusan pengundi Sabah pada PRU-14 yang berlabuh pada 9 Mei, bahawa rakyat negeri ini, terbahagi-bahagi kepada beberapa hala tuju.

Apa yang jelas, era Umno/Bn sudah berlalu, meskipun mendapat 79 kerusi Parlimen daripada 222. Berasaskan keputusan itu, Umno kehilangan 54 daripada 133 berbanding PRU-13. 

Keputusan PRU-14, negeri Johor di mana Umno dilahirkan, jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH), demikian juga Kota Belud, anak sulung Umno Sabah, jatuh ke tangan parti Warisan, parti yang berkolaborasi dengan PH. 

PRU-14, menyaksikan pengakhiran Parti Umno sebagai parti terlama memerintah. Menerusi kekalahan tersebut, maka akhirnya Umno mencontohi parti Kongress India, Parti LDP Jepun dan parti Golkar Indonesia. 

Daripada tiga parti luar yang disebutkan, hanya Kongress India dan LDP berjaya kembali berkuasa, sementara Golkar tidak pernah bangkit lagi. (Nota- LDP sedang berkuasa di Jepun pada masa ini). 

Di Sabah, selepas penubuhan kerajaan kerjasma antara 29 ADUN parti Barisan Nasional dan 2 ADUN STAR, mula memikirkan SATU pendekatan baru atau PENJENAMAAN baru, untuk menamakan KERJASAMA itu, dengan mempertimbangkan hala tuju rakyat. 

Tindakan PENJENAMAAN baru, adalah satu tindakan neutralisasi terhadap gelombang arah aliran pemikiran rakyat. Penjenamaan baru itu, perlu dilakukan atau perlu diambil tindakan dengan segera, sebagai kaedah menang-menang. 

Dalam politik, tidak selalu mengunapakai kepada survival politik, sebaliknya politik kena ikut rentak peredaran zaman, kena ikut arah pemikiran rakyat, khususnya generasi pelapis. 

Menilai isu-isu yang menjadikan Umno/Bn ditolak, parti Warisan/PH yang hanya mendapat sokongan  menyebabkan DUN negeri tergantung, menggambarkan bagai mana rakyat Sabah (pengundi) berada dalam persimpangan. 

Dengan mengambil kira, persimpangan itu, maka dengan segera, kerajaan baru Sabah, perlu menubuhkan satu parti politik, yang mewakili aspirasi semua rakyat Sabah, yang merangkumi mereka yang menyokong PWS/PH dan Umno/Bn pada PRU-14. Pendekatan itu, menyerupai tindakan Tun Razak pada tahun 1974, menubuhkan Barisan Nasional, walaupun parti Sabah yang bakal ditubuhkan  itu tidak lagi mengunakan istilah "barisan".

Parti politik baru itu, mengambarkan secara total, penjenamaan baru, tidak lagi menggambarkan era Umno/bn atau mana-mana parti yang bertanding pada PRU-14. 

Sabah dan rakyatnya perlu begabung tenaga secara total, demi rakyat dan negeri. Keadaan masa lalu, perlu dijadikan sempadan. Kesejahteraan rakyat & negeri menuju masa depan adalah mustahak. Sabah perlu mempunyai kekuatan politik sebagai entiti jika mahu maju dan membangun. 

Berasaskan kepada keputusan rakyat Sabah, setiap pemimpin politik perlu membuang jauh ego masing-masing. Masa ini, adalah waktu rekonsiliasi semua pihak, demik rakyat & negeri. Fikir-Fikirkan.

7 May 2018

KERANA JAWATAN SHAFIE SANGGUP BERTINDAK APA SAHAJA

TERDEDAH sudah, siapa sebenarnya Datuk Shafie Apdal. Presiden parti Warisan Sabah itu sanggup bertindak apa sahaja demi jawatan.

Pendedahan salah seorang mantan Pegawai Yayasan Sabah, bahawa Shafie sanggup bertindak menjual Yayasan Sabah pada tahun 1994, semata-mata kerana gagal dilantik ke jawatan ICSB ( Innoprise Corporation Sdn Bhd) anak syarikat Yayasan Sabah, di mana sebelumnya jawatan itu disandang oleh Dr Jeffery dalam kerajaan PBS.

Kerajaan PBS digantikan oleh kerajaan Bn yang diterajui Umno pada awal tahun 1994.

Kerana gagal dilantik sebagai CEO, Shafie pada masa itu merupakan pengerusi NBT (North Borneo Timber) sebuah syarikat senaraian awam, membuat cadangan membeli Yayasan Sabah dengan harga RM350 juta.

Tindakan Shafie itu hampir berjaya, kerana kabinet, lembaga pengarah Yayasan Sabah, termasuk jawatan kuasa penilai telah bersetuju berkaitan cadangan itu. Tindakan itu hanya digagalkan oleh tindakan Datuk Musa Aman (kini Tan Sri) yang mana masa itu sebagai Timbalan Pengerusi Pemegang Amanah (BOT) Yayasan Sabah.

Kerakusan Shafie terhadap jawatan, terbukti lagi, apabila berkolaborasi dengan Tun Dr Mahathir, untuk menjatuhkan DS Najib Razak daripada jawatan Perdana Menteri. Menerusi kolaborasi itu, apabila TS Muhiyiddin Yassin menggantikan Najib, beliau akan dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Di Sabah pula, Shafie mensabotaj pembangunan & kemajuan luar bandar Sabah, dengan membelanjakan peruntukan Persekutuan yang disalurkan menerusi KKLW kepada projek-projek yang bukan keperluan rakyat, matlamat beliau, supaya rakyat marah kepada Tan Sri Musa.

Apabila rakyat marah, maka akan ada alasan beliau untuk dilantik ke jawatan Ketua Menteri.

Sebenarnya, Shafie daripada awal-awal lagi, hanya mementingkan diri sendiri, bukan untuk memajukan rakyat dan negeri.

Kini, dalam usaha beliau menang dalam pilihan raya, cerita-cerita bohong beliau, telah menjadi "backfired" kerana sebenarnya, beliau lah yang bertindak menjahamkan Sabah, bukannya Musa.

6 May 2018

PRU-14 SABAH: BN SABAH AKAN BENTUK KERAJAAN

MENILAI calon-calon dan pola pertandingan di seluruh kawasan Dun, nampaknya keputusan PRU-14 akan berpihak kepada Bn.

Daripada 60 Dun, 52 Dun clear bagi Bn, 4 dalam dalam keadaan 50/50, manakala 4 lagi kedudukan Bn pada keadaan 45:55 berbanding parti lawan.

Jumlah kerusi mudah bagi membentuk kerajaan adalah 31, manakala kuasa 2/3 Dun berjumlah 40.

Jumlah 52 kerusi Dun diterjemahkan kepada 22 kerusi Parlimen. 

Antara Dun yang bakal menyumbang majoriti besar adalah Dun Sibuga, Dun Sulaman dan Dun Tanjong Batu.

PRU-14 SABAH: TIADA LAGI TSUNAMI KDM

TIGA hari lagi penentuan PRU-14. Harapan Parti Warisan Sabah/PH bahawa akan berlaku tsunami KDM, ternyata tidak akan berlaku.

Parti itu menjangkakan bahwa trend PRU-13 akan berterusan, rupanya sangkaan mereka itu seperti disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Di setiap kawasan, khususnya kawasan pada PRU-13 lalu, di mana calon-calon Bn menang walaupun mendapat jumlah undi di bawah 50%, namun pada PRU kali ini, sokongan pengundi di kawasan itu telah meningkat di atas 50%.

Pada PRU kali ini, walaupun berlaku peningkatan sokongan terhadap BN di beberapa kawasan yang dikuasai DAP pada PRU-13 lalu, namun peningkatan itu tidak cukup untuk satu kemenangan. Bagi kawasan yang dimenangi PKR pula, trend sokongan rakyat, akan kita saksikan, bahawa pada PRU kali ini, tiada calon yang berlambangkan mata lebam akan menduduki DUN Sabah.

Walaupun, sokongan kaum bumiputera islam begitu padu terhadap Bn, mungkin atas sentimen, ada satu atau dua kawasan masih dalam kedudukan 50/50 antraa Bn dan PWS.

Apa yang jelas menerusi PRU-14 ini, harapan PWS menakluki kawasan KDM telah sirna.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels