14 March 2011

Pegawai ADUN (Terengganu) didapati salah kerana khalwat

KUALA TERENGGANU: Pegawai kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, yang ditahan dalam keadaan mencurigakan dengan seorang wanita warga Indonesia dihukum denda RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Daerah Marang semalam, selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan berkhalwat awal pagi Jumaat lalu.

Md Din Jusoh, 52, beristeri dan mempunyai dua anak, membayar hukuman denda yang diperintahkan Hakim Syarie Shamsudin Ngah, manakala Dede Kurniasih, 34, gagal membayar denda sama menyebabkannya terpaksa menjalani hukuman penjara tiga bulan di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan bermula semalam.

Pendakwa Syarie II, Wan Abd Hakim Khairul Anuar membacakan kertas tuduhan ke atas Md Din yang juga bapa saudara kepada ADUN berkenaan dan Dede yang tidak bersuami serta bekerja sebagai pembantu rumah di bandar raya ini dalam prosiding semalam.

Md Din didakwa mengikut Seksyen 31 (a), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (TAKZIR) Terengganu 2001, manakala Dede didakwa mengikut Seksyen 31 (b), enakmen sama, yang boleh dihukum denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pasangan itu dilihat dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta di kawasan sunyi dan gelap di Kampung Bukit Toman, Pulau Kerengga, Marang, oleh dua anggota polis peronda kira-kira jam 1.30 pagi, pada Jumaat lalu.

Ketika ditahan, kerusi tempat Dede duduk direbahkan, manakala seluar Md Din tidak berzip.

Anggota polis peronda kemudian menyerahkan pasangan itu kepada bahagian Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Daerah Marang untuk tindakan lanjut.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels