INI lah masalahnya, apabila seseorang bukan berlatar politik bercakap, seperti mana kenyataan ADUN Paginatan daripada parti UPKO, kononnya kerajaan Parti Warisan Sabah tidak lagi bergantung kepada pemimpin Kuala Lumpur, seperti siaran muka depan Daily Express pada Sabtu yang bertajuk NO MORE KOW-TOW TO KL.
Menurut ADUN itu, bahawa Kerajaan Bn dahulu terpaksa tunduk kepada Kuala Lumpur berkaitan kepentingan Sabah. Apa yang beliau lupa, bahawa kepimpinan kerajaan dahulu yang diterajui parti Umno adalah sebahagian daripada pembuat dasar kerajaan Bn, atas sebab itu, tidak timbul bahawa pemimpin Sabah tunduk kepada Kuala Lumpur.
Abidin lupa, bahawa Presiden Parti Warisan Sabah adalah Naib Presiden Umno, satu kedudukan nombor tiga dalam negara dalam membuat dasar-dasar negara. Bagaimana pemimpin yang terlibat dengan membuat dasar dikatakan tunduk kepada Kuala Lumpur?
Para pemimpin Sabah yang merupakan pemimpin Umno yang terlibat sebagai pembuat dasar termasuklah Tan Sri Musa Aman, Datuk Salleh Tun Said, Datuk Rahman Dahalan. Para pemimpin ini selain Shafie juga mempunyai jawatan-jawatan penting dalam kerajaan. Demikian juga para pemimpin UPKO adalah sebahagian daripada pembuat dasar kerana mengangotai kabinet Persekutuan, kecuali lah mereka ini BABAU.
Semasa kerajaan Bn, 6 menteri kanan daripada Sabah, dan sudah tentunya setiap kementerian mempunyai peruntukan sendiri. Sebagai catitan, menteri KKLW yang mempunyai peruntukan berbilion ringgit disandang pemimpin Sabah, Menteri Komunikasi dan Multimedia daripada Sabah, malah kementerian penting yang disandangkan Datuk Maximus Ongkili dan Datuk Madius Tangau, selain menteri yang menjaga ekonomi disandang oleh pemimpin Sabah. Bukan itu sahaja, menteri yang mencorakkan hubungan luar negara juga disandang oleh pemimpin Sabah.
Kini, Sabah diberikan sebagai menteri MITI? apa relevannya dengan pembangunan dan kemajuan Sabah, kecuali yang berkaitan dengan eksport-import, Menteri undang-undang- apa manfaat yang rakyat Sabah dapat, kecuali lah menteri pelancongan, itupun sangat bergantung kepada kedatangan pelancong, bukan pun dapat menyalurkan peruntukan untuk pembangunan, timbalan menteri dalam negeri, mungkin membantu proses pemberian kewarganegaraan.
Melihat kepada keadaan itu, nampaknya Sabah tidak akan dapat mengulangi saluran peruntukan daripada Persekutuan semasa kerajaan Bn, kerana alasan kerajaan Persekutuan tidak mempunyai wang, sehinggakan terpaksa meminta sumbangan daripada rakyat.
Jika rakyat Sabah berfikiran bahawa mengubah kerajaan ke arah lebih baik, ianya tidak akan berlaku dalam kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir, kerana rekod lama Perdana Menteri itu selama 22 tahun adalah punca Sabah ketinggalan dan jatuh miskin.
ADUN Paginatan itu mungkin tidak membaca fakta, bahawa purata pendapatan Sabah hanya berkisar RM3.5bilion setahun termasuk bayaran royalti minyak RM1bilion, sedangkan keperluan kewangan Sabah memerlukan tambahan sekurang-kurangnya RM10bilion setahun.
Oleh dasar Kerajaan Pakatan Harapan, maka Sabah tidak akan dapat peruntukan sebesar RM10bilion, dan sudah tentunya jika Kerajaan Warisan mahu meneruskan momentum pembangunan, maka terpaksa menebang hutan. Keluasan hutan Sabah yang ditinggalkan Musa adalah seluas 1.87juta hektar, selain wang simpanan negeri lebih RM3.4bilion.
Nampak gayanya, Sabah dan rakyatnya kena bersedia kembali ke era 20 tahun lalu, untuk kembali sebagai negeri termiskin. Tahniah kerana mengubah Sabah.