29 November 2009

Siapa Musram Rakunman Dalam Dunia Blog

Matalamat bloging saya adalah semata-mata untuk berkongsi maklumat dan analisa dengan para bloger.


Saya ada tiga blog yang sulung adalah APA YANG TERSIRAT dapat dilayari melalui http://www.musramrakunman.blogspot.com, yang kedua adalah AWAL DAN AKHIR dapat dilayari melalui http://www.awaldanakhirzaman.blogspot.com dan yang ke tiga adalah ONE KOTA BELUD dapat dilayari melalui http://www.one-kotabelud.blogspot.com


Setiap satu blog saya mempunyai plot tersendiri dan membawa maklumat tersendiri. Juga, melalui pelayaran para pembaca saya, saya dapat menganalisa bahawa para pembaca saya telah tersegmentasi, ertinya pembaca apa yang tersirat tidak bermakna akan membaca one-kota belud demikian juga sebaliknya.

Pada bulan puasa yang lalu selama sebulan saya iklankan nama-nama blog saya melalui apa yang tersirat. Saya merasakan pembaca saya telah diberi maklumat yang cukup melalui kehadiran blog-blog saya.

Sebagai tambahan kesemua blog saya membawa gambar saya yang terkini, agar para pembaca tidak keliru, dan sebagai tambahan apabila profile saya diklik akan memaparkan data saya yang terkini dan betul.

Sejak akhir-akhir ini apabila saya cuba melayari para bloger Kota Belud khasnya, saya mendapati nama saya terbabit sama sebagai bahan berita dan tulisan. Dalam penulisan mereka ada juga berita yang betul dan benar, tetapi juga ada tulisan yang berbentuk gossip dan sensasi.

Di luaran pula ada bloger yang dianggap mampu menulis tetapi bukan lah kanan dalam bloging cuba meneka-neka pemilik blog yang berlambang ORANG-ORANGAN pinjam istilah Abdulnaddin dalam blog abdnaddin.blogspot.com.

Melalui blog orang-orangan ini bermacam cerita dibuat-buat, bukan kepada cerita yang sebenar. Ada blog yang dicipta khas untuk menonjolkan nama-nama tertentu khususnya dalam arena politik. Ada juga blog yang memaparkan aib-aib nama-nama tertentu dan sebagainya.

Bagi saya, setiap citarasa dan penulisan saya paparkan berasaskan pengalaman dan bacaan. Ada pengalaman yang saya lalui sendiri, ada juga pengetahuan melalui bacaan. Ada juga tulisan saya berasaskan bacaan agama.. yang dikutip dari wahyu Allah melalui Al-Quran, kisah-kisah para nabi,kisah-kisah para iblis dan syaitan dan sebagainya.

Kalau tulisan mengenai agama saya tidak mampu mengubah suainya, kerana amat lah berdosa apabila satu kisah mengenai agama itu diubah suai. Fakta mengenai kisah Adam terkeluar dari syurga,kisah iblis dan syaitan bertapak pada dada Adam dan keturunannya tidak boleh diubah suai.

Kata Tuhan setiap manusia yang menyamai sifat syaitan dan iblis balasannya adalah neraka jahanam. Tuhan juga mengingat saya dan umat Adam, bahawa sehingga hari kiamat syaitan dan Iblis senantiasa berada di dada keturunan adam dan senantiasa akan menganggu keturunan adam.Fakta seumpama ini, tidak boleh dubahsuai.

Bagi saya, selagi saya bernafas saya akan berkata: Fitrah kita manusia memang demikian. Setiap kita yang mempunyai ciri-ciri syaitan dan iblis kita tidak dapat nafikan, kerana Allah telah membenarkan syaitan dan iblis menggangu anak-anak adam dan keturunannya sehingga hari kiamat atau hari penentuan.

Saya juga membaca para komen BLOG ORANG-ORANGAN..ada juga komen yang menjadi maklumat kepada saya, ada juga komen membuat saya mencari fakta dan membuat kaji selidik dan ada juga komen menjadikan tersenyum dan menjadi hiburan, dan ada juga komen membuat saya tertanya-tanya.. sampai hati sipulan bin pulan atau sipulan binti pulan ini menulis demikian.

Namun bagi saya, bloging adalah meluahkan aspirasi dan kematangan berfikir melalui idea-idea yang bernas. Idea-idea yang bernas itu yang dicari agar menjadi tauladan.

Para Bloger.. menulis lah.. hindarkan perkara keji dan munafik.. anda akan disanjung kerana kerja-kerja AMAL anda dalam dunia penulisan. Fikirkan lah.

Kenapa Kepimpinan Daerah Sukar Bersatu??

Perjalanan kepimpinan Daerah terutama selepas pemilihan perebutan kepimpinan Umno dan Pru-12 dilihat tidak seimbang dan ‘bergegar sepanjang masa’ ekoran wujud suara luar yang mampu mempengaruhi sebahagian pimpinan dengan mudah.

Ada kalangan ahli dan penyokong serta rakyat mendakwa bahawa kepercayaan kepada pucuk pimpinan daerah semakin berkurangan selain trend menghentam pimpinan secara terbuka juga menyebabkan kewibawaan para pemimpin terguris dan tergugat.

Dalam yang masa sama rahsia parti seperti perjalanan mendapatkan kemenangan dan agihan projek pembangunan dibongkar tanpa rasa bersalah. ‘

Ahli-ahli dan pemimpin bahagian lebih hebat berpolitik sesama sendiri dibanding dengan musuh. Terlalu ghairah untuk mendapatkan publisiti dan memperkuat diri sendiri demi pertimbangan untuk menjadi calon dan mempertahan kedudukan sehingga mengorbankan sahabat seperjuangan.

Pemimpin daerah telah berubah. Cara kepimpinannya telah lari dan hanya berlebihan dalam menumpukan gerak kerja politik tanpa mengambil berat gerak kerja tarbiyyah.

Sesetengah pemimpin bukan sahaja sanggup bersengkang mata untuk memastikan kemenangan kerusi malah sedia bertegang leher sesama sendiri demi sebuah strategi politik.

Bagi setengah pemimpin amal tarbiyah tiada lagi tempat dan ruang. Persaudaraan sesama pimpinan dan anggota parti dilihat sinis. Mudah bertengkar dan bermasam muka. Sering dipengaruhi rasa curiga antara satu sama lain. Memandang sahabat seperjuangan seperti musuh yang dilapah dan disiat seluruh maruah dan aibnya di dada akhbar dan blog.

Sukar bertolak ansur sebaliknya mudah bersengketa. Berbicara sesama sendiri seperti bicara dengan musuh.

Jika perjalanan parti tidak diperbetulkan semula dan semua pihak tidak mengambil peranan itu dengan penuh insaf dan sedar, maka parti akan senantiasa terus bergolak.

Jika pemimpin dan Ahlinya tidak membina semula kesatuan berfikir dan kesatuan amal. seperti menjaga kerahsiaan ahli dan penyokong dengan mengenal pasti apa yang patut rahsia dan apa yang patut dedah, maka gejala keretakan akan terus belaku.Fikrah Iperjuangan mesti jelas. Jangan biarkan ia kabur di sebalik jerebu kuasa.

Dalam pada itu, semua pihak dalam parti dan kepimpinan daerah perlu segera memperkukuhkan parti sebelum memperkukuhkan keupayaan diri sendiri.Fokus pada portfolio yang diamanahkan.

28 November 2009

Rosak Jiwa Rosak Amalan

SHEIKH Muhammad Abu Zahrah berkata: "Allah menjelaskan pada ayat-ayat terdahulu betapa hinanya ahli Kitab yang sezaman dengan Nabi apabila mencampuradukkan kebenaran dengan kebatilan, di samping mendustakan para Nabi." Ayat ke-75 Firman Allah SWT yang bermaksud : Dan di antara ahli kitab, ada orang yang kalau Engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada-Mu, dan ada pula di antara mereka yang kalau Engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau Engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: "Tidak ada jalannya Kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan, mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta). Bahkan (Mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertakwa, maka Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa.

Sebab Nuzul Ibnu Jarir meriwayatkan : Pada zaman jahiliah, sekelompok umat Islam menjual barangan kepada orang Yahudi. Tatkala mereka menganut Islam mereka ingin menebus harta barangannya tetapi orang Yahudi menjawab: "Kami bukanlah golongan yang amanah dan kami tidak wajib melangsaikan hutang kami kepadamu kerana kamu telah meninggalkan agama yang dahulu kamu ikuti, sambil mereka mengaku bahawa mereka mendapat ketentuan yang sedemikian itu dalam kitab mereka".

Ibnu Mundhir meriwayatkan daripada Sa'id Ibnu Zubair, katanya: Tatkala turun ayat "Dan dari sebahagian Ahli Kitab…, tidak berdosa kamu terhadap orang Arab," lalu Nabi SAW bersabda, "Musuh-musuh Allah itu telah berdusta. Tidak ada suatu apa pun yang patut dilakukan pada zaman jahilliyah, melainkan di bawah kedua-dua kakiku ini, semuanya itu adalah amanah yang harus di tunaikan, sama ada kepada orang yang baik atau yang derhaka".

Iktibar dan fiqh ayat: i. Al-Qurtubi berkata: "Dikatakan orang Yahudi yang menyimpan dinar kemudian khianat ialah Qanhas bin Azura'. Ada pendapat menyatakan Ka'ab bin Asyraf dan sahabatnya".

ii. Abu Hanifah dan mazhabnya mendalilkan ayat ini dalam mulazamah yang berhutang sedangkan ulama yang lain tidak bersetuju.

iii. Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Dusta dan khianat merupakan kembar sebagaimana benar dan amanah adalah kembarnya. Rosaknya jiwa membawa kepada rosaknya amalan". iv. Al-Maraghi berkata: "Ayat ini mengisyaratkan, bahawa bangsa Yahudi pada hakikatnya beranggapan memenuhi janji bukanlah suatu kewajipan yang mustahak".

Ayat ke-76 Firman Allah SWT yang bermaksud : Bahkan (Mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertakwa, maka Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Alusi berkata: "Ayat ini mewajibkan kepada apa yang dinafikan". ii. Ibnu Jauzi berkata: "Perjanjian di sini ialah apa yang Allah janji dengan mereka di dalam Taurat dan kalimah ganti nama Nya pada perjanjian kembali kepada dua: Pertama: Kepada Allah SWT. Kedua: Kepada yang menunaikannya.

ii. Sheikh Sya'rawi berkata: "Ayat ini dimulakan dengan perkataan bala ( bahkan ) semata-mata untuk membatalkan isu yang terdahulu seperti dakwaan ahli Kitab.

iii. Al-Maraghi berkata: "Ayat ini mengandungi isyarat bahawa memenuhi janji dan menjauhkan diri daripada menyalahi orang lain, bersikap derhaka dan menjauhi dosa-dosa yang lain itulah akan mendekatkan seseorang kepada Tuhan-Nya dan menjadikan dirinya termasuk manusia yang dicintai-Nya.

Sebaliknya jika seseorang berbangga dengan kebangsaannya, ia sama sekali tidak bernilai di sisi Allah SWT. Ayat ini memberi bantahan bahawa orang Yahudi yang mengikut pendapat ini sama sekali tidak mempunyai jiwa takwa. Padahal jiwa takwa inilah menjadi asas pokok setiap agama yang benar".

Ayat ke-77 Firman Allah SWT yang bermaksud : Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Sebab Nuzul Terdapat tiga pandangan berkenaan sebab turunnya ayat ini :

i. Ibn Jarir meriwayatkan daripada 'Ikrimah katanya, "Ayat ini turun dalam peristiwa Abu Rafi' dan Lubabah Ibn Abu Huqayqiy dan Ka'b Ibn Ashraf serta Huyay Ibn Akhtab. Mereka ini mengubah dan menukar ayat-ayat Taurat tentang sifat-sifat Rasulullah SAW dan hukum memegang amanah serta hukum-hukum lain, kerana mereka melakukan kerana suapan (rasuah).

ii. Al-Bukhari dan lain-lain ada meriwayatkan bahawa Ash'ath bin Qays berkata: " Aku pernah menyerahkan sebidang tanah kepada seorang lelaki Yahudi, lalu dia mengingkarinya. Kemudian aku adukan dia kepada Rasulullah SAW. Baginda bersabda, "Adakah kamu mempunyai bukti?" Aku menjawab, "Tidak". Lalu Baginda bersabda kepada orang Yahudi itu. "Bersumpahlah!" Lalu aku berkata, "Wahai Rasulullah, jika dia bersumpah, hilanglah hartaku". Lalu turunlah surah al-Imran ayat 77. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: "Peristiwa ini mungkin yang menjadi sebab turunnya ayat atau peristiwa lain".

iii. Ia diturunkan kepada golongan Yahudi yang Allah melakukan perjanjian dengan mereka dalam Taurat dnegan menjelaskan sifat Nabi sedangkan mereka menyalahi dan mengengkarinya. Inilah pendapat Ikrimah dan Muqatil.

Iktibar dan fiqh ayat: i. Al-Qaffal berkata: "Kalimah-kalimah ini (Allah SWT tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan melihat mereka pada hari kiamat dan tidak (pula) akan membersihkan mereka) maksudnya, menerangkan betapa kemurkaan Allah SWT yang amat sangat kepada mereka sebab di dunia ini, seseorang yang menyebabkan orang lain tidak mahu berbicara kepada mereka, menandakan orang itu marah kepadanya dan kadang-kadang menyuruhnya pergi daripadanya. Dia berkata, "Aku tidak mahu berbicara denganmu dan melihat mukamu". Kalau disebut nama orang itu, disebutnya secara tidak baik.

ii. Sheikh Sya'rawi berkata: "Permulaan kehancuran pada jiwa seseorang apabila menukarkan hidayah dan mengambil ganti dengan kesesatan. Sesungguhnya mereka golongan yang rugi".

iii. Al-Maraghi berkata: "Allah SWT mengancam orang yang melanggar janji dan menyalahi janji dengan di haramkan mendapat nikmat, bahkan diberikan azab yang pedih. Mereka dimurkai Allah SWT sehingga tidak diberi rahmat kepada mereka, bahkan mereka juga tidak akan mendengar sebarang ucapan maaf dan keampunan daripada Allah SWT". Daripada ayat-ayat yang lepas jelas menunjukkan sifat dan perangai golongan munafik dan ahli Kitab yang melanggar dan menyalahi janji, sedangkan mereka cukup mengetahuinya. Semoga kita menjadi golongan yang bertakwa dan berpegang kepada janji.

25 November 2009

Cerita Kenangan Bersama Mendiang Maidom Pansai Mantan MP Kota Belud

TIDAK berapa ingat tahun berapa, tetapi yang pasti semasa pemerintahan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Satu ketika saya bersama isteri dan anak, cuma anak bertolak dari Kota Kinabalu menuju Kg Tamau melalui jalan lama-Jalan Tamparuli. Kenapa, melalui jalan lama, kerana jalan pintas sekarang ini belumpun dalam pembinaan.

Saya bersama keluarga bertolak dari Kota Kinabalu kira-kira 9 malam tanpa berhenti. Sesampai ke tanjakan jalan welcome to Kota Belud kereta secara tiba-tiba rosak dan tidak dapat bergerak. Setelah menunggu beberapa lama, walaupun banyak kereta yang lalu,namun semuanya tidak dapat membantu.

Menghubungi rakan atau keluarga, 100% tidak mungkin kerana memang tiada talian telepon tersedia (hingga kini). Saya bersama isteri terpaksa hanya menunggu.

Namun pada kira-kira pukul 1 pagi ada kereta range rover lalu dan telah melewati kami sehingga lepas pandangan. Namun 5 menit kemudian, kereta yang sama berpatah balik dan berhenti kira-kira 20 meter dari kereta kami. Pada mulanya saya agak bembang, takut-takut perompak, kerana penumpang maupun pemandu kereta tersebut tidak jelas dalam pandangan.

Setelah penumpang dan pemandu kereta tersebut menghampiri kami dengan berjalan kaki, saya terus kenal itulah YB Maidom Pansi Ahli Parlimen Kota Belud masa itu. Beliau bertanya, apa masalah, setelah dijelaskan, YB tersebut bertanya, apa kah saya membawa tali. Kerana saya menjawab, tidak.. maka YB tersebut memeriksa kenderaannya kalau-kalau ada tali. Dalam pencarian tersebut, ternyata pemandunya ada membeli tali.. tujuannya untuk mengikat kerbaunya yang akan dijual keesokan harinya di Tamu Kota Belud.

YB Maidom meminjam tali tersebut untuk digunakan menarik kereta saya. Sebelumnya saya telah terangkan bahawa kampung saya jauh nun di ceruk dan terpaksa mengambil masa yang panjang untuk sampai. YB Maidom hanya menjawab.. tidak apa.. saya akan hantar.

Setelah mengikat kereta saya dengan tali dan disambungkan di belakang range rover YB tersebut, kami mula perjalanan kami tanpa henti. Dengan perjalanan yang baik walaupun melalui jalan berbatu dan berdebu..kami sampai di rumah ayah saya kira-kira jam 7 pagi.

Setelah mengucapkan terima kasih; dan YB berkenaan secara halus menolak tawaran minum pagi.. YB Madiom terus pulang dan saya tidak pernah berjumpa lagi, sehingga beliau pergi untuk selama-lamanya.

Petang tadi saya setelah berbual-bual dengan bloger sekali ketuk (musli oli), terkeluar cerita ini, lantas musli mencadangkan agar saya memaparkan cerita ini sebagai rekod.. siapakah Maidom Pansai . Untuk Mendiang YB Maidom Pansai saya bagi pihak keluarga saya mengucapkan R.I.P.

Ada Yang Mahu Nik Aziz Nilai Kedudukan: Isu Menantunya

Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diminta menilai kedudukannya sebagai Menteri Besar Kelantan berikutan kegagalannya menangani isu pelantikan menantunya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Ketua Penerangan Umno Kelantan, Dali Hussin, berkata sudah sampai masanya Nik Aziz melihat sama ada beliau masih layak memimpin kerana sudah ada anggota Pas yang tidak menghormatinya.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri Kijang di sini hari ini, beliau berkata kegagalan Nik Aziz menyelesaikan isu pelantikan menantunya Abdul Arifffahmi Abdul Rahman telah mendorong kepimpinan tertinggi Pas menasihatkan beliau supaya mengarahkan menantunya itu melepaskan jawatan berkenaan.

Dali berkata Umno khuatir jika isu itu berpanjangan ia boleh merugikan rakyat Kelantan.

23 November 2009

Tukuan Tiruan Untuk Kampung Rampayan Laut

Hari ini tersempurna sudah penaburan 20 unit tukun tiruan sumbangan kementerian pertanian dan asas tani negeri untuk kampung Rampayan Ulu Kota Belud.

Datuk Musbah yang mengwakili Kementeriannya dalam ucapannya berkata, semoga melalui pengwujudan tukun-tukun tiruan ini, ikan akan kembali ke kawasan Rampayan Ulu.

Sebagai catitan kawasan Rampayan Ulu 10 tahun yang lalu merupakan sumber perikanan daerah, termasuk memenuhi keperluan daerah Kota Kinabalu, Ranau dan Keningau.

Namun akibat kegiatan perikanan yang insentif termasuk penggunaan pukat harimau, maka sumber ikan terus berkurangan.

Berkurangnya sumber perikanan telah mengakibatkan pendapatan penduduk pesisir pantai kampung Rampayan berkurang dan menurun. Penurunan pendapatan ini telah mengakibatkan penghijraan ke bandar termasuk ke Kuala Lumpur.

Melihat keadaan ini, maka kerajaan melalui kementerian pertanian dan perikanan negeri dan usaha ADUN Tempasuk, maka tukun-tukun tiruan ditabur agar supaya populasi ikan akan bertambah.

Acara penyerahan 2o unit tukun Tiruan tersebut telah diserah oleh Pengarah Perikanan Negeri Sabah Reyner Stuel Galid kepada Datuk Musbah Jamli dan seterusnya kepada pengerusi jawatankuasa tukun tiruan kampung Rampayan Ulu Sdr Datu Aliudin Datu Haji Paitu.

Penyerahan tukun tiruan tersebut berlangsung di Balairaya kampung Rampayan Ulu, di hadiri oleh para pegawai perikanan negeri, unit UPKR daerah, Ketua Kampung, Sdr Ibadat, sdr Akim Haji Salleh, Roslan Mansur, Mukim haji Samad, Jailin haji Pasal, Harapan haji Karim dan sekitar 300 orang penduduk kampung.

Majlis diakhiri dengan majlis merarau.

22 November 2009

Esok Tukun Tiruan Akan Di Lepas Di Laut Rampayan; Kemudian Lawatan Turun Padang ADUN Tempasuk Ke Rampayan ULU

Tukuan tiruan akan dilepas di laut Kampung Rampayan esok. Berat tukuan tiruan tersebut dianggarkan tiap sebuah 6 ton.

Tujuan tukun tiruan ini untuk menarik ikan pelayar singgah dan bermukim.

Laut kampung Rampayan suatu masa dulu adalah sumber ikan untuk daerah Kota Belud, Kota Kinabalu, Keningau dan Ranau, kini ikan sudah hampir pupus, akibat kegiatan pemboman ikan oleh orang-orang tertentu.

Adalah diharapkan dalam tempoh 3 bulan.. ikan-ikan akan datang dan bermukim.. untuk menambah jumlah tangkapan penggiat penangkap ikan.. bukan nelayan tetapi penggiat.

Pelepasan tukun-tukun tiruan tersebut akan disempurnakan oleh ADUN Tempasuk merangkap pembantu menteri pertanian dan asas tani Sabah Datuk Haji Musbah Jamli.

Dalam atur cara disebutkan juga.. setelah menyempurnakan pelepasan tukun-tukun tiruan tersebut ADUN Tempasuk tersebut melakukan lawatan kerja ke Rampayan Ulu.

Umno Tiada Peluang Jika Pembangkang Tiada Kelemahan: Benar Kah??

Umno masih mempunyai peluang cerah untuk mendapatkan sokongan rakyat memandangkan banyak kelemahan pada pihak PAS yang masih belum dieksploitasi sepenuhnya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata bagi tujuan itu Umno perlulah meningkatkan jentera penerangannya dan harus merebut peluang akan kemelut yang melanda PAS.

" Contohnya Umno di Kelantan kini underdog (tidak mendapat sokongan) tetapi jangan lupa Manik Urai... keputusan pilihan raya di kawasan itu baru-baru ini jelas menunjukkan rakyat Kelantan mahu berubah," katannya.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata perlu bagi Umno untuk terus bekerja keras bagi memperkasakan parti itu agar terus mendapat sokongan rakyat.

"Saya mengarahkan Bahagian Penerangan untuk bermuzakarah mengenai isu-isu semasa kepada ahli sebulan sekali, supaya mereka faham isu-isu semasa di samping dapat merapatkan hubungan sesama ahli," katanya.

21 November 2009

Kenapa Orang Suka Cemburu??? Attribute To Bagdad Haji Turugan

Kenapa orang suka cemburu? Melihat rumah besar, melihat kereta besar, dapat wang banyak, dapat projek, dapat biasisiwa; naik pangkat, dapat jawatan;mungkin juga jadi Yang berhormat. Ada saja orang cemburu.Pendek kata apa-apa sahaja yang nampak lebih dan menonjol adalah perkara yang mengundang cemburu.

Tetapi cemburu tidak akan berlaku bagi perkara-perkara bersifat rendah martbat. Misal orang misikin, orang daif, orang pejalan kaki, orang kaki lima, orang penagih dadah atau syabu; tiadapun yang cemburu? Kenapa??

Manusia memang diajar demikian. Dalam jasad dan sanubari manusia telah melekat hasad dengi di dalamnya, setelah nabi Adam memotong anak syitan/iblis dan memasaknya dan terus memakannya. Hasad dengi ini yang mengukir cemburu dalam sanubari manusia. Iblis dan syaitan telah berjanji akan menyesatkan kaum Adam hingga ke hari kiamat.

Jadi,manusia yang cemburu melihat kejayaan orang lain, manusia cemburu kerana melihat orang lain mendapat bantuan atau pertolongan, tidak dapat dinafikan, kerana manusia seperti itu telah dikuasai oleh syaitan/iblis.

Kerana itu, manusia yang tidak terpengaruh dengan kelibat syatitan ini, adalah manusia yang dikurniakan ketahanan diri. Syaitan akan terus menggodanya, sehinggakan orang yang dicemburui tersebut bertindak balas. Kalau yang cemburu itu memaki hamun dan membuat fitnah, maka orang yang dicemburui tadi bertindak lebih ganas lebih dahsyat, maka bertempik lah syaitan atau iblis,kerana berjaya.

Sama lah para bloger Kota Belud yang tidak beridentiti.. dalam fikiran mereka, hanya satu.. hentam sahaja.. kerana tiada yang kenal,kerana gambarpun tiada, nama sebenarpun tiada. Kerana itu lah mereka mengubah diri mereka dalam kelompok syaitan/iblis.

Kelompok syaitan dan iblis akan terus mencuba memperburuk-burukkan orang lain, kerana memang demikian matalamat dan nawaitu mereka. Tuhan telah memberi kebenaran kepada syaitan/iblis sehingga ke hari kiamat untuk menganggu umat adam.. barang siapa yang bersekutu dengan syaitan, Tuhan izinkan,kerana mereka ini seawal-awal lagi telah berjanji akan masuk neraka jahanam.

Kepada saudara Bagdad Turugan; teruskan perjuangan anda, kerana ramai lagi manusia-manusia yang memperlukan kerja anda. Jangan terpengaruh dengan dakyah manusia-manusia syaitan ini, kerana sebenarnya mereka hanya makhluk perosak yang dilaknati oleh Tuhan.

Manusia syaitan/iblis seperti mereka hanya suka kalau orang yang membantu rakyat akan terus terpinggir, kerana ilmu syaitan/iblis adalah demikian. Manusia seumpama ini, hanya dikurniakan akal dan fikiran untuk merosak, kerana itu..apapun perbuatan mereka, betapa rajinnya pun mereka,hidup mereka tetap tidak berkembang dan tidak maju. Kalau dahulu dapat makandan minum, demikianlah hingga ke akhir hayatnya.

Saya telah terbiasa dianyaya, namun hingga kini walaupun tanpa sebarang jawatan.. saya tetap boleh hidup seperti orang lain. Orang yang menganyaya saya malah hidup lebih teruk dan ada yang telah lumpuh dan mati.

Apa Kah Hobi Rakyat Malaysia

Apakah hobi rakyat Malaysia?
Sudah tentu bukan membaca
Sebab perpustakaan lengang sentiasa
Kalau adapun baca novel cinta
Atau baca Mangga dan Mastika
Bacaan ringan yang merosak minda

Habis apa dia hobi mereka?

Dulu asyik bela ayam serama
Bagus juga sayang makhluk Allahtaala
Sanggup mandikan begitu punya jaga
Selain ayam ikan pun depa bela
Ikan lohan dan juga arowana
Sanggup guna duit gaji kerja lebihmasa
Sekarang ni pancing udang pula
Bukan di sungai tapi kolam buatan
manusia
Buat kolam di rumah kedai yang disewa
Gila sungguh tak dak kerja

Hobi terbaru ialah main SMS pula
Setahun dianggarkan 1000 juta
Dari reality show hingga umpat mengata
Keluar habis cerita Baginda Altantuya
Dari joke hingga palsu punya berita
Dari I love you hingga cerai talak tiga
Selain dari ucap besday dan Hari Raya
Judi pun pakai khidmat SMS juga
Tidak kira di mana-mana
Atas LRT dan juga tempat kerja
Untunglah syarikat telekomunikasi kita
Boleh taja EPL dan Piala Dunia
Dengan CELCOM anda berkuasa
Asalkan jangan taksub besar kepala

Yang si mat rempit lain pula
Race motor tengah malam buta
Hadiah pertama sicantik jelita
Sanggup tunjuk skil korban nyawa
Jangan sekali dok tegur mereka
Nanti pecah habis cermin kereta
Malaysia Boleh itu dia cogankata
Polis pun tak boleh buat apa
Pening dengan mat rempit punya gejala

Lain pula hobi motor golongan berada
Yang tu naik konvoi pergi merata-rata
Dari KL naik motor konvoi ke utara
Bukan apa cuma nak pi makan laksa
Atau buat konvoi sempena merdeka
Kita tanya apa tujuan mereka
Keseronokan yak yak yeh sorak gembira
Lambat lagi lah bangsa kita merdeka

Apa hobi anda?

Kumpul setem, memancing atau tonton telenovela
80% remaja jawab dengar radio dan tonton tv la
Sebab tu meningkat pendapatan Media Prima
Hot FM yang lebih hangat daripada biasa
Dengar celoteh dan merepek Farah Fawzana
Tak dak slot khas motivasi agama
Sebab yang tu orang tak berapa suka
Benda yang perlu berfikir atau guna minda
Sebab tu di pasaran otak antarabangsa
Otak orang Melayu tinggi harga
Dok berkilat dan cantik sebab jarang guna

20 November 2009

Lorong Kaki RM 6,000: Saya Pun Rakyat Sabah Juga

Bantuan ikhlas dari ADUN Tempasuk Datuk Musbah Haji Jamli untuk menimbus persimpangan jalan menuju rumah mertua saya telah menjadi isu para blogers Kota Belud.

Sumbangan ikhlas hanya berjumlah RM6,000.00 setelah lebih 50 tahun daripada DUN Tempasuk yang dari merdeka Tempasuk terus dimenangi kerajaan yang memerintah negeri.

Kerana terlalu teruja dengan bantuan kerajaan tersebut, maka saya secara ikhlas menulis dalam blog saya, betapa bangganya saya, kerana jalan berlumpur itu akhirnya mendapat perhatian.

Cuba bayangkan jika jumlah RM6,000 tersebut dibagi 50 tahun.. kiralah sendiri berapa peruntukan setahun untuk lorong kaki tersebut, dibanding dengan harga bas-stop, jalan-jalan yang terus diturap saban tahun?.

Saya rakyat Sabah juga.. ada hak .. lain lah kalau para bloger menganggap saya PTI!. Para blogers Kota Belud mungkin belum merasakan mengharungi jalan berlumpur.. kerana telah terbuka mata dengan jalan beraspal.

Saya cukup kesian dengan kontraktor yang dapat jalan tersebut.. saya perkirakan sebanyak 10 lori 5 tan batu baru cukup menimbus lorong kaki tersebut agar boleh bertahan dan tidak cepat berlumpur semula. Jika demikianlah jumlah batu yang akan digunakan.. kesian sungguh kontraktor yang dapat.. kerana keuntungannya hanya sekitar RM1,000. Kalau lah RM1,000 itu dibagi 50 tahun maka nilai saya, jiran-jiran hanya RM20 setahun atau RM1.67 sebulan untuk 50 tahun yang lampau.

Bagi rakan-rakan blogers yang menjadikan isu lorong kaki ini menjadi isu sensasi... saya meragui nawaitu anda!!!

PKFZ: Mahfuz Omar Persoal Pasukan Petugas Khas

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mempersoal kewajaran Pengerusi Pasukan Petugas Khas Projek Pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) Tan Sri Mohd Sidek Hassan meminta ditubuhkan Jawatankuasa Ad Hoc Tabdir Korporat berkaitan PKFZ itu.

Cadangan tersebut demi memantau integriti dan proses pelantikan satu pertiga ahli bebas bukan eksekutif dalan Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

"Isunya kenapa Tan Sri (Sidek) tidak cadang terus penubuhan suatu Suruhanjaya DiRaja yang bebas."

"Kenapa perlu meminta Lembaga Pengarah LPK (Lembaga Pelabuhan Klang) pertimbang syor dia (Sidek) supaya ditubuhkan suatu Jawatankuasa Ad Hoc berkaitan PKFZ itu," tegas Mahfuz.

Bagi Mahfuz, Sidek tidak berupaya menyelesaikan masalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kes PKFZ itu kerana beliau sendiri merupakan Ketua Setiausaha Negara (KSU) Kerajaan.

"Pasukan (Khas) Sidek gagal dan tidak berupaya untuk kenal pasti siapa rasuah (dan) siapa eksekutif-eksekutif kerajaan yang salah guna kuasa, sebab dia sendiri KSU, sebahagian dari kerajaan."

"Kalau dia (Sidek) nak siasat, pertama sekali dia akan siasat beberapa individu dalam kabinet...dia akan minta minit kabinet tentang isu PKFZ ini disemak."

"Saya percaya dia Najib) tidak berupaya jadi seorang yang bebas sebab dia KSU, dia setiausaha yang tulis minit kabinet," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyifatkan syor Sidek itu, sekadar melengah-lengahkan siasatan sebenar ke atas PKFZ.

"Saya nampak kerajaan (khususnya) Sidek sengaja panjangkan kes itu entah bila (dan) sampai bila...dulu (kerajaan) tubuh PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) di bawah Parlimen, sekarang tubuh pula pasukan Khas yang orang dia sendiri (Sidek) jadi Pengerusi. Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan tubuhkan Task Force. Audit swasta juga dibentuk."

"Semua ini (jawatankuasa) hanya nak lengah-lengahkan, dari diketahui rakyat bahawa siapa yang sepatutnya bersalah dan dibawa ke muka pengadilan," jelasnya.

Semalam, Sidek bersetuju supaya Kementerian Pengangkutan meminta Lembaga Pengarah LPK menubuhkan suatu ad hoc di bawah Kementeriannya.

Cadangan itu membolehkan usaha pemantau integriti dilaksanakan, tanpa perlu melibatkan pindaan undang-undang.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa media arus perdana mendedahkan keterlibatan beberapa inividu penting Umno dan BN dalam kes berkaitan PKFZ tersebut.

Ketua Pemuda Umno Kapar yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Dimensi Sdn. Bhd (KDSB) Datuk Faizal Abdullah dilaporkan membeli sebidang tanah secara misteri yang bernilai RM95 juta pada tahun 1999 lalu, dari Koperasi Pembangunan Pulau Lumut (KPPL).

Tanah tersebut dipercayai umum, diperoleh secara eksklusif daripada bapa mertuanya (Faizal) yang juga Pengerusi Lembaga KPPL.

Lebih misteri apabila Bendahari Umno Datuk Seri Azim Zabidi dan Ketua Kelab Penyokong Kerajaan BN Datuk Seri Tiong King Sing (MCA) masing-masing merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam KDSB.

Isu PKFZ yang masih tidak selesai sejak sedekad yang lalu secara tidak langsung menjadikan kerajaan sendiri dilihat terlibat dalam amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels