Kencenderungan pengundi melihat calon serba sedikit mempengaruhi keputusan bagi kawasan Kota Belud. Lawan Datuk Rahman bagi kawasan P.169 Kota Belud adalah mereka yang tidak mempunyai nama, ertinya pengundi sedikit mengetahui latar belakang mereka, kecuali calon Bebas mantan ahli Umno Lamsil Hamidsor( Foto).
Abdul Rahman menghadapi persaingan lima penjuru dengan Isnaraissah Munirah Majilis (PR), Jalumin Bayugoh (STAR) dan Kanul Gindol (Bebas) selain Lamsil.
Lawan Rahman tiada yang perlu diperkatakan, ertinya zero defect. Manakala Rahman banyak sekali disebut, kerana merupakan penyandang bagi Parlimen Kota Belud.
Jika semuanya berfikiran terbuka, maka sepatutnya calon BN itu mempunyai kelebihan daripada semua segi, baik pengalaman, jumlah peruntukan yang berjaya di bawah ke Kota Belud, mahupun daripada segi jalinan dengan rakyat.
Dari jenama atau trade mark, Rahman mengatasi semua calon.
Namun, yang mencercatkan jenama Rahman adalah daripada segi persepsi. Persepsi yang terbina sejak lima tahun lalu, yang dipermudah oleh beliau sendiri.
Sebenarnya jenama Rahman itu cukup baik, namun kealfaan di peringkat awal yang tercipta kerana mainan politik yang tidak sempat dirungkai dan diatasi menyebabkan nama Rahman seolah-olah merupakan liabiliti.
Isu-isu yang dispin yang pada awalnya kecil, namun dibiarkan merebak sehingga menggunung, sehingga menjadi halangan kepada jenama Rahman untuk melangkah. Bebanan yang berat itu, mempengaruhi "speed"nya untuk mencapai penamat, meskipun tiada manusia lagi berada di depannya.
Bernasib baiklah Rahman, kerana Kota Belud merupakan kubu kuat BN. Apapun onek-onek pengundi, namun akhirnya akan memangkah juga, kerana lambang bersama Rahman adalah lambang BN.
Bagi mereka yang terlajak, kini ada pilihan, yakni memangkah Lamsil, tidak sama seperti PRU-12, di mana tiada calon yang boleh dipangkah melainkan calon PKR. Atas sebab itu, pada PRU-12, undi yang diperolehi calon PKR begitu tinggi. Keadaan juga berlaku di Tempasuk, tetapi tidak di Usukan.
Suara Rakyat menafsir, pencalonan Lamsil merupakan hikmah kepada calon BN, kerana melalui cara ini, kemungkinan majoriti BN bagi Parlimen Kota Belud akan meningkat.
Berasaskan pirasat Suara Rakyat, keputusan PRU-13 bagi kawasan Parlimen Kota Belud akan mengulangi keputusan PRU-2004, di mana Datuk Dr Salleh Tun Said merupakan calon.
Pada kali ini, Salleh merupakan Ketua Jentera BN kawasan Kota Belud. Suara Rakyat yakin, berasaskan prestasi Salleh yang lalu, semua kawasan di Kota Belud akan mengalami pertambahan majoriti; walaupun pada keadaan awal kempin ini, sikap sebenar para pengundi belum membayangkan diri.