20 August 2009

Manek Urai terkenang di Permatang Pasir

Dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai di Kelantan Julai lalu, PAS berdepan kejutan apabila menang dengan hanya 65 undi mengatasi Umno, parti yang dikatakan semakin terjejas popularitinya ekoran keputusan PRU-12.

Majoriti tipis itu dilihat sebagai signifikan kepada parti Umno kerana memberi gambaran seolah-olah sokongan rakyat telah kembali kepada Umno kerana implikasi pergeseran dalaman PAS.
Kejutan itu menjadikan Umno bersemangat untuk meneruskan dan mendapatkan hasil daripada momentum Manek Urai itu, menggugat kawasan tunggal PAS di Pulau Pinang yang kini ditandingi Pesuruhjaya PAS Negeri, Mohd Salleh Man.

Tambahan pula, sentimen Melayu yang dimainkan dengan agresif melalui akhbar dikuasainya sejak sekurang-kurangnya kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dilihat mula menampakkan sedikit kesan.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menyatakan keyakinan untuk Umno menggugat kekuatan PAS di Permatang Pasir, sama seperti yang dilakukan di Manek Urai.

Dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak, undi Melayu untuk Umno meningkat walaupun jumlahnya tidak cukup untuk menambahkan dengan signifikan undi Umno disebabkan jumlah pengundi Cina yang besar dan memberi sokongan kepada PAS yang diwakili Mohammad Nizar Jamaluddin.

Terbaharu, pertikaian di Selangor menjadi tumpuan media pro-Umno. Pergeseran melibatkan PAS dan DAP diperlihatkan sebagai peminggiran kepentingan Melayu di negeri itu dan menjadi senjata penting Umno di negeri itu dalam usaha merampas kembali negeri pusat ekonomi negara itu.

Di Permatang Pasir, apa yang berlaku di Manek Urai itu masih diingati dan bakal mencorakkan kerja-kerja di kawasan pilihan raya ini.

Tawaran membina jambatan di Manek Urai dinilai sebagai satu isu yang memberi kelebihan kepada Umno. Umno dijangka membawa lagi isu pembangunan dan isu Melayu untuk menarik pengundi Melayu di Permatang Pasir.

Pada masa sama, Umno turut meningkatkan serangan kepada Mursyidul Am, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, mendakwa beliau membela DAP yang menghina Islam.

Pentadbiran Najib telah melaksanakan beberapa langkah yang dilihat bermatlamat memenangi hati pengundi bukan Melayu, seperti liberalisasi dalam sektor ekonomi dan pelancaran Amanah Saham Satu Malaysia.

Namun yang mencacatkan peluang Umno merampas Permatang Pasir daripada PAS adalah terletak pada calon yang dikemukakan. Rohaizat Othman dikatakan bermasalah pribdi, kerana pernah melakukan pecah amanah, sehingga mengakibatkan beliau dipecat daripada majlis peguam. Sementara itu, protes terhadap pemilihan Rohaizat semasa penamaan calon, sedikit sebanyak menggugat peluang Umno melalui PRK Permatang Pasir ini.

Umno melalui kempennya tidak boleh menghadalkan lagi kepada kelebihan calonnya, kerana pekung di dada telah terbongkar. Umno hanya dapat berkempen meneruskan trade marknya, yakni kerajaan pembangunan.

PAS umumnya kelihatan yakin dan kurang bimbang dengan kempen Umno menggunakan isu Melayu itu, disebabkan kedudukan kawasan ini sebagai kubu kuat PAS di Pulau Pinang, yang kawasan parlimennya dimenangi ketua pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua Dato' Mohd Hamdan Abdul Rahman dan Anwar memenangi kawasan masing-masing di kubu Pakatan Rakyat itu dengan undi yang lebih besar, meningkat berbanding pilihan raya sebelumnya.

Permatang Pasir telah menjadi tumpuan PAS sejak lebih 10 tahun lalu, dengan jumlah pengundi yang besar dan wakil rakyat yang disenangi penduduk tempatan. Mohamad Sabu, Timbalan Pesuruhjaya 2 Pulau Pinang menunjukkan keyakinan PAS akan mengekalkan kerusi Permatang Pasir.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels