Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa bin Haji Aman (Tan Sri Musa Aman ), melalui peguamnya, telah memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Salah satu permohonan adalah untuk pembatalan (striking out) pendakwaan terhadap anak guam kami (Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Permohonan Jenayah No. WA-44-46-02/2020) manakala satu lagi permohonan adalah untuk merujuk persoalan-persoalan Perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan (Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Permohonan Jenayah No. WA-44-47-02/2020).
Permohonan pembatalan pendakwaan tersebut telah difailkan pada 12 Februari 2020 dan disokong oleh Afidavit Sokongan yang telah menyatakan fakta-fakta serta melampirkan dokumen-dokumen yang penting dan relevan.
Kedua-dua permohonan tersebut pada awalnya dijadualkan untuk didengar pada 23 dan 24 April 2020. Namun, atas sebab Perintah Kawalan Pergerakan, pendengaran permohonan tersebut terpaksa ditunda dan kes telah dipanggil semula pada hari 9 Jun, 2020.
Permohonan pembatalan pendakwaan
Permohonan yang difailkan di Mahkamah adalah suatu proses di bawah undang-undang. Untuk menyokong permohonan tersebut, peguam Musa telah mengemukakan fakta-fakta secara terperinci di dalam Afidavit Sokongan Tan Sri Musa Aman. Dokumen-dokumen yang penting dan relevan, antaranya daripada Hong Kong Independent Commission Against Corruption (ICAC), telah dilampirkan di dalam Afidavit tersebut.
Secara tambahan, peguam Musa juga telah memfailkan Afidavit dari mantan Peguam Negara Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Gani bin Patail (Tan Sri Abdul Gani).
Fakta-fakta yang menyokong permohonan tersebut dirumuskan di sini untuk kemudahan semua pihak.
Penyalahgunaan proses undang-undang
Tan Sri Musa Aman pernah disiasat oleh ICAC dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara tahun 2008 hingga 2011. Sepanjang tempoh siasatan yang dilaksanakan oleh ICAC dan SPRM, kedua-dua pihak telah bekerjasama dan berkomunikasi, serta menjalankan siasatan masing-masing dengan profesional.
Setelah menjalankan siasatan secara menyeluruh, SPRM telah mendapati bahawa tiada elemen rasuah, dan wang yang disiasat merupakan sumbangan politik. Perkara ini telah disahkan oleh mantan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Mustafar Ali dan ICAC telah dimaklumkan melalui surat pada September 2011.
Setelah menjalankan siasatan yang terperinci, pihak ICAC telah mengeluarkan sepucuk surat bertarikh 22 Disember 2011 kepada Tan Sri Musa, yang menyatakan bahawa siasatan terhadap beliau telahpun selesai dan tiada tindakan lanjut akan diambil.
Hasil siasatan ICAC jelas menunjukkan bahawa Tan Sri Musa tidak terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah. Sehingga hari ini, tiada sebarang siasatan lanjut telah dibuat oleh ICAC terhadap beliau.
Berkenaan siasatan yang dijalankan oleh pihak SPRM ketika itu, hasil siasatan tersebut juga dikaji dan diteliti oleh Jabatan Peguam Negara, dan kajian itu menunjukkan bahawa Musa tidak terlibat dalam apa-apa amalan rasuah dan apa-apa kesalahan pengubahan wang haram.
Hasil siasatan dan keputusan supaya tidak meneruskan atau tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Tan Sri Musa telah diperhalusi oleh, antara lainnya, mantan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani, mantan Ketua Bahagian Pendakwaan Dato’ Sri Tun Abd Majid bin Dato’ Haji Tun Hamzah, mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohammad, dan mantan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Mustafar Ali.
Hasil keputusan siasatan ini juga dipersetujui oleh Panel Penilaian Operasi SPRM. Ini jelas menunjukkan bahawa keputusan tersebut telah diperhalusi dengan teliti dan telah melalui saluran undang-undang yang sedia ada.
Perkara ini juga telah dibangkitkan di Parlimen, di mana Dato’ Seri Nazri Aziz telah menjelaskan bahawa Jabatan Peguam Negara telah memutuskan bahawa elemen perbuatan rasuah tidak dibuktikan terhadap anak guam kami. Sumbangan yang diterima merupakan sumbangan kepada UMNO Sabah dan bukannya untuk tujuan persendirian Tan Sri Musa Aman.
Adakah pendakwaan pada 5 November 2018 bersifat penganiayaan politik?
Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, Tan Sri Musa Aman telah dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah. 48 jam kemudian, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah (TYT) telah melantik seorang lagi sebagai Ketua Menteri Sabah menggantikan Tan Sri Musa Aman.
Tindakan TYT dan perlantikan Ketua Menteri Sabah yang kedua ini dipertikaikan sebagai tidak sah, sepertimana dalam kes sivil Tan Sri Musa Aman yang sekarang berada di peringkat Mahkamah Persekutuan.
Di peringkat awal kes sivil tersebut, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah menetapkan 7 November 2018 untuk keputusan (Keputusan Kes Sivil).
Tan Sri Musa Aman telah disahkan tidak melakukan kesalahan rasuah oleh ICAC dan SPRM setelah sekian lama. Tetapi, pihak berkuasa, atas sebab-sebab yang hanya mereka ketahui, membuat keputusan untuk menangkap dan mendakwa Tan Sri Musa Aman dua hari sebelum Keputusan Kes Sivil dibuat.
Tindakan ini, secara langsung atau tidak langsung, telah memberi kelebihan politik kepada seteru politik beliau. Bukankah ini memberi indikasi bahawa pendakwaan terhadap Tan Sri Musa Aman berniat jahat (mala fide) dan merupakan satu penganiayaan politik (political persecution)?
Persoalan ini juga timbul memandangkan pendakwaan baharu ini adalah berasaskan keterangan dan fakta yang sama dengan siasatan rasuah yang telahpun disiasat dengan lengkap dan menyeluruh, oleh dua badan siasatan yang bebas iaitu ICAC dan SPRM.
Perkara ini membangkitkan persoalan, apakah motif sebenarnya untuk mendakwa Tan Sri Musa Aman pada November 2018?
Penganiayaan politik dan pendakwaan berniat jahat ini telah dibangkitkan dalam permohonan pembatalan pendakwaan kerana apa yang berlaku telah menzahirkan kebarangkalian satu penyalahgunaan proses undang-undang.
Sekiranya pendakwaan diteruskan, ianya akan mendedahkan pihak kerajaan kepada suatu tindakan undang-undang pendakwaan niat jahat (malicious prosecution) daripada Tan Sri Musa Aman.
Fakta ini diperkukuhkan lagi pada 5 Mac 2019, apabila Timbalan Pendakwa Raya, melalui kenyataan bertulis mengenai fakta yang memihak kepada pembelaan (statement of facts favourable to the defence) di bawah seksyen 51(A)(1)(c) Kanun Prosedur Jenayah, telah mengesahkan keputusan yang dibuat oleh Tan Sri Abdul Gani.
Harus ditekankan di sini bahawa, dari sudut undang-undang, keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara selaku Pendakwa Raya mempunyai suatu nilai yang tidak boleh dipandang ringan dan tidak boleh ditukar dengan sewenang-wenangnya tanpa sebab yang kukuh.
Ini kerana setiap keputusan yang dibuat oleh Pendakwa Raya akan mempunyai kesan khususnya terhadap individu yang menjadi subjek dalam sesuatu siasatan atau pendakwaan. Merujuk kepada petikan di dalam penghakiman Mahkamah Rayuan di kes Harun Abdullah v PP [2009] 4 CLJ 717: “It will be a dark day if a Public Prosecutor’s words have no finality and may be ‘broken’ without any compunction.”
Pendakwa Raya yang profesional perlulah konsisten dan harus mempertahankan keputusan terdahulu yang telah diputuskan selepas melalui proses-proses yang sepatutnya. Apatah lagi apabila pendakwaan pada November 2018 bukanlah berdasarkan fakta baru, tetapi berasaskan fakta-fakta yang sama, yang telahpun disiasat, dan diputuskan tidak wujud unsur rasuah oleh ICAC dan SPRM.
Ini diperlukan untuk mencerminkan integriti dan profesionalisme, bukan sahaja bagi pejabat Pendakwa Raya tetapi juga bagi Jabatan Peguam Negara secara keseluruhannya. Maka apa yang telah dilakukan oleh Peguam Negara, Tan Sri Idrus bin Harun (Tan Sri Idrus Harun) adalah sesuatu yang adil dan tepat di sisi undang-undang.
Pertuduhan terhadap Tan Sri Musa Aman adalah tidak berasas kerana wang yang berkenaan adalah sumbangan dan dana politik
Berkenaan jumlah wang yang menjadi subjek pendakwaan, wang tersebut sebenarnya telah diperjelaskan semasa siasatan terdahulu. Ianya merupakan sumbangan politik yang diberi oleh penyokong parti, penderma, orang awam, dan Barisan Nasional/UMNO pusat bagi kegunaan persediaan pilihanraya kecil dan umum, aktiviti-aktiviti, dan perbelanjaan Barisan Nasional/UMNO Sabah. Segala dokumen-dokumen yang relevan dan berkaitan telah dibekalkan kepada SPRM.
Pada semua masa material, sumbangan-sumbangan politik tersebut tidak melibatkan mana-mana projek untuk negeri Sabah atau konsesi pembalakan, dan bukan atas dasar balas-membalas (not on a quid pro quo basis).
Pemberian ataupun penerimaan sumbangan politik bukanlah suatu kesalahan di Malaysia. Perkara ini telah disahkan oleh pihak SPRM melalui kenyataan Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki (pada ketika itu). Beliau menegaskan bahawa pemberian dan penerimaan sumbangan politik bukan satu kesalahan dan pihak SPRM tidak mempunyai bidang kuasa atas urusan sumbangan politik di Malaysia, seperti yang dilaporkan oleh New Straits Times pada 7 October 2017.
Berdasarkan alasan-alasan yang dikemukakan di atas, kami percaya Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun serta barisan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes ini telah meneliti dan mempertimbangkan permohonan peguam yang mewakili Tan Sri Musa yang telah failkan di Mahkamah secara objektif, dengan mengambil kira segala sudut undang-undang dan juga aspek keadilan.
Atas alasan-alasan yang dinyatakan, Pendakwaan secara profesional telah memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi pada 9 Jun 2020 bahawa mereka menarik balik kesemua pertuduhan terhadap Tan Sri Musa Aman, selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah.
Yang Arif Mahkamah Tinggi Dato’ Muhammad Jamil bin Hussin, setelah mendengar hujahan pembelaan mengenai latar belakang kes ini dan peruntukan undang-undang yang mantap, telah menggunakan budi-bicaranya untuk memutuskan agar Tan Sri Musa Aman dibebas dan dilepaskan (discharge and acquitted) daripada semua pertuduhan.
Pihak pembelaan juga menarik balik permohonan pembatalan pendakwaan yang telah difailkan berdasarkan perkembangan terkini.
SUMBER https://www.amerbon.com/blawg/pendakwa-raya-v-musa-bin-aman-fakta-kes-perlu-diteliti-secara-adil
No comments:
Post a Comment