31 January 2015

Kawasan Kota Belud- Datuk Salleh Kena Bertindak

MEMANG benar, bahawa Kota Belud adalah anak sulung Umno, kerana di situlah lahirnya Umno pada 5 September 1991, apabila melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Usukan, parti Umno yang diwakili Tun Mustapha Datu Harun menjadi calon melawan calon PBS-mantan Pegawai Daerah Jap Omar yang meletak jawatan menjelang penamaan calon. Tun Mustapha sepertimana dijangka menang, maka bertapaklah Umno secara rasmi di Sabah.

Umno bersama parti Akar dan LDP menubuhkan Bn Sabah, kemudian diikuti parti-parti seriphan PBS- PDS (kini Upko), PBRS, SAPP, akan tetapi gabungan itu tidak berjaya menang pada PRN 1994. Hanya kerana tindakan melompat parti yang dilakukan oleh Datuk Robin Balang (Kemabong) dan Datuk Lajim Ukin (Klias), maka Bn dapat membentuk kerajaan.

Bermulalah episode penggiliran Ketua Menteri, di mana tidak pernah berlaku di negara ini. Sembilan tahun diperlukan sebelum sistem itu dimansuhkan pada tahun 2004.

Diakui atau tidak, pemansuhan penggiliran Ketua Menteri itu mempengaruhi sokongan kaum KDM dan cina kepada Bn. Pada PRU-13, perasaan kaum KDM dan cina terdedah, apabila kawasan 11 kawasan majoriti KDM dan Cina ditawan pembangkang, berserta dua parlimen, ditambah kepada keadaan biasa satu Dun dan satu Parlimen sepertimana berlaku pada PRU 2004 dan 2008.

Musa sebagai Ketua Menteri bukanlah penyebab kepada keadaan itu, melainkan tindakan para pemimpin parti komponen parti yang bercakap seolah-olah mewakili pembangkang, misalnya isu Pati, isu royalti minyak, isu kalimah Allah dan isu pembakaran bible. Para pemimpin parti kompnen Bn memanjangkan isu pembangkang, seolah-olah mereka adalah lidah kepada pembangkang. Akhirnya strategi mereka itu memakan tuan. Dua Presiden parti komponen Bn kalah pada PRU-13, selain Pengerusi MCA negeri.

Di Kota Belud, semasa PRU-13 lalu, Naib Presiden PBS kalah teruk dikawasan tradisinya Dun Kedamaian, malah diperingkat Parlimen, kalau bukan talian terakhir dengan turunnya Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia berkempen di kawasan majoriti iranun, kemungkinan besar calon Bn kalah.

OKB terlibat dalam pilihanraya itu, walaupun bukan jentera parti, akan tetapi sebagai pengamat dan seseorang ahli parti yang merasa ada tanggungjawab mememangkan calon-calon parti.

Seminggu selepas penamaan calon, OKB telah membuat analisa awal, bahawa hanya dua kawasan selamat, iaitu Dun Usukan dan Tempasuk, manakala Kedamaian akan kalah, manakala Parlimen dalam kedudukan 50-50.

Lima hari sebelum pembuangan undi, ternyata hanya Tempasuk dan Usukan akan dimenangi BN, manakala Kedamaian, hanya sesuatu luarbiasa berlaku, barulah Bn menang, manakala Parlimen, bersyarat, jika pengundi kaum iranun mengundi Bn, maka calon Parlimen akan menang. Dalam keadaan ini, Tan Sri Pandikar turun padang, terbukti juga, kerana sokongan pengundi Iranun, maka calon Parlimen boleh menang. Sebagai satu catitan, semasa PRU 2008, semua pusat mengundi iranun calon Bn kalah diperingkat parlimen.

Adalah suatu rahsia umum di kalangan pengundi iranun, mereka bukan tidak suka Umno atau Bn, akan tetapi calon yang dikemukakan. Mereka terpaksa menelan "anger" mereka semasa PRU-13 itu, atas sebab berkempennya Tan Sri Pandikar. Yakinlah bukan kerana pencacai iranun yang mengelilingi MP Kota Belud yang menyebabkan Iranun mengundi calon Bn, akan tetapi kerana Tan Sri Pandikar. 

Kini, anger kaum iranun tidak boleh dibendung lagi, pendirian mereka sukar ditarik balik lagi, tidak boleh menelan lagi anger mereka itu, walaupun pada PRU-14, Tan Sri Pandikar akan berkempen sekali lagi, jika calon yang sama dicalonkan.

Kemuskilan mereka, sudah memuncak, bahawa calon yang mereka terpaksa undi, kerana semata-mata mememangkannya, ternyata tidak mahu menebus kesilapan masa lalu.

Mulut tempayan boleh ditutup, akan tetapi padang bola boleh tidak boleh ditutup dengan nyiru. Tiada guna menonjolkan berbagai program seperti NBOS Kota Belud, kerana ianya merupakan satu projek yang menguntungkan kontraktor.

OKB pernah menulis berkaitan dengan Bekalan Air Bersih Luar Bandar (BALB), dalam kesimpulan penulis, bahawa pada pertengahan tahun 2013, projek bernilai RM114 juta perutukan KKLW itu akan selesai, maka berakhirnya penantian rakyat sejak merdeka, namun, hingga kini belum selesai-selasai juga.

Perangai lama berulang, keperluan rakyat tidak dipenuhi. Bayangkan sekolah agama yang dibina berdekad lamanya daripada papan, kini semakin usang, meskipun dibaik pulih dengan peruntukan yang sangat sedikit. 

Sekolah adalah tempat untuk melahirkan kebijakan dan pendidikan agar rakyat mampu keluar daripada kepompong kemiskinan dan kedaifan, namun bukan keutamaan, akan tetapi, penumpuhan kepada bidang-bidang yang tidak membawa kebaikan jangka panjang kepada rakyat. Membina perhantian bas di mana tiada bas, merupakan satu tindakan yang tidak mencerminkan pembelaan kepada rakyat.

OKB tiada maksud dendam secara peribadi dengan wakil rakyat parlimen kawasan OKB sendiri, akan tetapi OKB sebagai pengundi mahu mengutarakan suara pengundi di mana mereka tidak berpeluang mengutarakannya untuk pengetahuan para pemimpin negeri atau pusat. 

Memang dikaca TV atau surat-surat khabar bercetak, nampak sangat wakil rakyat yang mewakili Kota Belud, sangat hebat kerana mampu berdepat dengan pembangkang, terutama Lim Kit Siang, Lim Guan Eng atau Anwar Ibrahim, namun apa erti kehebatan itu, jika kawasan sendiri tidak terbela.

Benarlah kata Datuk Musa, berkerjalah melalui tindakan, bukannya melalui suara yang nyaring, seperti tin kosong.

Mungkin Musa, tidak diberi gambaran yang sebenar, apa perasaan pengundi Kota Belud. Kini, kalau diambil sampel daripada 10, 8 pengundi menaruh dendam. Takut-takut dendam itu diterjemahkan melalui undi seperti mana berlaku di kawasan Kedamaian.

Datuk Salleh Tun Said, sebagai Ketua Umno Bahagian merangkap Pengerusi Bn Kota Belud, perlu bertindak awal untuk menjernihkan keadaan, sebelum berlarutan, kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Beliau juga perlu memaklumkan kepimpinan negeri dan kalau boleh pimpinan pusat, berhubung dengan keadaan sebenar. Sama-sama kita tunggu.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels