21 April 2013

Keahlian Lamsil Hamidsor daripada Umno Terlucut: Salleh Said

KOTA BELUD: Ahli Umno Lamsil Hamidsor, yang bertanding sebagai calon Bebas di kawasan Parlimen Kota Belud terlucut keahliannya secara automatik daripada parti, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said.

Beliau berkata perlembagaan parti jelas menyediakan peruntukan kelucutan keanggotaan terhadap mana-mana ahli parti yang bertindak menentang parti, termasuk bertanding sebagai calon Bebas.

Sehubungan itu, Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud menyeru ahli dan penyokong parti supaya memberikan sokongan kepada penyandang, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang dipilih mempertahankan semula kerusi berkenaan.

Beliau berucap pada perjumpaan bersama jentera Barisan Nasional (BN) di Kampung Sembirai, di sini Ahad.

Abdul Rahman menghadapi persaingan lima penjuru dengan Isnaraissah Munirah Majilis (PR), Jalumin Bayugoh (STAR) dan Kanul Gindol (Bebas) selain Lamsil.

Salleh yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan mengingatkan rakyat supaya jangan mudah terpedaya dengan pelbagai dakyah pembangkang.

"Kita perlu memberi kemenangan besar kepada BN bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat...kerajaan yang kuat saja mampu membawa kestabilan politik," katanya. 

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels