4 March 2013

Tun Dr Mahathir Minta Kerajaan Ambil Tindakan Keras Terhadap Penceroboh

BAGAN SERAI: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan keras terhadap pihak penceroboh selepas insiden pertumpahan darah di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Beliau berkata walaupun kerajaan berhati-hati dalam menangani isu itu pada peringkat awal dan berharap ia dapat diselesaikan tanpa pertumpahan darah, malangnya ia tidak dihargai oleh mereka sehingga sanggup membunuh anggota pasukan keselamatan negara.

"Sekarang ini saya fikir tidak ada jalan lain melainkan kerajaan melancarkan serangan balas supaya dapat dihapuskan sama sekali pasukan Sulu ini walaupun dengan (tindakan) ini ramai mereka terbunuh, tapi ini tidak dapat dielakkan kerana mereka yang menyerang Sabah, bukan kita yang menyerang mereka," katanya kepada pemberita selepas memberi ucapan pada Himpunan Rakyat Perak anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sini, Ahad.

Katanya tindakan keras yang diambil mungkin akan menyebabkan ramai daripada penceroboh itu mati serta anggota keselamatan negara akan menjadi mangsa.

Pada pendapatnya, insiden yang berlaku itu tidak akan tamat begitu sahaja kerana pihak penceroboh boleh melakukan serangan-serangan hendap pada masa depan.

Kerajaan diharap mengadakan persediaan awal menghadapi serangan berturut-turut pada masa akan datang, terutama keperluan terhadap pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mengawal dan menyekat bot-bot yang datang dari kepulauan Tawi-Tawi yang mungkin membawa pasukan penceroboh atau menyeludup senjata, katanya.

"Perkara ini tidak boleh dipandang ringan walaupun pada mulanya kita ingat percubaan mereka itu untuk menawan Sabah sebagai percubaan yang sia-sia tetapi kita tahu mereka akan menjadi gerila dan akan melancarkan serangan pada masa depan," katanya.

Mengenai ada pihak yang mempertikai tindakan kerajaan yang memberi kuasa kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak terlebih dahulu berbanding pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung pencerobohan tersebut, Dr Mahathir berkata negara mempunyai dua bahagian keselamatan.

"Kita bahagi keselamatan kepada dua bahagian iaitu yang datang dari luar yang biasanya tindakan diambil oleh tentera manakala yang berada di dalam negara adalah tanggungjawab polis. Pada mulanya kita tidak anggap pencerobohan itu sebagai serangan luar kerana mereka ini berada dalam wilayah kita," katanya.

Bagaimanapun, apabila pencerobohan dan serangan kini jelas datang dari luar maka difahamkan pihak tentera diarahkan untuk memgambil bahagian dalam tanggungjawab itu, katanya.

Mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan dilihat 'berlembut' dengan pihak penceroboh terbabit, beliau berkata sememangnya kerajaan tidak mahu mengambil tindakan sehingga membunuh kerana mereka juga mempunyai keluarga dan rakan sebagai warganegara di Sabah.

"Sebab itu kita berhati-hati bertindak begitu pada awalnya, lagipun mereka ini orang Islam, kita orang Islam, kita tidak mahu tergesa-gesa, tetapi mereka tunjukkan niat jahat dengan menembak dua anggota polis kita. Sekarang ini peristiwa ini tidak boleh dianggap boleh diselesaikan dengan rundingan," katanya.

Mengenai laporan media asing bahawa kedatangan penceroboh terbabit ke Lahad Datu adalah atas "jemputan" seorang ahli politik pembangkang, Dr Mahathir berkata ahli politik itu menjanjikan banyak perkara bagi Sabah termasuk memberikan kuasa autonomi jika pembangkang menang pilihan raya. -BERNAMA

21 comments:

Hidup Di Sabah said...

Itulah yang terbaik dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan masalah ini akan dapat diselesaikan.

Hidup Di Sabah said...

Jangan biarkan rakyat terus dihantui dengan ketakutan.

Hidup Di Sabah said...

Kerajaan perlu terus dan terus memastikan pencerobohan ini bersih di Sabah.

Hidup Di Sabah said...

Jika kita lihat sekarang ini pun pertempuran besar-besar telah dibuat oleh pihak keselamatan untuk memastikan penceroboh ini menyerah diri.

Hidup Di Sabah said...

Bukan mudah menyelesaikan masalah seperti ini. tambahan lagi mempunyai penceroboh yang keras kepala dan berdegil.

Hidup Di Sabah said...

Inilah yang menimbulkan masalah kepada kita untuk membuat perundingan.

Hidup Di Sabah said...

Kerajaan sudah berlembut hati sebelum ini meminta penceroboh ini keluar secara aman. Tapi sayangnya rundingan itu ditolak.

Hidup Di Sabah said...

Penceroboh ini mengendahkan amaran yang diberikan oleh pihak berkuasa ini.

Hidup Di Sabah said...

Semoga kerajaan akan meneruskan usaha membenteras penceroboh ini di negeri Sabah.

Hidup Di Sabah said...

Kehadiran mereka yang tidak diundang ini telah pun menimbulkan masalah yang besar kepada Sabah dan juga negara. Begitu juga dengan perhubungan antara kedua-dua negara.

Marimar Pascual said...

Sejak pencerobohan oleh kumpulan bersenjata di Lahad Datu pada 12 Februari 2013, kerajaan mengambil pendekatan untuk menyelesaikan konflik ini tanpa pertumpahan darah.

Marimar Pascual said...

Pihak polis sudah mengadakan pertemuan dan rundingan dengan harapan penceroboh akan bersetuju keluar dengan aman tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang yang serius. Semakin lama pencerobohan ini berlanjutan, jelas kepada pihak berkuasa bahawa penceroboh tidak berniat untuk keluar dari tanah Sabah.

Marimar Pascual said...

Pasukan keselamatan lancar serangan jam 7 pagi ini terhadap kumpulan penceroboh di Kampung Tanduo, Lahad Datu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu kenyataan.

Marimar Pascual said...

Operasi Pembersihan di Kg Tandou oleh ATM telah bermula dengan serangan udara (AIRFORCE BOMBINGS) & menggunakan APC (ARMOUR PERSONNEL CARRIER).

Hidup Di Sabah said...

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar Selasa berkata kawalan keselamatan di daerah Semporna yang terletak berhampiran Lahad Datu, diperketatkan ekoran serangan ke atas penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Hidup Di Sabah said...

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan khabar angin yang disebar pihak tidak bertanggungjawab, sambil menegaskan bahawa langkah keselamatan yang diatur pasukan keselamatan adalah yang terbaik.

Hidup Di Sabah said...

Orang ramai hanya sentiasa perlu mendapatkan maklumat yang sahih dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna agar berita yang tepat dapat disalurkan, katanya.

Hidup Di Sabah said...

Sementara itu Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata keadaan di daerah Semporna dalam keadaan baik dan orang ramai diminta sentiasa menghubungi IPD Semporna di talian 089781244 bagi mendapatkan maklumat sebenar.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama ke Pekan Semporna mendapati rata-rata penduduk melahirkan kebimbangan mengenai situasi di Kampung Tanduo yang mungkin menjadi sasaran serangan balas daripada kumpulan penceroboh di sini.

Hidup Di Sabah said...

Bagaimanapun, beliau melahirkan keyakinan situasi itu mampu dikawal pasukan keselamatan dengan cekap.

Sementara itu, keadaan keselamatan di sekitar bandaraya Kota Kinabalu berada di tahap sempurna, aman dan tidak berlaku perkara yang mencurigakan.

Hidup Di Sabah said...

Sehubungan itu, Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun menasihati orang ramai agar tidak mempercayai semua khabar angin, terutama berkaitan soal keselamatan, yang banyak disiarkan dalam laman sosial termasuk facebook.

"Orang ramai tidak perlu rasa takut atau panik kerana berita-berita yang disebarkan adalah daripada sumber yang tidak sahih," katanya pada sidang media di sini hari ini, yang turut dihadiri Mayor Bandaraya Kota Kinabalu yang juga Pengerusi Keselamatan Datuk Abidin Madingkir.

Hidup Di Sabah said...

Mengenai khabar angin pendaratan 150 penceroboh di Sepanggar yang tersebar luas melalui laman sosial, beliau menegaskan bahawa maklumat itu adalah palsu tetapi pihaknya tetap akan mengambil tindakan untuk menyiasat.

"Kesan penyebaran isu tersebut orang ramai telah membeli banyak barang keperluan terutamanya beras dan makanan segera...keadaan seumpama ini yang kita mahu elakkan.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels