30 October 2009

Nizar-Nik Aziz: Pembongkaran Dilema Dan Hala Tuju Pas: Nik Aziz Membuka Pekong

Walaupun Jawatankuasa PAS Pusat malam tadi bersetuju mengadakan satu seminar politik pada 7 Nov ini dan bukannya muktamar khas bagi membincangkan kedudukan "dua tiga kerat pemimpin tertingginya yang bermasalah", namun isu sebenar tentang puak ini telah dapat disampaikan kepada anggota parti itu, kata beberapa pemerhati politik.

Prof Dr Abdul Aziz Bari daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata keputusan mesyuarat jawatankuasa itu malam tadi tidak penting berbanding kejayaan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam menyampaikan mesejnya mengenai pemimpin-pemimpin yang bermasalah itu yang hasilnya akan dilihat pada masa hadapan.

"Beliau telah membuka mata bahawa memang ada masalah dalam kalangan pemimpin parti itu dan harus disingkirkan. Mungkin tidak berlaku sekarang kerana mustahil pemimpin yang berkenaan akan meletak jawatan.

"Tetapi mesej ini akan diingati oleh perwakilan pada pemilihan parti akan datang," kata Abdul Aziz, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Nik Abdul Aziz sebelum ini telah meminta parti itu mengadakan mesyuarat agung luar biasa bagi membolehkan perwakilan membuat keputusan mengenai kedudukan beberapa pemimpin PAS yang disifatkan sebagai bermasalah termasuk mereka yang pro-Umno.

Antara pemimpin yang dinamakan ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali.

Merujuk kepada saranan Hasan mengharamkan penjualan alkohol di kawasan majoriti Islam di Selangor, Abdul Aziz berpendapat bahawa Nik Abdul Aziz sedar tuntutan sedemikian telah menyebabkan PAS kehilangan sokongan bukan Melayu.

"Beliau tahu PAS berdepan dengan risiko kehilangan undi bukan Melayu jika mereka berterusan dengan cara sekarang, dan sebab itulah beliau bersuara agar orang bukan Melayu kembali yakin kepada PAS," katanya.

Abdul Aziz menolak kemungkinan bahawa tindakan Mursyidul Am itu akan menyebabkan PAS berpecah.

"Sejarah menunjukkan PAS tidak pernah berpecah sekalipun ada konflik. Ini cuma ribut dalam cawan, dan mereka akan terus bersama sehinggalah penyelesaian sebenar tercapai," katanya.

Seorang lagi pemerhati politik yang tidak mahu namanya disiarkan berkata kepimpinan PAS kini dibelenggu beberapa isu yang sukar dirungkai.

"Pada saya masalah ini berakar umbi dengan percanggahan pendapat antara golongan ulama konservatif dan ulama yang agak liberal. Sekarang mereka bekerjasama dengan dua parti yang memang jelas liberal dan sudah pasti mempunyai kehendak yang berbeza.

"Mereka mempunyai satu persamaan iaitu mahu menguasai kerajaan pusat, tetapi daripada segi ideologi, bezanya macam langit dan bumi. PAS masih mahu menegakkan negara Islam tetapi apakah ini yang juga dikehendaki DAP dan PKR (rakan PAS dalam pakatan pembangkang)?" kata pemerhati itu.

Merujuk kepada isu alkohol di Selangor, pemerhati itu berkata Abdul Hadi tidak mampu menggunakan kuasanya bagi melaksanakan keputusan Majlis Syura agar Hasan dinasihat kerana tindakan sedemikian membawa mesej Pas merestui penjualan alkohol di kawasan majoriti orang Islam.

"Malah kalau kita teliti betul-betul, dulu pun semasa isu (anggota exco Selangor daripada PKR) Elizabeth Wong, PAS secara keseluruhan memisahkan diri mereka daripada isu itu kerana pada hakikatnya Pas masih berpegang kepada ideologi parti iaitu menegakkan ajaran Islam, dan tindakan Elizabeth (yang didakwa berkesedudukan dengan lelaki Islam), sekalipun beliau bukan Islam, adalah isu moral yang tidak patut disokong oleh PAS," katanya.

Berasaskan hujah itu, beliau melihat keputusan mesyuarat jawatankuasa pusat malam tadi untuk menyiasat PAS Selangor, adalah sekadar untuk memuaskan hati sesetengah pihak.

"Mereka mungkin siasat tapi apakah keputusannya? Beranikah mereka menyingkirkan Dr Hasan Ali? Saya berpandangan isu ini juga lama-kelamaan akan didiamkan begitu saja," kata pemerhati itu.

Kesimpulannya, kata beliau, konflik kepimpinan PAS akan berterusan tetapi parti itu mempunyai formula yang menyatukan mereka sekalipun berkrisis.

"Pada saya perkara ini mungkin berfaktorkan kepada asas penubuhan parti iaitu agama Islam dan para pemimpinnya tetap berpegang kepada asas itu setidak-tidaknya untuk dipamer kepada umum sekalipun di dalam mereka berantakan," kata beliau.

Bagi seorang lagi penganalisis politik, Asri Salleh, tindakan Nik Abdul Aziz menggoncang bahtera PAS mungkin berpunca daripada peningkatan sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya melihat ada dua tekanan yang dihadapi oleh PAS sekarang akibat daripada peningkatan sokongan terhadap Najib ini, iaitu ada puak yang mahu PAS bekerjasama dengan Umno sekarang, dan ada puak yang mahu PAS kekal dengan pakatan pembangkang sehingga pilihan raya umum ke-13.

"Pihak yang pertama ini bimbang jika mereka tidak bekerjasama dengan Umno sekarang mereka akan terlepas peluang kerana jika dilihat keadaan sekarang Umno dan Barisan Nasional mungkin menang besar pada PRU 13 nanti.

"Tetapi pihak yang lagi satu pula mahu kekal dengan pakatan sekarang, dan saya melihat Nik Abdul Aziz sebagai seorang tokoh ulama, sudah pasti mahu berpegang kepada janji beliau untuk setia dengan pakatan pembangkang," kata Asri, pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, kampus Dungun, Terengganu.

Beliau tidak menolak kemungkinan Nik Abdul Aziz diasak oleh kumpulan ulama profesional yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bimbang Pas akan meninggalkan pakatan.

"Pada saya Pas sekarang berada di persimpangan dan mereka seharusnya mengambil langkah konkrit sama ada benar-benar komited dengan pakatan ataupun bekerjasama dengan Umno," kata beliau.

Pandangan pemerhati-pemerhati politik ini serta cakap-cakap politik sebenarnya merumuskan Pas kini berada di persimpangan dan tidak mampu membuat keputusan kerana tersepit antara ikon mereka iaitu Nik Abdul Aziz dan juga hala tuju parti.

Mereka tidak mungkin menyingkirkan Mursyidul Am itu dan pada masa yang sama mereka juga perlu menentukan sama ada mahu kekal dengan pakatan yang bebeza ideologi atau menurut arus politik semasa dan bekerjasama dengan Umno.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels