28 November 2009

Rosak Jiwa Rosak Amalan

SHEIKH Muhammad Abu Zahrah berkata: "Allah menjelaskan pada ayat-ayat terdahulu betapa hinanya ahli Kitab yang sezaman dengan Nabi apabila mencampuradukkan kebenaran dengan kebatilan, di samping mendustakan para Nabi." Ayat ke-75 Firman Allah SWT yang bermaksud : Dan di antara ahli kitab, ada orang yang kalau Engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada-Mu, dan ada pula di antara mereka yang kalau Engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau Engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: "Tidak ada jalannya Kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan, mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta). Bahkan (Mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertakwa, maka Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa.

Sebab Nuzul Ibnu Jarir meriwayatkan : Pada zaman jahiliah, sekelompok umat Islam menjual barangan kepada orang Yahudi. Tatkala mereka menganut Islam mereka ingin menebus harta barangannya tetapi orang Yahudi menjawab: "Kami bukanlah golongan yang amanah dan kami tidak wajib melangsaikan hutang kami kepadamu kerana kamu telah meninggalkan agama yang dahulu kamu ikuti, sambil mereka mengaku bahawa mereka mendapat ketentuan yang sedemikian itu dalam kitab mereka".

Ibnu Mundhir meriwayatkan daripada Sa'id Ibnu Zubair, katanya: Tatkala turun ayat "Dan dari sebahagian Ahli Kitab…, tidak berdosa kamu terhadap orang Arab," lalu Nabi SAW bersabda, "Musuh-musuh Allah itu telah berdusta. Tidak ada suatu apa pun yang patut dilakukan pada zaman jahilliyah, melainkan di bawah kedua-dua kakiku ini, semuanya itu adalah amanah yang harus di tunaikan, sama ada kepada orang yang baik atau yang derhaka".

Iktibar dan fiqh ayat: i. Al-Qurtubi berkata: "Dikatakan orang Yahudi yang menyimpan dinar kemudian khianat ialah Qanhas bin Azura'. Ada pendapat menyatakan Ka'ab bin Asyraf dan sahabatnya".

ii. Abu Hanifah dan mazhabnya mendalilkan ayat ini dalam mulazamah yang berhutang sedangkan ulama yang lain tidak bersetuju.

iii. Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Dusta dan khianat merupakan kembar sebagaimana benar dan amanah adalah kembarnya. Rosaknya jiwa membawa kepada rosaknya amalan". iv. Al-Maraghi berkata: "Ayat ini mengisyaratkan, bahawa bangsa Yahudi pada hakikatnya beranggapan memenuhi janji bukanlah suatu kewajipan yang mustahak".

Ayat ke-76 Firman Allah SWT yang bermaksud : Bahkan (Mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertakwa, maka Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Alusi berkata: "Ayat ini mewajibkan kepada apa yang dinafikan". ii. Ibnu Jauzi berkata: "Perjanjian di sini ialah apa yang Allah janji dengan mereka di dalam Taurat dan kalimah ganti nama Nya pada perjanjian kembali kepada dua: Pertama: Kepada Allah SWT. Kedua: Kepada yang menunaikannya.

ii. Sheikh Sya'rawi berkata: "Ayat ini dimulakan dengan perkataan bala ( bahkan ) semata-mata untuk membatalkan isu yang terdahulu seperti dakwaan ahli Kitab.

iii. Al-Maraghi berkata: "Ayat ini mengandungi isyarat bahawa memenuhi janji dan menjauhkan diri daripada menyalahi orang lain, bersikap derhaka dan menjauhi dosa-dosa yang lain itulah akan mendekatkan seseorang kepada Tuhan-Nya dan menjadikan dirinya termasuk manusia yang dicintai-Nya.

Sebaliknya jika seseorang berbangga dengan kebangsaannya, ia sama sekali tidak bernilai di sisi Allah SWT. Ayat ini memberi bantahan bahawa orang Yahudi yang mengikut pendapat ini sama sekali tidak mempunyai jiwa takwa. Padahal jiwa takwa inilah menjadi asas pokok setiap agama yang benar".

Ayat ke-77 Firman Allah SWT yang bermaksud : Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Sebab Nuzul Terdapat tiga pandangan berkenaan sebab turunnya ayat ini :

i. Ibn Jarir meriwayatkan daripada 'Ikrimah katanya, "Ayat ini turun dalam peristiwa Abu Rafi' dan Lubabah Ibn Abu Huqayqiy dan Ka'b Ibn Ashraf serta Huyay Ibn Akhtab. Mereka ini mengubah dan menukar ayat-ayat Taurat tentang sifat-sifat Rasulullah SAW dan hukum memegang amanah serta hukum-hukum lain, kerana mereka melakukan kerana suapan (rasuah).

ii. Al-Bukhari dan lain-lain ada meriwayatkan bahawa Ash'ath bin Qays berkata: " Aku pernah menyerahkan sebidang tanah kepada seorang lelaki Yahudi, lalu dia mengingkarinya. Kemudian aku adukan dia kepada Rasulullah SAW. Baginda bersabda, "Adakah kamu mempunyai bukti?" Aku menjawab, "Tidak". Lalu Baginda bersabda kepada orang Yahudi itu. "Bersumpahlah!" Lalu aku berkata, "Wahai Rasulullah, jika dia bersumpah, hilanglah hartaku". Lalu turunlah surah al-Imran ayat 77. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: "Peristiwa ini mungkin yang menjadi sebab turunnya ayat atau peristiwa lain".

iii. Ia diturunkan kepada golongan Yahudi yang Allah melakukan perjanjian dengan mereka dalam Taurat dnegan menjelaskan sifat Nabi sedangkan mereka menyalahi dan mengengkarinya. Inilah pendapat Ikrimah dan Muqatil.

Iktibar dan fiqh ayat: i. Al-Qaffal berkata: "Kalimah-kalimah ini (Allah SWT tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan melihat mereka pada hari kiamat dan tidak (pula) akan membersihkan mereka) maksudnya, menerangkan betapa kemurkaan Allah SWT yang amat sangat kepada mereka sebab di dunia ini, seseorang yang menyebabkan orang lain tidak mahu berbicara kepada mereka, menandakan orang itu marah kepadanya dan kadang-kadang menyuruhnya pergi daripadanya. Dia berkata, "Aku tidak mahu berbicara denganmu dan melihat mukamu". Kalau disebut nama orang itu, disebutnya secara tidak baik.

ii. Sheikh Sya'rawi berkata: "Permulaan kehancuran pada jiwa seseorang apabila menukarkan hidayah dan mengambil ganti dengan kesesatan. Sesungguhnya mereka golongan yang rugi".

iii. Al-Maraghi berkata: "Allah SWT mengancam orang yang melanggar janji dan menyalahi janji dengan di haramkan mendapat nikmat, bahkan diberikan azab yang pedih. Mereka dimurkai Allah SWT sehingga tidak diberi rahmat kepada mereka, bahkan mereka juga tidak akan mendengar sebarang ucapan maaf dan keampunan daripada Allah SWT". Daripada ayat-ayat yang lepas jelas menunjukkan sifat dan perangai golongan munafik dan ahli Kitab yang melanggar dan menyalahi janji, sedangkan mereka cukup mengetahuinya. Semoga kita menjadi golongan yang bertakwa dan berpegang kepada janji.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels