20 March 2011

AS, Eropah kecuali Jerman Bergabung Serang Libya

BENGHAZI, Libya: Amerika Syarikat (AS) dan Eropah membentuk gabungan bagi melakukan serangan ke atas pertahanan Presiden Muammar Gaddafi dan pasukan udaranya dengan peluru berpandu dan serangan udara pada Sabtu, melancarkan tindakan ketenteraan antarabangsa terbesar sejak perang Iraq.

Pemimpin Libya sejak sekian lama itu bersumpah untuk mempertahankan negaranya daripada apa yang digelarkan "pencerobohan salibi" dan memberi amaran bahawa penglibatan kuasa antarabangsa akan mendedahkan rantau Mediterranean dan Afrika Utara kepada bahaya dan meletakkan nyawa orang awam dalam risiko.

Pasukan tentera AS berkata, 112 peluru berpandu Tomahawk dilepaskan daripada kapal laut dan kapal selam Amerika dan British ke atas lebih 20 sasaran di persisiran pantai bagi memberi laluan kepada peronda udara menghalang pasukan udara Libya daripada melakukan penerbangan.

Jet pejuang Perancis melepaskan tembakan serentak pertama, diikuti beberapa serangan di kawasan pemberontak di Timur.

Presiden Barack Obama berkata, tindakan ketenteraan itu bukan pilihan pertamanya dan mengulangi pendiriannya untuk tidak menghantar tentera darat AS ke Libya.

"Ini bukan hasil rundingan yang AS atau mana-mana rakan sekutu kami inginkan," kata Obama dari Brazil, di mana beliau memulakan lawatan selama lima hari ke Amerika Latin. "Kita tidak boleh berdiam diri apabila si penzalim memberitahu rakyatnya tidak akan ada belas kasihan."

Ribuan penyokong rejim berpusu-pusu memenuhi kem tentera Bab al-Aziziya di Tripoli di mana Gaddafi menetap untuk berlindung. Senjata pemusnah pesawat dapat didengari melakukan serangan sepanjang malam di Tripoli.

Serangan tersebut yang bertujuan menguatkuasakan zon larangan terbang oleh PBB, merupakan rentetan akibat usaha pihak antarabangsa untuk menghalang Gaddafi selepas beberapa minggu rayuan oleh puak pemberontak yang mendapati kerugian besar apabila rejim itu melepaskan serangan besar-besaran menggunakan kehebatan serangan udara dan senjatanya.

Sementara pihak berkuasa pertahanan AS memberi amaran bahawa adalah terlalu awal untuk menjangkakan kesan akibat serangan hebat itu, namun ketepatan sasaran peluru berpandu kapal laut itu dijangka mampu memberi kemusnahan besar ke atas pertahanan udara Libya.

Gaddafi yang mentadbir Libya selama 41 tahun, ketika dalam temubual telefon bersama stesen televisyen Libya berkata, beliau membuka depoh senjata untuk membenarkan rakyatnya melindungi diri mereka. Beliau berkata, tindakan antarabangsa ke atas tenteranya tidak ada justifikasi, menggelarnya 'pencerobohan kolonial yang boleh mencetuskan peperangan berskala besar".

Beliau berkata, Majlis Keselamatan PBB dan komuniti antarabangsa bertanggungjawab untuk "menghalang serangan terang-terangan yang tidak adil ke atas negara berdaulat itu serta-merta".

Rejim beliau turut bertindak pantas dalam serangan balas itu dengan menghantar pesawat pejuang, kereta kebal dan pasukan tentera ke Benghazi, pusat pemberontak dan bandar pertama yang jatuh akibat pemberontakan yang bermula 15 Februari lalu. Tidak lama kemudian serangan kerajaan berhenti.

Gabungan serangan yang digelar Operasi Odyssey Down, ditubuhkan ekoran persidangan tergempar di Paris di mana 22 pegawai kanan dan pemimpin tertinggi bersetuju melakukan tindakan sewajarnya agar Gaddafi menghormati resolusi Majlis Keselamatan PBB pada Khamis, yang mengarahkan zon larangan terbang dan menuntut gencatan senjata, kata Presiden Perancis Nicolas Sarkozy.

"Konsensus kami kukuh dan azam kami jelas. Rakyat Libya harus dilindungi dan dengan kesukaran menamatkan keganasan terhadap orang awam dengan pantas, gabungan ini sudah bersedia untuk bertindak pada kadar segera," kata Obama sebelum itu. - AP

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels