Datuk Salleh semasa PRU-13 |
MESKIPUN ada kalangan rakyat negeri ini tertanya-tanya mengapa Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Datuk Dr Salleh Tun Said yang menyertai semula pilihanraya selepas sepanggal berehat, tidak dilantik dalam kabinet negeri.
Pertanyaan seumpama itu, memang timbul kerana amalan kebiasaannya, bahawa sesiapa sahaja menjadi Timbalan Pengerusi perhubungan Umno lajimnya akan menyertai kabinet samada di peringkat Pusat mahupun negeri.
Namun kedudukan Datuk Salleh cukup unik, kerana sebelum beliau bertanding dalam pilihanraya, beliau adalah Speaker Dewan undangan negeri. Dalam sejarah politik Sabah, memang bukan diluar kebiasaan jawatan Speaker juga merangkap sebagai ADUN. Keadaan serupa pernah berlaku di zaman kerajaan Berjaya, apabila ADUN Lahad Datu ketika itu- Tan Sri Sunoh Marso, juga berperanaan sebagai Speaker Dewan Undangan negeri.
Pengamat politik melihat tidaknya Datuk Salleh menyertai kabinet merupakan satu strategi politik yang cuba dilakukannya, sudah tentu strategi itu merupakan kesepakatan antara Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah sejak tahun 2003.
Betul juga, jangkaan selepas lebih seminggu kabinet negeri dibentuk dan telahpun mengangkat sumpah; Datuk Salleh mengeluarkan kenyataan bahawa sudah tiba masanya, semua peruntukan darpada Persekutuan untuk negeri ini, perlu disalurkan kepada Kerajaan negeri; kerana menurut beliau, kerajaan negeri lebih arif berkaitan keperluan negeri daripada semua segi. Selain itu katanya, agar tidak berlaku projek bertindih seperti mana yang berlaku pada masa lalu.
Seruan atau gesaan Datuk salleh itu, sebenarnya sangat tepat masanya, kerana pembangunan yang melibatkan contohnya sekolah-sekolah atau lab-lab komputer sekolah, atau klinik-klinik kesihatan, perumahan-perumahan mampu milik dan sebagainya di mana sebelum ini dikendalikan sepenuhnya diperingkat pusat banyak menimbulkan projek-projek terbengkalai; sehingga merugikan pengguna terutama rakyat Sabah.
Datuk Salleh melihat secara keseluruhan keperluan negeri; sehingga apabila beliau membuat gesaan maka tidak menimbulkan prasangka, kerana beliau bukan secara langsung terlibat. Berlainan, jika kabinet negeri atau Ketua menteri misalnya yang melakukan gesaan, sudah tentunya ada yang bersuara di belakang, dan menuduh ada kepentingan.
Pendekatan politik alah baru yang dilakukan Datuk Salleh, merupakan pendekatan yang sesuai dilakukan pada masa ini, agar supaya, amalan sentralisasi yang sedang berjalan secara perlahan-lahan berubah kepada amalan desentralisasi.
Kebaikan kepada perubahan itu, selain para pegawai kerajaan di negeri ini menambah ilmu, mereka juga terdedah kepada pelaksanaan projek-projek besar, serta pemantuan yang lebih efektif, kerana mereka berada dekat dengan lokasi, berbanding jika para pegawai itu berada di sebarang laut.
Pengetahuan lokasi dan keadaan kawasan yang dibangun, sudah tentunya advantage kepada para pegawai tempatan, kerana secara insitu mereka lebih mahir berbanding dengan rakan-rakan sejawat mereka yang beribu pejabat di Putrajaya.
Bukan itu sahaja, perkhidmatan para wakil rakyat negeri ini akan lebih efektif, kerana selain mudah berhubungan dengan para pegawai yang terlibat, juga akan menjimatkan masa, kerana mereka berada pada jarak yang berdekatan.
Seharusnya, pendekatan ini patut disegerakan.
No comments:
Post a Comment