18 April 2018

TAMPARAN HEBAT BAGI PEMBANGKANG KOTA BELUD

KOTA BELUD, 17 April — Kira-kira 400 anggota parti pembangkang di Pusat Daerah Mengundi Rosok, dekat sini bertindak keluar parti dan menyertai Barisan Nasional (BN) selepas mendakwa hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan parti masing-masing.

Kumpulan itu yang diwakili ketua PDM Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rosok Santaim Gontiung berkata tindakan mereka untuk meninggalkan parti masing-masing disebabkan sudah bosan dengan tindakan pemimpin parti yang hanya datang untuk meraih undi apabila menjelang pilihan raya.

“Kebanyakan yang meninggalkan parti adalah dari PKR dan ada juga dari Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan dari Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat). Kami yang keluar dari parti hari ini akan menyertai parti dalam BN.

“Tiada yang kami dapat selama beberapa penggal menyokong pembangkang…apa yang mereka janjikan sebenarnya tidak ada apa-apa…jadi kita membuat keputusan untuk bersatu padu menyokong BN kerana kami mendapati hanya BN yang mampu mengubah nasib anak bangsa kita,” katanya.

Beliau berkata demikin kepada pemberita dalam satu majlis santai bersama rakyat di PDM Rosok yang dihadiri oleh timbalan ketua bahagian Umno Kota Belud, Datuk Musbah Jamli yang juga pembantu menteri pertanian dan industri makanan Sabah, dekat sini hari ini.

Santaim berkata kebanyakan yang meninggalkan parti pembangkang itu akan menyertai Umno dan ada juga yang menyertai parti komponen BN yang lain.

Sementara itu, Musbah yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tampasuk berkata tindakan kira-kira 400 orang di PDM itu meninggalkan parti masing-masing menunjukkan mereka telah sedar bahawa hanya BN yang mampu membela serta berjuang untuk rakyat dan demi masa depan negara.

“Hari kita adakan program santai di PDM Rosok dan pada masa yang sama ramai d ikalangan anggota parti pembangkang telah menyatakan sokongan padu kepada BN dan meninggalkan parti masing-masing.

“Kita berharap akan lebih ramai lagi yang akan bersama-sama mereka untuk menyokong BN. Walaupun calon yang bertanding dalam pilihan raya ini belum di umumkan namun mereka telah menyatakan sokongan untuk sama-sam berjuang dalam BN. Ini menunjukkan mereka di sini telah memberi kepercayaan kepada BN untuk terus membangunkan negara,” katanya. — Bernama

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels