Melihat senario politik pasca PRU-14, sejauh mana kekuatan mental para wakil rakyat Umno Sabah baik MP dan ADUN?
Pada 11 Mei, 2018, 4 ADUN Umno telah berpaling tadah, iaitu ADUN Balung, Tanjong Batu, Sebatik dan Kemabong, kemudiannya diikuti ADUN Sugut, Pitas dan Sukau.
Pada 18 September, seorang MP pula meninggalkan parti.
Kini ADUN Sabah daripada Umno, hanya berbaki- ADUN: Tempasuk, Usukan, Sulaman, Kawang, Membakut, Klias, Lumadan, Karanaan, Sungai Sibuga, dan Apas. Manakala MP:- Kudat, Beaufort, Sipitang, Beluran, Libaran dan Kinabatangan.
Dari segi jumlah MP secara keseluruhan, daripada 54, kini berbaki 49, 6 di Sabah dan 43 di Semenanjung.
MP Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin yang juga Timbalan Pengerusi Umno Sabah telah menyatakan, hanya Umno parti beliau, demikian juga ADUN Karanaan- Datuk Masidi Manjun yang juga Setiausaha Umno Sabah menyatakan demikian. Semalam, ADUN Membakut yang kini memangku Ketua Bahagian Umno Kimanis bertekad untuk memperkasakan parti dan seterusnya bangkit semula.
Sebelum ini, iaitu pada 13 September, Datuk Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, bertekad dan berjuang bersama parti PBS dan STAR berdepan dengan PRU-15 dan merampas semula kepercayaan rakyat Sabah untuk memerintah negeri.
Sebelum itu, ADUN Sungai Sibuga- Tan Sri Musa Aman, selepas mengangkat sumpah ADUN pada 5 September, juga berjanji terus berjuang untuk kepentingan rakyat Sabah.
Daripada senarai wakil rakyat Sabah (MP atau ADUN), hanya MP Beaufort, Beluran dan Kinabatangan (MP) berpengalaman sebagai pembangkang, manakala ADUN pula, Tempasuk, Sulaman, Kawang, Karananan, Sungai Sibuga biasa dalam pembangkang.
Penulis melihat walaupun terdapatnya para MP dan ADUN kurang pengalaman sebagai pembangkang, namun semangat dan jati diri mereka, mengiakan, bahawa mereka akan tetap bersama Umno.
Bertahan sebagai pemimpin pembangkang dan wakil rakyat pembangkang memang cukup besar dugaanya. Hanya mereka yang benar-benar tangguh dapat bertahan.
Penulis cukup bangga dengan para Ketua Bahagian dan para pemimpin bahagian dan cawangan parti, setakat ini, tidak ternampak gelombang berpaling tadah. Tanda-tanda seumpama ini, menunjukkan bahawa Umno Sabah akan bangkit semula.
Empat lapisan kepimpinan parti, induk, wanita, pemuda dan puteri, nampaknya cukup kukuh, dan terus melangkah ke hadapan, bagi memastikan pencapaian parti akan dipulihkan pada PRU akan datang.