29 May 2013

Mampukah SKMM- bongkar Red Bean Army?

SURUHANJAYA KOMUNIKASI MULTIMEDIA MALAYSIA (SKMM) tidak boleh berlengah lagi, perlu menutup semua pautan baik melalui FB tweeter mahupun blog yang ada hubungan dengan RED BEAN ARMY.

KUMPULAN yang aktif sejak 6 tahun lalu, adalah kumpulan yang TIDAK BERTUAN- meminjam penafian Penasihat DAP LIM KIT SIANG.

Kit Siang menafikan bahawa DAP tidak  apa-apa kaitan dengan tentera siber, Red Bean Army.

Kata Kit Siang dalam blognya, parti itu tidak mempunyai kekuatan sebanyak 200 tentera siber Red Bean Army yang didakwa memburuk-burukkan Barisan Nasional (BN) sejak enam tahun lalu.

Seperti biasa Ahli Parlimen Gelang Patah ini menuduh UMNO membelanjakan berjuta-juta ringgit bagi menganjurkan konvensyen media sosial di seluruh negara semata-mata untuk membentuk 10,000 tentera siber pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Tidak apalah itu penafian Kit Siang, maklumah sebagai sebuah parti yang sentiasa menjunjung demokrasi, berjuang menegakkan keadilan dan menentang perkauman sudah pastilah DAP tidak akan bersetuju dengan Red Bean Army.

Kita 'percaya' DAP juga tidak akan bersekongkol dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan BN melalui cara tidak betul khususnya melalui fitnah dan hasutan.

Ia memandangkan Red Bean Army adalah sebuah pasukan tentera siber yang diwujudkan semata-mata bagi menyerang BN habis-habisan dengan matlamat meranapkan kerajaan yang ditunjangi oleh orang Melayu iaitu UMNO.

Selain itu, Red Bean Army juga bertanggungjawab menyebarkan pelbagai dakyah, fitnah dan tohmahan kepada pemimpin-pemimpin UMNO serta BN bagi mempengaruhi masyarakat Cina menolak parti itu dalam PRU-13.

Berikutan tindakan jahat Red Bean Army itu maka berlaku apa yang dipanggil tsunami Cina biar pun ia cuba dinafikan oleh pakatan pembangkang.

BN gagal memperolehi majoriti dua pertiga kerana perolehan undi daripada masyarakat Cina dikatakan di bawah 10 peratus. Inilah fakta yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.

Pencapaian itu berikutan ketidakmampuan pasukan media baru UMNO dan BN untuk menangkis serangan bertubi-tubi daripada Red Bean Army yang bersedia melakukan apa sahaja demi memastikan pengundi tidak memihak kepada BN.

Kesudahannya, yang paling untung ialah DAP kerana selain menjadi dominan dalam pakatan pembangkang dengan memperolehi 38 kerusi Parlimen, parti itu juga terus mengekalkan pemerintahan di Pulau Pinang, dalam satu pilihan raya yang mereka dakwa penuh dengan penipuan.

Mungkin DAP tidak mahu dilihat terhutang budi dengan Red Bean Army memandangkan apa yang dilakukan oleh tentera siber itu 'bertentangan' dengan prinsip perjuangan parti tersebut.

Namun kewujudan Red Bean Army ini 'amat mengagumkan', maklumlah bukan senang hendak mewujudkan 'satu kesedaran luar biasa' daripad satu kelompok manusia untuk melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas kerajaan BN tanpa mempedulikan sama ada ia satu kebenaran atau kepalsuan.

Mereka juga 'dikagumi' kerana tanpa dinaungi oleh mana-mana parti politik (berikutan penafian Kit Siang) 'kilang fitnah' mereka beroperasi 24 jam tanpa mengenal penat dan lelah serta 'tidak mendapat sebarang upah'. Difahamkan mereka beroperasi di sebuah tempat yang selesa di ibu negara dan bekerja secara syif.

Bagaimanapun ini bukan bermakna perbuatan Red Bean Army ini harus dibiarkan. Merka kini 'sudah sah' ibarat 'hantu raya tidak bertuan' memandangkan DAP pun menafikan kaitan parti itu dengan tentera siber yang biadab tersebut.

Oleh itu adalah wajar, kewujudan siber tidak beretika seperti Red Bean Army ini dikecam oleh pakatan pembangkang khususnya DAP jika benar mereka memperjuangkan demokrasi, menegakkan keadilan dan menolak politik perkauman.

DAP juga perlu mengeluarkan kenyataan rasmi menggesa masyarakat Cina supaya tidak mempercayai apa yang disebarkan oleh Red Bean Army dan bersedia bekerjasama dengan kerajaan bagi menyalurkan maklumat bagi menghapuskan tentera siber tersebut.

Ia memandangkan corak serangan dan pendekatan politik yang dilakukan oleh Red Bean Army amat bahaya kepada keutuhan kaum dan keselamatan negara.

Kita sudah saksikan beribu-ribu fitnah ditaburkan oleh kelompok tersebut sehingga pada hari pengundian hampir tercetus kekecohan.

Keadaan itu berlaku kerana sejak awal lagi Red Bean Army menguar-uarkan dakwat kekal yang digunakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan tertanggal sebelum tempohnya dan ada warga Bangladesh yang akan digunakan oleh BN untuk mengundi parti itu.

Tetapi kesudahannya, semua itu hanyalah fitnah termasuklah juga tohmahan kononnya bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad akan 'lari ke luar negara' pada malam pengundian kerana bimbang BN kalah.

Apa yang lebih bahaya, ketika pakatan pembangkang lebih selesa menuduh media arus perdana khususnya Utusan Malaysia bersikap rasis, tindak-tanduk Red Bean Army lebih dahsyat lagi.

Dengan penafian Kit Siang, kita kini tertanya-tanya siapakah dalang di sebalik kewujudan Red Bean Army ini. Apakah mungkin ada kuasa asing yang menyalurkan dana bagi membolehkan Red Bean Army beroperasi dengan begitu hebat sekali?

Tanpa sumber kewangan yang kukuh sudah pasti mereka tidak akan mampu beroperasi dengan begitu efisien.

Sebab itulah, sudah tiba masanya, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia menjalankan siasatan rapi bagi 'melumpuhkan' operasi Red Bean Army ini.

Tindakan tegas yang diambil bukanlah bermaksud kita bimbang 'hantu raya tak bertuan' itu mendedahkan kepincangan kerajaan BN, sebaliknya kita tidak mahu wujudnya satu kelompok tentera siber yang tidak bertanggungjawab dan sanggup mempertaruhkan segala-galanya demi mencapai cita-cita politik mereka.

Kita percaya pakatan pembangkang khususnya DAP akan menyokong usaha tegas pihak berkuasa untuk menghapuskan Red Bean Army ini.

Sebagai sebuah parti yang sering menggambarkan mereka menjunjung demokrasi dan menegakkan keadilan serta membenci perkauman, kita percaya DAP akan memberi sokongan paling padu untuk memastikan Red Bean Army tidak terus menjadi 'hantu raya' yang mengganggu rakyat Malaysia dan keselamatan negara.

Apa yang kita bimbang Red Bean Army ini adalah terdiri daripada kelompok yang diupah oleh pihak asing untuk mengkhianati negara sendiri? dan bagaimana pula kalau Red Bean Army ini sememangnya dilatih untuk memastikan negara kita menjadi huru-hara melalui fitnah dan tohmahan yang mereka lemparkan kepada kerajaan BN?

Tambahan pula kita juga sudah menyaksikan Red Bean Army ini meletakkan diri mereka seolah-olah begitu istimewa apabila sesiapa sahaja yang cuba membongkar atau menyerang perbuatan haram mereka akan diserang habis-habisan seperti mana berlaku kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Oleh itu, kita tidak boleh membiarkan kewujudan sebuah tentera siber yang merasakan diri mereka 'kebal' daripada undang-undang dan beroperasi di sebuah lokasi yang kononnya rahsia, semata-mata untuk memporak-perandakan negara ini.

Sekarang adalah masa untuk bertindak kerana dengan penafian Kit Siang sudah jelas kini kita tidak tahu siapakah 'tuan-tuan' kepada 'hantu raya Red Bean Army' ini.

Kerajaan tidak harus gentar untuk 'mengunyah' Red Bean Army ini dengan memastikan kelompok ini dihapuskan sama sekali dari bumi Malaysia.

Sekarang adalah masa bertindak kerana kewujudan kumpulan berkenaan tidak boleh dianggap sebagai satu kebebasan media sebaliknya satu ancaman yang boleh membawa petaka kepada negara.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels