23 May 2013

Catatan PRU-13 Kawasan Kota Belud

EMPAT hari selepas penamaan calon, penulis menerima berbagai pesanan ringkas, berkaitan dengan lambang calon-calon yang bertanding. Kebanyakan pesanan itu mempertikai sedikitnya lambang-lambang calon-calon Bn di kawasan kaum iranun, berbanding kawasan KDM dan kaum bajau.

Mereka ini sebenarnya menilai bahawa jumlah lambang itu menggambarkan sokongan. 

Pada masa berkempen, penulis pernah menulis, bahawa kawasan-kawasan yang menjadi keraguan pengamat-pengamat mahupun juru kempen, bukan menjadi kawasan yang bermasalah bagi calon-calon Bn, akan tetapi penulis meragui jumlah lambang dan bendera di kawasan-kawasan yang dianggap selamat, seperti yang dimaksudkan oleh juru-juru kempen itu.

Penulis juga pada 25 April selepas lima hari masuk berkempen, membuat analisis keputusan awal. Pada analisis itu, kawasan Parlimen, Dun Usukan dan Tempasuk bisa dimenangi oleh calon-calon Bn, manakala Dun Kedamaian, kemenangan akan bergantung kepada bagaimana pencapaian calon-calon SAPP dan STAR.

Analisis awal penulis, secara matematik, seperti berikut "Jika berasaskan perkiraan rambang, di Usukan misalnya, daripada 18,698 pengundi, jika 80 peratus turun mengundi atau 14,958 orang, maka calon Bn akan mendapat undi 10,470 dan perkiraan majoriti bagi calon BN Datuk Dr Salleh Tun Said diperkirakan melebihi angka 4 ribu, ini kerana undi terdekat akan diperoleh calon PKR antara 2,800-3,400.

Manakala di Tempasuk daripada 16,866, jika 80 peratus yang turun mengundi atau 13,490, maka calon Bn akan mendapat undi 8770 dan diperkirakan majoriti juga akan meningkat berbanding PRU-12 lalu. Pada PRU-12, calon BN bagi kawasan Tempasuk Datuk Musbah Jamli menang dengan majoriti 2.432 undi.

Sementara di P169 Parlimen Kota Belud, daripada 51.467 pengundi, diperkirakan peratusan yang turun mengundi adalah 79 peratus atau 40,800 orang. Daripada jumlah ini calon Bn akan mendapat 23,600 undi dan calon terdekat yang mendapat undi terbanyak adalah PKR dengan jumlah 15,800 dan selebihnya diperoleh oleh calon-calon lain. Berasaskan perkiraan awal ini, calon BN Parlimen Kota Belud akan menang dengan majoriti antara 7,000-8,000 undi dan ini merupakan satu penigkatan.

Perlu diketahui bahawa trend pengundian antara DUN dan Parlimen tidak selari disebabkan berbagai faktor.

Sementara di Kedamaian, penulis belum sempat ke kawasan itu, namun berasaskan assessment Setiausaha Bahagian PBS Daimin Sulukan daripada 15,903 pengundi keseluruhan, diperkirakan 78 peratus akan turun mengundi atau 12,404 orang dan daripada jumlah ini 5,190 akan memilih BN. Jika calon Star dan SAPP boleh memperoleh undi di atas 1,800, ada kemungkinan calon BN akan menang, jika tidak, maka Dun Kedamaian bakal mendapat Wakil Rakyat yang baru daripada PKR saudara Ukuh".

Keputusan PRU-13 sudahpun diketahui. Jumlah undi calon-calon BN tidak jauh meleset daripada analisis awal. Namun, apa yang menarik pada PRU itu, kawasan-kawasan yang dipenuhi lambang dan poster calon-calon terutama di kawasan Kedamaian, ternyata undi yang memilih BN jauh lebih rendah berbanding undi calon-calon yang menang; manakala di kawasan-kawasan yang kurang lambang terutama di kawasan iranun, semua peti undi dimenangi calon-calon BN samada calon Parlimen mahupun Dun.

Berasaskan keputusan itu, khasnya bagi kawasan Iranun, lambang atau poster calon tidak penting, apa yang memberi peranan pada masa kempen itu, adalah gerak gempur jentera Bn.

BN pada masa kempen itu, secara maksima telah mempergunakan semua ilmu, cara dan pendekatan; atas sebab itu, berbaloi jika mendapat undi yang banyak dan menang.

Jika dilihat semasa kempen pada PRU-13 lalu bagi kawasan Kota Belud, seolah-olah calon pembangkang berdepan dengan "David and Goliath"; namun bagi calon-calon pembangkang utama terutama PKR dan PAS, telah memberi saingan sengit, malah mampu menang di Dun Kedamian.

Dalam rekod, mana-mana pilihanraya umum, kawasan Parlimen Kota Belud, Dun Tempasuk apatah lagi Dun Usukan, belum pernah jatuh ke tangan pembangkang, termasuklah tsunami KDM tahun 1985. Kawasan Dun hanya jatuh ke tangan PBS pada PRU-Sabah tahun 1986, selepas PRU-1985; manakala kawasan Dun Usukan, belum pernah dimenangi oleh mana-mana parti selain Usno kini Umno.

Melihat kepada keputusan PRU-13, bagi kawasan Kota Belud, nampaknya kawasan-kawasan yang dimenangi BN akan terus dimenangi, kecuali berlaku tsunami di kawasan-kawasan lain sehingga menyebabkan pertukaran kerajaan, namun boleh dijamin kawasan-kawasan seperti Parlimen Kota Belud, Dun Usukan dan Tempasuk masih dimenangi calon-calon Bn sehingga pada PRU berikutnya.

Kawasan Kota Belud terutama kawasan Usukan dan Tempasuk, pengundinya sungguh unik, kerana pengundi masih sangat terikat dengan roh parti Usno yang kini diterjemahkan melalui Umno. Kalau bukan kerana roh usno itu, maka besar kemungkinan kawasan-kawasan itu boleh dimenangi parti-parti lain. Berlainan dengan dun Kedamaian yang dikuasai PBS melalui roh Tan Sri Pairin Kitingan, namun pada PRU-13 lalu, kegagalan calon membawa Pairin berkempen di kawasan itu, menyebabkan BN kalah.

Kini, selepas PRU-13; para wakil rakyatpun telah diketahui, malah ada yang dilantik sebagai Menteri Penuh diperingkat Persekutuan dan Pembantu Menteri di peringkat negeri; dan seorang lagi masih berjawatan Speaker Dewan undangan negeri. Pendek kata, semua wakil rakyat Kota Belud mempunyai jawatan.

Sebenarnya, harapan kerajaan Bn memberikan jawatan-jawatan kepada wakil-wakil rakyat Kota Belud adalah bertujuan agar supaya seluruh perancangan bagi membina perekonomian kawasan itu demi faedah rakyat boleh berjalan dengan lancar sesuai dengan tempoh masa perancangan.

Kota Belud akan menjadi Jelapang Padi negara menjelang tahun 2018, selain itu dalam masa dua tahun daripada sekarang, kawasan itu akan menjadi Pusat Sokongan industri Minyak dan Gas bagi negeri Sabah.

Projek-projek mega akan menyusul kemudian, terutama projek-projek yang membabitkan Perumahan Rakyat. Datuk Rahman sebagai Menteri Kesejahteraan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telahpun memasukan agenda tersebut sebagai keutamaannya dalam penggal ini.

Apa yang menjadi perhatian para wakil rakyat Kota belud adalah ketimpangan infrastruktur antara kawasan. Di lihat dariapada segi kadar pembangunan infrastrukur, nampaknya, kawasan Tempasuk mendahuli kawasan-kawasan lain. 

Harapan rakyat terutama kawasan Usukan, adalah apabila Datuk Dr Salleh Tun Said menjadi wakil rakyat semula kawasan itu. Di harapkan dalam tempoh lima tahun, infrastruktur terutama jalan-jalan yang masih belum bertar agar dinaik taraf; selain mengadakan program-program ekonomi yang boleh menjadi katalis untuk meningkatkan pendapatan.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels