22 January 2010

Haiwan Terbiar Di Sabah Dapat Perhatian Antarabangsa


KOTA KINABALU, 21 Jan (Bernama) -- Pertubuhan Bantuan Antarabangsa Bagi Perlindungan dan Kebajikan Binatang (IAPWA) berharap untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah bagi menangani masalah haiwan terbair seperti anjing dan kucing yang berkeliaran di tempat awam di negeri itu.

Pengasas bersama IAPWA Nicola Stevens berkata Sabah adalah popular kerana usaha memulihara dan melindungi habitat kehidupan liar dan usaha itu perlu diperluaskan kepada haiwan terbiar.

IAPWA merupakan sebuah badan bukan berkeuntungan dan berpusat di United Kingdom.

"Ramai pelancong dari United Kingdom memuji keindahan negeri Sabah dan ada juga menceritakan bahawa orang Sabah zalim terhadap haiwan kecil ini dan tidak tahu cara menjaganya," katanya kepada Bernama selepas bertemu dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Hajiji Noor di sini pada hari Khamis.

Katanya wujud persepsi buruk mengenai Sabah dalam soal penjagaan haiwan yang mungkin menjejaskan industri pelancongan.

"Kami mahu mengubah persepsi ini kerana ramai pelancong datang kembali ke negeri ini dan mahu mereka membawa pulang kenangan manis mengenai negara anda," katanya.

Stevens, yang diiringi oleh seorang lagi pengasas IAPWA, Lynsey Gill serta presiden Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Kota Kinabalu, Iskandar Mohd Ali, berkata IAPWA akan merangka amalan terbaik penjagaan haiwan terbiar untuk Kota Kinabalu yang kemudian boleh dicontohi oleh majlis perbandaran lain.

"Kami bangga bahawa kerajaan negeri mengakui kebimbangan kami dan sanggup bekerjasama dengan kami dalam mencari penyelesaian dalam menangani masalah ini serta menghulurkan bantuan kewangan," katanya.

Stevens dan Gill berada di sini untuk membentuk satu rangkaian kerja dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan dengan perlindungan haiwan peliharaan.

Sementara itu, Hajiji menyambut baik bantuan IAPWA dan meminta pertubuhan itu memberi taklimat kepada pegawai majlis daerah cara menangani masalah haiwan terbiar dengan lebih perihatin.

Katanya adalah penting bagi pertubuhan antarabangsa memberitahu kelemahan atau kekurangan yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri Sabah agar dapat mengurangkan publisiti negatif mengenai negeri itu di mata dunia.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels