20 November 2009

PKFZ: Mahfuz Omar Persoal Pasukan Petugas Khas

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mempersoal kewajaran Pengerusi Pasukan Petugas Khas Projek Pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) Tan Sri Mohd Sidek Hassan meminta ditubuhkan Jawatankuasa Ad Hoc Tabdir Korporat berkaitan PKFZ itu.

Cadangan tersebut demi memantau integriti dan proses pelantikan satu pertiga ahli bebas bukan eksekutif dalan Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

"Isunya kenapa Tan Sri (Sidek) tidak cadang terus penubuhan suatu Suruhanjaya DiRaja yang bebas."

"Kenapa perlu meminta Lembaga Pengarah LPK (Lembaga Pelabuhan Klang) pertimbang syor dia (Sidek) supaya ditubuhkan suatu Jawatankuasa Ad Hoc berkaitan PKFZ itu," tegas Mahfuz.

Bagi Mahfuz, Sidek tidak berupaya menyelesaikan masalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kes PKFZ itu kerana beliau sendiri merupakan Ketua Setiausaha Negara (KSU) Kerajaan.

"Pasukan (Khas) Sidek gagal dan tidak berupaya untuk kenal pasti siapa rasuah (dan) siapa eksekutif-eksekutif kerajaan yang salah guna kuasa, sebab dia sendiri KSU, sebahagian dari kerajaan."

"Kalau dia (Sidek) nak siasat, pertama sekali dia akan siasat beberapa individu dalam kabinet...dia akan minta minit kabinet tentang isu PKFZ ini disemak."

"Saya percaya dia Najib) tidak berupaya jadi seorang yang bebas sebab dia KSU, dia setiausaha yang tulis minit kabinet," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyifatkan syor Sidek itu, sekadar melengah-lengahkan siasatan sebenar ke atas PKFZ.

"Saya nampak kerajaan (khususnya) Sidek sengaja panjangkan kes itu entah bila (dan) sampai bila...dulu (kerajaan) tubuh PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) di bawah Parlimen, sekarang tubuh pula pasukan Khas yang orang dia sendiri (Sidek) jadi Pengerusi. Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan tubuhkan Task Force. Audit swasta juga dibentuk."

"Semua ini (jawatankuasa) hanya nak lengah-lengahkan, dari diketahui rakyat bahawa siapa yang sepatutnya bersalah dan dibawa ke muka pengadilan," jelasnya.

Semalam, Sidek bersetuju supaya Kementerian Pengangkutan meminta Lembaga Pengarah LPK menubuhkan suatu ad hoc di bawah Kementeriannya.

Cadangan itu membolehkan usaha pemantau integriti dilaksanakan, tanpa perlu melibatkan pindaan undang-undang.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa media arus perdana mendedahkan keterlibatan beberapa inividu penting Umno dan BN dalam kes berkaitan PKFZ tersebut.

Ketua Pemuda Umno Kapar yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Dimensi Sdn. Bhd (KDSB) Datuk Faizal Abdullah dilaporkan membeli sebidang tanah secara misteri yang bernilai RM95 juta pada tahun 1999 lalu, dari Koperasi Pembangunan Pulau Lumut (KPPL).

Tanah tersebut dipercayai umum, diperoleh secara eksklusif daripada bapa mertuanya (Faizal) yang juga Pengerusi Lembaga KPPL.

Lebih misteri apabila Bendahari Umno Datuk Seri Azim Zabidi dan Ketua Kelab Penyokong Kerajaan BN Datuk Seri Tiong King Sing (MCA) masing-masing merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam KDSB.

Isu PKFZ yang masih tidak selesai sejak sedekad yang lalu secara tidak langsung menjadikan kerajaan sendiri dilihat terlibat dalam amalan rasuah dan salah guna kuasa.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels