24 May 2013

"Biarpun jalan itu panjang, kita akan merintisnya perlahan-lahan.": Datuk Salleh

APABILA  semua strategi, perancangan, kerja keras telah dilakukan, namun destinasi  belum kesampaian, maka cara untuk sampai ke destinasi itu perlu kesabaran dan jati diri.

Iktibar "Manusia hanya boleh merancang, Allah yang menentukan" perlu disemat di dada sambil berserah dengan ketentuan-Nya.

Apabila langkah pertama sudah dilakukan yang merupakan sambungan kepada 1000 langkah seterusnya, maka langkah itu perlu terus dilakukan, meski onak-onak dan duri senantiasa menanti yang memerlukan kita merantis.

Kerjasama pasukan yang dikemudi oleh seorang ketua perlu senantiasa mengingatkan pasukannya, walaupun destinasi jelas terlihat, namun kerana ranjau-ranjau dan lurah yang dalam yang dipenuhi onak dan duri, maka kerja-kerja merantis perlu berhati-hati, agar kecederaan tidak berlaku kepada setiap anggota pasukan.

Kata orang- hilang kabus nampaklah gunung. Dalam mencapai suatu cita-cita murni, memang perlu pengorbanan, bukan sahaja tenaga, tetapi juga masa.

Destinasi akan tergapai juga, apatah lagi pada manusia yang merdeka; sedangkan Neslon Mandela menantinya selama 27 tahun dibilik tirai besi.

Bila capai status gemilang, terlupa nilai-nilai murni?


PADA tahun 2011, Beta telah berangkat melawat Uzbekistan, sebuah negara di Asia Tengah. Kota sejarah Samarkand, di Uzbekistan, menceritakan pelbagai kegemilangan di era pemerintahan Dinasti Timurid.

Samarkand terkenal sebagai pusat dan laluan perdagangan utama, The Silk Road. Samarkand adalah metropolis yang mencantumkan Timur dan Barat. Di era kegemilangannya, di samping Islam, terdapat pelbagai kumpulan etnik dan amalan pelbagai agama, Nestorian Christian, Buddhism, Zoroastrianism dan Judaism.

Asia Barat di era pemerintahan Islam berperanan sebagai pusat perkembangan pelbagai ilmu, merangkumi fizik, matematik, astronomi dan bahasa; lahirnya ilmuwan-ilmuwan terkemuka, antaranya, Al-Bukhari, Ibn Sina, Al Farabi, Al-Khwarizmi, Al-Biruni; Omar Khayyam, penyair terkemuka telah menghasilkan Ruba'iyyat, Ali Qushji terkenal sebagai ahli fizik, ahli bahasa, ahli matematik dan astronomer.

Ulugh Begh cucunda kepada Timur Lind (Tamerlane) telah menghasilkan Zij-I Sultani, katalog dan jadual astronomi yang memiliki tahap ketepatan yang tinggi, kekal dijadikan sumber rujukan sehingga ke hari ini; beliau turut mengasaskan penubuhan Universiti Samarkand. Masjid Bibi Khanum memperlihatkan daya seni bina yang hebat.

Kegemilangan tersebut berakhir apabila berlakunya konflik dalaman dalam pimpinan, mengakibatkan berlakunya ketidakstabilan politik, di samping kealpaan pimpinan negara ketika itu, gagal melakukan pengubahsuaian selaras dengan perkembangan teknologi pengangkutan laut yang jauh mengatasi tahap efisien laluan darat, lalu menjejaskan kemakmuran ekonomi yang mereka pernah nikmati untuk sekian lamanya.

Istanbul kaya dengan khazanah sejarah era keagungan Empayar Ottoman. Kegemilangan Empayar Ottoman didukung antaranya oleh enam prinsip utama:

i. Agenda negara memperkembangkan Islam.

ii. Sistem Kesultanan mutlak yang dinasihati oleh barisan wazir yang jujur, amanah, kompeten lagi berilmu.

iii. Majlis Pengadilan yang sofistikated.

iv. Pelaksanaan Syariah berlandaskan al-Quran dan Hadis.

v. Sistem percukaian yang cekap, spesifik, pragmatik serta fleksibel.

vi. Garis panduan yang jelas antara peranan pemimpin dan yang dipimpin.

Di abad ketujuh belas (1699-1792), Empayar Ottoman mula berhadapan pelbagai cabaran, menjadi punca membawanya ke ambang kejatuhan. Empayar Ottoman semakin kehilangan wilayah, angkatan tenteranya bertambah lemah; berlakunya stagnasi ekonomi, sistem mata wang Turki yang disandarkan kepada Perak menghadapi ancaman, tercetusnya inflasi yang tinggi; berlaku juga stagnasi politik berpunca daripada kualiti pimpinan yang bertambah lemah kerana terlalu selesa hingga lena dalam kejayaan yang telah dicapai.

Pimpinan Empayar secara berterusan gagal melakukan pengubahsuaian, selaras dengan tuntutan realiti pemodenan, khususnya yang sedang berkembang di benua Eropah dari segi inovasi teknologi baru, reformasi politik dan kebangkitan intelek. Di sebaliknya sebarang usaha untuk melakukan pemodenan dalam Empayar Ottoman, berhadapan dengan tentangan hebat daripada para pemimpin, angkatan tentera dan rakyat yang berfikiran konservatif.

Pemerhatian di dua lokasi yang pernah mencipta sejarah kegemilangan Islam, memberikan peringatan penting, betapa sesuatu pemerintahan apabila telah mencapai status gemilang, terlupa dan teralpa kepada nilai-nilai asas lagi murni yang pernah diamalkan di peringkat awal, berperanan sebagai instrumen penting melonjakkannya berada di takhta kegemilangan.

Senario sebegini adalah antara pemerhatian yang pernah dicatatkan oleh cendekiawan dan sosiologis kurun keempat belas, Abdul Rahman Ibn Khaldun, apabila masyarakat mendapat kemewahan, perwatakan mereka sering menjadi lemah.

Dalam hasrat membina benteng daripada ditembusi oleh budaya yang boleh memusnahkan, ummah wajib kembali memperingatkan diri kepada peringatan Ilahi, melalui wahyu-wahyu yang terkandung di dalam al-Quran, demikian juga pelbagai seruan dan panduan yang terkandung dalam Sunah Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam. Sifat nasihat menasihati adalah sebahagian daripada budaya yang harus diamalkan dalam kalangan ummah, seperti yang terkandung dalam Surah Al-Ashr yang bermaksud:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian; kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran".

Berpandukan falsafah di sebalik ayat tersebut, Tahir bin Husayn, Jeneral, Gabenor dan ilmuwan pada zaman Kerajaan Abbasiyah, mengutus surat kepada anaknya Abdullah sebaik sahaja Abdullah dilantik oleh Khalifah Ma'mun, ke jawatan Gabenor di Mesir, dengan peringatan berikut:

Petikan: "Pertukaran daripada rahmah ILAHI kepada kemurkaan-Nya, cepat berlaku, apabila orang diberikan kuasa, tidak mengiktiraf rahmat yang Tuhan berikan, dan apabila mereka yang berkedudukan dalam kerajaan pula, tidak bersyukur dengan pemberian Tuhan, lalu menganggap diri mereka itu sebagai manusia terhebat, sedangkan ia adalah hasil daripada rahmat dan anugerah Tuhan kepada mereka."

Orang-orang tua terdahulu senantiasa mengingatkan agar yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan; bila sesat di hujung jalan - cepat kembali ke pangkal jalan, ketika melihat awan di langit - lupakan jangan rumput di bumi.

Sama-samalah kita memohon rahmat Ilahi agar kita senantiasa diberikan panduan dan petunjuk, dihindarkan daripada melakukan perkara yang tidak mendapat keredaan dari-Nya, dan dilindungkan kita daripada pengaruh bisikan jahat iblis yang senantiasa berusaha menyesatkan setiap anak Adam untuk melakukan kerosakan di muka bumi ini.

Semoga Persidangan Majlis kali ke-183 mendapat petunjuk dan panduan Ilahi.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130524/re_02/Bila-capai-status-gemilang-terlupa-nilai-nilai-murni#ixzz2UA1F2k7V
© Utusan Melayu (M) Bhd 

23 May 2013

Catatan PRU-13 Kawasan Kota Belud

EMPAT hari selepas penamaan calon, penulis menerima berbagai pesanan ringkas, berkaitan dengan lambang calon-calon yang bertanding. Kebanyakan pesanan itu mempertikai sedikitnya lambang-lambang calon-calon Bn di kawasan kaum iranun, berbanding kawasan KDM dan kaum bajau.

Mereka ini sebenarnya menilai bahawa jumlah lambang itu menggambarkan sokongan. 

Pada masa berkempen, penulis pernah menulis, bahawa kawasan-kawasan yang menjadi keraguan pengamat-pengamat mahupun juru kempen, bukan menjadi kawasan yang bermasalah bagi calon-calon Bn, akan tetapi penulis meragui jumlah lambang dan bendera di kawasan-kawasan yang dianggap selamat, seperti yang dimaksudkan oleh juru-juru kempen itu.

Penulis juga pada 25 April selepas lima hari masuk berkempen, membuat analisis keputusan awal. Pada analisis itu, kawasan Parlimen, Dun Usukan dan Tempasuk bisa dimenangi oleh calon-calon Bn, manakala Dun Kedamaian, kemenangan akan bergantung kepada bagaimana pencapaian calon-calon SAPP dan STAR.

Analisis awal penulis, secara matematik, seperti berikut "Jika berasaskan perkiraan rambang, di Usukan misalnya, daripada 18,698 pengundi, jika 80 peratus turun mengundi atau 14,958 orang, maka calon Bn akan mendapat undi 10,470 dan perkiraan majoriti bagi calon BN Datuk Dr Salleh Tun Said diperkirakan melebihi angka 4 ribu, ini kerana undi terdekat akan diperoleh calon PKR antara 2,800-3,400.

Manakala di Tempasuk daripada 16,866, jika 80 peratus yang turun mengundi atau 13,490, maka calon Bn akan mendapat undi 8770 dan diperkirakan majoriti juga akan meningkat berbanding PRU-12 lalu. Pada PRU-12, calon BN bagi kawasan Tempasuk Datuk Musbah Jamli menang dengan majoriti 2.432 undi.

Sementara di P169 Parlimen Kota Belud, daripada 51.467 pengundi, diperkirakan peratusan yang turun mengundi adalah 79 peratus atau 40,800 orang. Daripada jumlah ini calon Bn akan mendapat 23,600 undi dan calon terdekat yang mendapat undi terbanyak adalah PKR dengan jumlah 15,800 dan selebihnya diperoleh oleh calon-calon lain. Berasaskan perkiraan awal ini, calon BN Parlimen Kota Belud akan menang dengan majoriti antara 7,000-8,000 undi dan ini merupakan satu penigkatan.

Perlu diketahui bahawa trend pengundian antara DUN dan Parlimen tidak selari disebabkan berbagai faktor.

Sementara di Kedamaian, penulis belum sempat ke kawasan itu, namun berasaskan assessment Setiausaha Bahagian PBS Daimin Sulukan daripada 15,903 pengundi keseluruhan, diperkirakan 78 peratus akan turun mengundi atau 12,404 orang dan daripada jumlah ini 5,190 akan memilih BN. Jika calon Star dan SAPP boleh memperoleh undi di atas 1,800, ada kemungkinan calon BN akan menang, jika tidak, maka Dun Kedamaian bakal mendapat Wakil Rakyat yang baru daripada PKR saudara Ukuh".

Keputusan PRU-13 sudahpun diketahui. Jumlah undi calon-calon BN tidak jauh meleset daripada analisis awal. Namun, apa yang menarik pada PRU itu, kawasan-kawasan yang dipenuhi lambang dan poster calon-calon terutama di kawasan Kedamaian, ternyata undi yang memilih BN jauh lebih rendah berbanding undi calon-calon yang menang; manakala di kawasan-kawasan yang kurang lambang terutama di kawasan iranun, semua peti undi dimenangi calon-calon BN samada calon Parlimen mahupun Dun.

Berasaskan keputusan itu, khasnya bagi kawasan Iranun, lambang atau poster calon tidak penting, apa yang memberi peranan pada masa kempen itu, adalah gerak gempur jentera Bn.

BN pada masa kempen itu, secara maksima telah mempergunakan semua ilmu, cara dan pendekatan; atas sebab itu, berbaloi jika mendapat undi yang banyak dan menang.

Jika dilihat semasa kempen pada PRU-13 lalu bagi kawasan Kota Belud, seolah-olah calon pembangkang berdepan dengan "David and Goliath"; namun bagi calon-calon pembangkang utama terutama PKR dan PAS, telah memberi saingan sengit, malah mampu menang di Dun Kedamian.

Dalam rekod, mana-mana pilihanraya umum, kawasan Parlimen Kota Belud, Dun Tempasuk apatah lagi Dun Usukan, belum pernah jatuh ke tangan pembangkang, termasuklah tsunami KDM tahun 1985. Kawasan Dun hanya jatuh ke tangan PBS pada PRU-Sabah tahun 1986, selepas PRU-1985; manakala kawasan Dun Usukan, belum pernah dimenangi oleh mana-mana parti selain Usno kini Umno.

Melihat kepada keputusan PRU-13, bagi kawasan Kota Belud, nampaknya kawasan-kawasan yang dimenangi BN akan terus dimenangi, kecuali berlaku tsunami di kawasan-kawasan lain sehingga menyebabkan pertukaran kerajaan, namun boleh dijamin kawasan-kawasan seperti Parlimen Kota Belud, Dun Usukan dan Tempasuk masih dimenangi calon-calon Bn sehingga pada PRU berikutnya.

Kawasan Kota Belud terutama kawasan Usukan dan Tempasuk, pengundinya sungguh unik, kerana pengundi masih sangat terikat dengan roh parti Usno yang kini diterjemahkan melalui Umno. Kalau bukan kerana roh usno itu, maka besar kemungkinan kawasan-kawasan itu boleh dimenangi parti-parti lain. Berlainan dengan dun Kedamaian yang dikuasai PBS melalui roh Tan Sri Pairin Kitingan, namun pada PRU-13 lalu, kegagalan calon membawa Pairin berkempen di kawasan itu, menyebabkan BN kalah.

Kini, selepas PRU-13; para wakil rakyatpun telah diketahui, malah ada yang dilantik sebagai Menteri Penuh diperingkat Persekutuan dan Pembantu Menteri di peringkat negeri; dan seorang lagi masih berjawatan Speaker Dewan undangan negeri. Pendek kata, semua wakil rakyat Kota Belud mempunyai jawatan.

Sebenarnya, harapan kerajaan Bn memberikan jawatan-jawatan kepada wakil-wakil rakyat Kota Belud adalah bertujuan agar supaya seluruh perancangan bagi membina perekonomian kawasan itu demi faedah rakyat boleh berjalan dengan lancar sesuai dengan tempoh masa perancangan.

Kota Belud akan menjadi Jelapang Padi negara menjelang tahun 2018, selain itu dalam masa dua tahun daripada sekarang, kawasan itu akan menjadi Pusat Sokongan industri Minyak dan Gas bagi negeri Sabah.

Projek-projek mega akan menyusul kemudian, terutama projek-projek yang membabitkan Perumahan Rakyat. Datuk Rahman sebagai Menteri Kesejahteraan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telahpun memasukan agenda tersebut sebagai keutamaannya dalam penggal ini.

Apa yang menjadi perhatian para wakil rakyat Kota belud adalah ketimpangan infrastruktur antara kawasan. Di lihat dariapada segi kadar pembangunan infrastrukur, nampaknya, kawasan Tempasuk mendahuli kawasan-kawasan lain. 

Harapan rakyat terutama kawasan Usukan, adalah apabila Datuk Dr Salleh Tun Said menjadi wakil rakyat semula kawasan itu. Di harapkan dalam tempoh lima tahun, infrastruktur terutama jalan-jalan yang masih belum bertar agar dinaik taraf; selain mengadakan program-program ekonomi yang boleh menjadi katalis untuk meningkatkan pendapatan.

22 May 2013

Datuk Salleh lakukan pendekatan baru dalam politik

Datuk Salleh semasa PRU-13
MESKIPUN ada kalangan rakyat negeri ini tertanya-tanya mengapa Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Datuk Dr Salleh Tun Said yang menyertai semula pilihanraya selepas sepanggal berehat, tidak dilantik dalam kabinet negeri.

Pertanyaan seumpama itu, memang timbul kerana amalan kebiasaannya, bahawa sesiapa sahaja menjadi Timbalan Pengerusi perhubungan Umno lajimnya akan menyertai kabinet samada di peringkat Pusat mahupun negeri.

Namun kedudukan Datuk Salleh cukup unik, kerana sebelum beliau bertanding dalam pilihanraya, beliau adalah Speaker Dewan undangan negeri. Dalam sejarah politik Sabah, memang bukan diluar kebiasaan jawatan Speaker juga merangkap sebagai ADUN. Keadaan serupa pernah berlaku di zaman kerajaan Berjaya, apabila ADUN Lahad Datu ketika itu- Tan Sri Sunoh Marso, juga berperanaan sebagai Speaker Dewan Undangan negeri.

Pengamat politik melihat tidaknya Datuk Salleh menyertai kabinet merupakan satu strategi politik yang cuba dilakukannya, sudah tentu strategi itu merupakan kesepakatan antara Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah sejak tahun 2003.

Betul juga, jangkaan  selepas lebih seminggu kabinet negeri dibentuk dan telahpun mengangkat sumpah; Datuk Salleh mengeluarkan kenyataan bahawa sudah tiba masanya, semua peruntukan darpada Persekutuan untuk negeri ini, perlu disalurkan kepada Kerajaan negeri; kerana menurut beliau, kerajaan negeri lebih arif berkaitan keperluan negeri daripada semua segi. Selain itu katanya, agar tidak berlaku projek bertindih seperti mana yang berlaku pada masa lalu.

Seruan atau gesaan Datuk salleh itu, sebenarnya sangat tepat masanya, kerana pembangunan yang melibatkan  contohnya sekolah-sekolah atau lab-lab komputer sekolah, atau klinik-klinik kesihatan, perumahan-perumahan mampu milik dan sebagainya di mana sebelum ini dikendalikan sepenuhnya  diperingkat pusat  banyak menimbulkan projek-projek terbengkalai; sehingga merugikan pengguna terutama rakyat Sabah.

Datuk Salleh melihat secara keseluruhan keperluan negeri; sehingga apabila beliau membuat gesaan maka tidak menimbulkan prasangka, kerana beliau bukan secara langsung terlibat. Berlainan, jika kabinet negeri atau Ketua menteri misalnya yang melakukan gesaan, sudah tentunya ada yang bersuara di belakang, dan menuduh ada kepentingan.

Pendekatan politik alah baru yang dilakukan Datuk Salleh, merupakan pendekatan yang sesuai dilakukan pada masa ini, agar supaya, amalan sentralisasi yang sedang berjalan secara perlahan-lahan berubah kepada amalan desentralisasi.

Kebaikan kepada perubahan itu, selain para pegawai kerajaan di negeri ini menambah ilmu, mereka juga terdedah kepada pelaksanaan projek-projek besar, serta pemantuan yang lebih efektif, kerana mereka berada dekat dengan lokasi, berbanding jika para pegawai itu berada di sebarang laut.

Pengetahuan lokasi dan keadaan kawasan yang dibangun, sudah tentunya advantage kepada para pegawai tempatan, kerana secara insitu mereka lebih mahir berbanding dengan rakan-rakan sejawat mereka yang beribu pejabat di Putrajaya.

Bukan itu sahaja, perkhidmatan para wakil rakyat negeri ini akan lebih efektif, kerana selain mudah berhubungan dengan para pegawai yang terlibat, juga akan menjimatkan masa, kerana mereka berada pada jarak yang berdekatan.

Seharusnya, pendekatan ini patut disegerakan.

21 May 2013

PRU-13: Siapa kata Umno/BN tidak popular? Sila BACA

BARISAN Nasional (BN) terus diberi mandat memerintah negara ini apabila memperolehi majoriti mudah 133 kerusi Parlimen pada PRU13 yang lalu sementara pakatan pembangkang yang dibarisi PKR, DAP dan Pas hanya memperoleh 89 kerusi sahaja.

Pada PRU12 di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, BN memenangi 140 kerusi Parlimen.Pada PRU13, rakyat Malaysia masih lagi mengundi dalam pilihan raya yang disertai pelbagai parti yang menyaksikan 11,257,147 juta (84 peratus) daripada 13,268,002 pengundi berdaftar keluar mengundi bagi 222 kerusi Parlimen.

Dari segi undi popular, daripada keseluruhan pengundi yang keluar mengundi dalam pilihan raya pelbagai parti itu, BN berada di tempat pertama dengan memperoleh undi sebanyak 5,237,699; kedua, PKR (2,254,328), ketiga, DAP (1,736,267), keempat, Pas (1,633,389) manakala parti-parti lain dan Bebas (192,904).

Bagaimanapun, DAP yang berada di tempat ketiga dari segi jumlah undi telah memperoleh 38 kerusi Parlimen, iaitu jauh lebih tinggi daripada PKR.

Berdasarkan analisis keputusan pengundian PRU13, BN memperolehi undi popular di Perlis, Kedah dan Perak berbanding PR.

Di Kedah, Umno berjaya menguasai negeri itu dengan memperoleh undian sebanyak 399,890 bersamaan 45.28 peratus.

Manakala, Pas dan PKR pula hanya memperolehi sekitar 24.2 peratus. Perlis juga menjadi kubu kuat Umno kerana memenangi kesemua tiga kerusi Parlimen yang dipertandingkan dengan memperolehi 64,192 undi bersamaan 55.55 peratus.

Umno juga mendominasi Perak apabila memperolehi undi sebanyak 277,859 bersamaan 24.64 peratus mengatasi undi parti lain. Calon BN tewas di beberapa kawasan kerana bilangan pengundi kaum Cina yang ramai.

DAP pula mendapat 261,882 undi, manakala Pas dan PKR masing mendapat 109,913 dan 244,073 undi di Perak.

Bagaimanapun, di Pulau Pinang terutamanya di kawasan bandar dikuasai DAP yang memenangi kesemua enam kerusi Parlimen dan memperoleh undian tertinggi berbanding parti-parti lain.

Sebanyak 13 kerusi Parlimen yang dipertandingkan Pulau Pinang, hanya enam kerusi sahaja dimenangi DAP tetapi jumlah undiannya iaitu 272,664 bersamaan 37.72 peratus berbanding PKR hanya lima kerusi iaitu 177,896 bersamaan 24.61 peratus.

Umno yang bertanding di lima kerusi di Pulau Pinang hanya memperoleh 118,613 undian bersamaan 16.41 peratus.

Agak mengejutkan apabila analisis mendapati Umno mendominasi peratusan undian di kubu kuat Pas di Kelantan iaitu 49.8 peratus berdasarkan jumlah undian sebanyak 402,503 untuk kerusi Parlimen.

Pas memperoleh 41.1 peratus dengan 332,407 jumlah undi. Bagaimanapun, PKR tewas di ketiga-tiga kerusi yang ditandingi dan hanya mendapat 9 peratus undian dengan 73,071 undian sahaja.

Rekod kerusi Parlimen di Terengganu pula menunjukkan Umno mendahului dalam kutipan jumlah undian, iaitu 283,455 dengan 51.5 peratus, hasil daripada kemenangan empat daripada lapan kerusi yang ditandingi.

Pas pula memperoleh 42.5 peratus dengan jumlah undi 233,893, manakala PKR tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen di Terengganu.

Umno turut merekodkan pencapaian tertinggi mendahului parti lain dengan 55.5 peratus atau 337,896 undi, berdasarkan kemenangan 10 kerusi yang ditandingi di Pahang.

Ini diikuti PKR yang mencatat 17.7 peratus dan memenangi tiga daripada lima kerusi yang ditandingi, sementara Pas merekodkan peratusan 17.2 peratus (104,743 undi).

DAP di Pahang tidak mendapat sambutan, di mana parti itu hanya memenangi satu daripada tiga kerusi Parlimen yang ditandingi dengan jumlah undi dipungut sebanyak 59,027 undi.

Di Selangor, PKR mendominasi kerusi Parlimen apabila memenangi sembilan daripada 11 kerusi ditandingi dengan jumlah 550,950 undi. Namun, pengaruh Umno tetap tidak boleh dinafikan kerana parti itu berjaya memporehi 335,406 undi berbanding Pas (270,506) dan DAP (253,302).

Di Wilayah Persekutuan, DAP memperlihatkan penguasaan apabila memenangi kesemua lima kerusi Parlimen ditandinginya dengan 229,337 undi. Pengaruh PR di Wilayah Persekutuan juga dibuktikan dengan jumlah undi dimenangi PKR iaitu 154,457 undi mengatasi Umno (127,771 undi) walaupun kedua-dua parti menang empat kerusi.

Di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, pengaruh Umno ternyata masih belum boleh digugat. Jumlah kerusi dan undi yang dimenangi parti ini tetap mendahului PR dengan peratusan melebihi 40 peratus di setiap negeri.

Sabah terus kekal menjadi negeri simpanan tetap Umno berdasarkan analisis mendapati parti itu mendominasi keseluruhan kerusi Parlimen dengan peratusan 88.2 peratus, manakala PKR hanya menang satu kerusi dengan jumlah 22,598 undi dengan peratusan 7.2 peratus manakala DAP hanya mendapat 14,226 undi atau 4.5 peratus.

Umno tidak ada di Sarawak tetapi neheri itu kekal sebagai kubu kuat BN.

Analisis juga mendapati jumlah undian rakyat di Sarawak terhadap DAP ialah 139,480 undi, manakala PKR memperoleh 26,909 undian hasil kemenangan satu kerusi.

Secara keseluruhan, Umno dan BN masih lagi kekal sebagai popular hampir di kesemua negeri, kecuali Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

Ini diikuti oleh DAP yang masih kekal mendominasi di Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, manakala dominasi PKR kekal di Selangor.

Umno kekal mendominasi di peringkat Parlimen kerana mampu untuk mendapat 3,416,310 undi dari 120 kerusi yang ditandingi dan mereka berjaya menang 88 daripadanya.

Manakala DAP pula mendapat 1,386,404 dari 51 kerusi Parlimen yang ditandingi, jumlah ini membuktikan bahawa DAP adalah parti yang masih popular dan menjadi pilihan kepada pengundi bukan Melayu khususnya di kawasan bandar.

Pemimpin Peringkat Parlimen/Dun- Jangan hanya lantik Kroni

Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di negeri ini perlu memastikan semua lantikan jawatan di peringkat akar umbi termasuk pemimpin kemajuan rakyat (PKR) dan ahli jawatankuasa kemajuan, keselamatan kampung (JKKK) yang dilantik disenangi serta diterima masyarakat setempat.

Geasaan tersebut disuarakan oleh Ahli Parlimen Sepanggar yang baru, Datuk Jumat Idris. Jumat berkata, langkah itu penting memandangkan faktor tersebut dikenal pasti menjadi antara punca utama penolakan masyarakat akar umbi terhadap parti.

"Mulai sekarang wakil rakyat kena berdepan dengan cabaran baharu yang mana penjawat jawatan akar umbi perlu diteliti dan dipastikan mereka sememangnya disukai rakyat bukan hanya kroni sahaja.

"Kalau orang kampung marah kepada parti, sebenarnya sebab ketua kampung, JKKK dan PKR dilantik oleh orang UMNO," katanya di sini hari ini.

Tambah Jumat, segala aduan dan maklumat daripada semua pihak harus diteliti bagi memastikan ketepatan pelantikan wakil-wakil pimpinan akar umbi berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua agensi kerajaan negeri dan Persekutuan perlu lebih proaktif membantu melaksanakan semua program yang dirancang.

"Kerjasama erat setiap agensi dengan semua wakil rakyat setempat amat penting dalam memastikan keberkesanan segala program dirancang," katanya.

20 May 2013

Senarai Gaji Menteri Kabinet, Perdana Menteri Malaysia Bagi Tahun 2013

Berikut adalah senarai Gaji Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta Jemaah Menteri Malaysia bagi tempoh 2013-2018.

info Tambahan.

Seorang Ahli Parlimen boleh menjana pendapatan sehingga RM10,000 sebulan termasuk elaun.

Merujuk Kertas Statut 235 Tahun 1983, Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, seorang Ahli Parlimen diberikan elaun bulanan seperti untuk keraian (RM1,500), pemandu peribadi (RM1,200), perjalanan (RM1, 500) dan telefon (RM900).

Ahli Parlimen turut dibayar elaun sebanyak RM200 sehari apabila mereka menghadiri mesyuarat di Parlimen dan RM150 apabila mereka menghadiri mana-mana jemputan rasmi mesyuarat, taklimat, seminar atau pelbagai acara anjuran kementerian atau agensi-agensi kerajaan di peringkat persekutuan atau negeri.

Selain itu, Ahli Parlimen juga boleh menuntut elaun makanan (termasuk 25% untuk tips) dan bayaran untuk bilik hotel, bayaran caj dobi, tempat letak kenderaan, tol, dan wang belanja untuk membeli pakaian panas dan pakaian istiadat.

Faedah-faedah lain seorang Ahli Parlimen ialah mendapat rawatan perubatan percuma untuk diri mereka, pasangan dan anak-anak di bawah 21 tahun di hospital dan klinik kerajaan, pinjaman komputer, kereta dan perumahan, senjata api percuma dan lesen kenderaan, serta pencen dan ganjaran untuk perkhidmatan mereka di bawah syarat-syarat dan keadaan tertentu.

19 May 2013

Keputusan PRU-13 Sabah: Petunjuk jelas pada BN Sabah

PRU-13 telah berakhir. Rakyat telah bersuara. Parti BN yang memerintah yang bertanding 60 kerusi negeri dan 25 Parlimen, masing-masing hanya menang 48 dan 22; lainnya dimenangi pembangkang.

Keputusan tersebut jauh berbeza dengan 59 dan 24 kerusi dimenangi pada dua PRU yang lalu, yang menyebabkan  Persekutuan atau kepimpinan Pusat mengelar Sabah "Simpanan Tetapnya" satu terma yang mendapat reaksi berbeza daripada rakyat Sabah.

Pada PRU yang baru sahaja melabuhkan tirainya, untuk pertama kali calon daripada Umno kalah, iaitu di kerusi DUN Klias. Juga, pada PRU itu, untuk pertama kalinya parti PBS selepas bergabung semula dengan BN pada tahun 2002, kalah dikerusi tradisinya iaitu di Mantungong, Kedamaian, Tamparuli dan Inanam. Apa yang sungguh menyedihkan bagi parti itu, dua calonnya yang kalah itu berjawatan pembantu menteri selain berjawatan Naib Presiden dalam parti.

Pada PRU-13 itu juga, kita sama-sama menyaksikan bahawa para pemimpin utama parti komponen Bn tewas. Presiden Upko Tan Sri Benard Giluk Dompok yang juga merupakan menteri penuh di peringkat persekutuan tewas di Parlimen Penampang kepada pemimpin muda PKR-Darel Leiking, Sementara Pengerusi MCA Sabah Datuk Edward Khoo tewas di Dun Kepayan- Beliau juga merupakan pembantu menteri sebelum Dun dibubarkan pada 3 April lalu. Salah seorang pemimpin komponen parti Bn yang menjadi mangsa penolakan rakyat adalah Presiden parti LDP- Datuk Liew Vui Keong di kerusi panas Parlimen Sandakan. VK Liew yang berjawatan Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan tewas kepada calon pendatang baru daripada DAP.

Apa yang perlu diperhatikan oleh BN Sabah melalui keputusan PRU-13 lalu, rata-rata calon Bn selain daripada Umno dan LDP  mengalami kemerosotan undi majoriti, malah keputusan itu juga telah melenyapkan undi popular bagi pemimpin nombor satu dan nombor dua PBS. Kalaulah bermain dengan angka, jika berlaku pertembungan satu lawan satu bagi Parlimen Kota Marudu, dun Tambunan dan Parlimen Keningau, maka dua pemimpin utama PBS itu telah tewas.

Secara umum kecenderungan rakyat memilih bakal-bakal wakil rakyat mereka pada PRU yang lalu, mereka sama sekali tidak melihat kedudukan seseorang itu baik dalam parti mahupun kerajaan.

Nama-nama seperti Tan Sri Bernard G Dompok- Menteri, Datuk Yee Moh Chai- Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jahid Jahim-Pembantu Menteri, Datuk Herbert Timbon Lagadan-Pembantu Menteri, Datuk Edward Khoo-Pembantu Menteri, Datuk Liew Vui Keong-Timbalan Menteri  adalah mangsa-mangsa yang ditolak rakyat.

Para pemimpin BN perlu mengambil iktibar daripada keputusan pada PRU lalu, kedudukan dalam parti atau kerajaan tidak semestinya akan terus diterima rakyat. Mungkin, bagi kita bukan pengundi di kawasan mereka yang tewas itu, tidak melihat apa yang berlaku, namun rakyat atau penggundi merekalah yang telah mengadili mereka sendiri.

Kalaulah seseorang itu peka terhadap keperluaan rakyat yang diwakilinya, maka rakyat di kawasan itu, tidak akan sanggup menolak mereka. Bukti, di DUN Usukan Kota Belud, walaupun Datuk Dr Salleh selama dua penggal tidak bertanding di Dun Usukan, namun selepas aktif semula dan bertanding pada PRU-13 lalu, Datuk Salleh bukan sahaja menang, malah menambah majoriti calon sebelumnya. 

Begitu juga calon Tempasuk- Datuk Musbah Haji Jamli, bukan sahaja berjaya mempertahankan kerusinya malah menambah jumlah majoriti.

Perkhidmatan kepada rakyat mencermin kepada perolehan majoriti- sepertimana ditujunkkan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman di Dun Sungai Sibuga, dimana majoritinya daripada satu angka kepada dua angka.

Percayalah pengundi adalah adil dalam memangkah; kalaulah wakil rakyat berkhidmat dengan baik apatah lagi cemerlang, maka pengundi akan menyokongnya dengan begitu padu.

Kepada wakil rakyat yang menang, dengan majoriti yang menurun, maka perlu berhati-hati; jika perkhidmatan kepada pengundi tidak dilipat gandakan, maka pada PRU-14 akan datang kemungkinan saudara-saudara akan ditolak oleh pengundi saudara-saudara; atau apa yang malang, suadara-saudara tidak akan masuk gelanggang lagi kerana mendapat cap bukan "winnable candidate".

18 May 2013

PRU-13: Pencapaian BN Sabah

Keputusan sudah diketahui. Pemenang juga sudah diketahui. Kabinet Sabah sudah dibentuk dan telahpun mengangkat sumpah. Hanya yang belum, angkat sumpah semua ADUN yang menang di depan Speaker DUN.

Diantara 48 ADUN Sabah yang menang, 29 daripadanya menganggotai jemaah menteri Sabah dan seorang dilantik sebagai Pengerusi GLC bertaraf menteri.

Dengan perlantikan 29 ADUN sebagai jemaah menteri, maka 18 yang lain menjadi Penyokong kerajaan. Jumlah itu telah cukup berentap dengan Pembangkang yang berjumlah 12.

Pada kali ini, DUN Sabah akan kehilangan pendebat yang cukup mendapat perhatian ADUN, yang pertama Jimmy Wong dan kedua Masiung Banah. Jimmy Wong tidak bertanding DUN, manakala Masing dilantik menganggoti jemaah menteri sebagai Pembantu Menteri Belia dan Sukan Negeri.

Keterangan di atas adalah output daripada PRU-13 yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada petang 5 mei lalu.

Untuk rekod pada PRU-12, kerusi DUN Sabah hampir disapu bersih oleh BN, kerana hanya satu kerusi dimenangi pembangkang (DAP). Keputusan itu mengulangi pencapaian PRU-11, di mana daripada 60 DUN, 59 BN dan satu bukan.

Pada PRU-13 lalu, keputusan, walaupun masih berpihak kepada BN dengan penguasaan 2/3 dengan jumlah kerusi 48; namun rekod dua pilihanraya sebelumnya tidak dapat dilulangi.

Penyumbang kepada kegagalan BN itu, apabila parti komponennya PBS yang mana satu ketika adalah parti pembangkang terbesar dalam Dun Sabah mengalami kekalahan  separuh dari kawasan-kawasan yang ditandinginya.

PBS betanding 14 kerusi DUN dan hanya menang 7 daripadanya. Walaupun, mengalami kekalahan teruk,  tidak membawa impak terhadap  keanggotaannya dalam jemaah menteri sabah, apabila enam daripada  ADUN yang menang dilantik, samada sebagai menteri penuh ataupun pembantu menteri.

Parti komponen berikutnya yang menyumbang kepada berkurangnya kerusi BN adalah Upko dan MCA, apabila dua calonnya masing-masing tewas; kemudian diikuti oleh Umno apabila kalah di Dun Klias, kekalahan pertama Parti itu sejak tahun 1994.

Kekalahan calon Umno di Dun Klias telah mencacatkan rekodnya yang bersih setiap pilihanraya.

Apa yang menarik pada PRU-13 lalu, BN bukan sahaja ditolak di kawasan bandar malah di pendalaman. Kekalahan BN di Bingkor, Klias, Matunggong dan Kedamaian merupakan isyarat kepada Bn pada PRU-14 akan datang, bahawa golongan rakyat di pedesaan bukan lagi simpanan tetap BN. Juga, apa yang menarik, pada keputusan PRU-13, apabila undi popular tidak diperolehi oleh dua pemimpin utama PBS-iatu Tan Sri Pairin Kitingan dan Timbalannya Datuk Dr Maximus Ongkili. Jika berasaskan teori angka, dan berlaku pertembungan satu lawan satu, kedua-dua pemimpin utama PBS itu sebenarnya telah tewas.

Di kawasan bandar, terutama di kawasan Pantai Barat, sudah tentunya bukan lagi wilayah BN, walaupun dua kawasan di menangi-iaitu Tanjong Aru dan Petagas. Karambunai walaupun dikategorikan bandar, namun didiami oleh majoriti penduduk luar bandar.

Percayalah bukan mudah untuk menang bagi kawasan-kawasan yang dimenangi pembangkang. Sebagai contoh- Dun Sri Tanjong, kawasan itu yang dimenangi DAP pada PRU-2008, juga dimenangi parti itu pada PRU-13 dengan jumlah majoriti yang semakin meningkat.

Kawasan seperti Inanam, Luyang, Kepayan, Api-Api, Likas bukan mudah dimenangi lagi; sementara Moyog, Bingkor, Tamparuli, Matunggong, Klias, Kedamaian mungkin akan dimenagi Bn jika percaturan mengena pada PRU-14 akan datang.

Dengan berlakunya fenomena penerimaan rakyat terhadap parti-parti yang bertanding, Bn tidak boleh mengambil mudah penerimaan rakyat terhadap dua parti pembankang-iaitu PKR dan DAP. Pada tahun 2008, lambang DAP belum lagi masung kampung, namun pada PRU-13 lalu, bendera parti itu bukan sahaja dipasang di jalan-jalan, malah dinaikkan di rumah penduduk; sebagai tanda jelas, DAP sudah mereka terima. Di Tuaran misalnya, bendera DAP malah dikibarkan di Surau penyokong pembangkang.

Satu fenomina telah berlaku, di Kota Belud misalnya, suatu masa dahulu, bendera PAS adalah taboo dikibarkan di kawasan penduduk bukan islam; demikian juga bendera DAP taboo dikibarkan di kawasan penduduk islam, namun pada PRU-13 lalu, pengibaran bendera-bendera dua parti itu sudah menjadi perkara biasa.

Juga, perkara yang perlu diperhatikan oleh Bn, bahawa pada PRU-13 lalu, tiada seorangpun calon dari PKR, PAS atau DAP kehilang wang deposit; bebanding pada PRU-PRU lalu, kehilangan wang deposit adalah langganan calon-calon PAS mahupun PKR.

Bn Sabah perlu mengambil iktibar daripada keputusan PRU-13. Mengubah cara pendekatan, mungkin boleh mengembalikan sokongan rakyat. Formula itu, perlu ditemui daripada sekarang.

17 May 2013

Hanya Perpecahan boleh mengalahkan BN

Kelap kelip tempoh lima tahun bukanlah lama. Kalau dipanjangkan umur, Mei 2018 adalah tarikh PRU-14.

Sama-sama kita menyaksikan bahawa pada PRU-13 lalu, untuk pertama kalinya gabungan beberapa parti dalam BN mengalami kemerosotoan sokongan meskipun menang  133 kerusi dewan rakyat daripada 222 yang dipertandingkan.

Penyumbang utama kerusi BN adalah di kawasan luar bandar, manakala di bandar mengalami kekalahan teruk. Sebagai rekod, dari 14 ibu negeri, hanya Kangar dan Johor Bahru masih berpihak kepada BN, manakala lainnya semua di menangi parti lawan kepada BN.

Apa yang dapat dilihat daripada keputusan PRU-13, rakyat yang mengharapkan pembangunan dan pembelaan masih menyokong BN, manakala mereka yang mempergunakan suara demokarsi tanpa melihat kepada merit kerajaan menyokong parti lawan BN.

Pada PRU-13, kita juga menyaksikan bahawa tsunami politik yang melanda semenanjung pada PRU-12 lalu telah merebak di negeri-negeri simpanan tetap BN seperti Johor, Sarawak dan Sabah.

Dalam PRU-13 juga, disebabkan sokongan kepada Umno meningkat sehingga mampu mendapat tambahan 9 kerusi parlimen, maka menyelamatkan status quo di Semenanjung seperti mana keputusan PRU-12. Pada PRU-12, BN mendapat 85 kerusi parlimen di Semenanjung, manakala PR 80. 

Kemerosotan kerusi BN sebenarnya disumbangkan oleh berbagai faktor; selain faktor putar belit pembangkang dan juga kepentingan para pemimpin Bn sendiri. Rasa tidak puas hati antara pemimpin Bn, sehingga ada yang sanggup menikam belakang atau keluar menentang Bn 

Sebagai rekod sebelum PRU-13, telah berlaku penentangan terhadap Bn oleh pemimpinnya sendiri. Pada September 2008 misalnya parti SAPP keluar daripada BN; pada julai 2012 dua MP BN daripasa Sabah keluar BN menyertai parti lawan, dan di ambang pilihanraya, mantan MB Selangor dan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhannad Mohammad Taib menyertai Parti Pas.

Keluarnya parti Bn dan para pemimpin Bn menyertai barisan pembangkang, walaupun tidak menyebabkan kalahnya Bn secara keseluruhan, namun berimpak juga daripada segi perolehan kerusi.

Di Sabah misalnya, untuk pertama kalinya selepas PBS menyertai BN, parti lawan mendapat banyak kerusi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Sebagai catatan, pada PRU-2004 dan 2008 di Sabah, Bn hampir menyapuh bersih semua kerusi, akan tetapi pada PRU-13, pembangkang menambah 11 Kerusi Dun dan dua Parlimen, sehingga kedudukan Bn Sabah Parlimen 22 kerusi, Pembangkang 3, manakala Dun, BN 48, manakala pembangkang 12.

Sementara di Selangor terlalu awal mengatakan bahawa impak penyertaan Tan Sri Taib kepada Pas terhadap kejayaan Pakatan Rakyat; namun fakta yang ada; adalah kerusi BN di peringkat DUN berkurangan daripada 20 ke 12. Keputusan itu merupakan keputusan paling   buruk BN di negeri terkaya itu.

Juga, akibat buruk BN di Selangor, mungkin menyebabkan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri, membuat keputusan tidak melantik seorangpun daripada Umno Selangor menyertai kabinet Persekutuan.

Bn di masa akan datang masih berdepan dengan masalah dalaman. Penghujung tahun ini, parti UMNO akan mengadakan pemilihan pemimpin. Seperti biasa setiap pemilihan kepimpinan akan berlaku pergeseran. Apa yang menjadi lumrah, yang kalah tidak menerima hakekat adat bertanding; demikian juga yang menang, tidak bersifat "take all" sehingga wujud sifat membelakangkan mereka yang menentang.

Di masa terdekat akan wujud pergantian pucuk pimpinan Parti Peska Bersatu (PBB) di Sarawak; dengan bersaranya Tan Sri Taib Mahmud, ada kemunginan berlakunya perpecahan dalam parti itu sama seperti yang berlaku pada Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) selepas persaraa Tan Sri Leo Moggie.

Di Sabah persaraan Presiden PBS-Tan Sri Pairin Kitingan pada pemilihan parti itu tahun dalam tempoh dua tahun lagi, mungkin menyebabkan berkurangnya sokongan terhadap parti itu. Tanda-tanda rakyat menolak parti pimpinan Pairin itu, apabila mengalami kekalahan teruk pada PRU-13 lalu, apabila 7 kawasan dun dan satu parlimen kalah.

Demikian juga masa depan parti Upko salah satu komponen Bn Sabah, di mana Presidennya kalah pada PRU-13.

Bagi parti komponen Bn yang berasas kaum cina, masa depan MCA dan Parti Gerakaan dalam keadaan simpang siur. Kekalahan teruk parti-parti itu dalam PRU-13 lalu, mungkin akan mengikuti status parti PPP, dimana suatu ketika begitu gah, namun berasaskan peredaran masa, kini hanya tinggal pada nama sahaja.

PRU-14 merupakan tolok ukur BN, apakah gabungan itu masih utuh?

Barisan Kabinet Baru: Utamakan Ketelusan Pentadbiran- Najib

Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak menekankan kepentingan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan kerana ia adalah aspek yang dieksploitasi dan digembar-gembur oleh pembangkang tanpa mengambil kira sama ada ia bersandarkan kepada realiti atau persepsi.

Perdana Menteri berkata, ketika ini pembangkang hanya tahu bagaimana persepsi boleh mengatasi realiti. 

Katanya, dalam mesyuarat khas jemaah menteri yang dipengerusikannya buat kali pertama semalam selepas PRU-13, beliau meminta supaya anggota pentadbiran kerajaan memberikan maklum balas dengan lebih pantas dan lebih tegas terhadap sebarang isu yang dibangkitkan pembangkang. 

Perdana Menteri berkata, beliau turut menegaskan betapa penting bagi anggota Kabinet untuk bersedia menghadapi penilaian awam yang lebih tinggi lagi.

Maknanya, jangkaan atau harapan rakyat terhadap tingkah laku kita, sama ada pada diri kita mahupun anggota keluarga, adalah begitu tinggi. Oleh itu, kita mesti menjaga apa saja yang kita lakukan, pembawaan dan cara hidup supaya rakyat tidak mempersoalkan apa saja membabitkan integriti kita sebagai anggota pentadbiran, katanya.

Mesyuarat pertama Kabinet

Pagi semalam, anggota Kabinet baru mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, di Istana Negara. 
Mesyuarat pertama Kabinet baru hari ini berlangsung selama hampir dua jam, sejurus mereka bergambar beramai-ramai di Aras Satu bangunan Putra Perdana, pada jam 3.15 petang.

Merujuk kepada anggota Kabinet baru Najib berkata, beliau melihat mereka sememangnya bersemangat tinggi dan bersedia memikul tanggungjawab sebagai satu pasukan.

Insya-Allah kita akan melakukan yang terbaik untuk memenuhi dan melaksanakan segala amanah dan janji kita kepada rakyat, katanya.

Perdana Menteri berkata, dalam mesyuarat pertama itu beliau juga menegaskan pentingnya untuk menjunjung amanah dan kepercayaan diberikan rakyat kepada kerajaan.

Katanya, beliau menegaskan bahawa apa saja disuarakan anggota Kabinet, ia bukan atas nama individu, sebaliknya mewakili kerajaan dan adalah pendirian bersama.

Apa saja yang kita lakukan, ia mesti atas nama sebuah kerajaan, bukannya kita bergerak dalam compartment (ruang atau bahagian yang terpisah daripada bahagian lain) atau silo masing-masing. Saya tegaskan penting kita menjadi satu pasukan yang jitu, kukuh dan selaras tindakan kita, sama ada dalam negara mahupun di luar negara, sama ada kita berbicara dengan media tempatan mahupun media antarabangsa, katanya.

Beliau meminta setiap anggota Kabinet memberi nilai tambah kepada perkhidmatan dengan bukan hanya menjaga kementerian atau kawasan masing-masing, sebaliknya sanggup melakukan lebih daripada itu termasuk menyertai forum bersama dengan rakyat, sama ada penyertaan secara bersemuka, mahupun menerusi media sosial atau tradisional.

16 May 2013

146,500 perwakilan Umno buat pemilihan akhir tahun ini

PUTRAJAYA - Seramai 146,500 perwakilan Umno daripada 161 bahagian di seluruh negara akan membuat pemilihan pucuk pimpinan parti pada akhir tahun ini selaras dengan pindaan perlembagaan parti pada 2009.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan menyifatkan pemilihan kali ini lebih demokratik kerana pemilihan pemimpin tidak terletak di tangan sekumpulan perwakilan seperti sebelumnya. 

Justeru beliau yakin pemilihan Umno tidak akan menimbulkan sebarang kekecohan seperti yang berlaku dalam parti pakatan rakyat. 

"Lantai demokrasi Umno akan terbuka dengan lebih meluas apabila tiada lagi fasal dalam perlembagaan yang selama ini tidak memihak dan tidak memberikan akses kepada golongan tertentu untuk terlibat secara langsung dalam pemilihan parti. 

"Dahulu kita hanya memperuntukkan 2,500 perwakilan sahaja untuk menentukan pucuk kepimpinan parti, namun kali ini ia ditambah menjadi 146,500 yang mana pemilihan bermula di peringkat cawangan terlebih dahulu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. 

Perhimpunan Agung Khas Umno pada Oktober 2009 meluluskan pindaan perlembagaan iaitu 146,500 perwakilan bakal menentukan kepemimpinan Umno dengan menghapuskan sistem kuota, persidangan mesyuarat perwakilan secara serentak dan juga menambah bilangan ahli jawatankuasa lantikan Wanita. 

Selain itu Umno juga meluluskan untuk menjadikan yuran keahlian sebagai yuran seumur hidup, memberi kuasa kepada Pemuda, Wanita dan Puteri untuk meluluskan keahlian baru Umno dan mengiktiraf sumbangan setiausaha bahagian. 

Ahmad berkata pindaan tersebut adalah sebahagian daripada proses transformasi parti bagi membolehkan Umno lebih demokratik, telus dan inklusif, bagaimanapun cara pemilihan dan pengundian masih dalam proses penambahbaikan. 

Mengulas lanjut mengenai mesyuarat dan pemilihan di peringkat cawangan Umno yang dijangka dibuat dalam masa terdekat, Ahmad berkata, semua pihak perlu mengambil iktibar dalam apa yang terjadi semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). 

"Kita tidak mahu lagi berlakunya perpecahan di kalangan ahli Umno, apa yang penting ialah parti kembali memenangi hati rakyat dan sekali gus dapat menguatkan jentera bagi menghadapi cabaran pada masa akan datang," katanya. - Bernama

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels