Peribahasa ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’ bermaksud jika kita hendak melakukan sesuatu, kita akan menyempurnakannya dengan sedaya upaya kita dan demikian juga sebaliknya. Maksud peribahasa ini dapat dijelaskan dengan cerita yang dapat menggambarkan keinginan seseorang yang melakukan sesuatu dengan segala keupayaannya dan demikian juga sebaliknya.
Dalam sebuah kampung tinggal sepasang suami isteri iaitu Pak Cik Dasuki dan Mak Cik Timah. Mereka mempunyai dua orang anak lelaki. Anak lelaki yang sulung bernama Mahathir manakala yang bongsu bernama Rafizi. kedua-dua orang anak mereka mempunyai sikap yang amat berbeza. Rafizi merupakan seorang pelajar yang rajin berusaha dan mendengar kata kedua-dua ibu bapanya. Tidak seperti adiknya, Mahathir pula bersikap sebaliknya. Jika disuruh oleh ibu bapanya, ada-ada sahaja alasan yang diberikan oleh Mahathir untuk mengelakkan diri daripada melakukan kerja berkenaan.
Kedua-dua orang anak Pak Cik Dasuki dan Mak Cik Timah akan menduduki peperiksaan penting pada tahun ini. Mahathir akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, manakala adiknya pula akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah. Pak Cik Dasuki selalu menasihati kedua-dua orang anaknya agar gigih berusaha supaya berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.
Setiap petang sekembalinya dari sekolah, selepas makan tengah hari Rafizi akan berehat sebentar sebelum membantu ibu bapanya di warung di hadapan rumah mereka. Mahathir pula hanya sekali sekala membantu ibu bapanya. Sekiranya disuruh, Mahathir akan memberikan alasan bahawa dia penat kerana baru kembali dari sekolah. Ada kalanya, dia akan memberitahu ibu bapanya bahawa dia perlu menyiapkan kerja sekolahnya. Namun hakikatnya, dia hanya ‘melepak’ di rumah atau tidur sepanjang petang.
Setiap malam, selepas makan malam, walaupun agak letih kerana membantu ibu bapanya di warung, Rafizi akan mengulang kaji pelajarannya ataupun menyiapkan kerja sekolahnya. Dia tidak bertangguh untuk menyiapkan kerja rumahnya. Sekiranya tidak faham akan pelajaran yang diulang kaji, Rafizi akan cuba merujuk kepada Mahathir. Namun Mahathir kerap memberikan alasan bahawa dia tidak tahu ataupun tidak ingat lagi akan pelajaran tersebut. Maka terpaksalah Rafizi pergi ke rumah Cikgu Anwar disebelah rumah mereka untuk menyelesaikan masalahnya. Begitulah yang kerap dilakukan oleh Rafizi. Dia berusaha dengan pelbagai cara bagi memastikan hajatnya tercapai.
Di sekolah, Mahathir memiliki satu sikap yang kurang digemari oleh rakan-rakan dan gurunya. Sekiranya gagal memperoleh markah yang baik dalam sesuatu mata pelajaran, dia akan menyalahkan gurunya dengan alasan guru mata pelajaran berkenaan kurang berkesan dalam pengajarannya. Dia tidak akan menyalahkan dirinya sendiri yang kurang mengulang kaji pelajaran di rumah. Hal ini berbeza dengan adiknya Rafizi yang akan mengenal pasti kelemahannya sendiri dalam mengulang kaji pelajaran sekiranya dia memperoleh markah yang rendah dalam sesuatu ujian. dengan demikian, Rafizi sentiasa dapat membaiki pencapaiannya dalam pelajaran dari semasa ke semasa.
Akhirnya dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang diduduki oleh Rafizi, dia berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang. Dia berjaya melanjutkan pelajarannya ke sebuah sekolah berasrama penuh. Mahathir pula memperoleh keputusan yang kurang memuaskan dalam peperiksaannya. Dia juga gagal melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi. Dia terpaksa duduk di kampung membantu ibu bapanya berniaga di warung.
Daripada cerita itu, dapatlah kita membuat penilaian bahawa untuk mencapai keinginan kita, kita perlu berusaha dengan gigih lagi bagi mencapainya bukannya memberikan pelbagai alasan sekiranya kita mengalami kegagalan. begitulah yang dikatakan orang ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’
Nota: nama-nama tiada hubungkait samaada yang hidup atau yang mati.