6 July 2025

GRS MAHUKAN KESTABILAN POLITIK & KERAJAAN

ISU kerjasama antara parti, jika ianya mendokong kestabilan politik dan kerajaan.

Kerjasama yang tidak mendatangkan kestabilan dan keharmonian, seperti kerjasama antara BN-GRS, dalam kerajaan GRS-BN, hanya menganggu kelancaran pemerintahan dan pentadbiran.

Apabila pemerintahan dan pentadbiraan terganggu, maka mempengaruhi kelancaran memajukan dan membangun negeri. Selain itu, akan berkesan pada kemasukan pelabur, kerana pelabur mana yang mahu melabur pada kerajaan yang kucar kacir.

Pada asasnya, kerjasama yang harmoni dan serasi terwujud dalam kerajaan GRS-PH Plus, kerana itu kestabilan politik dan kerajaan kukuh daripada Januari 2023 sehingga menjelang berakhirnya penggal DUN ke-16 Sabah. Akan tetapi, wakil rakyat yang menjalin kerjasama, tidak seirama dengan pemimpin mereka di luar kerajaan, sehingga sanggup menolak keserasian dan kerharmonian yang telah dibina, apabila memilih kawan baharu yang belum teruji.

Sebelum beberapa ADUN penyokong kerajaan diserang melalui gerakan projek pembunuhan karakter, GRS, parti tulang belakang kerajaan negeri, telah lebih dahulu menyatakan hasrat meneruskan status quo kerjasama GRS-PH Plus, tidak seperti mana dakwaan Isnaraissah Munirah Majilis, MP Kota Belud, bahawa hasrat GRS bekerjasama dengan PH, kerana kesan projek pembunuhan karakter terkait lesen carigali mineral di Sabah.

Lagipun kerjasama di mata GRS berpandukan pada asas terhutang budi, apabila 7 ADUN PH menjadi penyelamat pada kerajaan negeri, apabila hampir tumbang kesan Langkah Kinabalu digerakan Ketua Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin.

Bung semasa mengerakan langkah tersebut menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1, dalam kerajaan GRS-BN.

Terhutang budi dan keserasian yang dibina, adalah asas, GRS mempertahankan status quo. Tidak timbul isu lain, sepertimana dakwaan Munirah.

Namun pendirian GRS sedikit berubah, apabila PH memuktamadkan kerjasama dengan BN, selain kenyataan Ketua PKR Sabah, yang percaya bulat-bulat akan projek pembunuhan karakter yang digerakan Albert Tie dan dijayakan Malaysiakini.

Setakat ini, GRS belum membuat sebarang keputusan, akan bagaimana kah parti tersebut berhadapan dengan PRN-17.

Apa yang penting, kerajaan yang dibentuk selepas PRN-17 cerminan kestabilan politik dan kerajaan, kerana jika tidak, akan sia-sia pencapaian Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ1.0), selain terganggunya SMJ2.0, bagi tahun 2026-2030.

GRS BOLEH REALISASIKAN HASRAT-ASPIRASI-HARAPAN RAKYAT SABAH

KERAJAAN GRS sudah buktikan hasrat-aspirasi-harapan rakyat berdekad-dekad tidak kunjung tiba, sehinggakan rakyat seperti pungguk rindukan bulan akan tetapi dalam tempoh 5 tahun sekurang-kurangnya sebahagian telah direalisasikan.

21 hak-hak Sabah dalam MA63, hampir setengah abad tiada satupun ditunaikan, malah pada suatu ketika, pemimpin Sabah yang bercakap mengenainya, direhatkan, “incommunicado”, dan apa yang mendukacitakan mereka itu diperlekeh oleh pemimpin Sabah yang merupakan proksi atau kuda tunggangan pemimpin luar.

Apabila kerajaan GRS mengambil alih pada September 2020, kerajaan memperkenalkan Hala Tuju Kemajuan dan Pembangunan Negeri, iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya dan membutirkan apa yang diperlukan rakyat dan negeri.

Antara butiran tersebut adalah berkaitan hasrat-aspirasi-harapan rakyat dalam MA63, dan terbukti dalam 5 tahun 13 hak-hak tersebut dapat direalisasikan.

Apa yang melegakan sedikit, pada era kerajaan Sabah hari ini, adalah peningkatan bayaran interim geran khas Sabah daripada RM26.7juta sejak tahun 1969 sehingga tahun 2020, tetapi kini berjumlah RM600juta.

Geran Khas tersebut, digunakan sepenuhnya untuk membela rakyat, terutama mereka yang kurang bernasib baik kesan kemajuan yang lembab berdekad-dekad.

Geran khas sebahagian digunakan untuk membina Rumah Percuma, Rumah Mesra SMJ, dan untuk tahun ini sebanyak 3,000 unit dibina di 73 DUN, dengan jumlah yang sama banyak, selain untuk bayaran tunai kepada 100,000 penerima yang terkesan peningkatan kos sara hidup dengan kadar RM300 selama 12 bulan untuk tahun 2025.

Kesan pemerintahan kerajaan GRS juga mendapat keyakinan pelabur, apabila untuk suku pertama tahun 2025, RM10.9 bilion nilai pelaburan diluluskan masuk ke Sabah, dengan pecahan RM6.6 bilion (61%) pelaburan langsung asing dan RM4.29 bilion (39%) pelaburan tempatan. Jumlah tersebut menjadikan Sabah menempati kedudukan ketiga pelaburan diluluskan selepas Selangor dan WP Kuala Lumpur.

Kemasukan pelabur akan memberi banyak peluang kepada rakyat Sabah, terutama sektor pekerjaan.

Keyakinan pelabur adalah petanda penerimaan positif pada Kerajaan GRS pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, walaupun pelbagai gerakan pembunuhan karakter terhadap beberapa pemimpin.

Pelabur tidak terkesan dengan dakyah pembangkang mengangkat pembunuhan karakter sebagai modal politik, kerana mereka melihat pada dasar, ketelusan dan integriti yang menerajui kerajaan.

Pembunuhan karakter terpaksa digunakan pemimpin pembangkang, kerana mereka ketandusan modal politik, kerana apabila mereka membangkitkan berkaitan kelembaban kemajuan dan pembangunan negeri, empat jari mengarah ke muka mereka

GRS BOLEH WUJUDKAN KESTABILAN POLITIK SEPERTI SARAWAK

PARTI BN dan PH tidak akan benarkan GRS ikut jejak GPS Sarawak, atas sebab itu, akan bertindak apa sahaja untuk menghalangnya terutama pada PRN-17 Sabah.

Keinginan BN dan PH bertanding keseluruhan 73 kerusi adalah cerminan, bahawa dua parti itu berhasrat menjadi tunggak atau parti dominan di Sabah.

Menjadi parti dominan, bukan baharu bagi BN, kerana sebelum hilang kuasa pada tahun 2018, sudah menjadi parti dominan di Sabah sejak tahun 1994.

PH pula kerana bersandarkan pada Kerajaan Madani Persekutuan yang ditulang belakangi parti tersebut, maka beranggapan, rakyat Sabah akan berbondong-bondong menyokong sepertimana berlaku pada masa lalu, apabila rakyat Sabah menyokong Umno kerana parti tunjang kerajaan Persekutuan dan parti Perdana Menteri.

Tiada siapa yang menjangkakan pendirian rakyat Sabah pada hari ini, apakah seperti tahun 90-an atau telah berubah?.

Jika pada era BN, rakyat boleh menyokong kerana pemberian tangki air berwarna biru berlogokan BN, tetapi mungkin pada PRN-17 ianya tidak relevan, sepertimana berlaku pada PRU-14 tahun 2018, dan pada PRN-16 tahun 2020.

Pola pengundian pada PRU-15, November 2022 juga menunjukkan, kecenderungan pengundi Sabah tidak lagi terkesan dengan tangki biru, walaupun, diperlukan untuk menyimpan air.

Pola pengundian rakyat Sabah lebih kepada HASRAT-ASPIRASI-HARAPAN mereka untuk masa depan negeri, bukan bersandar lagi pada pihak luar. 

Rumah Kita, Kita Jaga, Sabah Kita Jaga, menjadi pilihan mereka. Sentimen ini lah yang terlepas pandang oleh BN dan PH.

Sentimen Rumah Kita, Kita Jaga, Sabah Kita Jaga, yang menjadi perjuangan GRS, cuba dikotorkan atau dilemahkan menerusi pelbagai cara, antara lain yang masih hangat adalah pembunuhan karakter para pemimpin parti itu.

Gerakan pembunuhan karakter dijadikan modal politik, kerana pemerintahan Ketua Menteri tidak tergoyahkan, kerana ketelusan dan  berintegritinya kepimpinan negeri secara keseluruhan.

Dalam tempoh 5 tahun, tiada sebarang salah laku yang dilakukan oleh pemimpin negeri yang menyebabkan kerugian pada negeri dan rakyat.

Selama 5 tahun, pemerintahan negeri menunjukkan kemampuan, kebolehan yang belum terfikirkan sebelum ini oleh mana-mana pihak.

Pengukuhan kewangan menerusi kutipan hasil negeri yang terus meningkat, perbelanjaaan berhemah yang membolehkan meningkatkan rizab kewangan negeri hampir RM9bilion, satu rekod yang belum pernah difikirkan akan tercapai dalam tempoh yang singkat.

Walaupun rekod pencapaian Kerajaan Negeri yang diterajui parti tempatan sedemikian baiknya, akan tetapi, demi menguasai Sabah, pemimpin BN dan PH menerusi proksi mereka di Sabah, ingin menguasai kerajaan negeri.

Kepada rakyat Sabah yang sayangkan negeri, jangan sesekali terperancing, kerana mendengar guruh di langit lalu menumpahkan air di tempayan. 

Rakyat Sabah perlu menyokong GRS kerana mempunyai perjuangan yang jelas, Rumah Kita, Kita Jaga, menerusi prinsip SabahFirst, SabahForward, SabahProsper dan SabahUnited Demi Sayangi Sabah.

6 September 2024

APA KAH KERUSI-KERUSI DIMENANGI DENGAN UNDI POPULAR KEKAL?

KERUSI yang dimenangi dengan undi popular dikatakan sebagai wilayah sesebuah parti.

Pada PRN-16 Sabah, 41/73 kerusi dimenangi dengan undi popular, iaitu GRS- 12; Warisan 11; Umno 9 dan PH 9.

GRS dengan 27 kerusi (termasuk 3 bebas), peratus kerusi yang dimenangi dengan undi popular 44.44 peratus berbanding dimenangi menerusi pecah undi (FPTP) 55.56 peratus, manakala Warisan 47.83 peratus dimenangi dengan undi popular berbanding 52.17 peratus FPTP. Parti Umno pula 64.29 peratus kerusi dimenangi dengan undi popular berbanding 35.71 peratus menerusi FPTP.

Akan tetapi apabila komposisi pengundi berubah dengan penyertaan undi kali pertama dan undi-18, kawasan di masa lalu dianggap wilayah sesebuah parti berubah keadaan seperti mana dibuktikan menerusi PRU-15. Menerusi perubahan tersebut, keputusan PRN-16 tidak lagi semestinya menjadi pengukur kedudukan sesebuah parti pada kawasan-kawasan tertentu.

Jika pola pengundian atau kecenderungan pengundian PRU-15 kekal, maka PRN-17 Sabah akan menghasilkan komposisi keputusan yang berbeza dengan PRN-16. Selain itu, kesan penjajaran semula parti-parti juga memberi kesan yang amat signifikan pada corak pengundian.

Bepandukan data lapangan pada hari ini, kecenderungan rakyat Sabah adalah pada kerajaan GRS-PH Plus. Ertinya, jika kolaborasi diteruskan pada PRN-17, komposisi kerusi-kerusi yang disandang parti-parti itu bukan sahaja dapat dikekalkan akan tetapi juga dapat merampas beberapa kerusi yang disandang parti-parti lain.

Di Sabah, isu parti-parti dalam PH terutama berkaitan Parti DAP berbeza anggapan berbanding di Semenanjung, ertinya isu penolakan terhadap parti-parti yang berkolaborasi dengan DAP tidak berbangkit. Atas sebab itu, apabila GRS mendapat sokongan PH pada 10 Januari 2023 untuk mengekalkan kerajaan negeri, bukan sahaja disambut sebahagian besar pemimpin Sabah akan tetapi juga rakyat.

Rakyat secara umumnya melihat kerjasama atau kolaborasi antara GRS-PH, mengembalikan hubungan antara 3 kelompok terbesar di Sabah, iaitu bumiputera islam, bumiputera bukan islam dan kaum cina. Dengan kembalinya hubungan 3 kelompok terbesar itu, maka kerharmonian antara kaum dan kestabilan politik terwujud.

Apabila kestabilan politik terwujud, maka memperlancar pemerintahan negeri, memperlancar memajukan dan membangun negeri.

Kepada rakyat Sabah pilih lah dan sokong lah parti-parti yang membawa keharmonian dan kestabilan, berbanding parti-parti lain. Fikir-Fikirkan.

4 September 2024

KESAN SWING VOTES DAN UNDI POPULAR PADA PILIHAN RAYA SABAH

KERUSI yang dimenangi kerana perpecahan undi (First Past The post) disertai dengan swing votes yang tinggi, adalah kerusi-kerusi kritikal, ertinya kerusi-kerusi terbuka dan boleh dimenangi mana-mana parti.

Berpandukan keputusan PRN-16, daripada 73 kerusi yang dipertandingkan 30/73 dimenangi menerusi First Past The Post (FPTP) manakala 40/73 dimenangi dengan undi popular.

Kerusi-kerusi yang termasuk dalam kerusi-kerusi kritikal kebanyakan disandangkan GRS atau parti-parti komponen gabungan tersebut, kecuali beberapa kerusi antaranya Tambunan, Karanaan, Kawang, Bingkor, Sulaman, Membakut, Klias, Tamparuli, Apas dan Nabawan. Untuk kerusi yang dimenangi menerusi parti lawan, akan tetapi pro GRS antaranya Sugut, Limbahau dan Tanjung Keramat.

Kerusi-kerusi yang disandangkan GRS/parti komponen yang sangat kritikal antaranya Paginatan, Pintasan, Kemabong, Kuamut, Liawan, Tulid, Kundasang, Tempasuk, Labuk, dan Sook.

Pun demikian, keputusan PRN-16 tidak lagi tepat dijadikan sebagai pengukur kerana adanya perubahan komposisi pengundi dengan pengelibatan undi kali pertama dan undi-18.

Perubahan komposisi pengundi terlihat kesanya pada PRU-15, apabila kawasan-kawasan di masa lalu boleh dianggap wilayah parti-parti tertentu, akan tetapi pada PRU-15 keadaan telah berubah.

Lagipun, keputusan lalu-lalu tidak selalunya sama dengan keputusan pada pilihan raya berikutnya, kesan perubahan politik, kerana adanya penjajaran baharu parti-parti politik.

Sebelum 6 Januari 2023, GRS masih bersama BN, akan tetapi selepas itu GRS bersama PH dan beberapa ADUN Umno (yang dipanggil ADUN Plus).

Jika pada PRN-16 dan PRU-15, GRS masih bersama BN, berkemungkinan besar pada PRN-17 pula, GRS bersama PH.

Kolaborasi GRS-PH lebih mudah, kerana masing-masing hanya perlu mempertahankan status quo. Jumlah kerusi yang disandang jika berjaya dipertahankan cukup untuk membentuk kerajaan.

Jika kerajaan Sabah hari ini mempertahankan kolaborasi parti-parti, maka lebih mudah bagi rakyat memilih, atas sebab hubungan antara parti-parti “straight forward”, apa tah lagi adanya cadangan daripada PH Sabah walaupun belum dimuktamadkan, bahawa calon-calon parti itu ingin menggunakan logo GRS. Apabila cadangan itu dipersetujui, maka akan berlaku, GRS bertanding 73/73.

Cadangan GRS bertanding 73/73, boleh mempengaruhi peratusan “swing voters” dan dilihat lebih cenderung pada GRS (kesan kerjasama dengan PH) kesinambungan pola pengundian pada PRU-15.

Cadangan sebelum ini daripada beberapa pemimpin GRS untuk bertanding 73/73, ada isyarat di sebaliknya, apabila diapungkan sendiri oleh PH akan bertanding atas logo GRS.

2 September 2024

KERJASAMA GRS-PH PLUS DITERUSKAN


APAPUN status RUMAH KITA, KITA JAGA, kerjasama di peringkat negeri dengan parti-parti Persekutuan perlu kekal. Pendirian demikian membezakan kedudukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS).

Kerajaan negeri hari ini asalnya kerajaan GRS-BN, akan tetapi GRS terpaksa melakukan penjajaran baharu ekoran “Langkah Kinabalu”, dan kerajaan hari ini dikenali kerajaan GRS-PH Plus.

Selepas lebih setahun kolaborasi, ternyata keserasian dan kerjasama cukup baik. Keserasian dan kerjasama yang cukup baik perlu diteruskan.

Selain itu penerimaan rakyat secara umum juga cukup baik pada kolaborasi kerajaan hari ini, dan kerana itu, apabila kolaborasi diteruskan pada PRN-17, diyakni rakyat akan terus memberi mandat.

Kolaborasi GRS-PH “straight to the point” kerana masing-masing parti mempertahankan kerusi masing-masing, dan sekiranya antara parti berhasrat menambah kerusi untuk ditandingi, maka kerusi-kerusi tersebut adalah kerusi-kerusi yang disandang parti lain.

Apa yang menjadi kemusykilan adalah kedudukan wakil rakyat Umno yang termasuk dalam “plus” apa kah dibenarkan oleh parti mereka bertanding semula untuk mempertahankan kerusi masing-masing.

Jika Umno tidak mencalonkan mereka semula, maka tiada pilihan, jika mereka ingin kekal dengan kolaborasi GRS-PH Plus, maka terpaksa bertanding atas logo GRS dan terpaksa melawan calon parti asal mereka.

Umno bertekad menjadi parti dominan di Sabah, ertinya parti itu akan meletak calon seramai mungkin terutama di kawasan-kawasan yang disandang Gagasan Rakyat atau GRS.

Dua parti iaitu Umno dan Warisan bersungguh-sungguh sangat merampas kerusi-kerusi yang disandang Gagasan Rakyat, terutama kerusi yang dimenangi dua parti itu pada PRN-16.

Hasrat tinggi Warisan dan Umno merampas semula kerusi yang dimenangi pada PRN-16, adalah penghalang utama dua parti itu bekerjasama dengan GRS.

Jika kolaborasi GRS-PH diteruskan, maka PH dalam dilema, bagaimana dengan Umno dan Warisan? Sedangkan dua parti itu tiada keinginan kerjasama dengan GRS.

Kolaborasi atau kerjasama menghalang pertembungan antara parti di kerusi-kerusi yang ditandingi. Kolaborasi GRS-PH, ertinya dua parti tidak bertembung, pada masa sama jika PH berkolaborasi juga dengan Umno dan Warisan, PH tidak dapat menghalang samada GRS atau Umno atau Warisan untuk tidak bertembung. Jika PH berkolaborasi dengan semua parti, maka menjadi parti yang cukup selesa mempertahankan kerusi-kerusi yang disandang. Apa kah senario ini berlaku? jika berlaku, maka tiada erti kolaborasi atau kerjasama, maka sebaiknya, diadakan “free contest” selepas PRN adakan perundingan semula.

1 September 2024

PEMIMPIN BERPECAH-APA KESUDAHANNYA?

PEMIMPIN berpecah cukup ketara di Sabah. Perpecahan kerana niat untuk berkuasa. Hasrat berkuasa hanya melalui parti.

Apabila Umno masuk Sabah pada tahun 1990 (secara rasmi 1991), ramai pemimpin melihat parti itu mempercepat hasrat untuk mendapat kuasa. Atas pertimbangan itu (mungkin) ramai pemimpin terutama bumiputera islam menyertai parti itu.

Pada keadaan yang sama juga ramai pemimpin “terpaksa” menyertai atas sebab keputusan pucuk pimpinan, apabila Parti Usno dibubar dan semua pemimpin dan ahli secara en-blok menyertai Umno, kecuali ADUN, kerana tertakluk Undang-Undang Anti Lompat.

Apabila pemimpin Umno berpecah ekoran penubuhan Parti Warisan, maka lemah lah Umno, kesannya hilang kuasa selepas PRU-14 apabila tidak cukup kerusi membentuk kerajaan, pun demikian dapat juga membentuk kerajaan walaupun hanya bertahan 24 jam.

Semasa PRN-16 ada tindakan mempersatukan sebahagian pemimpin menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetapi hanya bertahan sehingga 5 januari 2023, kerana berpecah semula pada 6 Januari 2023.

Perpecahan semakin melebar, apabila pemimpin Parti Warisan, Umno, Gagasan Rakyat (GRS) memperkukuh parti masing-masing.

Walaupun Gagasan Rakyat dan GRS memperkukuh parti, akan tetapi Presiden yang juga Pengerusi GRS dan Ketua Menteri mencuba mengajak para pemimpin daripada Warisan dan Umno untuk bekerjasama, semata-mata untuk memajukan dan membangun negeri, walaupun tidak secara langsung tidak dinyatakan, akan tetapi secara berkias, “jangan gaduh-gaduh”, “GRS sentiasa terbuka”.

Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor meyakinkan rakyat Sabah, bahawa menerusi kesatuan semua rakyat dengan menyokong parti menerajui kerajaan, adalah satu kaedah supaya para pemimpin ikut sama, agar tiada lagi perpecahan.

Para pemimpin yang memilih perpecahan, cara menanganinya untuk tidak menyokong parti yang dipimpin.

Pemimpin tidak akan melepaskan ego selagi mendapat sokongan.

Pada PRN-16 beberapa parti bergerak solo. Apabila mendapati, rakyat tidak menyokong, maka bergabung dengan parti-parti yang mendapat sokongan rakyat.

Apabila parti-parti bergabung, maka pemimpin juga bergabung, maka jurang perpecahan semakin menyempit.

Sarawak kukuh, kerana para pemimpin utama tidak berpecah, walaupun ada pemimpin yang memilih untuk berpecah akan tetapi akhirnya berkesudahan bergabung dengan parti-parti yang mendapat sokongan rakyat.

Pada PRN-17, terletak ditangan rakyat Sabah mencontohi Sarawak, kerana menerusi kuasa rakyat lah pemimpin yang “degil” dan “suka sangat” dengan perpecahan akan ditentukan rakyat menerusi peti undi.

Di Sabah hari ini, GRS mempunyai misi perjuangan yang amat jelas, iaitu SABAHFIRAST, SABAHFORWARD, SABAHPROSPER DAN SABAHUNITED DEMI SAYANGI SABAH. Rakyat Sabah perlu menyokong kerana pendekatan yang digunakan RUMAH KITA, KITA JAGA.

Apabila majoriti rakyat menyokong, dengan sendirinya, para pemimpin yang ingin sangat berpecah akan sadar sendiri, ada lah tidak berbaloi untuk menentang arus keinginan rakyat.

Apabila para pemimpin bersatu padu, kekuatan fikiran dan tindakan semakin kukuh, dengan demikian, maka memajukan dan membangun negeri berjalan lancar, kesannya rakyat lah menikmatinya, dan seterusnya wujudlah KEMAKMURAN DAN KESEJAHTERAAN. Fikir-Fikirkan.

30 August 2024

PRN-17 SABAH: GRS TERBUKA KERJASAMA DENGAN MANA-MANA PARTI


KERJASAMA antara parti semasa PRN-17 Sabah bukan isu bagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kerana parti itu terbuka dengan sebarang kerjasama.

Matlamat GRS hanya satu-SABAHFIRST DEMI SAYANGI SABAH. Ertinya mana-mana parti yang bermatlamat sama, maka tiada halangan untuk bekerjasama.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berpendapat semasa PRN-17 tersebut kena diambilkira parti-parti yang menerajui Kerajaan Negeri hari ini, iaitu GRS, PH dan Umno ( bukan kumpulan Datuk Bung Moktar Radin). Makna kata, pada PRN itu nanti, kerjasama berpandukan pada kedudukan kerajaan hari ini.

Antara GRS dan PH kerjasama agak mudah kerana berpandukan pada status quo, iaitu kerusi-kerusi yang disandang masing-masing parti. Akan tetapi kerjasama antara GRS-Umno agar sukar, memandangkan tiada jaminan di pihak Umno untuk mencalonkan semula mereka yang bersama kerajaan hari ini, atas sebab ada yang digantung keahlian, selain itu tiada jaminan Umno tidak meletakan calon dikawasan yang ditandingi GRS, sesuai dengan pendirian parti itu yang ingin menjadi parti dominan.

Kerjasama GRS-Parti Warisan sukar berlaku, kerana pendirian pemimpin Parti Warisan yang juga berkeinginan menjadi parti dominan dan mahu menggantikan GRS sebagai tulang belakang parti kerajaan.

Berpandukan pada pendirian Umno dan Parti Warisan, walaupun GRS bersifat terbuka berdepan dengan PRN tersebut, akan tetapi kerjasama sukar berlaku, kecuali, adanya kompromi di saat-saat akhir, iaitu antara pemimpin utama saling mengalah, iaitu semacam kaedah “penggiliran” Ketua Menteri sepertimana berlaku sebelum ini. Kebarangkalian tersebut boleh saja berlaku, jika semua pemimpin utama menerima SABAHFIRST DEMI SAYANGI SABAH.

Jika kompromi di saat akhir gagal dicapai, pilihan hanya satu, iaitu bertanding secara terbuka dan selepas PRN mana-mana parti yang ada kerusi berbincang untuk kerjasama membentuk kerajaan.

Jika berpandukan pada kenyataan Ketua Menteri Sabah, yang kerap mengulang-ulang “jangan gaduh-gaduh” yang paling mustahak semua pihak mesti besatu hati memajukan dan membangun negeri. Menerusi pandangan tersebut, Ketua Menteri mengajak semua pimpinan untuk tidak saling berbalah termasuk berebut-rebut kerusi, atas sebab agihan kerusi boleh dibuat untuk menjamin kestabilan dan mengwujudkan kekuatan politik Sabah dalam arena politik nasional.

Pun demikian, tidak mudah bagi Umno dan Warisan untuk diajak berkompromi terutama berkaitan agihan kerusi, jika berpandukan pada kedudukan penyandang kerusi, kerana dua parti itu berpandangan, dipihak yang dirugikan.

Di pihak GRS pula jika hanya untuk tujuan membentuk kerajaan, kerjasama dengan PH dan mencalonkan semula wakil rakyat Umno yang bersama kerajaan hari ini menggunakan logo GRS, sudah memadai, kerana kolaborasi tiga serangkai tersebut boleh menang 2/3 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.

Apa yang boleh disimpulkan pada PRN-17 Sabah, Umno dan Warisan kena membuat pendirian, bekerjasama dengan parti-parti yang menerajui kerajaan hari ini, adalah jaminan bahawa dua parti itu bersama-sama dengan kerajaan atau kekal sebagai pembangkang di DUN Sabah.

29 August 2024

PRN-17 SABAH: BERTANDING UNTUK MENANG

PENDEKATAN orang politik, bertanding dalam pilihan raya adalah untuk meraikan pesta demokrasi. Tidak semestinya bertanding itu boleh menang.

Apabila ada pemimpin politik berkata, parti yang turut dipimpin perlu bertanding “solo” dalam ertikata meletakan calon pada setiap kerusi, pada hakikatnya hanya hujah politik, bukan berpandu pada kerusi yang dimenangi, akan tetapi meraikan pesta demokrasi. Meraikan pesta demokrasi menang atau kalah adalah adat bertanding.

Dalam bertanding, pemimpin politik juga mengambilkira sokongan, kekuatan kewangan, agar tidak membazir, maka perlu hanya bertanding pada kawasan yang boleh dimenangi.

Parti yang mengambilkira sokongan, kekuatan kewangan apabila meletakan calon pada sesuatu kawasan mempunyai data atau profile pengundi di kawasan-kawasan yang ditandingi.

Berpandukan pada senario politik Sabah hari ini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai kekuatan sokongan sekurang-kurangnya 40/73 kerusi, dan jika diimbangi dengan kekuatan kewangan yang membolehkan jentera bergerak secara optimum, maka kerusi-kerusi itu boleh dikira dalam genggaman.

Berasaskan “zoning” Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bahawa 73 kawasan DUN dibahagikan kepada 12 zon, GRS berpotensi menang 100% di Zon 6, 7 dan 8.

Tiga zon tersebut mewakili 21 kerusi iaitu Dun Klias, Kuala Penyu, Lumadan, Sindumin, Kundasang, Karanaan, Paginatan, Tambunan, Bingkor, Liawan, Melalap, Kemabong, Tulid, Sook dan Nabawan.

Pada kedudukan hari ini, hanya Dun Melalap tidak disandang GRS. Makna kata pada PRN-17, 20 kerusi dipertahankan oleh gabungan tersebut, manakala Dun Melalap akan cuba dimenangi untuk menjadikan kemenangan 100 peratus.

Kesimpulan yang dibuat bukan berpandukan pada ramalan akan tetapi berpandukan pada fakta lapangan, kerana telah diprofilekan pengundi berasaskan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang mana yang berstatus PUTIH lebih ramai berbanding berstatus KELABU dan HITAM.

Oleh kerana tiga zon tersebut mewakli 21 kerusi dan jika dimenangi kesemuanya maka hanya memerlukan 16 kerusi daripada 9 Zon lain untuk melengkapi 37/73 jumlah minimum yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan.

Selain isu-isu dan faktor-faktor yang memberi kesan pada kemenangan GRS, di tiga zon tersebut, faktor penguat adalah terdapat pemimpin otai di tiga zon tersebut antaranya Datuk Seri Masidi Manjun, Datuk Seri Dr Jeffery G Kitingan, Datuk Rubin Balang, Datuk Abdul Ghani Yassin dan lain-lain.

PRN-17 bakal diadakan pada suku ke-4 tahun 2025, dan tidak mustahil diadakan pada suku pertama seperti mana PRU-14.

Mengadakan PRN pada suku pertama, dilihat lebih menarik memandangkan rakyat Sabah sedang berpesta Kaamatan, yang sebagai dorongan ramai pengundi akan keluar mengundi, kerana mereka dalam “mode” ceria.

Penulis yakin kepimpinan GRS akan meletakan calon pada kawasan yang benar-benar diyakni untuk dimenangi, tidak terperangkap dengan keadaan menang sorak kampung tergadai. Fikir-Fikirkan.

RUNGUTAN YANG TIDAK BERKESUDAHAN

PENULIS gunakan perkataan “rungutan” kerana isu yang menjadi subjek boleh diselesaikan.

Walaupun subjek yang menjadi isu boleh diselesaikan akan tetapi tiada siapa yang berani menyelesaikannya.

Mereka yang mempunyai otoritas menyelesaikan rungutan tidak sanggup bertindak kerana takut diberi gelaran adil.

Kerana takut dengan gelaran adil, maka membiarkan keadaan berterusan, agar rungutan berkekalan tanpa berpenghujung.

Mengapa rungutan dibiarkan tanpa berpenghujung, ianya perlu jawapan.

Kemiskinan merujuk pada ketidak mampuan memenuhi keperluan kehidupan. Kerana pengertian kemiskinan relatif, maka berlaku satu keluarga berjawatan awam, bapa dan ibu serta anak-anak, suami-isteri, sebab itu pemandangan satu rumah, boleh ada 4-5 kereta persendirian, sehingga terpaksa letak kereta di tepi jalan.

Tiada isu mereka yang dilantik itu kerana mempunyai kelayakan yang diperlukan, akan tetapi di luar sana ramai juga yang berkelayakan malah daripada keluarga yang tiada seorangpun mempunyai jawatan bergaji di sektor awam.

Keadaan ini lah yang menjadi rungutan sepanjang zaman, dan tidak akan pernah terselesaikan, walaupun kerajaan atau pemimpin kerajaan saling berganti.

Contoh paling dekat, satu agensi kerajaan negeri, bapa Ceo, anak pegawai kanan. Seakan-akan syarikat kerajaan itu milik persendirian.

Demikian juga jawatan-jawatan lain termasuk jawatan politik, berlaku kita-kita saja, satu gambaran, tiada orang lain boleh makan nasi ayam melainkan “kita-kita saja”.

Rungutan hanya tinggal rungutan bagi mereka yang menjadi penyokong. Rugutan hanya satu isyarat agar kerajaan/pemimpin yang disokong berani bertindak adil, seperti mana dilakukan pada mereka yang terkategori miskin tegar, sekurang-kurang seorang daripada KIR dipekerjakan. Jika kaedah ini dapat digunakan, walaupun rugutan tetap ada akan tetapi mereda dan berkurang.

Akan terwujud kah keadilan? sebagai jawapan pada rungutan!!! Jawapannya boleh, bergantung pada iltizam semua pihak terutama mereka yang diberi tanggungjawab mengurus perjawatanan, iaitu Suruhanjaya Perkdimatan Awam Negeri (SPAN).

Di Sabah jika ibu dan bapa tiada jawatan awam, walaupun anak-anak mempunyai kelayakan setinggi mana pun, sukar mendapat peluang berkhidmat dengan kerajaan.

Pengalaman penulis sebagai KIR, tiada seorangpun anak penulis mendapat peluang, walau pun antara anak-anak penulis berkelulusan jurutera dan bidang kewangan, keluaran universiti luar negara (Jepun, Australia, UK) dan dalam negara (USM, UiTM). Jawapan pada diri sendiri, tiada rezeki berkhidmat dalam sektor awam.

Harapan besar penulis, kerajaan hari ini, dapat mengeluarkan satu bentuk SOP, menggunapakai pendekatan penyelesaian KIR yang termasuk dalam insiden miskin tegar, kalau tidak pun menyelesaikan rugutan secara keseluruhan akan tetapi meredakannya. Fikir-Fikirkan.

30 September 2021

SAMBUT HARI MALAYSIA 2021 CARA UPPM NEGERI SABAH


Unit Pimpinan Pembangunan Masyarakat (UPPM) Jabatan Ketua Menteri atas inisiatif Pengarah unit tersebut Datuk Matbali Musah menganjurkan sambuatan Hari Malaysia Tahun 2021 dengan pengisian pertandingan Deklamasi Sajak Hari Malaysia.

Pada Khamis 30 September, 2021 di Tingkat 5, Menara Kinabalu, diadakan Majlis penyampaian hadiah deklamasi Sajak yang disampaikan sendiri oleh Pengarah UPPM Negeri Sabah.

Pemenang bagi tahun 2021 adalah adik Mina Rubama dengan Tajuk Sajak JANGAN BERDUKA MALAYSIAKU karya KEMALA.

Acara seumpama ini, boleh menjadi katalis kepada penghayatan hari Malaysia menerusi puisi.

Dalam acara yang sama Matbali Musah juga mendeklamasi sebuah sajak, yang membawa pengertian, mengapa dalam kemerdekaan, masih berlakunya jurang, jurang sosial, jurang pembangunan, malah jurang kehidupan antara rakyat yang masih sangat lebar.

23 September 2021

PANDEMIK COVID-19: TINDAKAN KERAJAAN SABAH


Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung 21-23 September, 2021, Ketua Menteri- DSP Hajiji Haji Noor telah menjawab soalan daripada ADUN Elopura, YB Calvin Chong Ket Kiun mengenai langkah dan tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam usaha memulihkan ekonomi dan sosial di negeri Sabah berikutan penularan COVID-19.

Kerajaan Negeri sedar tentang perlunya keseimbangan antara kesihatan rakyat dan keperluan ekonomi. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai strategi jangka pendek dan panjang untuk memulihkan ekonomi dan sosial negeri akibat pandemik COVID-19 menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya Pelan Pembangunan SMJ 1.0.

Pemulihan ekonomi akan difokuskan kepada pertumbuhan sektor utama iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan meliputi 145 inisiatif dengan meningkatkan kemudahan infrastruktur dan sumber daya sedia ada, menggalakkan pelaburan, menyediakan peluang perniagaan dan peluang pekerjaan kepada penduduk Sabah.

Sektor pertanian negeri telah menampakkan perkembangan positif dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Negeri dengan sebuah syarikat untuk membangunkan Projek Penanaman Kelapa Berhasil Tinggi dengan nilai pelaburan RM420 juta dan Kilang Pemprosesan Kelapa di Pitas dengan nilai pelaburan RM200 juta. Inisiatif ini dijangka akan mewujudkan 3,250 peluang pekerjaan.

Dalam Sektor Perindustrian, galakan terus diberikan kepada industri berorientasikan eksport dan penggantian import sebagai langkah untuk memulihkan dan melonjakkan sektor ini termasuk menyediakan insentif pelaburan khas dan memastikan kos pelaburan lebih kompetitif bagi menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi.

Kerajaan Negeri telah menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat pelabur pada 26 Julai 2021 dengan nilai pelaburan sebanyak RM4.2 billion bagi membangunkan industri pembuatan kerajang tembaga yang akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan 400 ekar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan dijangka akan mewujudkan sejumlah 400 peluang pekerjaan.

Kerajaan Negeri juga mengutamakan pembangunan sektor pelancongan sebagai salah satu langkah memulihkan sektor ekonomi negeri. Sektor pelancongan mempunyai impak langsung terhadap semua sektor dalam rantaian ekonomi termasuk kerajaan melalui kutipan cukai. Pembangunan Projek Lok Kawi Resort City dengan nilai pelaburan berjumlah RM7 billion akan mewujudkan lebih kurang 5,000 peluang pekerjaan apabila pembangunan projek ini siap sepenuhnya.

Selain itu, Kerajaan Negeri akan melaksanakan promosi pelancongan yang lebih agresif, menyelenggara produk dan destinasi pelancongan sedia ada, memperkasa infrastruktur dan kemudahan asas pelancongan serta meneroka tarikan dan peluang baharu khususnya kepada pelancong domestik memandangkan ketika ini penerbangan antarabangsa agak terhad.

Berikutan pemindahan ibu negara Republik Indonesia ke Kalimantan, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif Pembangunan Bandar Sempadan Serudong-Simanggaris dengan mengambil kira potensi ekonomi yang ada. Ini juga akan membantu dalam usaha pemulihan ekonomi dan sosial di negeri ini.

Bagi penjanaan ekonomi rakyat dalam jangka masa pendek, setakat ini Kerajaan Negeri telah membelanjakan pakej bantuan berjumlah RM1.25 bilion sejak pandemik COVID-19 melanda termasuk RM324 juta pada tahun 2021. Pakej bantuan khas ini dapat membantu meningkatkan kuasa beli rakyat dan juga meringankan kesukaran yang dihadapi.

Dalam aspek pemulihan kesihatan, RM256.9 juta telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk pengurusan COVID-19. Manakala Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyalurkan sebanyak RM102 juta kepada Kerajaan Negeri.

Keberkesanan langkah dan usaha ini bukan sahaja hasil daripada Kerajaan Negeri semata-mata sebaliknya melibatkan usaha sama Kerajaan Persekutuan yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang turut melibatkan negeri Sabah.

Antaranya melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Strategi Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Pada tahun ini sahaja, seramai 283,745 pekerja telah mendapat manfaat daripada Program Subsidi Upah yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM975 juta. Bantuan tunai langsung seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) turut memberi manfaat kepada 782,000 penerima rakyat Sabah yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM628 juta manakala Bantuan Khas COVID-19 (BKC) sedang dalam proses pengagihan ketika ini.

Pencapaian Imuniti Kelompok akan menyaksikan lebih banyak sektor ekonomi, pembukaan premis-premis perniagaan dan aktiviti sosial di Sabah. Bagi mencapai Imuniti Kelompok (Herd Immunity) sebelum akhir Oktober 2021, Kerajaan Negeri telah membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV), mempergiatkan pelaksanaan program bergerak CITF Daerah ke kawasan luar bandar, pemberian vaksin secara walk-in serta kerjasama sektor awam-swasta.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels