PADA satu pagi yang nyaman dan dingin, kerana hembusan angin sepoi-sepoi bahasa daripada utara.
Pekan Semporna tiba-tiba ditawan oleh sekumpulan lelaki bersenjata dengan dilengkapi senjata M16 dan granade.
Balai polis semporna, yang hanya 500 meter daripada Pekan, menjadi sasaran pertama, namun granade sebesar buah nenas, bentuknya juga seperti buah itu, tidak meletup, maka terselamatlah balai polis itu.
Pekan Semporna ditawan sepenuhnya. Dalam kejadian itu, tiada penduduk atau pasukan keselamatan yang terkorban, kerana nampaknya tiada perlawanan.
Lelaki bersenjata itu pada mulanya menggunakan satu keluarga sebagai tebusan, agar supaya pihak polis tidak dapat bertindak. Mereka hanya menghamburkan tembakan ke udara.
Lelaki bersenjata itu beredar tengah malam itu juga tanpa berlakunya pertumpahan darah.
Dengan mudahnya pasukan bersenjata masuk bukan sahaja ke parairan Sabah, malah sebuah pekan seperti Semporna.
Pendaratan bersenjata itu, merupakan kali kedua, dalam masa 3 tahun, kerana sebelumnya berlaku rompakan bersenjata di Lahad Datu. Bank Standard Bank menjadi mangsa. Pelakunya hanpir sama, lelaki bersenjata M16 yang datang daripada arah laut pada siang bolong.
Pengalaman bertugas di semporna sungguh mempunyai pengalaman yang pahit. Penulis juga menjadi mangsa rompakan.
Penulis yang tinggal di sebuah rumah dua tingkat berseberangan jalan dengan balai bomba semporna, pernah dirompak. Bayangkan perompak bersenjata itu menyapu bersih semua yang ada di rumah termasuk pinggan mangkok.
Pada pagi berikutnya, penulis ke pekan, hanya berkain pelikat tanpa baju, kerana semua baju, seluar termasuk seluar dalam juga disapu bersih.
Mereka yang merompak, bukan calang-calang, akan tetapi dilengkapi dengan senjata canggih, berpakaian ala komando, bertoping.
Bertahun kejadian itu tidak berulang, selepas adanya perdamaian di Selatan Filipina dengan MNLF, sekurang-kurang antara 1996-2002. Namun selepas Nur Misauari bukan lagi gabenor, tindakan perompak masih berlaku, namun terhad di kepulauan seperti sipadan.
Pendaratan kumpulan bersenjata ke tanah besar Sabah berulang lagi pada 9 Februari, sehingga mereka mampu menawan Kg Tanduo, Lahad Datu pada malam 12 Februari.
Kali ini, modus operandi mereka, sungguh berbeza dengan tahun 1987 di Semporna, kali ini mereka datang dengan tujuan yang lebih besar, yakni menuntut Tanah Sabah.
Jika pada tahun 1990-an, mereka datang hanya memberi amaran, agar jangan menghalau balik saudara-saudara mereka yang menjadi pelarian ke Sabah, kali ini mereka mahu pula berperang untuk mempertahankan tuntutan.
Kalaulah Eastern Sabah Command (ESSCOM) diwujudkan masa itu, mungkin kejadian di Lahad Datu yang berlarutan sehingga lebih sebulan tidak berlaku.
Apa yang malang, bekas-bekas Panglima ATM yang kini telah bersara dan menyertai pembangkang mempersoalkan tindakan pasukan keselamatan, kononnya kerana kesilapan taktikal adalah punca berlarutannya operasi itu.
Penulis tiada keupayaan memberi pandangan berkaitan dengan taktikal kententeraan, atas sebab itu, penulis tidak sudi memberi ulasan.