1 April 2010

Kekayaan dan Kelulusan Bukan Bererti Kita Popular: Najib

PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) bahawa kekayaan dan taraf kelulusan bukan jaminan mereka akan terus popular di kalangan pengundi masing-masing.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata sokongan pengundi kepada wakil-wakil rakyat berkenaan akan berterusan jika budi dan khidmat yang diberikan kepada rakyat adalah baik.

"Kita mesti menjadi wakil rakyat yang lebih baik, berkesan dan disenangi oleh rakyat. Apabila rakyat sayang kita, sampai bila pun dia akan ingat kita.

"Ada juga wakil rakyat saya kenal, nak kata wakil rakyat PPRT (wakil rakyat miskin) pun boleh...ada juga mereka gelarkan diri mereka wakil rakyat PPRT tetapi saya tengok wakil rakyat ini masih popular.

"Ini bermakna, kalau kita ada harta, tidak bererti kita akan popular. Ada juga wakil rakyat, ada harta tak kekal lama..ada yang satu penggal sahaja...(malah) ada yang ada ijazah, lepas satu penggal...orang kata cukuplah, kita nak orang baru," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Perdana Menteri bersama Kelab Adun Penyokong BN di Sri Perdana di sini, pada Rabu malam. Turut hadir, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib yang juga Pengerusi BN, berkata trend mutakhir sokongan rakyat terhadap BN setiap hari semakin meningkat, malah daripada lawatan-lawatannya ke seluruh negara termasuk ke Sabah dan Sarawak, sambutan terhadap parti itu juga meriah.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan wakil-wakil rakyat BN supaya terus bekerja keras bagi memastikan BN dapat mencapai kejayaan besar pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam pada itu, Najib membidas pakatan pembangkang yang sengaja menaburkan fitnah terhadapnya dan membuat banyak janji kepada rakyat yang kesemuanya tidak tertunai sejak dua tahun lepas.

Beliau berkata penipuan pembangkang itu bermula dengan cubaan mereka untuk merampas kuasa pada 16 Sept 2008, diikuti kononnya ia mendapat sokongan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Mereka cuba pancing sokongan Ahli-Ahli Yang Berhormat BN supaya berpaling tadah dan bertukar parti menyokong pembangkang. Tetapi bila Adun mereka 'seberang' pada kita, mereka 'bertempik'.

"Soalnya siapa buat kudeta...siapa cuba main 'permainan' ini. Pada mereka semua halal, di tangan mereka matlamat menghalalkan cara. Sebab dalam politik, bagi mereka fakta tidak penting sebaliknya persepsi itu penting," katanya.

Najib berkata beliau juga sedang menunggu temujanji dengan Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Noordin, yang sebelum ini mendakwa pernah diupah untuk memfitnah Perdana Menteri dan isteri terlibat dengan pembunuhan warga Mongolia, Altantunya Shaaribuu.

"Saya tunggu, temujanji saya dengan Zulkifli, barang kali dia nak cerita. Inilah permainan yang mereka buat kononnya saya terlibat dengan Altantunya pada hal saya sudah bersumpah, saya tidak mengenali Altantunya.

"Orang lain tak berani sumpah tetapi saya berani sumpah. Tidak payahlah buat perancangan sebab ini fitnah. Kita boleh merancang tetapi Tuhan menentukan... jangan khuatir kita di pihak yang benar," katanya.-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels