5 November 2009

Nizar News: Kelab Penyokong Dr Asri Dilancarkan

SEJAK timbulnya isu penahanan Dr Mohd Asri Zainul Abidin atas dakwaan berceramah tanpa tauliah, ramai pihak termasuk rakan artis yang bersimpati dan menyokong bekas Mufti Perlis itu.

Bukan sekadar untuk meluahkan kata-kata dan mesej untuk menyemarakkan semangat Dr Asri mempertahankan dirinya, salah seorang pengurus artis dari Embun Records, Aszuad Zakaria telah membuka kelab penyokong ‘Kami Menyokong Dr Asri Zainul Abidin’ di laman web FaceBook.

Bagi Aszuad, 39, dia telah lama mengikuti perkembangan Dr Asri sejak dulu lagi dan apabila berlaku kontroversi sekarang, dia nekad untuk mengajak orang ramai untuk sama-sama menyokong Dr Asri. Laman web ‘Kami Menyokong Dr Asri Zainul Abidin’ yang baru sahaja dilancarkan semalam

turut memuatkan artikel dan video berkaitan Dr Asri.

Aszuad berkata dia telah lama memikirkan untuk membuka laman web itu sebelum melihat ada sebuah laman web kelab penyokong lain yang menggunakan nama penuh Dr Asri "Dr Asri Zainul Abidin" yang telah berjaya mengumpul lebih 4,000 peminat.

Aszuad Zakaria meminati dan menyokong Dr Asri sejak dulu lagi. -foto ihsan ASZUAD

“Saya baru sahaja menyiapkan laman web kelab penyokong itu. Sebelum ini memang saya nak buat tetapi apabila saya pantau di internet, sudah ada orang yang membuka kelab penyokong Dr Asri.

“Saya bimbang juga kalau saya buat yang baru nanti seolah-olah seperti meniru pula. Tetapi saya nekad juga untuk membuatnya atas dorongan kawan-kawan,” katanya yang mengikuti ceramah Dr Asri di YouTube dan blog.

Aszuad yang pernah mengurus penyanyi Imran Ajmain ini menambah, sesetengah rakan-rakannya yang menyokong Dr Asri juga melakukan perkara yang sama jika mereka tidak berkesempatan menontonnya secara langsung. “Saya juga mendapat tahu tentang perkembangan Dr Asri menerusi blog dan YouTube.

Misalnya apabila dia berada di luar negara,” ujarnya yang turut aktif melawati blog Dr Asri. Jelasnya lagi, dia semakin teruja untuk mengenali Dr Asri selepas mendapat tahu daripada rakan artis seperti kumpulan nasyid Rabbani.

“Saya hormati dengan pendekatan yang Dr Asri gunakan,” tuturnya yang menyarankan kepada semua penyokong pensyarah USM ini supaya sama-sama menyertai kelab ini di FaceBook. Aszuad turut menggalakkan rakan-rakan artis di bawah pengurusannya, penyanyi Naizle, Sabhi Saddi dan kumpulan nasyid In Heart untuk turut sama menyokong tokoh agama itu.

Sesiapa yang berminat, bolehlah sertai Kelab Penyokong ‘Kami Menyokong Dr Asri Zainul Abidin’ di FaceBook.

Sementara itu, Dr Asri meluahkan rasa terima kasihnya atas sokongan peminat. "Terima kasih di atas semua sokongan. Saya menghargai semua sokongan yang diberi," kata Dr Asri.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels