4 November 2009

Nizar News: Jumaat Ini Najib Jumpa Kabinet Soal KPI

Datuk Seri Najib Tun Razak akan menemui semua menteri Jumaat ini bagi melihat sejauh mana prestasi kementerian masing-masing mengikut Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia selaras dengan komitmen Perdana Menteri untuk mengubah kualiti hidup rakyat negara ini dengan meningkatkan keberkesanan kerajaan, sejak memegang jawatan itu April lalu.

"Kita tak boleh main-main, kena serius. Saya percaya kita hendak membuktikan walau apa pun keadaannya, Barisan Nasional (BN) adalah sebuah parti lebih berwibawa, berkemampuan untuk menyelesaikan dan membantu membela nasib rakyat. Lihat apa yang sedang berlaku dalam parti pembangkang, semakin berkecamuk," kata beliau pada Majlis Sepetang bersama Timbalan Perdana Menteri di Kelab Warga Emas di sini.

Enam teras NKRA ialah membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman; dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata antara isu yang melibatkan kementeriannya ialah hanya 67 peratus kanak-kanak yang menikmati pendidikan pra-sekolah, manakala 33 peratus lagi tidak tersenarai disebabkan oleh pelbagai masalah termasuk masalah infrastruktur dan kemiskinan.

"Kita akan melihat perkara ini dan cuba meningkatkan peratusan itu kepada 87 peratus dalam masa dua tahun akan datang. Selain itu, insentif juga akan diberikan kepada pihak swasta untuk membangunkan prasarana pra-sekolah," katanya.

Muhyiddin juga berkata dalam masa terdekat, beliau akan mengumumkan senarai sekolah berprestasi tinggi di seluruh negara.

Katanya, dengan penyenaraian itu, kerajaan akan memastikan bukan sahaja orang yang berada boleh memasuki sekolah tersebut, malah ia terbuka kepada orang miskin yang mencatat kejayaan dalam pelajaran.

Timbalan Presiden Umno itu berkata sejak kemenangan BN dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang baru-baru ini, penerimaan masyarakat terhadap BN semakin meningkat disebabkan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri.

"Saya rasa perkara yang paling menonjol dalam kemenangan BN dalam pilihan raya kecil itu, adalah penerimaan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia. Ini jelas, kita berada di ambang pentas pembaharuan yang nyata dan kesungguhan parti dan kerajaan untuk membawa perubahan yang dijanjikan,"katanya.

Sementara itu, beliau juga menyeru semua pimpinan akar umbi Umno khususnya peringkat cawangan dan bahagian parti agar mempercepatkan konsep pembaharuan yang digariskan oleh Presiden parti.

Di samping itu, Muhyiddin turut menyeru parti-parti komponen dalam gabungan BN agar turut serta menjalankan proses pemulihan parti seperti yang sedang dilakukan dalam Umno.

"Kalau ada masalah, selesaikanlah dengan segara dan janganlah berlengah-lengah lagi. Kita sudah tiada masa," katanya.

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Labels