2 September 2024

KERJASAMA GRS-PH PLUS DITERUSKAN


APAPUN status RUMAH KITA, KITA JAGA, kerjasama di peringkat negeri dengan parti-parti Persekutuan perlu kekal. Pendirian demikian membezakan kedudukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS).

Kerajaan negeri hari ini asalnya kerajaan GRS-BN, akan tetapi GRS terpaksa melakukan penjajaran baharu ekoran “Langkah Kinabalu”, dan kerajaan hari ini dikenali kerajaan GRS-PH Plus.

Selepas lebih setahun kolaborasi, ternyata keserasian dan kerjasama cukup baik. Keserasian dan kerjasama yang cukup baik perlu diteruskan.

Selain itu penerimaan rakyat secara umum juga cukup baik pada kolaborasi kerajaan hari ini, dan kerana itu, apabila kolaborasi diteruskan pada PRN-17, diyakni rakyat akan terus memberi mandat.

Kolaborasi GRS-PH “straight to the point” kerana masing-masing parti mempertahankan kerusi masing-masing, dan sekiranya antara parti berhasrat menambah kerusi untuk ditandingi, maka kerusi-kerusi tersebut adalah kerusi-kerusi yang disandang parti lain.

Apa yang menjadi kemusykilan adalah kedudukan wakil rakyat Umno yang termasuk dalam “plus” apa kah dibenarkan oleh parti mereka bertanding semula untuk mempertahankan kerusi masing-masing.

Jika Umno tidak mencalonkan mereka semula, maka tiada pilihan, jika mereka ingin kekal dengan kolaborasi GRS-PH Plus, maka terpaksa bertanding atas logo GRS dan terpaksa melawan calon parti asal mereka.

Umno bertekad menjadi parti dominan di Sabah, ertinya parti itu akan meletak calon seramai mungkin terutama di kawasan-kawasan yang disandang Gagasan Rakyat atau GRS.

Dua parti iaitu Umno dan Warisan bersungguh-sungguh sangat merampas kerusi-kerusi yang disandang Gagasan Rakyat, terutama kerusi yang dimenangi dua parti itu pada PRN-16.

Hasrat tinggi Warisan dan Umno merampas semula kerusi yang dimenangi pada PRN-16, adalah penghalang utama dua parti itu bekerjasama dengan GRS.

Jika kolaborasi GRS-PH diteruskan, maka PH dalam dilema, bagaimana dengan Umno dan Warisan? Sedangkan dua parti itu tiada keinginan kerjasama dengan GRS.

Kolaborasi atau kerjasama menghalang pertembungan antara parti di kerusi-kerusi yang ditandingi. Kolaborasi GRS-PH, ertinya dua parti tidak bertembung, pada masa sama jika PH berkolaborasi juga dengan Umno dan Warisan, PH tidak dapat menghalang samada GRS atau Umno atau Warisan untuk tidak bertembung. Jika PH berkolaborasi dengan semua parti, maka menjadi parti yang cukup selesa mempertahankan kerusi-kerusi yang disandang. Apa kah senario ini berlaku? jika berlaku, maka tiada erti kolaborasi atau kerjasama, maka sebaiknya, diadakan “free contest” selepas PRN adakan perundingan semula.

1 September 2024

PEMIMPIN BERPECAH-APA KESUDAHANNYA?

PEMIMPIN berpecah cukup ketara di Sabah. Perpecahan kerana niat untuk berkuasa. Hasrat berkuasa hanya melalui parti.

Apabila Umno masuk Sabah pada tahun 1990 (secara rasmi 1991), ramai pemimpin melihat parti itu mempercepat hasrat untuk mendapat kuasa. Atas pertimbangan itu (mungkin) ramai pemimpin terutama bumiputera islam menyertai parti itu.

Pada keadaan yang sama juga ramai pemimpin “terpaksa” menyertai atas sebab keputusan pucuk pimpinan, apabila Parti Usno dibubar dan semua pemimpin dan ahli secara en-blok menyertai Umno, kecuali ADUN, kerana tertakluk Undang-Undang Anti Lompat.

Apabila pemimpin Umno berpecah ekoran penubuhan Parti Warisan, maka lemah lah Umno, kesannya hilang kuasa selepas PRU-14 apabila tidak cukup kerusi membentuk kerajaan, pun demikian dapat juga membentuk kerajaan walaupun hanya bertahan 24 jam.

Semasa PRN-16 ada tindakan mempersatukan sebahagian pemimpin menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetapi hanya bertahan sehingga 5 januari 2023, kerana berpecah semula pada 6 Januari 2023.

Perpecahan semakin melebar, apabila pemimpin Parti Warisan, Umno, Gagasan Rakyat (GRS) memperkukuh parti masing-masing.

Walaupun Gagasan Rakyat dan GRS memperkukuh parti, akan tetapi Presiden yang juga Pengerusi GRS dan Ketua Menteri mencuba mengajak para pemimpin daripada Warisan dan Umno untuk bekerjasama, semata-mata untuk memajukan dan membangun negeri, walaupun tidak secara langsung tidak dinyatakan, akan tetapi secara berkias, “jangan gaduh-gaduh”, “GRS sentiasa terbuka”.

Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor meyakinkan rakyat Sabah, bahawa menerusi kesatuan semua rakyat dengan menyokong parti menerajui kerajaan, adalah satu kaedah supaya para pemimpin ikut sama, agar tiada lagi perpecahan.

Para pemimpin yang memilih perpecahan, cara menanganinya untuk tidak menyokong parti yang dipimpin.

Pemimpin tidak akan melepaskan ego selagi mendapat sokongan.

Pada PRN-16 beberapa parti bergerak solo. Apabila mendapati, rakyat tidak menyokong, maka bergabung dengan parti-parti yang mendapat sokongan rakyat.

Apabila parti-parti bergabung, maka pemimpin juga bergabung, maka jurang perpecahan semakin menyempit.

Sarawak kukuh, kerana para pemimpin utama tidak berpecah, walaupun ada pemimpin yang memilih untuk berpecah akan tetapi akhirnya berkesudahan bergabung dengan parti-parti yang mendapat sokongan rakyat.

Pada PRN-17, terletak ditangan rakyat Sabah mencontohi Sarawak, kerana menerusi kuasa rakyat lah pemimpin yang “degil” dan “suka sangat” dengan perpecahan akan ditentukan rakyat menerusi peti undi.

Di Sabah hari ini, GRS mempunyai misi perjuangan yang amat jelas, iaitu SABAHFIRAST, SABAHFORWARD, SABAHPROSPER DAN SABAHUNITED DEMI SAYANGI SABAH. Rakyat Sabah perlu menyokong kerana pendekatan yang digunakan RUMAH KITA, KITA JAGA.

Apabila majoriti rakyat menyokong, dengan sendirinya, para pemimpin yang ingin sangat berpecah akan sadar sendiri, ada lah tidak berbaloi untuk menentang arus keinginan rakyat.

Apabila para pemimpin bersatu padu, kekuatan fikiran dan tindakan semakin kukuh, dengan demikian, maka memajukan dan membangun negeri berjalan lancar, kesannya rakyat lah menikmatinya, dan seterusnya wujudlah KEMAKMURAN DAN KESEJAHTERAAN. Fikir-Fikirkan.

30 August 2024

PRN-17 SABAH: GRS TERBUKA KERJASAMA DENGAN MANA-MANA PARTI


KERJASAMA antara parti semasa PRN-17 Sabah bukan isu bagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kerana parti itu terbuka dengan sebarang kerjasama.

Matlamat GRS hanya satu-SABAHFIRST DEMI SAYANGI SABAH. Ertinya mana-mana parti yang bermatlamat sama, maka tiada halangan untuk bekerjasama.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berpendapat semasa PRN-17 tersebut kena diambilkira parti-parti yang menerajui Kerajaan Negeri hari ini, iaitu GRS, PH dan Umno ( bukan kumpulan Datuk Bung Moktar Radin). Makna kata, pada PRN itu nanti, kerjasama berpandukan pada kedudukan kerajaan hari ini.

Antara GRS dan PH kerjasama agak mudah kerana berpandukan pada status quo, iaitu kerusi-kerusi yang disandang masing-masing parti. Akan tetapi kerjasama antara GRS-Umno agar sukar, memandangkan tiada jaminan di pihak Umno untuk mencalonkan semula mereka yang bersama kerajaan hari ini, atas sebab ada yang digantung keahlian, selain itu tiada jaminan Umno tidak meletakan calon dikawasan yang ditandingi GRS, sesuai dengan pendirian parti itu yang ingin menjadi parti dominan.

Kerjasama GRS-Parti Warisan sukar berlaku, kerana pendirian pemimpin Parti Warisan yang juga berkeinginan menjadi parti dominan dan mahu menggantikan GRS sebagai tulang belakang parti kerajaan.

Berpandukan pada pendirian Umno dan Parti Warisan, walaupun GRS bersifat terbuka berdepan dengan PRN tersebut, akan tetapi kerjasama sukar berlaku, kecuali, adanya kompromi di saat-saat akhir, iaitu antara pemimpin utama saling mengalah, iaitu semacam kaedah “penggiliran” Ketua Menteri sepertimana berlaku sebelum ini. Kebarangkalian tersebut boleh saja berlaku, jika semua pemimpin utama menerima SABAHFIRST DEMI SAYANGI SABAH.

Jika kompromi di saat akhir gagal dicapai, pilihan hanya satu, iaitu bertanding secara terbuka dan selepas PRN mana-mana parti yang ada kerusi berbincang untuk kerjasama membentuk kerajaan.

Jika berpandukan pada kenyataan Ketua Menteri Sabah, yang kerap mengulang-ulang “jangan gaduh-gaduh” yang paling mustahak semua pihak mesti besatu hati memajukan dan membangun negeri. Menerusi pandangan tersebut, Ketua Menteri mengajak semua pimpinan untuk tidak saling berbalah termasuk berebut-rebut kerusi, atas sebab agihan kerusi boleh dibuat untuk menjamin kestabilan dan mengwujudkan kekuatan politik Sabah dalam arena politik nasional.

Pun demikian, tidak mudah bagi Umno dan Warisan untuk diajak berkompromi terutama berkaitan agihan kerusi, jika berpandukan pada kedudukan penyandang kerusi, kerana dua parti itu berpandangan, dipihak yang dirugikan.

Di pihak GRS pula jika hanya untuk tujuan membentuk kerajaan, kerjasama dengan PH dan mencalonkan semula wakil rakyat Umno yang bersama kerajaan hari ini menggunakan logo GRS, sudah memadai, kerana kolaborasi tiga serangkai tersebut boleh menang 2/3 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.

Apa yang boleh disimpulkan pada PRN-17 Sabah, Umno dan Warisan kena membuat pendirian, bekerjasama dengan parti-parti yang menerajui kerajaan hari ini, adalah jaminan bahawa dua parti itu bersama-sama dengan kerajaan atau kekal sebagai pembangkang di DUN Sabah.

29 August 2024

PRN-17 SABAH: BERTANDING UNTUK MENANG

PENDEKATAN orang politik, bertanding dalam pilihan raya adalah untuk meraikan pesta demokrasi. Tidak semestinya bertanding itu boleh menang.

Apabila ada pemimpin politik berkata, parti yang turut dipimpin perlu bertanding “solo” dalam ertikata meletakan calon pada setiap kerusi, pada hakikatnya hanya hujah politik, bukan berpandu pada kerusi yang dimenangi, akan tetapi meraikan pesta demokrasi. Meraikan pesta demokrasi menang atau kalah adalah adat bertanding.

Dalam bertanding, pemimpin politik juga mengambilkira sokongan, kekuatan kewangan, agar tidak membazir, maka perlu hanya bertanding pada kawasan yang boleh dimenangi.

Parti yang mengambilkira sokongan, kekuatan kewangan apabila meletakan calon pada sesuatu kawasan mempunyai data atau profile pengundi di kawasan-kawasan yang ditandingi.

Berpandukan pada senario politik Sabah hari ini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai kekuatan sokongan sekurang-kurangnya 40/73 kerusi, dan jika diimbangi dengan kekuatan kewangan yang membolehkan jentera bergerak secara optimum, maka kerusi-kerusi itu boleh dikira dalam genggaman.

Berasaskan “zoning” Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bahawa 73 kawasan DUN dibahagikan kepada 12 zon, GRS berpotensi menang 100% di Zon 6, 7 dan 8.

Tiga zon tersebut mewakili 21 kerusi iaitu Dun Klias, Kuala Penyu, Lumadan, Sindumin, Kundasang, Karanaan, Paginatan, Tambunan, Bingkor, Liawan, Melalap, Kemabong, Tulid, Sook dan Nabawan.

Pada kedudukan hari ini, hanya Dun Melalap tidak disandang GRS. Makna kata pada PRN-17, 20 kerusi dipertahankan oleh gabungan tersebut, manakala Dun Melalap akan cuba dimenangi untuk menjadikan kemenangan 100 peratus.

Kesimpulan yang dibuat bukan berpandukan pada ramalan akan tetapi berpandukan pada fakta lapangan, kerana telah diprofilekan pengundi berasaskan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang mana yang berstatus PUTIH lebih ramai berbanding berstatus KELABU dan HITAM.

Oleh kerana tiga zon tersebut mewakli 21 kerusi dan jika dimenangi kesemuanya maka hanya memerlukan 16 kerusi daripada 9 Zon lain untuk melengkapi 37/73 jumlah minimum yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan.

Selain isu-isu dan faktor-faktor yang memberi kesan pada kemenangan GRS, di tiga zon tersebut, faktor penguat adalah terdapat pemimpin otai di tiga zon tersebut antaranya Datuk Seri Masidi Manjun, Datuk Seri Dr Jeffery G Kitingan, Datuk Rubin Balang, Datuk Abdul Ghani Yassin dan lain-lain.

PRN-17 bakal diadakan pada suku ke-4 tahun 2025, dan tidak mustahil diadakan pada suku pertama seperti mana PRU-14.

Mengadakan PRN pada suku pertama, dilihat lebih menarik memandangkan rakyat Sabah sedang berpesta Kaamatan, yang sebagai dorongan ramai pengundi akan keluar mengundi, kerana mereka dalam “mode” ceria.

Penulis yakin kepimpinan GRS akan meletakan calon pada kawasan yang benar-benar diyakni untuk dimenangi, tidak terperangkap dengan keadaan menang sorak kampung tergadai. Fikir-Fikirkan.

RUNGUTAN YANG TIDAK BERKESUDAHAN

PENULIS gunakan perkataan “rungutan” kerana isu yang menjadi subjek boleh diselesaikan.

Walaupun subjek yang menjadi isu boleh diselesaikan akan tetapi tiada siapa yang berani menyelesaikannya.

Mereka yang mempunyai otoritas menyelesaikan rungutan tidak sanggup bertindak kerana takut diberi gelaran adil.

Kerana takut dengan gelaran adil, maka membiarkan keadaan berterusan, agar rungutan berkekalan tanpa berpenghujung.

Mengapa rungutan dibiarkan tanpa berpenghujung, ianya perlu jawapan.

Kemiskinan merujuk pada ketidak mampuan memenuhi keperluan kehidupan. Kerana pengertian kemiskinan relatif, maka berlaku satu keluarga berjawatan awam, bapa dan ibu serta anak-anak, suami-isteri, sebab itu pemandangan satu rumah, boleh ada 4-5 kereta persendirian, sehingga terpaksa letak kereta di tepi jalan.

Tiada isu mereka yang dilantik itu kerana mempunyai kelayakan yang diperlukan, akan tetapi di luar sana ramai juga yang berkelayakan malah daripada keluarga yang tiada seorangpun mempunyai jawatan bergaji di sektor awam.

Keadaan ini lah yang menjadi rungutan sepanjang zaman, dan tidak akan pernah terselesaikan, walaupun kerajaan atau pemimpin kerajaan saling berganti.

Contoh paling dekat, satu agensi kerajaan negeri, bapa Ceo, anak pegawai kanan. Seakan-akan syarikat kerajaan itu milik persendirian.

Demikian juga jawatan-jawatan lain termasuk jawatan politik, berlaku kita-kita saja, satu gambaran, tiada orang lain boleh makan nasi ayam melainkan “kita-kita saja”.

Rungutan hanya tinggal rungutan bagi mereka yang menjadi penyokong. Rugutan hanya satu isyarat agar kerajaan/pemimpin yang disokong berani bertindak adil, seperti mana dilakukan pada mereka yang terkategori miskin tegar, sekurang-kurang seorang daripada KIR dipekerjakan. Jika kaedah ini dapat digunakan, walaupun rugutan tetap ada akan tetapi mereda dan berkurang.

Akan terwujud kah keadilan? sebagai jawapan pada rungutan!!! Jawapannya boleh, bergantung pada iltizam semua pihak terutama mereka yang diberi tanggungjawab mengurus perjawatanan, iaitu Suruhanjaya Perkdimatan Awam Negeri (SPAN).

Di Sabah jika ibu dan bapa tiada jawatan awam, walaupun anak-anak mempunyai kelayakan setinggi mana pun, sukar mendapat peluang berkhidmat dengan kerajaan.

Pengalaman penulis sebagai KIR, tiada seorangpun anak penulis mendapat peluang, walau pun antara anak-anak penulis berkelulusan jurutera dan bidang kewangan, keluaran universiti luar negara (Jepun, Australia, UK) dan dalam negara (USM, UiTM). Jawapan pada diri sendiri, tiada rezeki berkhidmat dalam sektor awam.

Harapan besar penulis, kerajaan hari ini, dapat mengeluarkan satu bentuk SOP, menggunapakai pendekatan penyelesaian KIR yang termasuk dalam insiden miskin tegar, kalau tidak pun menyelesaikan rugutan secara keseluruhan akan tetapi meredakannya. Fikir-Fikirkan.

30 September 2021

SAMBUT HARI MALAYSIA 2021 CARA UPPM NEGERI SABAH


Unit Pimpinan Pembangunan Masyarakat (UPPM) Jabatan Ketua Menteri atas inisiatif Pengarah unit tersebut Datuk Matbali Musah menganjurkan sambuatan Hari Malaysia Tahun 2021 dengan pengisian pertandingan Deklamasi Sajak Hari Malaysia.

Pada Khamis 30 September, 2021 di Tingkat 5, Menara Kinabalu, diadakan Majlis penyampaian hadiah deklamasi Sajak yang disampaikan sendiri oleh Pengarah UPPM Negeri Sabah.

Pemenang bagi tahun 2021 adalah adik Mina Rubama dengan Tajuk Sajak JANGAN BERDUKA MALAYSIAKU karya KEMALA.

Acara seumpama ini, boleh menjadi katalis kepada penghayatan hari Malaysia menerusi puisi.

Dalam acara yang sama Matbali Musah juga mendeklamasi sebuah sajak, yang membawa pengertian, mengapa dalam kemerdekaan, masih berlakunya jurang, jurang sosial, jurang pembangunan, malah jurang kehidupan antara rakyat yang masih sangat lebar.

23 September 2021

PANDEMIK COVID-19: TINDAKAN KERAJAAN SABAH


Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung 21-23 September, 2021, Ketua Menteri- DSP Hajiji Haji Noor telah menjawab soalan daripada ADUN Elopura, YB Calvin Chong Ket Kiun mengenai langkah dan tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam usaha memulihkan ekonomi dan sosial di negeri Sabah berikutan penularan COVID-19.

Kerajaan Negeri sedar tentang perlunya keseimbangan antara kesihatan rakyat dan keperluan ekonomi. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai strategi jangka pendek dan panjang untuk memulihkan ekonomi dan sosial negeri akibat pandemik COVID-19 menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya Pelan Pembangunan SMJ 1.0.

Pemulihan ekonomi akan difokuskan kepada pertumbuhan sektor utama iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan meliputi 145 inisiatif dengan meningkatkan kemudahan infrastruktur dan sumber daya sedia ada, menggalakkan pelaburan, menyediakan peluang perniagaan dan peluang pekerjaan kepada penduduk Sabah.

Sektor pertanian negeri telah menampakkan perkembangan positif dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Negeri dengan sebuah syarikat untuk membangunkan Projek Penanaman Kelapa Berhasil Tinggi dengan nilai pelaburan RM420 juta dan Kilang Pemprosesan Kelapa di Pitas dengan nilai pelaburan RM200 juta. Inisiatif ini dijangka akan mewujudkan 3,250 peluang pekerjaan.

Dalam Sektor Perindustrian, galakan terus diberikan kepada industri berorientasikan eksport dan penggantian import sebagai langkah untuk memulihkan dan melonjakkan sektor ini termasuk menyediakan insentif pelaburan khas dan memastikan kos pelaburan lebih kompetitif bagi menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi.

Kerajaan Negeri telah menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat pelabur pada 26 Julai 2021 dengan nilai pelaburan sebanyak RM4.2 billion bagi membangunkan industri pembuatan kerajang tembaga yang akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan 400 ekar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan dijangka akan mewujudkan sejumlah 400 peluang pekerjaan.

Kerajaan Negeri juga mengutamakan pembangunan sektor pelancongan sebagai salah satu langkah memulihkan sektor ekonomi negeri. Sektor pelancongan mempunyai impak langsung terhadap semua sektor dalam rantaian ekonomi termasuk kerajaan melalui kutipan cukai. Pembangunan Projek Lok Kawi Resort City dengan nilai pelaburan berjumlah RM7 billion akan mewujudkan lebih kurang 5,000 peluang pekerjaan apabila pembangunan projek ini siap sepenuhnya.

Selain itu, Kerajaan Negeri akan melaksanakan promosi pelancongan yang lebih agresif, menyelenggara produk dan destinasi pelancongan sedia ada, memperkasa infrastruktur dan kemudahan asas pelancongan serta meneroka tarikan dan peluang baharu khususnya kepada pelancong domestik memandangkan ketika ini penerbangan antarabangsa agak terhad.

Berikutan pemindahan ibu negara Republik Indonesia ke Kalimantan, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif Pembangunan Bandar Sempadan Serudong-Simanggaris dengan mengambil kira potensi ekonomi yang ada. Ini juga akan membantu dalam usaha pemulihan ekonomi dan sosial di negeri ini.

Bagi penjanaan ekonomi rakyat dalam jangka masa pendek, setakat ini Kerajaan Negeri telah membelanjakan pakej bantuan berjumlah RM1.25 bilion sejak pandemik COVID-19 melanda termasuk RM324 juta pada tahun 2021. Pakej bantuan khas ini dapat membantu meningkatkan kuasa beli rakyat dan juga meringankan kesukaran yang dihadapi.

Dalam aspek pemulihan kesihatan, RM256.9 juta telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk pengurusan COVID-19. Manakala Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyalurkan sebanyak RM102 juta kepada Kerajaan Negeri.

Keberkesanan langkah dan usaha ini bukan sahaja hasil daripada Kerajaan Negeri semata-mata sebaliknya melibatkan usaha sama Kerajaan Persekutuan yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang turut melibatkan negeri Sabah.

Antaranya melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Strategi Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Pada tahun ini sahaja, seramai 283,745 pekerja telah mendapat manfaat daripada Program Subsidi Upah yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM975 juta. Bantuan tunai langsung seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) turut memberi manfaat kepada 782,000 penerima rakyat Sabah yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM628 juta manakala Bantuan Khas COVID-19 (BKC) sedang dalam proses pengagihan ketika ini.

Pencapaian Imuniti Kelompok akan menyaksikan lebih banyak sektor ekonomi, pembukaan premis-premis perniagaan dan aktiviti sosial di Sabah. Bagi mencapai Imuniti Kelompok (Herd Immunity) sebelum akhir Oktober 2021, Kerajaan Negeri telah membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV), mempergiatkan pelaksanaan program bergerak CITF Daerah ke kawasan luar bandar, pemberian vaksin secara walk-in serta kerjasama sektor awam-swasta.

20 September 2021

DILEMA KURSUS KEJURUTERAAN ELEKTRIK BUKAN KEUTAMAAN ANUGERAH BIASISWA KERAJAAN NEGERI?


KERAJAAN Negeri Sabah lebih memilih kursus pentadbiraan perniagaan berbanding kursus kejuruteraan elektrik bagi anugerah Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) sedangkan Sabah sangat memerlukan kejuruteraan elektrik, memandangkan Sabah kerap berhadapan dengan black-out.

Keadaan ini, bukan sahaja disebabkan oleh peralatan, akan tetapi tenaga pakar yang mengurusnya.

Oleh kerana penulis, sudah merasakan keadaan black-out yang memanjang, maka penulis menggalakkan anak penulis mengambil kursus kejuruteraan elektrik (high tension), apabila diberi tauliah nanti, dapat lah membantu Lembaga Letrik Negeri Sabah, mengrektifasi punca-punca black-out.

Malangnya dengan berbekalkan kelayakan yang baik dan cukup layak diberi anugerah biasiswa, akan tetapi jawatan kuasa pemilihan tidak mempertimbangkannya.

Penulis sungguh pelik, lima anak penulis, tidak pernah layak menerima BKNS, tetapi layak menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam Persekutuan (JPA), Mara, Maybank dan Kementerian Pendidikan serta Petronas.

Malang bagi anak bungsu penulis kerana tidak memohon daripada mana-mana, kecuali BKNS dan Yayasan Sabah, kerana tersangat yakin, kelayakan yang diperlukan memenuhi syarat. Selain itu, penulis berharap sebagai rakyat Sabah, sekurang-kurangnya mendapat peluang itu daripada negeri sendiri.

Penulis telah diminta menulis surat rayuan, dan telahpun dihantar sebaik sahaja mendapat pemakluman PERMOHONAN ANDA DUKACITA, namun sehingga sekarang TIADA tindak balas, sedangkan  PENDAFTARAN kemasukan ada lah hari ini 20 September, 2021, dan perlu membayar terlebih dahulu  sebelum proses pendaftaran boleh diproses.

Pendaftaran ONLINE, sentiasa minta KOD BAYARAN, untuk PROCEED.  Pun demikian, kerana bantuan hamba-hamba Allah, proses pendaftaran berjalan lancar.

11 September 2021

AKTA KAWAL PENYEBARAN AGAMA-HANYA UNTUK ORANG ISLAM SAHAJA


AKTA kawalan penyebaran agama, hanya pada orang islam sahaja, dan hanya untuk Wilayah Persekutuan sahaja.

Penganut agama-agama lain, ada lah bebas menganut agama masing-masing, dan bebas menyebarkannya, kecuali pada mereka yang beragama islam.

Jika pun RUU mengenainya diluluskan, hak kebebasan beragama di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan kekal terjamin. Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan berhubung larangan penyebaran agama lain ke atas orang Islam.

“Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa: “Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawali atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.

Pada 7 September lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan akan memperkenalkan 11 rang undang-undang syariah baru, termasuk Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam.

Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) kemudian meminta kerajaan memberi penjelasan berkenaan perkara itu.

Pada masa ini, selain Wilayah Persekutuan, negeri yang tiada enakmen berhubung larangan pengembangan agama bukan Islam adalah Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang.

Kerajaan Sabah menolak cadangan memperkenalkan undang-undang seumpama itu.

Dalam pada itu,  Menteri Hal Ehwal agama- Datuk Idris Ahmad  menegaskan RUU tersebut hanya untuk orang Islam sahaja, dengan pengembangan agama agama lain kepada orang bukan Islam dibolehkan.

Katanya, kekeliruan timbul apabila kenyataan Ahmad Marzuk dipetik di luar konteks.

Katanya lagi, Ahmad Marzuk ketika menjawab perkara itu di Parlimen November lalu memberi penjelasan berkenaan perancangan strategik kerajaan bagi menggubal sekurang-kurangnya 11 undang-undang syariah utama.

“Ia merangkumi penggubalan undang-undang baru dan pindaan terhadap undang-undang sedia ada, termasuklah cadangan penggubalan akta tersebut," katanya lagi.

9 September 2021

SKY BRIDGE KOTA KINABALU-BENDA DAH SIAP-KENAPA DIPOLITIKKAN?


SKY BRIDGE KOTA KINABALU- jejantas yang menghubungkan lima pusat perniagaan- Oceanus Mall, Api-Api Centre, Warisan Square, Asia City dan Centre Point Shopping Mall (CPS), yang dirasmikan oleh ketua Menteri Sabah pada Jumaat lalu dan secara rasmi dibuka hari ini, 9-9-2021, dijadikan isu politik oleh pihak-pihak pembangkang, hanya kerana tidak terdapat pintu atau laluan masuk ke CPS. 

Sebenarnya, laluan ke CPS, memang terdapat pada pelan asal, hanya disebabkan CPS meminta ditangguhkan pembinaannya selama 6 bulan selepas jejantas itu siap sepenuhnya.

Berkaitan dakwaan pembangkang, bahawa jejantas yang berkos RM31.5juta tersebut melibatkan kewangan negeri, adalah tidak tepat, kerana kerajaan negeri hanya menyumbang RM4.7juta kos penyiapan, akibat kontraktor asal projek tersebut jatuh muflis pada tahun 2018.

Walaupun jejantas tersebut telah 90%, akan tetapi dianggap sebagai projek terbengkalai.  

Semasa era kerajaan Warisan, Mei, 2018 hingga Julai, 2020, projek tersebut tidak diambil peduli, dan dijadikan contoh projek gagal era Barisan Nasional.

Tujuan Kerajaan yang dipimpin Shafie ternyata silap, kerana projek itu adalah projek kerjasama swasta dengan kerajaan Malaysia, di bawah inisiatif UKAS, bukan dibiayai kerajaan negeri.

Apabila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih kerajaan, maka jejantas tersebut, tidak dibiarkan sebagai projek terbengkalai atau gajah putih. Kerana pertimbangan tersebut, maka kerajaan negeri dipimpin Datuk Seri Hajiji Haji Noor meluluskan bajet penyiapan, kerana jejantas tersebut berkepentingan awam.

Apa yang pelik, projek yang terbengkalai, disiapkan, dan dapat digunakan oleh pengguna atau orang awam, dijadikan isu politik pula.

Sebenarnya, apa mereka mahu? membiarkan jejantas tersebut terbiar begitu sahaja? Jika itu niat mereka, ertinya mereka itu, tiada niat menyediakan kemudahan awam, tidak niat mencegah atau mengelak kemalangan yang kerap berlaku di kawasan tersebut.

8 September 2021

TAMAN TANJUNG DIKEKALKAN: DATUK HAJIJI

Datuk Hajiji Menyerahkan Watikah Perlantikan CEO TAED pada Datuk Ismail Abdulllah

Destinasi rekreasi dan perkelahan ikonik di Sabah, Pantai Tanjung Aru dan Taman Prince Philip, Kota Kinabalu, tidak dikorbankan untuk memberi laluan kepada projek Tanjung Aru Eco Development (TAED).

Jaminan itu disuarakan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah TAED yang diadakan di Menara Kinabalu, di sini, pada Selesa.

Sebaliknya, Hajiji berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk mengekalkan kedua-dua lokasi kunjungan popular itu, malah akan dinaik taraf dan dicantikkan lagi untuk kegunaan awam.

"Langkah itu sejajar dengan keputusan untuk mengkaji semula dan mengecilkan skala projek TAED dengan menggabungkan ciri berpusatkan rakyat bagi menyediakan lebih banyak akses dan ruang untuk orang ramai.

"Pembangunan baharu akan memastikan TAED dilaksanakan secara lestari dan mengambil kira inisiatif hijau," katanya.

TAED adalah projek pembangunan bercampur yang merangkumi pembinaan hotel resort, kawasan kediaman dan marina membabitkan keluasan kira-kira 300 hektar dengan anggaran kos pembangunan lebih RM7 bilion di Tanjung Aru.


Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata pelaksanaan TAED tidak membabitkan sebarang kos kepada kerajaan memandangkan semua projek dibiayai sepenuhnya oleh pelabur yang dipersetujui kerajaan.

Walaupun begitu, katanya projek itu bukan saja mengutamakan keuntungan kewangan, malah turut mengambil kira kepentingan ekonomi dan sosial.

"Kita mesti ingat bahawa di samping keuntungan kewangan, pulangan sosial dan ekonomi juga tidak kurang penting. Ini termasuk peluang pekerjaan dan ekonomi yang akan diwujudkan menerusi TAED dan sumbangannya kepada pembangunan sektor pelancongan," katanya.

Hajiji berkata, beberapa syarikat sudah menyatakan minat dalam projek itu, antaranya syarikat berkaitan kerajaan China, iaitu China Railway Construction Company International Investment Group Ltd melalui syarikat usahasama tempatan, Mesra Melia Sdn Bhd.

Katanya, selepas mengambil alih kerajaan negeri pada September tahun lalu, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memutuskan projek TAED diteruskan selepas dikaji semula untuk mengecilkan skala pembangunannya.

Sementara itu, Lembaga Pengarah TAED turut memutuskan, untuk tidak memasukkan dua sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru I dan SK Tanjung Aru II sebagai sebahagian daripada kawasan projek pembangunan berkenaan.

Berdasarkan Pelan Induk Pembangunan sebelum ini, kedua-dua sekolah itu dicadang dipindahkan ke Kampung Tanjung Aru yang akan membabitkan pengambilan tanah.

Sebelum ini, beberapa pihak menyuarakan kebimbangan dan bantahan terhadap projek TAED berikutan pelaksanaannya dikatakan bakal memusnahkan destinasi rekreasi popular warga bandar raya Kota Kinabalu dan daerah sekitarnya.

6 September 2021

SHAHELMEY YAHYA DILANTIK PENGARAH OPERASI PROGRAM IMUNISASI COVID-19 NEGERI SABAH (PICNS)


Bagi tujuan merancang dan melaksanakan pemberian vaksin dalam kadar yang lebih cepat dan efisien, Kerajaan telah melantik Exco Kesihatan Negeri Sabah-Ir Shahelmey Yahya sebagai Pengarah Operasi Program Imunisasi Covid-19 Negeri Sabah (PICNS).

Tugas-tugas beliau ialah membantu JKNS merancang dan melaksanakan PICNS untuk memastikan Sabah mencapai sasaran peratusan penduduk yang lengkap divaksin pada tarikh yang telah ditetapkan.

Selain itu, beliau juga akan mengawasi dan melakukan penyelarasan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudahan-kemudahan dan keperluan-keperluan mendadak di hospital-hospital di Sabah yang diperlukan dari masa ke semasa.

Program imunisasi Sabah berlumba dengan masa, memandangkan, sasaran imuniti kelompok kebangsaan adalah pada akhir Oktober, 2021.

Setakat 5 September berdasarkan statistik CITF Negeri Sabah, seramai 45.49% penduduk dewasa negeri Sabah telahpun memperoleh vaksin lengkap dan 63.98% memperoleh dos satu.

Untuk memastikan program PICNS berjalan lancar, KKM akan menghantar 2.89juta dos vaksin untuk bulan September.

Sekiranya kadar vaksinasi harian adalah 60,000 sehari, maka pada 30 September, jumlah penduduk yang divaksin seramai 1.8juta, jika 70,000 sehari, maka jumlah yang divaksin adalah 2.1juta. Jika kadar ini boleh tercapai, dan bekalan vaksin terjamin, maka Sabah akan dapat mengwujudkan imuniti kelompok pada akhir Oktober, selari dengan peringkat kebangsaan.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels