12 April 2011

Anwar-Lim Kit Siang-Lim Guan Eng: Rosakan keharmonian kaum Sarawak

Pembangkang langsung tidak mempedulikan sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri itu. Mereka juga seperti tidak mempedulikan kepentingan rakyat Sarawak secara keseluruhannya, sebaliknya mengutamakan kepentingan politik sempit mereka.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, ternyata bimbang dengan perkembangan ini kerana ia boleh mencetuskan curiga antara kaum dan tidak mendatangkan kebaikan kepada rakyat di Bumi Kenyalang.

Taib yang bimbang dengan cubaan pihak tertentu untuk melaga-lagakan masyarakat berbilang agama di Sarawak khususnya berhubung isu kitab Injil sudah tentu tidak mahu rakyat termakan dengan dakyah pembangkang dalam isu ini. Dakwaan mereka kononnya kitab itu dihalang memasuki Sarawak dan Semenanjung tidak sepatutnya menjadi isu besar kerana ia diputarbelitkan oleh pemimpin pembangkang ketika berkempen.

Kita percaya kerajaan sudah mengambil pelbagai langkah sewajarnya agar isu kebenaran membawa masuk kitab Injil ini, terutama berbahasa Melayu ke negara ini dapat diselesaikan secara baik dan tidak menimbulkan kemarahan serta salah faham penganut agama lain. Membincangkan perkara sensitif secara terbuka, apatah lagi di pentas politik amat tidak bertanggungjawab.

Semua pihak sepatutnya sedar dan insaf mengenai kesan yang boleh tercetus jika membangkitkan perkara sensitif, terutama berkaitan agama tanpa mengikut saluran yang betul. Masyarakat di negara ini, khususnya di Sarawak sejak sekian lama hidup aman damai serta harmoni walaupun terdiri daripada pelbagai etnik dan suku kaum. Rakyat Sarawak sentiasa meletakkan keharmonian, keamanan dan toleransi kaum pada tempat paling atas dan budaya ini menjadi contoh kepada masyarakat di negeri lain. Namun, kita bimbang apabila ada pihak, terutama pembangkang cuba menghakis serta mengganggu-gugat amalan dan budaya berkenaan.

Pembangkang sebaliknya, membawa budaya caci-mencaci dan maki-hamun sepanjang berkempen atas nama kebebasan bersuara dan kepentingan politik sempit. Kita percaya rakyat Sarawak dapat melihat dan menilai sendiri budaya negatif cuba dibawa pembangkang. Kita berharap rakyat Sarawak tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang sanggup menjanjikan apa saja semata-mata bagi mencapai matlamat politik mereka.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels